31 March 2010

LATIHAN KAWALAN KEHORMATAN PERINGATAN HARI KADET POLIS DAERAH PONTIAN

Ahli-ahli Kadet Polis SMK Telok Kerang dipilih sebagai pasukan Kawalan Kehormatan pada Perhimpunan Peringatan Hari Kadet Polis ke 40 Daerah Pontian tahun 2010 yang dijadualkan diadakan pada hari Rabu 7 April 2010. Kini mereka sedang menjalani latihan intensif di IPD Pontian pada setiap petang dari pukul 3.00 petang hingga pukul 5.30 petang. Mereka bergerak dari sekolah ke IPD Pontian dengan menaiki kenderaan PDRM. Cikgu Shamsul Sazali b Salimin bersama guru-guru Kadet Polis yang lain bertugas mengiringi ahli-ahli Kadet polis tersebut semasa menjalani latihan. Latihan Kawalan Kehormatan yang menggunakan senjata M16 adalah dibawah kendalian para jurulatih PDRM Pontian.

Berlatihlah bersungguh-sungguh semua anak-anak didikku.


Hari pertama latihan....
Tuan Johari sedang memantau latihan.


Berlatih dengan menggunakan senjata M16.


Seriusnya dia ni....
Segak semasa latihan.

Hormat senjata...

Cikgu-cikgu ni ambil kesempatan bergaya depan kemera...

29 March 2010

PERHIMPUNAN RASMI PAGI ISNIN 29 MAC 200 - PENGAWAS BERTUGAS MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN

Pagi ini barisan pengawas bertugas mengendalikan perhimpunan. Seramai 21 orang pengawas yang diketuai oleh Norziana Mohamad berjaya melaksanakan tanggungjawab. Pengawas di bawah kepemimpinan guru pengawas iaitu Cikgu Shamsul Sazali bin Salimin memulakan perhimpunan tepat pada pukul 7.20 pagi. Syabas barisan pengawas.







26 March 2010

PROGRAM KAWAD MENGOSONGKAN BANGUNAN 2010

Pagi ini diadakan Program Kawad Mengosongkan Bangunan 2010. Matlamat program ini ialah untuk meningkatkan tahap keselamatan di kalangan warga SMK Telok Kerang.
Objektif program:
  1. Meningkatkan kesedaran warga SMKTK terhadap hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan.
  2. Mempertingkatkan fungsi sistem pencegahan kebakaran.
  3. Warga SMKTK dapat mengikuti laluan kecemasan dengan jelas dan teratur.
  4. Warga SMKTK dapat berkumpul di tempat yang selamat dalam masa yang ditetapkan.
Program ini dibawah kendalian Pasukan Bomba dan Penyelamat Pontian yang diketuai oleh PBK Ahmad Bin Hj. Safar bersama tujuh anggota. Di antara aktiviti yang dijalankan ialah panggilan baris, demonstrasi menyelamat, demonstrasi memadam kebakaran dan pameran peralatan menyelamat.



PBK Ahmad b Hj. Safar sedang menyampaikan penerangan mengenai tugas menyelamat.
Demonstrasi menggunakan alat pemadam api.
Seorang pelajar perempuan sedang memadamkan api.
Tuan Pengetua tidak ketinggalan cuba memadamkan api.
Peluang yang ada digunakan oleh pelajar ini untuk mencuba memadamkan api.
Memadamkan api di bangunan.
Menyelamatkan pelajar yang terperangkap dalam bangunan.
Peralatan menyelamat dalam kenderaan.
Tuan Pengetua bersama ahli-ahli Bomba dan Penyelamat.
Pelajar-pelajar duduk berkumpul melihat demonstrasi.

24 March 2010

MESYUARAT KALI PERTAMA KOR KADET POLIS DAERAH PONTIAN 2010

Mesyuarat Kali Pertama Kor Kadet Polis Daerah Pontian 2010 diadakan di Bilik Mesyuarat SMK Telok Kerang pada pukul 2.30 petang. Seramai 26 pegawai kanan Kor Kadet Polis daerah Pontian hadir dalam mesyuarat tersebut. C/Insp. Johari Abdullah dan Sjn Sabari Ahmad turut hadir bagi pihak IPD Pontian. Mesyuarat dipengerusikan oleh ASP Kadet Polis Hasan Kasmuri.

Isi penting dalam mesyuarat:

1. Ucapan Tuan Johari Abdullah

  • Beliau berharap ahli-ahli Kadet polis aktif dalam kokurikulum.
  • Beri perhatian kepada semua ahli-ahli Kadet Polis.
  • Guru-guru harus mengambil peluang dan kesempatan menjalankan aktiviti.
  • IPD Pontian bersedia membantu dari segi latihan dan apa-apa jua perkara yang boleh membantu untuk memajukan Kadet Polis.
  • Giatkan ahli Kadet Polis sebagai ahli pencegah jenayah di peringkat sekolah.
  • Oleh kerana kerja-kerja menaik-taraf tempat berlatih menembak di Muar, latihan boleh diadakan di Melaka.
2. Hari Kor Kadet Polis Daerah Pontian 2010
  • Diadakan pada hari Rabu, 7 April 2010 di Dataran Nilam SMK Telok Kerang, Pontian, Johor.
  • Sebuah sekolah menghantar seramai 19 ahli detachment.
  • PPD Pontian dan KPD Pontian dijangka hadir.
  • Latihan kawalan kehormatan bersenjata M16 diadalan di IPD Pontian.
  • Raptai diadakan pada Isnin 5 April 2010.
3. Pentauliahan pangkat sarjan dan koperal.
  • Pentauliahan dan sijil diberi semasa perkhemahan peringkat daerah.
  • Perkhemahan peringkat daerah diadakan pada awal bulan Jun iaitu pada cuti sekolah.
  • Semua sekolah diharap dapat menghantar peserta perkhemahan.
4. Program lain.
  • Latihan menembak di Melaka. Utamakan ahli di tingkatan lima. Sekolah-sekolah diminta berkongsi bas pergi ke Melaka. Program diuruskan oleh Insp. Mohd Nazri Lajim.
  • Perbarisan Hari Kebangsaan. IPD Pontian akan menentukan sekolah yang akan menyertai perbarisan (jika ada perbarisan).
  • Program dan aktiviti di peringkat sekolah dikendalikan sendiri oleh guru-guru di sekolah masing-masing.
5. Hal-hal lain.
  • Lantikan AJK baru: Bendahari - Insp. KP Rozana Mohd Ali (SMKDPB), Ketua Jurulatih - Sjn. Mejar Ayob Darus dan Penolong Ketua Jurulatih - Insp. KP Shamsul Sazali Salimin (SMKTK).
  • MRSM: jika ada guru-guru yang ingin meminjam peralatan, beritahu lebih awal.
  • Guru-guru diminta mengemukakan permohonan Sijil Tamat Perkhidmatan kepada IPD Pontian di akhir tahun.
  • Guru-guru yang belum ada uniform boleh memohon kain uniform di IPD Pontian. Aksesori yang lain kena beli sendiri.
  • CD lagu-lagu PDRM termasuk lagu baru dan lagu Kadet Polis akan diedarkan kepada semua sekolah-sekolah.
  • Tuan Johari menjemput semua guru-guru Kadet Polis menghadiri Hari Peringatan PDRM di IPD Pontian pada 25 Mac 2010 pada pukul 7.30 pagi.





22 March 2010

PERHIMPUNAN RASMI PAGI ISNIN 23 MAC 2010 - PANDU PUTERI BERTUGAS MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN

Pagi ini giliran Pandu Puteri untuk mengendalikan perhimpunan rasmi. Pandu Puteri yang diketuai oleh Nurhanifah binti A Samad bersama 6 orang ahli bersiap sedia seawal pukul 7.10 pagi. Pengendalian perhimpunan berjalan dengan baik. Tahniah Pandu Puteri.


MASA BELAJAR BM, BI DITAMBAH

Oleh Rohaniza Idrisroha
Berita Harian 21 Mac 1010


KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) ditambah di sekolah rendah dan menengah selaras dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata waktu bagi Bahasa Melayu ditambah daripada 270 minit kepada 330 minit seminggu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/SJKT), manakala untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dikekalkan kepada 240 minit seminggu.

Katanya, masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris ditambah daripada 240 minit kepada 330 minit di SK dan Sekolah Menengah manakala di SJKC/SJKT ditambah daripada 60 minit ke 120 minit seminggu.

“Namun waktu persekolahan tidak dipanjangkan, tetapi diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar. Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan berkenaan,” katanya selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Dasar MBMMBI diperkenalkan kerajaan berikutan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tahun lalu. Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyarankan lebih banyak badan korporat menderma buku kepada perpustakaan sekolah.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyarankan PBAKL diangkat sebagai pusat perdagangan industri buku, sekurang-kurangnya bagi rantau Asia dalam jangka masa 10 tahun akan datang dengan menjadikan Pesta Buku Frankfurt yang disertai hampir 10,000 penggiat industri buku seluruh dunia sebagai penanda aras.

“Saya yakin ia dapat dicapai kerana nilai dagangan PBAKL 2009 mencecah RM20 juta dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia perlu bersedia menjadi agensi peneraju kepada industri buku bagi mencapai hasrat itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran yang juga Pengerusi PBAKL, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pesta kali ini disertai 202 syarikat luar dan dalam negara dengan 856 gerai. Muhyiddin turut melancarkan buku Najib: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan tulisan Aizuddin Muhammad Muaz yang memaparkan perjalanan Datuk Seri Najib Razak dalam politik.

16 March 2010

KEJOHANAN OLAHRAGA MSSD PONTIAN KALI KE 43 2010

Kejohanan Olahraga MSSD Pontian 2010 berlangsung di padang SMK Dato' Ali Haji Ahmad, Pontian. Kejohanan selama 4 hari dari 8 Mac hingga 11 Mac 2010 berjalan dengan baik. SMK Telok Kerang tidak ketinggalan menyertai kejohanan tersebut dengan menghantar seramai 30 orang atlit.

Di akhir kejohanan, kontinjen SMK Telok Kerang memperolehi 4 emas, 5 perak dan 4 gangsa yang berjaya mengumpulkan 49 mata. Tahniah!

Atlit-atlit SMK Telok Kerang telah berusaha sehabis daya dengan membawa pulang 4 emas, 3 perak dan 6 gangsa yang mengumpulkan 49 mata.

Berikut adalah pingat-pingat yang dimiliki oleh SMK Telok Kerang:

  • Pingat emas - 100m P18, 200m P18, 4X100m P18 dan rejam lembing L18.
  • Pingat perak - 4X400m P18, 200m P18 dan lompat jauh P18.
  • Pingat gangsa - Lontar peluru L18, lompat jauh L18, 400m L15, rejam lembing L15, lempar cakera P15, dan lempar cakera P13
Pungutan mata keseluruhan:

  1. SMK DATO ALI HAJI AHMAD - 247.5 mata
  2. SMK DATO MOHD YUNUS SULAIMAN - 162 mata
  3. SMK PEKAN NANAS - 160.5 mata
  4. SMK SRI TANJUNG - 109 mata
  5. SMK BENUT - 89 mata
  6. SMK TELOK KERANG - 49 mata
  7. SMK AYER BALOI - 41 mata
  8. SMK PARIT BETAK - 40 mata
  9. SM PEI CHUN - 32.5 mata
  10. MRSM PONTIAN- 32 mata
  11. SMK DATO PENGGAWA BARAT - 22 mata
  12. SMK SRI PERHENTIAN - 13 mata
  13. SMK BATU 34 - 12 mata
  14. SMK KAYU ARA PASONG - 10 mata
  15. SMK SRI KUKUP - 3.5 mata




Heng May Sin, Si Puteri Emas yang membawa pulang 3 pingat emas dan 1 pingat perak.
Mohd Kamil Mustafa mengungguli acara rejam lembing L18
dengan membawa pulang pingat emas untuk SMK Telok Kerang.

15 March 2010

DATUK LEE CHONG WEI JUARA 100 TAHUN ALL ENGLAND

Sebentar tadi pada pukul 1.00 pagi waktu Malaysia Datuk Lee Chong Wei menjuarai 100 Tahun All England. Syabas dan Tahniah!


Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
Utusan Malaysia 15 Mac 2010

LEE Chong Wei meraikan kejayaan merangkul kejuaraan All England pada ulang tahun ke-100 kejohanan, malam tadi. - AP

BIRMINGHAM, England - Datuk Lee Chong Wei muncul perseorangan kedua Malaysia dalam tempoh 44 tahun berjaya merangkul kejuaraan badminton berprestij, All England di Birmingham semalam.
Jika pada 2003, Muhammad Hafiz Hashim menamatkan penantian 37 tahun Malaysia, kemenangan Chong Wei kali ini pula istimewa kerana ia diraih ketika kejohanan badminton tertua di dunia itu menyambut ulang tahun ke-100.


Kepuasan terpancar di wajah Chong Wei sejurus disahkan selaku juara buat kali pertama, apabila dia mencium gelanggang sebaik tamat perlawanan sebelum mendakap jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.

Bagi Misbun pula, ini adalah kejayaan peribadi keduanya membawa pulang kejuaraan All England selaku jurulatih selepas turut bertanggungjawab membimbing Hafiz pada 2003.
"Kemenangan ini belum melengkapkan karier Chong Wei tetapi ia meningkatkan moralnya kerana sebagai pemain No. 1 dunia akhirnya Chong Wei memiliki satu kejuaraan besar. Bagaimanapun pada saya Chong Wei seorang pemain yang amat luar biasa, tidak ramai yang boleh memenangi tiga kejuaraan berturut-turut. Dia muncul juara di Terbuka Korea, kemudian Malaysia dan kini All England,'' kata Misbun ketika dihubungi di Birmingham.
Walaupun impian untuk menentang musuh ketat, Lin Dan di final tidak kesampaian, namun Chong Wei tetap tidak diberi laluan mudah oleh Kenichi Tago apabila dipaksa berhempas pulas oleh pemain muda Jepun itu sebelum menang 21-19, 21-19.

Jaguh No. 1 dunia itu menjadi pemain Malaysia kelima berjaya merangkul gelaran perseorangan All England selepas Wong Peng Soon, Datuk Eddy Choong, Tan Aik Huang dan Hafiz. Koo Kien Keat-Tan Boong Heong merupakan pemain Malaysia terakhir menjuarai gelaran prestij ini dalam saingan beregu lelaki pada 2007.

Dalam perlawanan semalam, Tago mencemaskan Chong Wei apabila mendahului saingan sejak awal sehingga kedudukan 11-15, sebelum dikejar Chong Wei 15-15. Walaupun kurang pengalaman dan skil, namun Tago, 20, terlalu liat untuk ditewaskan Chong Wei apabila memaksa pemain negara itu memegang empat mata set pada kedudukan 20-16, 20-17, 20-18 dan 20-19, sebelum akhirnya menang 21-19.

Aksi Chong Wei pada awal set kedua lebih meyakinkan apabila dia mendahului dari awal saingan, namun kesilapan yang kerap dilakukan, termasuk sering terikut-ikut permainan rali lawan menyebabkan saingan terikat 11-11, 14-14 dan 15-15. Seperti set pertama, Tago liat untuk dijinakkan apabila memaksa Chong Wei memegang tiga mata kemenangan sebelum tunduk 19-21 selepas membiarkan saja pukulan Chong Wei yang disangka terkeluar.

13 March 2010

BANTUAN PERKAPITA KOKURIKULUM DINAIK

Oleh Hassan Omar
Berita Harian 13 Mac 2010


KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan perkapita kokurikulum setiap pelajar sekolah dinaikkan daripada RM2 sekarang, manakala sistem penyimpanan data guru yang bakal ditugaskan di luar bandar dan pedalaman diperkemas. Timbalan Perdana Menteri menyifatkan bantuan berkenaan sekarang terlalu rendah dan perlu ditingkatkan sejajar usaha Kementerian Pelajaran memperkukuh pembabitan pelajar dalam bidang kokurikulum, terutama sukan.

"Kita akan pastikan jumlah peruntukan lebih daripada sedia ada supaya sekolah dapat melaksanakan lebih banyak kegiatan. Minggu depan kami akan bermesyuarat membincangkan perkara ini," katanya selepas majlis bersama warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu, di Bukit Padang, dekat sini.

Mengenai sistem penyimpanan data guru, Muhyiddin berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai kementerian menyediakan sistem lebih kemas dan terkini yang bukan setakat membabitkan maklumat mengenai guru itu sendiri, malah keluarga mereka bagi menjadikan pertukaran dan penempatan dilaksanakan secara lebih telus. Katanya, sistem berkenaan akan memudahkan Jabatan Pelajaran negeri menyusun jadual penempatan guru baru dan pertukaran guru berpengalaman untuk bertugas di luar bandar dan pedalaman, bagi mengelakkan mereka menghadapi masalah untuk ditukarkan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementerian akan mengkaji elaun tertentu untuk guru di pedalaman sebagai menghargai pengorbanan mereka bertugas di kawasan yang tidak memiliki infrastruktur lengkap. Mengenai guru tidak lagi diberikan peluang menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) pada tahap empat untuk membolehkan mereka menikmati peningkatan gaji jika lulus pada tahap tiga, Muhyiddin berkata, kementerian akan meneliti perkara itu.

"Kita kumpulkan maklumat keluarga guru seperti dia tinggal di mana, suami dia kerja apa dan dia ada beli rumah atau tidak. Guru mesti tahu bila dia akan ditukarkan supaya boleh buat persediaan. Bagi guru baru pula, dia harus bersedia ditukarkan ke luar bandar dan pedalaman," katanya.

Muhyiddin juga berkata, masalah murid menumpang di sekolah lain kerana bilik darjah tidak cukup tidak harus berlaku tetapi sukar dielakkan berikutan pertambahan penduduk di sesuatu kawasan sukar dijangka. Beliau berkata bagi mengatasi masalah itu, kerajaan harus menyediakan peruntukan besar kerana untuk membina sebuah sekolah, peruntukan tidak kurang RM50 juta diperlukan.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pelajaran terpaksa menyediakan kabin sebagai bilik darjah sementara sebelum bangunan tambahan dibina. Sementara itu, ketika menjawab soalan dalam sesi berkenaan, Muhyiddin berkata, kementerian akan mengkaji elaun tertentu untuk guru di pedalaman sebagai menghargai pengorbanan mereka bertugas di kawasan yang tidak memiliki infrastruktur seperti bekalan tenaga elektrik, jalan raya dan bekalan air.

Mengenai guru tidak lagi diberikan peluang menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) pada tahap empat untuk membolehkan mereka menikmati peningkatan gaji jika lulus pada tahap tiga, Muhyiddin berkata, kementerian akan meneliti perkara itu. Beliau bersetuju guru dan pegawai di pejabat pelajaran daerah tidak harus disekat menikmati kenaikan gaji selepas lulus tahap tiga PTK dan akan membincangkannya dengan pegawai kementerian itu.

LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN KALI KE 2: SISTEM PENGURUSAN SEKOLAH KUALITI & PEMBESTARIAN SEKOLAH

Hari ini 13 Mac 2010 guru-guru SMK Telok Kerang menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bertempat di Bilik Mesyuarat. Kursus bermula pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 1.00 petang. Penceramah jemputan ialah En. Mastura Aladin bin Masro,Pengetua SMK Ayer Baloi, Pontian dan En. Ariff bin Hamidun, Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Bandar Kota Tinggi.

Tajuk ceramah ialah:
  1. Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti - En. Mastura Aladin bin Masro
  2. Pembestarian Sekolah - En. Abd. Kadir bin Abd. Wahab
Objektif kursus:
  1. Memahami sistem pengurusan sekolah kualiti iaitu mewujud, mendokumen, melaksana, mengenggara serta menambah baik keberkesanan.
  2. Memperkenalkan secara umum konsep sekolah bestari, ciri-ciri sekolah bestari dan pelaksanaan sekolah bestari.
Bahan-bahan kursus telah diedarkan kepada guru-guru semasa berkursus. Terima kasih diucapkan kepada para penceramah dan Tuan Pengetua SMK Telok Kerang.

En. Mastura Aladin bin Masro bersama Tuan Pengetua.

En. Mastura Aladin bin Masro menyampaikan ceramah bertajuk Sistem Pengurusan sekolah Kualiti.

En. Ariff bin Hamidun sedang menyampaikan ceramah bertajuk Pembestarian Sekolah.

Penceramah bersama Tuan Pengetua dan Pn. Hjh. Arbaenah bt Masud, PKHEM.

Guru-guru SMK Telok Kerang yang hadir dalam kursus.

12 March 2010

1,010 PELAJAR JOHOR CEMERLANG DALAM SPM 2009

Oleh Haniza Hassan
Utusan Malaysia 12 Mac 2010




Sufa'at Tumin, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran (bersongkok) bersama pelajar cemerlang Negeri Johor di Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU 11 Mac - Seramai 1,010 daripada 55,371 calon sekolah kerajaan dan persendirian di negeri ini lulus cemerlang dengan memperoleh gred A+, A dan A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang diumumkan hari ini. Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin berkata, bilangan calon cemerlang meningkat sebanyak 227 orang sementara pada tahun 2008 jumlah pelajar yang mendapat semua A adalah seramai 783 calon.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan yang cemerlang, 29 calon (0.06 peratus) sekolah kerajaan memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diambil.

"Pada keseluruhannya, pencapaian calon dalam SPM 2009 adalah membanggakan. Seramai 42,370 (88.98 peratus) calon berjaya mendapat sijil berbanding 40,379 (88.34 peratus) pada 2008. Seramai 8,173 (16.69 peratus) calon sekolah kerajaan berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 6,921 (15.14 peratus) pada 2008. Ini menggambarkan peningkatan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan keputusan SPM 2009 peringkat negeri ini di sini hari ini. Sufa'at berkata, seorang calon berjaya mendapat 14A+ iaitu Tan Yen Ling dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Convent, manakala dua lagi, Wang Sin Loo dari sekolah yang sama serta S.Aingaran dari SMK St. Andrew, Muar masing-masing mendapat 12A+.

Menurutnya, Sekolah Tun Fatimah (STF) dianugerahkan sebagai sekolah cemerlang kategori Sekolah Berasrama Penuh (SBP) manakala Sekolah Menengah Agama Maahad Muar bagi kategori sekolah menengah agama. SMK Dato' Penggawa Timur, Pasir Gudang diumumkan sebagai penerima anugerah sekolah cemerlang kategori sekolah harian. Sementara itu, dalam kalangan calon istimewa, seramai 19 calon (37.25 peratus) daripada 51 pelajar berjaya mendapat sijil SPM.

Menurutnya, dari segi kuantiti, sebanyak 39 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus dan layak mendapat sijil berbanding 36 sekolah pada 2008.

"Peningkatan mata gred tersebut menyumbang kepada peningkatan kualiti pencapaian calon di Johor sebanyak 0.41 mata gred kepada 5.32 dari 5.53 pada 2008," katanya.

Sufa'at memberitahu, 25 mata pelajaran teras dan elektif utama peringkat negeri menunjukkan peningkatan dari segi kuantiti dan kualiti dengan 12 mata pelajaran dalam kumpulan ini meningkat dari segi kuantiti manakala 13 pula meningkat dari segi kualiti.
Katanya, mata pelajaran tertinggi meningkat dari segi kualiti adalah Perakaunan Perniagaan iaitu sebanyak 1.74 peratus manakala mata pelajaran tertinggi meningkat dari segi kuantiti adalah Perdagangan (3.51 peratus).

7,987 PEROLEH GRED CEMERLANG DAN 255 DAPAT A+ DALAM SPM 2009

Sazarina Shahrimsazarina
Berita Harian 12 Mac 2010








HABIBAH Hanan Mat Yusoff dari Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (P), Kota Bharu dijulang rakan selepas mendapat 15A dalam SPM 2009. Beliau adalah pelajar terbaik sekolah itu selepas Nik Nur Madihah memperoleh 20A pada 2008.



PUTRAJAYA: Seramai 7,987 atau 1.99 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran yang diambil, berbanding 6,277 atau 1.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 214 calon Kementerian Pelajaran serta 41 calon persendirian, swasta dan tajaan agensi, mendapat gred cemerlang tertinggi A+ mengikut penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun lalu. Menerusi penggredan baru itu, pelajar diberikan gred berdasarkan kecemerlangan peperiksaan dengan kategori A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E dan G.

Dalam keputusan SPM yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, semalam dua calon mendapat keputusan A+ bagi semua 15 subjek, satu calon (14 subjek), tiga calon (13 subjek), 19 calon (12 subjek), 59 calon (11 subjek), 79 calon (10 subjek) dan 51 calon (sembilan subjek). Sambil menyifatkan pencapaian keseluruhan tahun ini membanggakan, Alimuddin berkata, 364,046 calon mendapat sijil SPM kali ini, berbanding 347,443 pada 2008. Beliau berkata, walaupun peratusan bagi 2009 dan 2008 adalah sama, iaitu 90.8 peratus, ada pertambahan calon seramai 16,603 yang berjaya mendapat sijil SPM kali ini.

Katanya, Gred Purata Nasional (GPN) SPM menunjukkan pencapaian lebih baik, iaitu 5.34 berbanding 5.51 tahun sebelumnya. Beliau berkata, 68,131 atau 17 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 60,902 atau 15.9 peratus pada 2008. Bagaimanapun, katanya, bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G turut meningkat, iaitu 4,626 atau 1.15 peratus berbanding 2,589 atau 0.67 peratus pada tahun sebelumnya.

Alimuddin turut mengumumkan Gladys Tan Yee Kim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Sarawak, sebagai pelajar terbaik SPM 2009 dan Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan sebagai sekolah terbaik. Sembilan pelajar terbaik lain ialah Grace Kiew Sze-Ern (SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor); Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan); Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar, Perlis); Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan); Amelia Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Selangor); Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan); Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka, Melaka); Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Selangor) dan Hu May Khei (SMK Convent, Taiping, Perak).

Sembilan lagi sekolah terbaik pula ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Kuala Lumpur; Sekolah Tun Fatimah, Johor; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; SBPI Rawang, Selangor; Sekolah Menengah Sains Muar, Johor; SBPI Temerloh, Pahang; SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor dan Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan.

Tahun lalu, 465,853 pelajar menduduki SPM membabitkan 406,420 atau 87.2 peratus calon Kementerian Pelajaran; calon persendirian perseorangan (32,561/tujuh peratus), calon Sekolah Menengah Agama Rakyat dan sekolah swasta (11,036/2.4 peratus); sekolah menengah agama negeri (8,765/1.9 peratus), manakala Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah Kementerian Pertahanan (7,071/1.5 peratus).

Alimuddin juga berkata, 258 daripada 538 calon istimewa atau 51.9 peratus berjaya mendapat sijil SPM berbanding 208 atau 47.8 peratus tahun lalu. Beliau berkata, seorang calon rabun penglihatan berjaya mendapat keputusan cemerlang 4 A+, 3 A, 4A- daripada 11 mata pelajaran yang diambil, manakala seorang lagi mendapat 4A+, 3A, 3A- daripada 10 mata pelajaran.

Mengenai pencapaian sekolah, beliau berkata, 66 sekolah dikategorikan cemerlang, 278 baik, 1,654 pada tahap memuaskan dan 143 berpotensi.

Beliau berkata, calon yang mendapat gred cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu turut menunjukkan peningkatan daripada 25.4 peratus pada 2008 kepada 31.3 peratus tahun lalu, manakala Bahasa Inggeris meningkat kepada 75.6 peratus berbanding 73.9 peratus pada tahun sebelumnya. Seramai 97,341 atau 24.3 peratus calon memperoleh sijil GCE O-Level untuk Bahasa Inggeris 1119 berbanding 87,383 atau 22.9 peratus pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 15,289 atau 3.8 peratus calon berjaya memperoleh gred 1A atau 2A berbanding 12,645 atau 3.3 peratus sebelum ini.

Mengenai Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Alimuddin berkata, 3,138 calon berjaya memperoleh sijil itu berbanding 3,098 pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 422 memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) berbanding 562 pada tahun sebelumnya.

KEPUTUSAN SPM SMK TELOK KERANG TAHUN 2009

Keputusan SPM tahun 2009 telah diumumkan secara rasmi pada hari Khamis, 11 Mac 2009. SMK Telok Kerang mencapai peratus kelulusan 89.86%, naik 0.42% manakala GPS meningkat 0.36 dari 5.68 kepada 5.32. Sebanyak 9 mata pelajaran mencapai kelulusan 100% iaitu Pendidikan seni Visual, Sains Pertanian, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Physics, Chemistry, Biology, Katering & Penyajian dan Landskap & Nurseri.


Peratus lulus peringkat mata pelajaran:

  1. Bahasa Melayu - 89.86%
  2. Bahasa Inggeris - 74.4%
  3. Pendidikan islam - 91.4%
  4. Pendidikan Moral - 66.6%
  5. Sejarah - 60.5%
  6. Mathematics - 82.6%
  7. Science - 90.0%
  8. Geografi - 89.6%
  9. Pendidikan Seni Visual - 100%
  10. Additional Mathematics - 92.5%
  11. Sains Pertanian - 100%
  12. Perdagangan - 100%
  13. Prinsip Perakaunan - 100%
  14. Physics - 100%
  15. Chemistry - 100%
  16. Biology - 100%
  17. Tasawwur Islam - 95.0%
  18. Bahasa Cina - 75.0%
  19. Katering & Penyajian - 100%
  20. Landskap & Nurseri - 100%
Pelajar terbaik:
  1. Siti Nuraishah bt Mohd Ekram - 8A
  2. Ho Sin Yee - 8A
  3. Cheng Chin Xian - 8A
  4. Suryati bt Amirudin - 7A
  5. Muhammad Firman bin Md Omar - 6A
  6. Muhammad Syukri bin Mohd Yazed - 6A
  7. Siti Atiqah bt Mohd Said - 6A
  8. Siti Fatimah bt Mohd Said - 6A
  9. Toh See Min - 6A
  10. Nurul Shuhada bt Sakimin - 6A
  11. Nusratina Hidayah bt Aziz - 6A


Warga SMK Telok Kerang mengucapkan tahniah kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang berjaya.

11 March 2010

KEPUTUSAN SPM TAHUN 2009 DIUMUMKAN HARI INI

Keputusan SPM diumumkan hari ini Khamis 11 Mac 2009.
Calon-calon SPM SMK Telok Kerang tahun 2009 boleh mengambil keputusan itu di sekolah pada hari ini selepas pukul 10.00 pagi. Semoga anda semua peroleh kejayaan yang cemerlang.

08 March 2010

PERHIMPUNAN RASMI PAGI ISNIN 08 MAC 2010 - PERSATUAN BULAN SABIT MERAH BERTUGAS MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN

Pagi ini 08 Mac 2010 tibalah giliran Persatuan Bulan Sabit Merah mengendalikan perhimpunan rasmi pagi Isnin. Perhimpunan bermula tepat pada pukul 8.00 pagi. PBSM diketuai oleh Norhanipan bin Sulaiman di bawah bimbingan Cikgu Roszaini bt. Jamian. Pengendalian perhimpunan berjalan lancar. Tahniah diucapkan kepada ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah yang berjaya melaksanakan tanggung jawab yang diberi.










07 March 2010

PRESTASI SEKOLAH MENINGKAT, GURU TURUT DAPAT IMBUHAN

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amarudin
Berita Minggu 7 Mac 2010


SLIM RIVER: Jika selama ini hanya pentadbir sekolah, iaitu pengetua dan guru besar diberi insentif, termasuk kenaikan pangkat kerana meningkatkan prestasi sekolah, mulai tahun depan guru turut diberi penghargaan sama. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemberian insentif yang dilaksanakan melalui Pelan Menambahbaik Sekolah-Sekolah itu terangkum dalam baiah baru akan turut meliputi guru kerana mereka turut menyumbang kepada prestasi dan pencapaian sekolah masing-masing, sama ada di bandar atau luar bandar. Katanya, beliau akan mengumumkan secara terperinci bentuk insentif berkenaan pada sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini yang disifatkannya imbuhan yang 'amat baik'.

"Dalam satu sekolah, pemimpin itu adalah pengetua atau guru besar, tetapi bila sekolah itu meningkat, kita bukan saja beri (insentif) kepada pengetua saja, tetapi kepada semua. Guru pun dapat kerana kita mengiktiraf peranan itu bukan dimainkan seorang pemimpin dalam sekolah (saja), tetapi semua guru bekerjasama dan jika mereka (pengetua dan guru besar) dapat kredit, mereka (guru) juga dapat insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan, termasuk kenaikan pangkat," katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kementerian akan mula menilai prestasi 10,000 sekolah tahun ini bagi tujuan itu.

"Prestasi yang mereka tunjukkan tahun ini akan kita ukur dan jika kedudukan mereka (sekolah) meningkat berbanding tahun sebelumnya, peningkatan itu kita ambil kira dalam memberi imbuhan," katanya pada sidang media selepas melancarkan program Juara Rakyat peringkat Negeri Perak dan kempen Jom Sokong BN (Barisan Nasional) di Tasek YDP Slim River, dekat sini, semalam.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta barisan pemimpin BN pusat dan negeri.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas mengenai pemberian insentif itu yang disebut dalam ucapan pada majlis pertemuannya dengan warga pendidik Daerah Batang Padang di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) di Behrang, sebelum itu, iaitu majlis pertama dihadirinya sempena lawatan sehari ke Perak.

Mengulas lanjut baiah baru dan insentif itu, Muhyiddin berkata, ia bertujuan memberi pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan kepemimpinan cemerlang seperti mampu meningkatkan prestasi, walaupun dengan peruntukan kecil diperoleh.

Mengenai insentif kepada pihak swasta yang membuka kelas prasekolah, beliau berkata, beliau akan mengumumkan butiran pemberian imbuhan itu minggu depan.

"Kita akan beri imbuhan dalam bentuk geran pelancaran, tetapi ini bukan bagi membayar kos untuk bina sekolah prasekolah, tetapi token yang bukan kecil bagi mereka (pihak swasta) memulakan kelas prasekolah," katanya.

Muhyiddin berkata, usaha itu bagi membantu mencapai sasaran 87 peratus kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan formal sudah mengikuti proses pendidikan prasekolah dalam tempoh tiga tahun akan datang, berbanding tahap 67 peratus ketika ini, yang disifatkannya satu cabaran besar bagi kementerian untuk dicapai.

Dalam ucapannya sebelum itu, Muhyiddin berkata, kementerian berharap semua guru gigih bagi mencemerlangkan pendidikan negara ke tahap global dan bukan sekadar 'jaguh kampung'. Beliau berkata, guru perlu memberi kerjasama membantu kementerian mencapai matlamat holistik digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam bidang pendidikan serta melahirkan insan kamil dan modal insan berkualiti.

