27 June 2010

ROMBONGAN DIRAJA MULAKAN KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2010

Berita Minggu, 27 Jun 2010





Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memulakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 dari stesen kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kompleks JB Sentral di sini, untuk melawat serta mengikuti pelbagai aktiviti di daerah Kulaijaya serta Kluang, semalam.

KMJ kali ke-12 sejak 2001 itu yang julung kalinya menggunakan pengangkutan kereta api turut dihadiri isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Rombongan diraja berlepas pada kira-kira jam 9.45 pagi ke Kampung Pertanian, Kulaijaya dan disambut ribuan penduduk yang menunggu sekitar platform sementara yang didirikan khas bagi menyambut kehadiran Sultan Ibrahim.

Baginda kemudian menyaksikan pertandingan sukan rakyat di pekarangan dewan orang ramai, melawat gerai pameran dan jualan karnival pertanian. Kesempatan itu juga digunakan Raja Zarith Sofiah melawat pertandingan memasak, gubahan buah-buahan, demonstrasi produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pertandingan jahitan.

Sultan Ibrahim juga meluangkan masa menyampaikan sumbangan basikal kepada 50 kanak-kanak serta 80 penerima bantuan sara hidup kepada golongan miskin selain melepaskan benih ikan di kolam berhampiran dewan raya kampung berkenaan.

"Menerusi Kembara Mahkota kali ini, saya akan dapat melihat sendiri cara hidup masyarakat. Kita dapat tahu kehendak dan keperluan sebenar rakyat. Dengan cara ini, rakyat dengan ikhlas dan jujur akan beritahu isi hati, hubungan erat yang wujud ini akan memudahkan pejabat kerajaan menjalankan pembangunan," titah baginda ketika merasmikan program berkenaan di JB Sentral, semalam.

Seorang penduduk, Hong Jok Hon, 63, berkata beliau amat gembira apabila Sultan Ibrahim menziarahi gerainya yang mempamerkan pelbagai buah-buahan bersaiz besar seperti nangka, jambu batu dan pisang. Tuanku tanya saya kenapa buah nangka ini besar, saya kata ini buah yang jadi juara dunia dan ada juga klon yang jadi juara Sarawak. Tuanku juga mahu melawat ladang saya juga suatu hari nanti, katanya yang berpengalaman selama 42 tahun mengusahakan ladang buah-buahan. Beliau berkata, kehadiran Sultan Ibrahim dan keluarga diraja amat bererti buatnya dan beliau turut menghadiahkan sebiji buah nangka seberat 40 kilogram kepada baginda.

Semalam, Sultan Ibrahim meneruskan perjalanan ke Stesen Renggam dan Stesen Kluang dan dijadualkan melakukan pelbagai aktiviti di daerah itu sebelum menamatkan hari pertama dengan santapan malam di Kem Mahkota.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :