28 February 2010

UCAPAN TAKZIAH KEPADA CIKGU HAMISAH DAN KELUARGA

Berita yang diterima pada petang tadi bahawa ayah Cikgu Hamisah Binti Mohd Amin telah kembali ke rahmatullah. Kami warga SMK Telok Kerang mengucapkan takziah kepada Cikgu Hamisah dan keluarga. Kami berharap agar Cikgu Hamisah bersabar. Semoga roh ayah Cikgu Hamisah dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah.. Jenazah akan dikebumikan esok, Isnin 1 Mac 2010.

25 February 2010

KEJOHANAN OLAHRAGA KALI KE-37 (TAHUN 2010) SMK TELOK KERANG

Pagi ini Khamis 25 Februari 2010 dijalankan Kejohanan Olahraga Kali Ke-37 SMK Telok Kerang, Pontian, Johor. Majlis perasmian kejohanan bermula pada pukul 8.00 pagi dengan didahului perbarisan ahli-ahli rumah. Perasmian disempurnakan oleh En. Haumid Bin Selamat, PPPD Pontian.

Cuaca yang panas dan cerah menyemarakkan lagi semangat bertanding atlet-atlet setiap rumah. Suasana pertandingan jelas kelihatan daripada reaksi dan kesungguhan setiap peserta untuk mengatasi satu sama lain. Menjadi kebiasaan dalam setiap pertandingan keputusannya adalah siapakah pemenangnya. Atlet-atlet menjalankan peranannya di tengah padang manakala penyokong pula bersorak di tepi padang memberi sokongan tidak berbelah-bagi. Guru-guru dan kakitangan sekolah sibuk dengan tugas mengelolakan kejohanan.

Kejohanan berjalan dengan lancar. Pada pukul 12 tengahari semua acara telah selesai dijalankan. Rumah Biru telah diisytiharkan sebagai johan pada temasya kali ini. Tahniah Rumah Biru.

Berikut adalah keputusan kejohanan tersebut:

  • Johan keseluruhan: Rumah Biru (741 mata)
  • Naib johan: Rumah Hijau (691 mata)
  • Ke tiga: Rumah Kuning (644 mata)
  • Ke empat: Rumah Merah (537 mata)
  • Johan merentas desa: Rumah Hijau
  • Johan sukantara: Rumah Biru
  • Naib johan sukantara: Rumah Hijau
  • Olahragawan: Mohd. Faiz Bin Resmi (Rumah Biru)
  • Olahragawati: Nur Aina Binti Latif (Rumah Hijau)
  • Johan kategori lelaki A: Rumah Biru
  • Johan kategori lelaki B: Rumah Biru
  • Johan kategori lelaki C: Rumah Merah
  • Johan kategori pPerempuan A: Rumah Merah
  • Johan kategori perempuan B: Rumah Biru
  • Johan kategori perempuan C: Rumah Hijau
  • Johan tarik tali: Rumah Merah
  • Naib johan tarik tali: Rumah Kuning














PENDAFTARAN SPM, SPMU, STAM 1 MAC

PUTRAJAYA 22 Feb. - Pendaftaran calon sekolah dan persendirian bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) boleh dilakukan mulai 1 hingga 31 Mac ini. Kenyataan Kementerian Pelajaran di sini hari ini menyebut, bagi calon sekolah, borang boleh didapati di sekolah masing-masing manakala calon persendirian boleh mendapatkannya di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terdekat.Maklumat terperinci mengenai pendaftaran peperiksaan itu boleh diperoleh di laman web Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lpm

23 February 2010

PELAJAR WAJIB AMBIL SATU BIDANG SUKAN

MARAN 21 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi. Bagi tujuan itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, satu jawatankuasa sementara ditubuhkan untuk mengkaji perkara tersebut yang membabitkan kurikulum dan aspek pemarkahan.
''Sekurang-kurangnya satu sukan wajib diambil oleh pelajar. Dasar ini telah lama ada tetapi ia kurang ditekan. Kita sedang mengkaji kurikulumnya dan sekurang-kurangnya tahun depan kita boleh mula tetapi mana-mana sekolah yang telah bersedia boleh bermula tahun ini. Kita perlu memperincikan jadual dan kurikulum bagi mengelakkan pertembungan antara akademik dan sukan," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara cawangan Jengka di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin mahu kegemilangan sukan dikembalikan ke sekolah-sekolah memandangkan ia adalah institusi utama mengembangkan bakat sukan di peringkat akar umbi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan merombak Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran dengan menjadikan sukan sebagai bidang berasingan.

''Pada masa ini, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum kementerian melibatkan persatuan beruniform diletakkan dalam satu bahagian. Kita hendak buat rombakan iaitu kokurikulum dalam satu bahagian manakala sukan dalam pengkhususan lain," jelasnya

 
Sehubungan itu kata beliau, jawatankuasa sementara itu akan mengkaji pelbagai perkara termasuk kurikulum yang lebih lengkap, tenaga pengajar, jurulatih yang berkemahiran dan aspek promosi. Menurut beliau, aktiviti sukan di sekolah juga akan dikaji supaya ia tidak hanya diadakan dalam tempoh dua tiga bulan pertama sesi persekolahan sebaliknya sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan.

 
''Kita hendak lahirkan lebih banyak guru sukan dan mengubah semula kalendar sukan tahunan.
Ketika ini, kalendar sukan tahunan dibuat dua tiga bulan selepas sekolah dibuka dan pada bulan Jun telah selesai dan selepas itu tidak ada diberi perhatian oleh pihak sekolah," ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah peruntukan kepada sekolah-sekolah supaya hasrat itu menjadi kenyataan.

Sumber: Utusan Malaysia Online 22 Februari 2010

 

22 February 2010

SMK TELOK KERANG DIANUGERAHI SIJIL PENGIKTIRAFAN SEKOLAH BESTARI LUAR BANDAR PENANDA ARAS

Semasa perhimpunan rasmi pagi ini, Tuan Pengetua telah mengumumkan bahawa SMK Telok Kerang telah dianugerahi Sijil Pengiktirafan Sekolah Bestari Luar Bandar Penanda Aras oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebanyak 35 sekolah di Malaysia dianugerahi sijil tersebut. Sijil disampaikan di Putrajaya oleh Ketua Pengarah Pelajaran YBHG. Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin Bin Hj. Mohd. Dom. Tahniah diucapkan kepada semua warga SMK Telok Kerang.

Dalam ulasannya, Tuan Pengetua mengharapkan kepada semua warga SMK Telok Kerang merapatkan saf menggembeling usaha dan tenaga bagi mencapai wawasan sekolah bestari. Satu mesyuarat dan taklimat akan diadakan dalam waktu terdekat bagi mengatur straregi bagi mencapai wawasan tersebut.




13 February 2010

PLAN-J SASAR JOHOR KE-5 TERBAIK

JOHOR BAHRU 12 Feb. – Seramai 685,132 warga sekolah di negeri ini dijangka menikmati faedah menerusi program Piawaian Latihan Akademik Negeri Johor (PLAN-J) yang disasarkan untuk meletakkan Johor di tangga kelima terbaik di peringkat kebangsaan tahun depan.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin berkata, PLAN-J yang dilaksanakan dalam jangka masa tiga tahun mulai tahun lalu juga merupakan penanda aras untuk melahirkan seberapa banyak Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negeri ini. Menurutnya, PLAN-J merupakan satu standard akademik kepada pengiraan pembelajaran dan latihan.

“Berdasarkan perangkaan, menerusi program itu seramai 630,000 pelajar, 42,000 guru dari 1,132 sekolah dan 12,000 kakitangan sokongan akan melaksana, menterjemah dan menikmati faedah daripada PLAN-J. Kesan besar daripada pelaksanaan program itu telah menunjukkan hasil, menerusi pencapaian membanggakan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang telah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 2.21 dan meletakkan Johor di tangga keempat terbaik pada tahun lalu. Maka cabaran yang sedang menanti seluruh warga sekolah pada tahun ini, kita mahu GPS bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada di tahap yang cukup mantap,” katanya selepas melancarkan PLAN-J di sini.

Sufaat memberitahu, program tersebut yang dirangka oleh pakar-pakar perunding mata pelajaran akan memandu arah pelajar dalam menyiapkan latihan yang diberikan secara berkesan.

“Program ini juga cukup realistik iaitu dua format disediakan masing-masing untuk sekolah rendah dan menengah dengan latihan yang perlu diselesaikan sebaik mungkin. Ini bermakna pelajar bukan sekadar faham mengenai konsep pengajaran dan pembelajaran, tetapi latihan menerusi PLAN-J merupakan pelengkap kepada kecemerlangan sekolah termasuk SBT dan harapan untuk menduduki di tangga kelima terbaik di peringkat nasional,” katanya.

Utusan Malaysia dimaklumkan, pada 2008, Johor mencatatkan GPS 10 terbaik di peringkat kebangsaan.

PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 4 MPV LANDSKAP DAN NURSERI SMK TELOK KERANG TAHUN 2010

Tahun 2010 ini, seramai 25 pelajar Tingkatan 4 telah mendaftarkan diri untuk mengikuti MPV Landskap dan Nurseri. Daripada jumlah itu, 7 orang adalah pelajar perempuan dan 18 orang pelajar laki-laki. Saya mengalu-alukan kedatangan pelajar baru LN ini. Semoga pelajar-pelajar ini terus belajar untuk mencapai cita-cita.

Harapan Cikgu - belajarlah, jangan ponteng, jadilah pelajar yang baik atau sebaik-baiknya, buat amali ikut prosedur, setiap KLN mesti kompeten, apabila nak belajar mesti baca doa menuntut ilmu, apabila nak makan mesti baca doa makan, mesti sembahyang, sayangi ibu bapa, kawan-kawan dan guru-guru, hayati alam persekolahan, dan macam-macam lagi yang baik-baik belaka.






11 February 2010

SUKAN SMK TELOK KERANG TAHUN 2010: PRA KEJOHANAN

Pra kejohanan (acara sukan sebelum sukan sebenar) di jalankan selama dua petang iaitu pada petang Selasa dan petang Rabu (9 - 10 Februari 2010). Riuh-rendah padang sekolah dengan sorakan penyokong rumah-rumah sukan. Setakat pada hari ini, kedudukan mata bagi setiap rumah adalah seperti berikut:
  1. Rumah Biru - 664
  2. Rumah Hijau - 621
  3. Rumah Kuning - 608
  4. Rumah Merah - 489
Setelah tamat pra kejohanan, Rumah Biru telah memintas kedudukan Rumah Hijau sebagai peneraju dan mengatasi rumah-rumah lain dalam persaingan merebut status johan Kejohanan Olahraga SMK Telok Kerang Tahun 2010. Namun perjuangan masih belum berakhir sehinggalah dilangsungkan Kejohanan Olahraga SMKTK yang bakal diadakan pada hari Khamis, 25 Februari 2010. Daripada cakap-cakap dan sembang-sembang kedai kopi dan kopitiam, Rumah Biru akan terus mengungguli kejohanan tahun ini setelah usaha mereka untuk merebut takhta kejohanan sepanjang 7 tahun yang lepas gagal dan mengecewakan. Bukan sahaja gagal dalam misi bahkan kedudukan mereka hanya bersilih ganti di tempat ke tiga dan ke empat. Namun pada tahun ini Rumah Biru berharapan setinggi Gunung Pulai untuk merampas takhta kejohanan. Kepada guru-guru dan ahli Rumah Hijau, Rumah Merah dan Rumah Kuning, sama-samalah menggembeling tenaga, usaha dan strategi untuk memintas kedudukan Rumah Biru. Teruskan usaha anda. Semoga berjaya!!!

GONG XI FA CHAI

Warga SMK Telok Kerang, Pontian, Johor
Mengucapkan
Selamat Tahun Baru Cina
Yang Akan Dirayakan
Pada 14 dan 15 Februari (Ahad dan Isnin) 2010
Kepada
Guru-guru dan Murid-murid Berbangsa Cina

08 February 2010

APAKAH SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI (SBT)?

SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan' Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa.

Sekolah-sekolah ini hendaklah memenuhi Prasyarat berikut :
  1. Pencapaian akademik yang menunjukkan trend menaik bermula dengan Take Off Value (TOV) sekurang-kurangnya 80% dalam peperiksaan awam (UPSR dan SPM);
  2. Pencapaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) atau instrumen yang setaraf dengannya sekurang-kurangnya 90% dalam semua dimensi;
  3. Menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa:
  4. Berjaya melahirkan personaliti-personaliti unggul (towering personalities) yang menerajui kepimpinan negara, negeri, organisasi dan komuniti;
  5. Menjadi penanda aras dan contoh bagi sekolah-sekolah lain dari dalam dan luar negara;
  6. Wujud permuafakatan yang jitu antara sekolah dengan masyarakat yang memberi impak kepada keberkesanan dan kecemerlangan pendidikan di sekolah;
  7. Mempunyai jaringan yang aktif dengan sekolah-sekolah sama ada di dalam negeri atau di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai bentuk program; dan
  8. Membina jaringan dengan institusi pendidikan tinggi di dalam dan di luar negara.
Ciri-Ciri Sekolah Berprestasi Tinggi

