11 October 2010

SISTEM BARU GANTI PMR MAMPU KURANGKAN TEKANAN PEPERIKSAAN

Minda Pengarang
Berita Harian, 11 Oktober 2010

TEKA-TEKI mengenai kedudukan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sudah pun terjawab. Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa UPSR akan dikekalkan dengan melakukan sedikit penambahbaikan.

Sementara PMR akan dimansuhkan dan diganti dengan sistem penilaian baru berasaskan sekolah. Perubahan itu sejajar dengan desakan pelbagai pihak yang mahu kerajaan memperbaiki sistem persekolahan di negara ini kerana berpendapat sistem yang diguna pakai sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan. Berikutan keputusan itu, mulai 2016 UPSR akan menggunakan format baru dengan beberapa penambahbaikan dari segi bentuk dan komposisi subjek. Antara perubahan dicadang itu, termasuk mengambil kira bidang utama dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan selebihnya berteraskan aktiviti kokurikulum atau sivik.

Perubahan itu mengurangkan penilaian prestasi pelajar yang selama ini hanya berasaskan akademik dan peperiksaan. Bagi PMR pula, kementerian melalui Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan memastikan aspek integriti pentaksiran supaya tiada sekolah mengamalkan sikap pilih kasih terhadap mana-mana calon dalam pemberian markah. Kita yakin, jika soalan disediakan atau dipantau LPM, masalah perbezaan soalan dan sistem pemarkahan dapat ditangani, sekali gus mengelak dakwaan pihak sekolah mengamalkan sikap pilih kasih terhadap calonnya.

Keputusan kerajaan ini, tentunya tidak mampu memuaskan hati semua pihak kerana sebelum ini pun pelbagai pandangan berbeza dilontarkan mengenai perubahan yang sepatutnya dibuat terhadap sistem peperiksaan, termasuk daripada wakil Kementerian Pelajaran atau agensi kerajaan sendiri, sektor swasta, ahli akademik serta tokoh pendidikan. Malah ada yang menyarankan supaya kerajaan memansuhkan langsung kedua-dua peperiksaan, sebaliknya memadai dengan satu peperiksaan saja, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kita yakin keputusan Kementerian Pelajaran itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak dan mengkaji secara mendalam dari pelbagai sudut. Selain itu, Kementerian Pelajaran turut melakukan ujian perintis membabitkan 50 sekolah pada 2008 dan 500 lagi tahun lalu bagi melihat kesesuaian cadangan yang bakal dilaksanakan itu.

Rakyat mesti yakin dengan tindakan kerajaan kerana apa diputuskan tentu sekali demi kebaikan semua pihak, apatah lagi jika ia membabitkan masa depan anak kita. Pendidikan adalah proses membangunkan insan sebab itu setiap perubahan memerlukan perancangan teliti kerana jika tersilap langkah ia bukan hanya menjejaskan masa depan rakyat, malah kemajuan negara juga boleh terancam. Pelajar, guru dan sekolah adalah pihak yang terbabit secara langsung dalam memastikan berjaya atau gagalnya pelaksanaan perubahan baru yang dicadangkan itu.

Kita tentunya tidak mahu sesuatu perubahan dilaksanakan separuh jalan, kemudian menemui kegagalan seperti apa yang berlaku terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang terpaksa dimansuhkan selepas mendapat bantahan banyak pihak. Walaupun peperiksaan adalah mekanisme penting untuk mengukur kecemerlangan pelajar, namun belum tentu dapat menjamin anak kita menjadi insan berketrampilan dari segi sahsiah dan berkemahiran dalam pelbagai bidang untuk mereka bersaing dalam dunia moden hari ini.



SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :