31 May 2010

TEKS UCAPAN TUAN PENGETUA SEMASA PERASMIAN HARI GURU SMK TELOK KERANG 2010

Bismillah-ir-Rahman-ir-Rahim, Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Pertama-tamanya, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, dalam keheningan pagi yang berbahagia ini kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat SMKTK bagi Tahun 2010, dalam suasana yang ceria, harmoni dan tenang.

Pada tanggal 16 Mei setiap tahun, warga pendidik akan meraikan sambutan hari guru. Pada tahun ini perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan disambut di Kuantan Pahang. Justeru, tidak terlewat untuk saya mengucapkan ”Selamat Hari Guru” kepada semua guru di sekolah ini. Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan guru. Pengiktirafan ini menandakan harapan dan keparcayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi masa depan pelajar. Justeru, amat wajar jika Sambutan Hari Guru yang diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada insan yang bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita memberi ruang untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

Dalam memantapkan bidang pendidikan selaras dengan matlamat pendidikan yang mahukan keseimbangan dari segi JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek) dan menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) telah dirangka meliputi enam teras dengan matlamat meyelesaikan tugas yang belum selesai dengan kesamarataan peluang pendidikan dan memastikan akses kepada pendidikan dan kecemerlangan institusi pendidikan dengan mewujudkan kluster pendidikan. Enam teras yang menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan tersebut ialah pertama; Membina Negara Bangsa, kedua; Membangunkan Modal Insan, ketiga; Memperkasakan Sekolah Kebangsaan, keempat; Merapatkan Jurang Pendidikan Bandar dan Luar Bandar, kelima; Memartabatkan Pofesion Keguruan dan keenam; Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan.

Berasaskan Teras pertama iaitu membina negara bangsa, maka tema Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Pembina Negara Bangsa. Pemilihan tema ini sesungguhnya sangat sesuai dan bertepatan dengan peranan guru sebagai pendidik yang telah banyak melahirkan tokoh-tokoh pemimpin serta para ilmuan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara. Dalam usaha untuk melahirkan pendidik cemerlang, nilai-nilai seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, akauntabiliti, sahsiah diri serta mengawal emosi tidak harus diabaikan. Semua ini penting kerana guru adalah role-model kepada keberkesanan pendidikan bukan sahaja kepada pelajar di sekolah, malah masyarakat. Guru bertanggungjawab dalam membentuk tamadun manusia. Justeru, setiap guru mesti menyedari tanggungjawab ini serta sentiasa menjaga nama baik sebagai pendidik serta pemimpin masyarakat agar dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.

“Quality teaching produces quality learning. Quality learning produces quality education. Finally quality education produces quality citizens.” Tema ini masih relevan dan kekal relevan untuk masa-masa akan datang. Tambahan pula kualiti adalah ibarat perjalanan, bukan distinasi; perjalanan yang tiada noktahnya. Quality has no ends: it is a journey, not a distination.

Cabaran pendidikan alaf baru kini semakin bertambah. Walaupun kita telah berjaya membina suatu sistem pendidikan yang amat dibanggakan, perkembangan politik dan ekonomi global menuntut satu sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Persaingan pasaran kerja sangat sengit. Persaingan ekonomi peringkat global pula semakin kompetatif. Oleh itu, kualitilah yang bakal menentukan sama ada kita berjaya dalam persaingan tersebut atau sebaliknya. Pendidikan yang berkualiti banyak ditentukan oleh pihak guru. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang cukup tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap gemilang, InsyaAllah.

Kita seharusnya rasa bersyukur kerana setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan kita telah berkembang dengan begitu pesat. Kemajuan pendidikan kita berada pada tahap yang sangat membanggakan berbanding dengan negara-negara lain yang seangkatan dengan negara kita. Kita juga harus sedar dan insaf bahawa cabaran mendidik adalah jauh lebih getir dan mencabar. Justeru kesedaran itu harus diterjemahkan kepada bentuk tindakan di mana kesungguhan untuk terus bersatu dan berkerja tanpa rasa jemu bagi mencapai matlamat membina sebuah negara bangsa yang maju dan bermartabat.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,....

R. Smith pernah berkata, berilah peluang kepadaku untuk mengelola pelajaran nescaya aku akan berjanji mengubah alam. Guru mempunyai potensi besar mempengaruhi dan merubah pemikiran pelajar. Menurut Imam Al Ghazali, guru mesti ada tanggungjawab, ada rasa belas kasihan dan mampu memperlakukan mereka sebagai anak sendiri. Seterusnya Imam Al Ghazali pernah berkata, hak seorang guru adalah lebih besar daripada hak seorang bapa. Ibu bapa menjadi sebab ianya lahir ke dunia sedangkan guru menjadi sebab anak itu memperolehi hidup kekal abadi. Tanpa guru, apa yang diperolehi oleh anak akan hancur. Dalam pembentukan sahsiah pelajar pula, guru mempunyai peranan yang sangat penting. Prof. Mohd Kamal Hassan berkata, contoh teladan pendidik inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Justeru, mereka seharusnya dilengkapi dengan ciri-ciri akhlak mulia, berilmu, kasihkan ilmu dan luas pembacaan, mempunyai azam yang kuat dan tegas, berkebolehan menimbulkan motivasi kepada pelajar, bersedia menerima dan menguasai kaedah baru dalam pendidikan dan sebagainya.

Profesion perguruan memainkan peranan utama ke arah merealisasikan pendidikan bertaraf dunia bagi melahirkan insan yang berketrampilan serta dapat memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Negara. Dalam usaha untuk membangunkan modal insan, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memberi tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar. Warga pendidik sekolah ini seharusnya menjadikan sistem pendidikan ini sebagai suatu wadah untuk membina intergrasi nasional, menjadi agen Pembangunan Negara serta memberikan khidmat kepada masyarakat dengan ikhlas supaya martabat keguruan sentiasa dihargai dan dihormati oleh masyarakat.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), kerajaan telah memberi peruntukan yang sangat besar dalam membangunkan prasarana bidang pendidikan dan menyediakan kemudahan-kemudahan ICT di sekolah-sekolah. Dalam dunia serba mencabar ini terutamanya dengan kecanggihan teknologi dan kepesatan telekomunikasi, warga pendidik tidak seharusnya hanya menyediakan masa depan untuk pelajar sahaja. Sebaliknya mereka harus juga menyediakan diri agar tidak terpinggir dengan arus perubahan kerjaya keguruan yang sentiasa relevan dengan keperluan dan tuntutan semasa.

Impak daripada sistem pendidikan yang dirancang pada masa ini hanya akan dapat diukur selepas tahun 2020. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para pendidik berusaha untuk meletakbetulkan (reposition) dan merekaraya (reengineer) sistem pendidikan supaya berkualiti dan berjaya melahirkan modal insan mengikut acuan kita sendiri. Pendekatan pendidikan yang kita warnai kepada anak-anak didik kita seharusnya lebih berupaya mencungkil bakat, kebolehan dan kreativiti agar mereka menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam usaha menilai kembali peranan guru dan mengembalikan semula peranan tersebut pada landasan yang betul, para pendidik harus bekerjasama dengan ahli masyarakat setempat dalam usaha mempertingkatkan kecemerlangan anak-anak didiknya. Walaubagaimana pun, masyarakat harus disedarkan agar mereka tidak hanya meletakkan pengharapan kepada guru sahaja, sebaliknya ia menjadi tugas bersama. Usaha sama harus dijalin agar masyarakat umum tidak mudah melenting dan mula menuding jari kepada golongan guru apabila berlaku gejala sosial dalam kalangan pelajar.

Saya juga ingin mengingatkan guru-guru sekolah ini agar menunjangi tugas utama iaitu membangunkan modal insan. Dalam konteks untuk merealisasikan perubahan ke arah membina dan membangunkan modal insan yang gemilang, seseorang pendidik itu seharusnya kaya ilmu, segar dan subur ciri kependidikannya malah harus memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berupaya membawa perubahan atau dalam konteks teoritisnya dinamakan kepimpinan transformasional.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara, kerajaan telah melaksanakan beberapa pendekatan bagi meningkatkan pembangunan modal insan.

1. Dasar Teras Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan secara berkesan. Contoh: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Komputer dalam Pendidikan (ICT), Pendidikan Pemulihan (Intervensi), Pendidikan Khas dan sebagainya.

2. Sistem penyampaian perlu dilaksanakan dengan berkesan. Misalnya penyampaian dalam pengajaran guru. Hanya penyampaian yang efisyen dan efektif sahaja akan memberikan kesan kepada pencapaian matlamat dan objektif pendidikan. Jika matlamat kita hendak meningkatkan kecemerlangan pelajar, maka proses pengajaran sebagai suatu sistem penyampaian perlu ditingkatkan seperti pendekatan pedagogi, teknik pengajaran, kawalan kelas dan sebagainya .

3. Mengamalkan budaya kerja cemerlang. Guru perlu mengamalkan budaya kerja cemerlang yang perlu diterjemahkan dalam bentuk perlakuan, bersistem, penuh komited dan bertanggungjawab. Ini penting kerana sistem pembelajaran kita kini bersifat terbuka, fleksibel dan harus berpusat pelajar.

4. Mengutamakan Kaedah Pengurusan Berkualiti (TQM) dan pengurusan berkesan. Meningkatkan kualiti dalam bidang pendidikan menjadi tanggungjawab semua pihak kerana ia menjadi sumber utama dan daya penggerak bagi mencapai wawasan 2020.

5. Meningkatkan budaya membaca terutama dikalangan guru. Budaya ini seharusnya menjadi amalan semua guru kerana ia akan menjadi contoh kepada pelajar. Ini penting kerana guru adalah sumber ilmu atau maklumat terdekat dan terkini.

6. Permaufakatan pendidikan. Peranan PIBG perlu digembling supaya semua pihak dapat mengambil bahagian dalam melaksanakan hala tuju meningkatkan sistem penyampaian dan peningkatan tahap profesionalisme. Masyarakat juga perlu diberi pengiktirafan di mana kemajuan sekolah harus dikongsi bersama oleh ibu bapa.

Sebagai pelaksana berkesan dan untuk menghasilkan modal insan gemilang, guru seharusnya menjadikan mereka sentiasa dikehendaki masyarakat dan disukai oleh pelajar. Untuk disukai oleh dan disayangi pelajar, guru seharusnya peramah dan mesra, saling mempercayai, tidak menaruh syak wasangka, bertanggungjawab terhadap pelajar, bersifat lemah lembut, bertolak asur, tegas dan adil, berkomunikasi dengan baik, suka menolong dan mengasihi, menghargai dan bersimpati terhadap kelemahan akademik pelajar.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengajak warga pendidik sekolah ini mengimbau sejenak tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak bangsa?. Sejauh mana dan setakat manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan mereka insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang dalam kehidupan?. Sesungguhnya ia merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang sangat besar. Di tangan kitalah letaknya kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya meletakkan harapan mereka lebih utama daripada kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar. Kita sanggup berkorban bukan sahaja dengan masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit.

Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada anak didik di sekolah ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU. TERIMA KASIH CIKGU.

27 May 2010

MAJLIS PERPISAHAN GURU PELATIH UPSI

Pagi ini di Dataran Nilam diadakan majlis perpisahan untuk guru-guru pelatih UPSI. Mereka yang diraikan ialah Cik Aisyaf Fariza Bt Abdullah, Cik Ana Fadzlina Bt Bohan dan Cik Zuhairah Bt Zailan. Hari ini adalah hari terakhir mereka bertiga bertugas di sekolah ini setelah memegang status sebagai guru pelatih di sekolah ini selama 10 minggu.

Semoga mereka bertiga akan menjadi guru yang berdedikasi dengan tugas sebagai seorang guru. Terima kasih kami ucapkan atas sumbangan cikgu bertiga kepada sekolah ini. Selamat berpisah. Dengan izin Allah swt jika ada masa dan peluang dapatlah kita bertemu lagi.
Pelajar-pelajar berhimpun mendengan ucapan terakhir cikgu-cikgu pelatih.
Guru-guru pelatih yang diraikan, Cikgu Fariza, Cikgu Zuhairah dan Cikgu Ana..


Cik Zuhairah Bt Zailan

Cikgu Ana Fadzlina Bt Bohan.


Cikgu Aisyaf Fariza Bt Abdullah.


Guru-guru pelatih bersalaman dengan pelajar-pelajar.

Guru-guru pelatih bergambar kenangan dengan
Tuan Pengetua, En. Ahmad Khairi B Paimin dan GPK Kokurikulum En. Lee Sin Lian.

Cik Fariza, Cik Ana dan Cik Zuharah bergambar kenangan dengan
guru-guru pembimbing iaitu En. Hasan B Kasmuri dan En. Nordin B Ehsan.

23 May 2010

AHLI-AHLI DAN GURU-GURU KADET POLIS MENJALANI LATIHAN MENEMBAK SENJATA M16

Pada hari ini Ahad 23 Mei 2010 ahli-ahli Kadet Polis SMK Telok Kerang menjalani latihan menembak senjata M16. Mereka terdiri 29 ahli dan 7 orang guru Kadet Polis yang diiringi oleh Pn. Hjh. Arbaenah Binti Masod GPK1. Latihan menembak itu dijalankan di Lapang Sasar PDRM IPK Melaka Ayer Keroh. Mereka pergi ke sana dengan menaiki bas yang bertolak pada pukul 6.30 pagi dan sampai di Lapang sasar PDRM IPK Melaka pada pukul 9.30 pagi.

Di lapang sasar, mereka diberi latihan selanjutnya oleh jurulatih PDRM. Sebenarnya ahli-ahli dan guru-guru Kadet Polis ini terlebih dahulu diberi latihan musketri senjata M16 selama 3 hari bermula 10 Mei hingga 12 Mei 2010 di sekolah. Di lapang sasar ini mereka diberi peluang menembak dengan menggunakan peluru. Segala langkah keselamatan latihan menembak ini ditaklimatkan terlebih dahulu oleh jurulatih PDRM yang diketuai oleh Pegawai hal Ehwal Awam IPD Pontian, C/.Insp. Johari Bin Abdullah.

Semoga latihan menembak ini dapat dimanfaat sepenuhnya oleh ahli-ahli Kadet Polis. Tidak semua orang berpeluang menggunakan senjata M16 ini. Terima kasih diucapkan kepada JPNJ, PPD Pontian, IPD Pontian dan Kor Kadet Polis Pontian yang memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahli Kadet Polis menjalani latihan menembak ini.











18 May 2010

25 MURID SETIAP KELAS

Oleh Syuhada Choo Abdullah
Berita Harian 18 Mei 2010

KUALA LUMPUR: Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan. Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar, mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza.

“Berdasarkan cadangan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah mengatasi masalah kepadatan bilik darjah supaya mencapai jumlah ideal 25 pelajar, termasuk menambah bilangan kelas di sekolah. Jika dilaksanakan, kementerian juga perlu menambah guru. Bagaimanapun secara prinsip, persetujuan sudah dicapai dalam jawatankuasa itu supaya setiap cadangan disokong dengan fakta saintifik yang bernas bersama anggaran kos supaya dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya semalam.

Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru. Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.

Sumber itu berkata, 40 cadangan yang disenaraikan selepas beberapa siri mesyuarat adalah hasil penelitian mendalam dan semakan semula terhadap beberapa kajian utama yang pernah dijalankan mengenai beban tugas guru sebelum ini, termasuk Laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada 1997.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian daripada saranan dicadangkan oleh pertubuhan perguruan yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan, di samping pemantauan dan hasil soal selidik dengan guru peringkat akar umbi. Katanya, satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain. Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’

Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.

17 May 2010

GANJARAN KPI GURU

Oleh Abdul Razak Raaff dan Rosli Abdul Jalil
Berita Harian 17 Mei 2010




MUHYIDDIN bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (lima dari kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bergambar dengan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan di UMP, Kuantan, semalam.


Imbuhan RM900 hingga RM7,500 jika berjaya lonjak prestasi sekolahKUANTAN: Sempena Hari Guru semalam, kerajaan mengumumkan ganjaran RM900 hingga RM7,500 kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah rendah serta menengah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran, mulai tahun ini.

 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata jika kecemerlangan diteruskan dan mereka berjaya mencapai KPI setiap tahun, ganjaran akan diberikan setiap tahun. Beliau berkata, ia selaras konsep mengutamakan pencapaian menerusi satu daripada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada guru yang memberi sumbangan penting kepada rakyat dan negara.

 
Katanya, ganjaran akan diberi mulai tahun depan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah melepasi sasaran 92 peratus Skor Komposit bagi sekolah menengah dan 84 peratus sekolah rendah. Beliau berkata, Skor Komposit dikira berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dan sebuah panel akan menilai pencapaian sekolah untuk mereka yang yang layak diberi ganjaran.

 
"Pengetua dan guru besar yang mencapai KPI akan menerima ganjaran RM7,500, manakala guru dalam kumpulan lima peratus teratas berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan, menerima RM1,800 dan 95 peratus guru berikutnya menerima RM900. Ganjaran akan diberi kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah dalam ranking Skor Komposit, iaitu 2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah. Kita berharap ia dapat menyuntik semangat baru kepada guru untuk lebih gigih bagi meningkatkan prestasi sekolah serta keberhasilan pelajar," katanya ketika melancarkan sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39 yang bertema Guru Pembina Negara Bangsa, di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dekat sini, semalam.

 
Hadir sama, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong serta dan Dr Mohd Fuad Zakarshi.

 
Pada sidang media kemudian, Muhyiddin berkata, walaupun ia membabitkan penambahan perbelanjaan, kerajaan sudah memutuskan memberi ganjaran setiap tahun sehingga masa akan datang.

 
“Jika sekolah dan pengetua meneruskan usaha serta mencapai kejayaan cemerlang untuk tahun berikutnya, mereka berhak mendapat ganjaran lagi. Kalau meningkat tiap-tiap tahun, pengetua, guru besar dan guru akan dapat ganjaran setiap tahun. Apabila panel penilai selesai membuat penilaian termasuk mengambil kira keputusan peperiksaan awam dan keluarkan senarai sekolah yang layak, kita akan bayar seberapa cepat kepada pengetua, guru besar dan guru terbabit," katanya.

 
Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan empat cadangan Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru yang boleh dilaksanakan segera bagi meringankan beban guru.Katanya, ia adalah mengurangkan bilangan jawatankuasa peringkat sekolah kepada jumlah yang lebih wajar menerusi pengecilan jawatankuasa dengan menggabung atau memansuhkan bidang tugas bagi membantu guru menumpu perhatian kepada tugas hakiki, selain memastikan pembahagian tugas diagih secara adil untuk mengelak beban tugas tertumpu kepada guru tertentu.

 
Beliau berkata, jumlah peperiksaan dalaman perlu dikaji semula, bukan saja untuk meringankan beban guru, malah mengelakkan sistem persekolahan menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan.

 
"Tugas perkeranian di sekolah akan disusun semula menerusi garis panduan terperinci bagi membezakan tanggungjawab hakiki guru dengan tugas perkeranian, sekali gus melonjak kualiti pengajaran dan pembelajaran guru."Kursus penting yang perlu dihadiri guru juga akan diselaraskan di peringkat kementerian supaya tidak wujud pertindihan kursus atau guru sama terpaksa mengikuti pelbagai jenis kursus anjuran kementerian, negeri dan daerah," katanya.

SAMBUTAN HARI GURU SMK TELOK KERANG 2010 - GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

SELAMAT HARI GURU

Hari ini Isnin 17 Mei 2010 warga SMK Telok Kerang merayakan Sambutan Hari Guru. Hari Guru pada tahun ini masih bertemakan 'Guru Pembina Negara Bangsa'. Hujan dan ribut yang melanda sekitar SMK Telok Kerang pada dinihari menyebabkan beberapa acara tidak dapat dijalankan di Dataran Nilam dan di padang sekolah.

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah sebenarnya telah bermula dua minggu yang lepas dimana guru-guru dan kakitangan telah menyertai beberapa acara sukan seperti pertandingan futsal dan bowling. Dengan adanya pertandingan ini terserlahlah bakat, kebolehan dan kemahiran guru-guru dalam dua bidang sukan tersebut. Tahniah kepada para pemenang! Yang tak menang tu jangan sedih dan jangan menangis. Hadiah tetap dapat.

Acara pada hari ini bermula dengan perbarisan masuk guru-guru ke Dewan A dengan diiringi paluan kompang oleh pelajar-pelajar. Sesi pertama ialah sesi ucapan dan membaca perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan perutusan Menteri Pelajaran. Kemudian diikuti lapaz ikrar oleh guru-guru dan seterusnya nyanyian lagu Guru Malaysia dan lagu Guru Pembina Negara Bangsa. Sesi kedua pula ialah acara permainan kecil di kalangan guru-guru. Sesi ketiga pula ialah acara hiburan di Dewan A yang disertai oleh guru-guru dan pelajar-pelajar.

Kami mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru SMK Telok Kerang. Syabas dan tahniah kerana guru-guru telah memberi komitmen yang tinggi terhadap semua tugasan sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum.

"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

SELAMAT HARI GURU.


Foto-foto Sambutan Hari Guru SMK Telok Kerang tahun 2010.









16 May 2010

MENJADIKAN TUGAS GURU BERKESAN

Mingguan Malaysia 16 Mei 2010

MINGGUAN: Apa sebenarnya cabaran dalam profesion perguruan sekarang ini?

MUHYIDDIN: Cabaran profesion perguruan tidak boleh dilihat terasing daripada cabaran lain dalam bidang pelajaran. Sebab itu sempena Hari Guru ini bukan hari untuk membicarakan soal guru sahaja. Ucapan saya sempena Hari Guru adalah ucapan terpenting untuk menjelaskan halatuju pelajaran negara kita. Profesion perguruan pun satu perkara utama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran. Pertama, bagaimana hendak perkukuh organisasi kementerian. Dalam tempoh setahun saya lihat walaupun ada kemajuan yang telah dicapai tetapi masih ada ruang, lompang yang mesti diisi terutama dari segi kualiti, tahap keupayaan, proses yang dilakukan secara pantas dan segera, infrastruktur, cara penyampaian memenuhi falsafah pendidikan kita. Apatah lagi apabila kita bandingkan pula dengan pencapaian sistem pendidikan di negara-negara maju umpamanya Korea Selatan negara paling maju dalam bidang pelajaran, begitu juga di kalangan negara-negara membangun.

Kita boleh lihat negara-negara yang sudah maju sebagai contoh dan kita akan buat perbandingan sejauh mana Malaysia telah maju, sejauh mana sistem pendidikan kita telah maju. Kita tidak boleh menilai tahap kita dari segi penanda aras nasional sahaja. Ada mengatakan mutu pelajaran belum sampai ke tahapnya sehingga menjadi dalih untuk tidak menghantar anak ke sekolah kebangsaan kerana dikatakan mutu tidak setanding dengan sekolah swasta. Biar pun itu tanggapan dan persepsi tetapi kita tidak boleh menolak atau ketepikan. Lebih penting lagi kajian-kajian yang dijalankan mesti lebih saintifik, objektif dalam membuat penilaian. Pandangan peribadi saya masih terdapat ruang yang banyak kerana saya sendiri pernah katakan belum lagi berpuas hati walaupun telah ada kemajuan tentang di mana kedudukan bidang pelajaran di negara kita ini. Umpamanya dalam soal antara kaum pencapaian pelajar Melayu dan bukan Melayu, bandar dan luar bandar, infrastruktur yang kita sediakan dan bentuk sokongan, banyak perkara yang kita boleh bincangkan skop itu masih luas untuk diselesaikan. Kita boleh melihat kepada MEB yang hendak dilaksanakan. Maka cabaran sistem pendidikan kita lebih hebat, bukan setakat beri peluang anak-anak kita belajar tapi nak bangunkan masyarakat dan negara terutama dari segi konteks persaingan Malaysia dengan negara-negara lain di dunia. Begitu juga soal modal insan. Kalau kita tidak mampu lahirkan modal insan yang mampu bersaing dan setanding dengan masyarakat antarabangsa kita akan terkebelakang. Contohnya dalam soal penguasaan bahasa Inggeris, sains, matematik dan dalam bidang profesional yang dianggap penting. Malahan kita menghadapi masalah melahirkan modal insan dalam bidang teknikal dan vokasional. Saya pergi Perancis 50 peratus sistem pelajaran adalah vokasional, di Malaysia tak sampai lima peratus. Sedangkan kita mengarah untuk menjadi negara maju dalam bidang teknologi. Saya tidak melihat ini tugas Kementerian Pelajaran untuk menjana sumber manusia yang kita perlukan, kita mesti lihat konteks yang lebih besar. Sebab itu tugasan kita masih banyak dan ruang untuk perbaiki hampir semua bidang masih ada. Saya belum berjaya sepenuhnya, ia satu proses yang harus berterusan bukan setahun atau sepuluh tahun. Perlu ada penglibatan masyarakat, kerana masyarakat tahu apa yang mereka mahu dalam bidang pelajaran.

Di paras mana kualiti perguruan di negara kita?

MUHYIDDIN: Kalau pun kita sudah berjaya, tetapi ia satu proses berterusan. Kalau hari ini sudah baik tetapi tidak bergerak langsung maka benda yang baik pun akan tertinggal di belakang. Mesti ada proses yang berterusan untuk memastikan sistem yang ada bukan saja baik untuk hari ini tetapi juga baik untuk masa depan. Kalau kualiti guru kita baik hari ini mesti ditambah baik lagi, sasaran kita mesti semua guru ada ijazah dari peringkat pra sekolah lagi. Bukan kita kata guru tidak berijazah tak baik tetapi pastinya ijazah itu naik satu tahap lagi. Kita ada 400,000 guru, kalau baru separuh ada ijazah maknanya separuh lagi belum selesai. Sebab itu profesion perguruan mesti ada kualiti dengan adanya kepakaran dan kemahiran. Tuntutan dan cabaran profesion perguruan sememangnya semakin hari semakin meningkat.

Apakah perubahan drastik yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti perguruan dalam masa terdekat?

MUHYIDDIN: Latihan, latihan dan latihan. Pastinya bukan soal guru sahaja tetapi dilengkapkan juga peralatan canggih, suasana pekerjaan kondusif. Bagaimana perguruan dimartabatkan dalam konteks suasana mengajar. Kita mesti selesaikan masalah yang dilihat kecil tetapi sebenarnya penting seperti 50 guru terpaksa bersesak dalam sebuah bilik, guru tidak ada kemudahan tempat tinggal, kuarters guru di pedalaman, kesemua itu tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Semangat guru kena dijaga sebab itu saya ambil masa panjang berbincang bagaimana nak dimartabatkan profesion perguruan, bukan gaji atau elaun sahaja yang memang diambil kira, tapi banyak perkara lagi.

Bagaimana pula langkah mengatasi masalah guru di pedalaman kerana masalah ini jika tidak diselesaikan pasti memberi kesan kepada para pelajar di kawasan tersebut?

MUHYIDDIN: Satu ketegasan yang kita buat adalah pengambilan guru-guru pada masa akan datang lebih menjurus kepada kalau ada di kawasan itu anak-anak yang berminat menjadi guru dan berkelayakan mungkin kita tidak hadapi masalah untuk menghantar mereka berkhidmat di kampung sendiri. Kadang-kadang mereka mahu menjadi guru di kawasan mereka kalau ada peluang, tetapi mesti ada syarat yang cukup. Umpamanya di Sabah dan Sarawak, kita akan ambil lebih ramai guru dari negeri-negeri itu supaya mereka dapat mengajar di negeri masing-masing. Tidak bermakna kita menolak proses integrasi tapi kadang-kadang ada keperluan untuk kita berbuat begitu. Saya tidak katakan tidak ada guru sesuai dari Semenanjung untuk mengajar di Sabah dan Sarawak. Kita kena lihat juga bentuk imbuhan supaya jadi pendorong bersedia bekerja. Kita perlu ada dasar penempatan guru yang lebih telus, maknanya kalau setiap guru mesti kena mengajar di kawasan pedalaman. Ini bukan mendera tetapi tanggungjawab iaitu apa keadaan sekalipun dia kena berkhidmat di luar bandar, sekarang ini tidak begitu. Ada guru sampai pencen mengajar di satu tempat sahaja, ada pula mengajar di luar bandar dan tidak dapat ke tempat lain. Setiap guru ada peranan membimbing anak bandar dan luar bandar. Mereka tidak boleh menolak atau anggap penderaan dihantar ke kawasan luar bandar. Menerusi dasar penempatan yang lebih jelas, sistem pemantauan dan rekod perkhidmatan guru tidak akan ada guru yang rasa kebal untuk berkhidmat hanya di satu kawasan sahaja.
Profesion guru kini dilihat memperoleh imbuhan lumayan.

Sejauh mana Tan Sri lihat gaji serta elaun guru yang tinggi dapat mampu membentuk guru-guru yang berkualiti?

MUHYIDDIN: Memang telah banyak sokongan telah diberikan kepada profesion perguruan bukan sahaja dari segi imbuhan malah pelbagai kemudahan telah disediakan. Namun yang masih kita perlukan adalah meningkatkan kecekapan profesion itu sendiri. Kalau kita lihat hari ini yang ingin kita tekankan adalah soal kualiti pendidikan. Ia bukan saja terkandung dalam kurikulum yang kita sediakan, tetapi juga bagaimana pihak yang bertanggungjawab iaitu guru-guru menyampaikan kurikulum tersebut.

Dahulu kita dilihat hanya fokus kepada kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja tetapi tuntutan semasa adalah proses pembelajaran membentuk peribadi dan perwatakan yang holistik di samping itu memenuhi tuntutan masa depan di mana tenaga modal insan kita mesti kreatif, inovatif selaras dengan Model Ekonomi Baru yang kita rancang. Sebab itu yang penting adalah kita terus beri latihan perguruan kepada guru-guru bukan setakat tertumpu kepada silibus tetapi untuk membolehkan pelajar kita lebih kreatif dan ada interaksi antara guru dan pelajar. Kadang-kadang dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran hanya ada satu track iaitu guru sebagai pendidik dan pelajar anak murid. Tiada interaksi dan kreativiti pun agak terbatas sebab itu sistem pendidikan kita dianggap fokus kepada kecemerlangan akademik. Kita tidak boleh nafikan akademik memang penting tetapi tidak kurang pentingnya adalah melahirkan masyarakat yang lebih kreatif dan di sini pentingnya bagaimana guru dapat memikul tugas itu.
Kita ada Standard Perguruan Malaysia yang dijadikan asas untuk melihat sejauh mana guru telah mencapai tahapnya. Jika sasaran belum tercapai maka kita mesti menyediakan ruang dan peluang latihan secara berterusan yang mampu mendatangkan hasil jangka pendek dan panjang.

Adakah kecemerlangan para pelajar menjadi kayu pengukur kepada kejayaan guru?

MUHYIDDIN: Ia mencerminkan sedemikian, ini kerana tidak mungkin pelajar cemerlang jika guru tidak cemerlang tetapi kecemerlangan pendidikan tidak boleh dilihat dari sudut akademik semata-mata. Kita mahu dalam proses pembelajaran, para pelajar didedahkan juga dengan nilai-nilai kepemimpinan misalnya, yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat maju. Ini hanya akan berlaku jika guru itu ada kepimpinan. Guru bukan setakat guru di dalam bilik darjah, mereka juga pemimpin dalam bilik darjah. Mereka boleh memimpin para pelajar dalam sistem moral, akhlak, kreativiti, daya usaha. Kesemua ini bergantung kepada guru sendiri. Sebab itu dalam sistem pendidikan kita, kita tekankan kokurikulum supaya pelajar dapat dinilai dari sudut sikap untuk menjadi kreatif dan ada semangat tambah nilai kepada usaha pelajar di samping kemahiran tambahan.

Masih ada trend kalangan graduan memilih bidang memilih bidang perguruan kerana tidak mendapat kerja dan bukannya kerana minat. Tidakkah trend ini sedikit sebanyak menjejaskan mutu profesion perguruan?

MUHYIDDIN: Mungkin ada, tetapi saya yakin sebahagian besar yang memohon untuk menjadi guru adalah kerana mereka berminat dan jumlah yang mohon juga besar dan ini terbukti ramai yang telah mendapat jawatan tersebut kekal sebagai guru. Mungkin ada kes di peringkat awal profesion perguruan bukan pilihan utama tetapi apabila sudah biasa dididik dan dibimbing dalam bidang perguruan minat semakin meningkat dan mereka meneruskan kerjaya dalam bidang perguruan. Bagi saya mustahak mereka yang mohon jadi guru adalah betul-betul kerana minat dalam bidang itu. Kita mahu mereka yang benar-benar dedikasi menjadikan guru sebagai profesion dan bukan sebagai pilihan terakhir. Ini kerana guru adalah profesion mulia yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Sebagai pembimbing dan pendidik guru sentiasa dipandang hormat oleh masyarakat. Jadi atas dasar itu mereka yang mahu berkhidmat sebagai guru mesti menjadi guru profesional. Guru bukan seperti penjawat awam yang lain kerana mereka adalah pembimbing, pembentuk akhlak dan sahsiah, jadi mereka mesti komited sebab itu kita perlukan guru yang benar-benar mementingkan profesion.

Adakah soal kesediaan guru untuk berkorban masa dan tenaga boleh disifatkan cabaran utama dalam profesion perguruan?

MUHYIDDIN: Itu satu daripada cabaran bukan keseluruhannya. Beban bukan faktor utama kerana saya tidak percaya semua guru berasa terbeban. Sebab itu saya mengadakan perbincangan misalnya dalam soal pekeliling yang dikeluarkan oleh kementerian untuk melaksanakan satu projek yang dihantar ke peringkat negeri. Tetapi di peringkat negeri, pengarahnya dia ada kreativiti yang difikirkan sesuai. Pengarah misalnya untuk penambahbaikan, menambah satu lagi tugas dalam pekeliling tersebut, maka jadilah dua perkara mesti dilaksanakan oleh guru-guru. Walaupun niatnya baik tetapi telah menjadi beban. Oleh itu tidak usah ditokok tambah, jadi kita nak pastikan ada pemantauan, jika kita keluarkan pekeliling perkara tertentu, ikut pekeliling itu, kalau ada idea baru di peringkat pengarah negeri ia tidak harus diberi kebebasan menokok kepada arahan sedia ada sehingga menjadi bebanan. Kementerian juga mesti beri arahan yang tepat dan apabila nak dilaksanakan di peringkat negeri, mesti dilaksanakan berdasarkan arahan.

15 May 2010

GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN KAWASAN SEKOLAH SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU

Hari ini Sabtu 15 Mei 2010 diadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah sempena Sambutan Hari Guru. Gotong-royong ini diadakan serentak di seluruh negara. Hanya pelajar Tingkatan 2 dan 4 sahaja yang diminta menyertai gotong-royong ini bersama-sama guru-guru, kakitangan dan pekerja swasta.

Gotong-royong yang bermula 8.00 pagi berakhir pada pukul 10.30 pagi. Pelajar-pelajar dan guru-guru dibahagikan kepada beberapa sektor untuk melakukan pembersihan, mengemas dan menyusun atur. Selepas habis gotong-royong pelajar-pelajar dan guru-guru sama-sama menikmati hidangan yang disediakan.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang menyertai kerja gotong-royong itu.



Berikut adalah foto-foto suasana gotong-royong tersebut.









14 May 2010

TERIMA KASIH CIKGU

Oleh ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia 14 Mei 2010





Guru-guru yang mengajar di pedalaman menaiki bot penambang ketika berbelanja di bandar dan pulang dari bercuti ke sekolah masing-masing di pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini.




GURU merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan. Selepas negara mencapai kemerdekaan, peranan guru kekal penting seiring dengan pembangunan negara sehinggalah ke hari ini. Pengiktirafan kepada golongan pendidik, dapat dilihat menerusi peruntukan besar untuk sektor pelajaran negara dalam bajet yang diumumkan pada setiap tahun.

Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan golongan guru seperti kenaikan gaji serta pangkat, isu mengajar di pedalaman dan yang terbaru penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji beban tugas guru yang kini di peringkat akhir. Namun, suara warga pendidik yang tidak berpuas hati masih tetap kedengaran. Rasa tidak puas hati golongan ini dapat diketahui melalui surat yang dihantar kepada ruangan Forum Utusan Malaysia atau kenyataan yang dikeluarkan kesatuan guru. Rungutan yang sering dibangkitkan oleh golongan guru ini pernah juga ditegur oleh pihak lain supaya bersyukur dengan jawatan dan faedah yang diberikan.

Itu antara senario profesion perguruan negara, warga pendidik sering membangkitkan masalah sementara golongan ibu bapa mahukan anak-anak mereka menerima pendidikan berkualiti di sekolah.

Pada 16 Mei ini, negara menyambut Hari Guru bagi menghargai peranan golongan ini dalam pembangunan negara. Tema bagi sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah 'Guru Pembina Negara Bangsa. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran negara.
Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Sejak 16 Mei 1972, Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan. Sambutan berkenaan juga bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru merupakan satu tugas yang mulia.

''Saya mengucapkan 'Terima Kasih Cikgu' di atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan satu tugas yang berat dan mencabar. Jasa dan pengorbanan para guru akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat," katanya dalam perutusan Hari Guru 2010 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Jelas Muhyiddin, warga pendidik tidak harus berpuas hati dengan apa yang telah dicapai tetapi perlu meningkatkan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara supaya setanding dengan negara maju dan bertaraf dunia.

''Guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan kejayaan murid. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jatidiri murid," katanya.

Tambah beliau, guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid.

''Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya terus dihormati dan menjadi model kepada masyarakat. Kerajaan akan terus memartabatkan profesion keguruan melalui Pelan Penambahbaikan Sekolah dan insentif di bawah Sistem Tawaran Baru kepada kepimpinan sekolah dan guru-guru," jelas Muhyiddin.

Sementara Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula menyarankan supaya, golongan pendidik melakukan muhasabah diri sempena sambutan Hari Guru yang ke-39 pada tahun ini.

''Saya berharap warga pendidik dapat melihat kembali sumbangan yang diberikan kepada negara dan mengukuhkan azam untuk meningkatkan prestasi. Semangat ini perlu dimiliki oleh para guru supaya pendidikan negara mampu menjadi lebih cemerlang dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju," katanya.