06 March 2010

KURSUS PENGENDALIAN PERHIMPUNAN RASMI

Hari ini Sabtu 6 Mac 2010 diadakan kursus pengendalian perhimpunan rasmi di bawah Unit Pasukan Beruniform. Kursus itu dimulakan pada pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Tunjuk ajar pengendalian perhimpunan diberi oleh Cikgu Hasan bin Kasmuri dan Cikgu Shamsul Sazali bin Salimin dengan dibantu oleh Pn. Hjh. Maznah binti Abu Talib. Diharap selepas ini kumpulan pelajar-pelajar ini dapat mengendalikan perhimpunana rasmi pagi Isnin dengan lebih baik, bersemangat dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.







04 March 2010

KURANG CEMERLANG TIDAK DINAFI HAK DI SBT

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca, Mohamad Asri Shafii, Exco GPMS Perak, dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertarikh 22 Februari 2010 bertajuk Pantau autonomi Sekolah Berprestasi Tinggi.

Kuasa autonomi yang diberi kepada Pengetua atau Guru Besar secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan sekolah. Mereka akan dipantau, dibimbing dan dinilai dari semasa ke semasa dengan fokus kepada peningkatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) ke arah trend menaik, oleh pihak BPSBPSK, JPN dan PPD. Jabatan Pelajaran Negeri adalah kuasa pendaftar yang bertanggungjawab atas sekolah-sekolah di negeri masing-masing. Pengetua atau Guru Besar khasnya Pengetua/Guru Besar Besar di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ini, tahu bidang kuasa masing-masing dan akur akan punca kuasa yang ada. Kelonggaran diberi dalam hal pelaksanaan asalkan tidak berlaku violation, incompetence dan negligence dalam pelaksanaan dasar tersebut. Pihak BPSBPSK, JPN dan PPD bertanggungjawab memberikan bimbingan yang diperlukan oleh pihak sekolah.

Pelajar yang lemah atau kurang cemerlang tidak dinafikan hak mereka untuk bersekolah di SBT. Pengambilan murid ke SBT mengikut dasar yang sedia ada. Antara sekolah harian yang terpilih sebagai SBT ini adalah sekolah kluster yang muridnya mempunyai tahap pencapaian normal (biasa), tetapi pencapaian mereka dapat ditingkatkan melalui tunjuk ajar guru yang rajin, bersikap profesional, positif dan bantuan daripada ibu bapa yang mempercepat murid menguasai 3M.

Dasar pendidikan negara akan terus disuburkan. Dalam pelaksanaan sekolah kluster perkara ini sudah terbukti. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tetap dipatuhi oleh sekolah. Tidak mematuhi FPK dianggap sebagai violation yang serius. Pengetua atau Guru Besar mesti berupaya menterjemahkan FPK dalam proses pendidikan di sekolah masing-masing. SBT akan menjadi sekolah anak- anak kapitalis kerana pembiayaan yang tinggi dan tidak dapat dipenuhi oleh keluarga berpendapatan rendah mungkin tinggal sebagai satu andaian, kerana bayaran yang akan dikenakan atas murid perlu mendapat persetujuan dalam mesyuarat PIBG terlebih dahulu. Manakala yuran sekolah pula perlu mendapat kelulusan daripada pihak JPN sebelum dikutip.

Kuasa autonomi yang diberi kepada Pengetua atau Guru Besar SBT tidak akan menjejaskan kewibawaan JPN dan PPD. Dasar KPM yang sedia ada akan terus dipatuhi. Pemantauan, bimbingan dan penilaian akan dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh pihak BPSBPSK, JPN dan PPD ke atas SBT, dengan fokus utama ke arah peningkatan prestasi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Insya-Allah, atas keprihatinan dan kerjasama semua pihak SBT tidak akan menjadi sekolah anak-anak kapitalis.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran Malaysia

01 March 2010

PERHIMPUNAN RASMI PAGI ISNIN 1 MAC 2010 - PASUKAN KADET BOMBA BERTUGAS MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN

Hari ini Isnin 1 Mac 2010, tibalah giliran Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat bertugas mengendalikan perhimpunan rasmi pagi Isnin. Pasukan ini diperkuatkan dengan 10 orang ahli untuk menjalankan tugas. Pasukan yang terkenal dengan uniform celoreng kemerahan dibawah pengurusan Cikgu Rozy Bin Ahmad berusaha menunaikan tanggungjawab yang diberi dengan baik. Tahniah Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat.







MAJLIS PERLANTIKAN KETUA TINGKATAN

Dalam perhimpunan pagi Isnin hari ini, diadakan juga Majlis Perlantikan Ketua Tingkatan. Seramai 25 orang pelajar secara rasmi dilantik sebagai ketua tingkatan. Harapan kepada ketua-ketua tingkatan ini bertugaslah dengan penuh dedikasi dan iklhas membantu guru tingkatan untuk menguruskan kelas masing-masing.