Pemimpin Sekolah:
  1. Boleh deliver, mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam pengurusan sekolah.
  2. Menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) berpandukan garis panduan Pengurusan Berasaskan Sekolah yang disediakan oleh KPM bagi peningkatan sekolah, guru dan murid.
  3. Meningkatkan penglibatan sekolah ke peringkat antarabangsa.
  4. Membangunkan bakat kepimpinan guru dan murid.
  5. Sentiasa bersedia untuk dinilai oleh KPM dan pihak luar.
  6. Proaktif dalam melaksanakan perubahan dan pembaharuan.
Guru Sekolah:
  1. Boleh deliver, mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
  2. Menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) berpandukan garis panduan Pengurusan Berasaskan Sekolah yang disediakan oleh KPM bagi peningkatan murid.
  3. Membantu meningkatkan penglibatan sekolah ke peringkat antarabangsa.
  4. Membangunkan bakat kepimpinan murid.
  5. Sentiasa bersedia untuk dinilai oleh KPM dan pihak luar.
  6. Proakif dalam melaksanakan perubahan dan pembaharuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Murid Sekolah:
  1. Menyediakan sasaran tahunan bagi peningkatan diri sendiri.
  2. Bertanggungjawab untuk pembelajaran kendiri.
  3. Berupaya mengendali dan menguruskan diri dan aktiviti sekolah
  4. Bekerjasama dalam kumpulan dan dapat berkomunikasi dengan berkesan.
  5. Menggunakan kuasa autonomi yang diberi dengan berkesan.
lmpak Sekolah Berprestasl Tinggi

Pemimpin:
  1. Pengiktirafan sebagai pemimpin yang berwibawa.
  2. Mempunyai kuasa autonomi untuk Pengurusan Berasaskan Sekolah.
  3. Menerima ganjaran dalam bentuk bonus.
  4. Berpeluang mendapat guru pakar dan guru cemerlang.
  5. Berpeluang memilih guru yang efektif.
  6. Berpeluang memilih murid yang sesuai.
Guru:
  1. Pengiktirafan sebagai guru yang berkesan.
  2. Mempunyai kuasa autonomi untuk Pengurusan Berasaskan Sekolah.
  3. Ganjaran dalam bentuk bonus.
Murid:
  1. Murid berkemahiran dalam pengurusan diri, bekerja dalam kumpulan,berkomunikasi secara efeKif dan berkebolehan bersaing di arena antarabangsa.
  2. Berpeluang untuk memasuki universiti yang terkemuka di dunia
  3. Murid dikecualikan daripada mengikuti beberapa subjek tertentu peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi.
  4. Murid di tempatkan di kelas mengikut kebolehan/ kemampuan tanpa berdasarkan umur.
  5. Murid boleh mengambil peperiksaan awam mengikut kebolehan yang tidak berdasarkan umur.
  6. Murid memasuki IPTA tanpa berdasarkan umur.
  7. Murid mampu menjadi pesaing di peringkat dunia dalam mana-mana bidang yang mereka ceburi.
  8. Murid menerima P & P daripada guru-guru pakar dan cemerlang berasaskan data empirikal.
  9. Murid berpeluang untuk menyertai peperiksaan luar negara.
  10. Murid terdedah kepada teknologi terkini dalam pendidikan.

05 February 2010

SBT PENANDA ARAS BARU

NUSAJAYA 4 Feb. - Penyenaraian 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diumumkan baru-baru ini bukan sahaja untuk menaik taraf sekolah tersebut, malah ia menjadi satu penanda aras baru dalam pembangunan dan mutu pendidikan di negara ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman itu akan membolehkan semua sekolah mengetahui senarai SBT dan mereka akan berusaha gigih ke arah mencapai kriteria tersebut.

"Tetapi saya juga sedar memang ada perbezaan dan jurang dari segi taraf pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak yang daif.
"Tetapi dengan cara begini (SBT), kita harap sekolah lain akan mencapai taraf SBT. Sekolah yang di bawah pun cemerlang juga, cuma dia tidak dapat memenuhi kriteria yang ketat. Dia cemerlang tetapi di bawah dan kita harap mereka akan terus meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Stadium dan Kompleks Sukan Educity@Iskandar di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Iskandar Investment Bhd. (IIB), Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Arlida Ariff.

Beliau mengulas kebimbangan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo bahawa langkah kerajaan menyenaraikan 20 buah (SBT) akan melebarkan lagi jurang kualiti pendidikan di bandar dan luar bandar. Mohamad Khir juga mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM700,000 setahun kepada SBT, tetapi pada masa sama memotong bajet sekolah biasa sehingga menjejaskan banyak aktiviti pendidikan.
Muhyiddin berkata, mengikut Indeks Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pelajaran, pihaknya menyasarkan 20 buah SBT, manakala 30 buah pada tahun depan sebelum jumlahnya meningkat kepada 50 buah menjelang 2012.Beliau berkata, kementeriannya dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) menyasarkan dapat mewujudkan 100 buah SBT.