Alimuddin berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya baru-baru ini. Jelas beliau, sumbangan para guru pada hari ini adalah sangat bermakna kepada pembangunan negara tidak kiralah di mana seseorang guru itu bertugas sama ada di sekolah-sekolah bandar mahupun di kawasan pedalaman.

''Guru diperlukan di mana-mana tidak kira di pedalaman atau luar bandar. Ini kerana pendidikan adalah untuk semua pelajar di seluruh negara. Walau di mana pun seorang guru itu bertugas mereka perlu memberikan khidmat pendidikan yang berkualiti dan yang terbaik kepada pelajarnya," katanya.

Semoga sambutan Hari Guru pada tahun ini mampu menyuntik semangat kepada warga pendidik untuk lebih komited dalam melahirkan modal insan cemerlang dan menyemai sifat positif kepada bakal pemimpin negara tanpa mengira tempat dan cabaran yang perlu diharungi.

13 May 2010

UCAPAN TAKZIAH KEPADA CIKGU HAJJAH MAZNAH BINTI ABU TALIB DAN KELUARGA

Kami warga SMK Telok Kerang mengucapkan takziah kepada Cikgu Hajjah Maznah Binti Abu Talib, Guru Cemerlang Kemahiran Hidup ERT dan keluarganya atas pemergian ayah yang dikasihi ke rahmatullah pada pagi ini Khamis 13 Mei 2010. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

PM TANDA TANGAN KAD UCAPAN HARI GURU

Utusan Malaysia 12 Mei 2010



NAJIB Tun Razak menandatangani kad ucapan Hari Guru di pejabatnya di Putrajaya, semalam dengan disaksikan oleh timbalannya, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet.


PUTRAJAYA 12 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani kad ucapan sempena sambutan Hari Guru, Ahad ini, di pejabatnya di sini. Turut menandatangani kad itu ialah timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri yang lain pada pukul 9.30 pagi sebelum mesyuarat mingguan Kabinet bermula.

Acara menandatangani kad ucapan berukuran 24x16 inci itu dibuat sebagai tanda terima kasih Perdana Menteri bersama timbalannya dan menteri-menteri Kabinet terhadap khidmat bakti guru-guru di seluruh negara.

Sebaik sahaja menandatanganinya, Najib bersama Muhyiddin serta menteri-menteri Kabinet menyampaikan ucapan ringkas "Selamat Hari Guru, cikgu!".

Kad yang ditandatangani itu akan disampaikan oleh Muhyiddin kepada wakil guru ketika sambutan Hari Guru Ke-39 pada Ahad ini yang akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang. - BERNAMA

UCAPAN TAKZIAH KEPADA CIKGU ABDUL HADI BIN AMBOK INGTANG DAN KELUARGA

Kami warga SMK Telok Kerang mengucapkan takziah kepada Cikgu Abdul Hadi Bin Ambok Ingtang, Ketua Bidang Teknik dan Vokasional dan keluarganya atas pemergian ayah yang dikasihi ke rahmatullah pada pagi Khamis 6 Mei 2010. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

12 May 2010

BIARLAH KEHADIRAN ANDA (GURU) DIRASAI! - SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU

Oleh WAHID HASHIM
Utusan Malaysia 10 Mei 2010

HARI guru pada tahun ini disambut dalam suasana yang cukup berhemah. Sambutan besar-besaran di peringkat sekolah mungkin tidak perlu - tetapi ia tetap perlu diadakan juga. Masih ada murid yang mahu meraikan dan menghargai jasa anda. Sekurang-kurangnya anda perlu membuat sesuatu supaya kewujudan dan kerja anda dirasai.

Al-Mukadimah, banyak cabaran yang menanti guru bagi yang mengikuti perkembangan pendidikan semasa. Harapan yang diletakkan di bahu guru bukan sahaja daripada kelompok pelanggan iaitu ibu bapa, tetapi juga pembuat dasar, iaitu kerajaan. Bagi yang telah memenuhi tuntutan Bai'ah, anda bolehlah tersenyum pada Hari Guru ini.
Maka, pada Hari Guru tahun ini, apa sahaja pengumuman - sama ada ia tokok tambah kepada gaji atau imbuhan lain - maka ia perlu disusuli dengan rasa insaf bahawa tanggungjawab mendatang bukan kepalang beratnya. Guru di bandar, pedalaman, di kampung atau di sektor-sektor khas lain perlulah dapat merasai bahawa Hari Guru 2010 ialah titik tolak kepada perubahan yang bakal mereka galas.

Perlu juga dibangkitkan di sini, kepada lebih 100 guru pedalaman yang telah diberi tunjuk sebab kerana ponteng dan pelbagai masalah lain, anda fikirlah sendiri. Jawablah surat tersebut kalau masih berstamina menjadi guru. Yang mereka perlu sedar juga ialah tindak tanduk dan output kerja mereka kini diperhatikan secara kuantitatif dan kualitatif. Hal ini senang sahaja dilaksanakan kerana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) pendidikan yang menjadi dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP), maka KPI keberhasilan dan KPI tindakan akan menjadi petunjuk kepada pencapaian kuantitatif dan kualitatif masing-masing. Rakyatlah yang memerhatikan KPI kita kelak. Sedarlah wahai guru, bahawa ibu bapa pada hari ini sudah pintar dan malah ada yang cukup arif tentang makna dan rubrik penilaian KPI. Mungkin selepas ini laporan kertas kerja berkajang-kajang kepada ketua jabatan terhadap apa yang kita buat tidak penting lagi, tetapi produk yang akan menentukan cara dan hala tuju kita.

Jadi, berhenti daripada terus cuba bermain dengan sentimen simpati terhadap diri sendiri, sebaliknya bekerja keraslah di bawah bidang tugasan di mana kita diletakkan. Kalau kita benar-benar mengakui apa yang kita lakukan demi the national duty, maka nawaitu kita selepas ini akan dipamerkan melalui keputusan atau output kerja masing-masing.

Kita bukanlah hebat sangat sehingga boleh diletakkan sebagai yang terbaik di dunia. Malah di peringkat Asia pun bukan. Indeks pencapaian pendidikan kita secara umumnya pun makin merosot (lihat laporan TIMMS dua tiga tahun kebelakangan ini) berbanding negara kecil Singapura dan Hong Kong. Nampaknya, semakin banyak dasar baru yang diperkenalkan, kesannya ialah antagonis. Apa sudah berlaku dan di mana ketirisan berlaku? Tepuk dada, tanyalah selera.