"Tetapi kita tidak mahu dengan ada SBT ini, sekolah-sekolah lain menjadi tidak penting. Hanya 20 buah SBT sedangkan kita ada kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara. Tumpuan masih diberikan kepada semua sekolah dan kita hendak pastikan yang mana belum cemerlang akan meningkat, manakala yang sudah cemerlang akan naik ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain SBT Kementerian Pelajaran akan mengambil langkah dengan memulakan program 'hand holding' antara Sekolah Berprestasi Rendah (SBR) dengan 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di negara ini. Beliau menjelaskan, menerusi program itu, setiap IPGM akan mengambil sebuah sekolah yang masih berada di tahap pretasi rendah.

"Sudah pasti sekolah ini tidak akan naik ke SBT, tetapi jika dapat meningkat 20 hingga 30 peratus daripada tahap sekarang, ia merupakan satu pencapaian," katanya.
Salah satu lagi NKRA ialah insentif kepada pengetua dan guru besar yang berjaya mencapai tahap yang lebih tinggi. Insentif ini bukan sahaja untuk pengetua dan guru besar, malah seluruh guru di sekolah tersebut agar mereka bersama-sama berusaha untuk meningkatkan tahap sekolah," katanya.

01 February 2010

JOHAN DAERAH SETARAF JUARA KEBANGSAAN

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Markah atau kredit kokurikulum untuk ke universiti bagi pelajar sekolah yang menjuarai sebarang kejohanan sukan peringkat daerah perlu dinaikkan mengikut keadaan semasa. Sebagai contoh, dalam keadaan defisit bajet sekarang, markah maksimum perlu diberikan kepada pelajar yang mewakili sekolah ke peringkat daerah, berbanding wakil ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa sebelum ini. Hal ini dilihat penting kerana pihak sekolah kini tidak mempunyai cukup sumber kewangan untuk menghantar pelajar mereka mewakili sekolah ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa kerana bajet tersebut telah dipotong atau dikurangkan.

Guru Kimia merangkap jurulatih ragbi Kolej Islam Sultan Alam Shah, Shaiful Bahri Mustafa berkata, penarafan semula ini penting kerana beberapa sukan bukan teras hanya dianjurkan setakat peringkat daerah sahaja. Menurut beliau, markah tersebut menyumbang 10 peratus dalam kriteria pemilihan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Jika tidak peluang mereka untuk masuk universiti akan terjejas," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, penarafan semula ini hanya melibatkan sukan bukan teras seperti ragbi, bola baling dan bola tampar. Manakala bagi sukan teras seperti bola sepak, olahraga, skuasy, renang dan badminton masih boleh mengekalkan sistem pengiraan mata sedia ada kerana ia masih dipertandingkan sehingga ke peringkat kebangsaan.

"Namun ia terhad kepada kategori umur bawah 12 tahun dan bawah 18 tahun sahaja manakala bawah 15 tahun ditiadakan," jelasnya.

Shaiful Bahri menegaskan pengurangan jumlah pertandingan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan ini bukan alasan untuk pelajar tidak aktif dalam sukan dan aktiviti kokurikulum. Pertandingan di peringkat sekolah perlu dipergiatkan," sarannya.

Tambahan pula, tegas Shaiful Bahri, matlamat utama kegiatan kokurikulum adalah untuk kesihatan diri dan kecerdasan minda bukan semata-mata mengejar kejuaraan.

PERHIMPUNAN RASMI PAGI ISNIN 01 FEBRUARI 2010 - KADET REMAJA SEKOLAH BERTUGAS MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN

Minggu ini giliran Kadet Remaja Sekolah mengendalikan perhimpunan pagi Isnin. Pasukan di bawah bimbingan Ustaz Sukri Osman. Seramai 8 orang ahli KRS dengan diketuai Amri Bin Ahmed telah berjaya menjalankan tugas.





MAJLIS PELANCARAN NILAM 2010

Pagi ini semasa perhimpunan pagi, Tuan Pengetua melancarkan Nilam SMKTK 2010. Seramai dua orang pelajar masing-masing menerima Anugerah Emas dan Anugerah Perak dan seramai 23 orang pelajar lagi menerima Anugerah Gangsa. Nilam yang berslogankan "Membaca Jambatan Ilmu" mempunyai beberapa objektif. Antaranya ialah:
  1. Mewujudkan minat membaca di kalangan pelajar.
  2. Melahirkan generasi yang suka membaca dan berfikiran luas.
  3. melahirkan tokoh nilam untuk menjadi wakil sekolah.
  4. memberi pengiktirafan anugerah nilam kepada pembaca terbanyak.