Dunia mungkin telah berubah, dan kita juga sebenarnya mesti berubah. Pelbagai mekanisme dan enjin diperkenalkan dalam sistem kita. Kita ialah pengamal carrot and stick yang handal. Terlalu banyak carrot menyebabkan kita karat. Pelbagai usaha dilakukan. Paling terbaru, Kementerian Pelajaran Malaysia mahu membantu sekolah dengan memperkenalkan apa yang disifatkan sebagai Program Peningkatan Prestasi Sekolah (PPPS). Program ini begitu cantik tetapi sejauh mana ia akan tercapai terletak di tangan guru. Satu hal lagi ialah sejauh mana guru mahu membuka pintu dan pemikirannya terhadap perubahan yang hendak dibawa oleh PPPS.

Sekolah akan menerima lagi pelbagai bentuk sokongan dan bantuan di bawah PPPS. Program berbentuk bottom-up ini akan berfokus terus ke sekolah, dengan menolak terus konsep one size fits all. Begitu juga terdapat cadangan supaya guru diberikan sijil profesional. Lesen ini perlu diperbaharui melalui pemantauan dan program tertentu yang mereka perlu ikuti dari semasa ke semasa.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 usaha besar-besaran akan dilakukan untuk mensiswazahkan hampir 100,000 guru yang masih belum memegang ijazah. Jumlah itu besar berbanding jumlah guru pada hari ini yang berjumlah 4000,000 orang.

Bagi pihak Utusan Malaysia, kami mengucapkan selamat Hari Guru 2010, semoga kita semua berada dalam sihat sejahtera dan mendapat keberkatan Allah dalam setiap tindak tanduk kita. Sebagai penganjur bersama festival Hari Guru, Utusan Malaysia menjemput semua guru dari seluruh negara ke Festival Hari Guru di East Coast Mall Kuantan bermula 13 hingga 16 Mei. Banyak ilmu menanti anda.

Kira raikan Hari Guru 2010.

09 May 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU - HARGAI PENGORBANAN IBU

Oleh ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia 9 April 2010


SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU

PENGHORMATAN yang tinggi kepada ibu menjadikan setiap tahun satu hari dikhususkan untuk meraikan dan menghargai golongan tersebut. Masyarakat di 46 buah negara termasuk Malaysia memilih hari Ahad kedua dalam bulan Mei sebagai Hari Ibu.

Tahun ini, Hari Ibu jatuh pada 9 Mei. Antara negara lain yang turut memilih hari Ahad kedua bulan Mei sebagai Hari Ibu ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan Singapura. Terdapat negara yang memilih tarikh lain bagi menyambut Hari Ibu, misalnya Sweden menyambut Hari Ibu pada Ahad terakhir dalam bulan Mei, Norway pada Ahad kedua pada Februari dan Poland memilih sambutan Hari Ibu pada tarikh 26 Mei.

Hari Ibu yang pertama disambut di AS pada 1914. Tradisi menyambut Hari Ibu kemudiannya tersebar di beberapa negara. Bagaimanapun, budaya sambutan Hari Ibu di setiap negara adalah berbeza berdasarkan amalan sesebuah masyarakat. Biar bagaimanapun cara Hari Ibu disambut di serata dunia, ideanya adalah sama iaitu menyatakan rasa cinta, hormat dan terima kasih di atas kasih sayang yang dicurahkan dan pengorbanan ibu.

Detik menjadi seorang ibu merupakan antara detik dan pengalaman paling indah dalam hidup wanita. Namun, pada hari ini, mungkin masih ada wanita yang tidak bersedia atau tidak menghargai pengalaman menjadi seorang ibu. Golongan itu tidak bersedia untuk menjadi ibu mungkin kerana sebab-sebab tertentu. Seperti laporan yang kita baca sebelum ini, ada yang tergamak mendera anak sendiri, membuang atau membunuh bayi yang baru dilahirkan. Terdapat juga kes ibu tunggal yang membiarkan anak perempuan mereka bersama teman lelaki sehingga kanak-kanak itu didera sampai mati.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebelum ini pernah mengingatkan golongan wanita terutamanya ibu tunggal yang bekerja supaya tidak cuai dalam menjaga anak mereka dan meninggalkan kanak-kanak itu sewenang-wenangnya. Peningkatan kes membuang bayi dan penderaan kanak-kanak kebelakangan ini menyebabkan akhbar Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin pada bulan lalu. Kempen berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk golongan artis dan pemimpin masyarakat.

Bekas Wanita Pertama Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata, mereka yang tergamak membuang bayi dan mendera kanak-kanak berkemungkinan tidak mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya terutama daripada ibu sejak kecil.

''Kurangnya nilai kasih sayang dalam diri menjadikan golongan berkenaan tidak mempunyai perasaan terhadap mereka yang tidak tahu apa-apa seperti bayi dan kanak-kanak. 'Selain memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak, seorang ibu juga bertanggungjawab mendidik mengenai perkara-perkara yang boleh dilakukan dan perlu dijauhi. Ini akan membantu anak tersebut menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan dapat berfikir dengan matang apabila meningkat remaja dan dewasa," katanya.

Beliau ditemui pada majlis minum petang Forum Malaysia Hijau 2010 di Kelab Tasik Putrajaya baru-baru ini.

Tambah Jeanne, dalam zaman serba moden yang mempunyai banyak cabaran, wanita muda perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada mereka mampu memberikan sepenuh kasih sayang dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu sebelum memiliki anak.

''Jika mereka merasakan tidak mampu untuk memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada seorang anak, ini bermakna mereka belum bersedia untuk menjadi seorang ibu. Menjadi seorang ibu memerlukan pengorbanan," jelasnya.

Menurut Jeanne, sebagai seorang yang berpengalaman menjadi ibu bekerja ketika membesarkan dua orang anak perempuannya yang kini berusia 32 dan 30 tahun, beliau sedar tidak mudah untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

''Ibu bekerja perlu melakukan pengorbanan yang besar dalam mengimbangi kerjaya dan anak-anak. Selain membataskan aktiviti sosial dan lain-lain. Aspek-aspek yang penting seperti membantu kerja sekolah anak-anak, mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni perlu menjadi keutamaan. Ini kerana aset terbaik seorang ibu adalah anak-anaknya," tambah beliau.

Jelasnya, hubungan yang erat di antara ibu dan anak adalah sangat penting supaya anak-anak boleh berterus-terang dan berkongsi sebarang masalah dengan ibunya.

''Jika anak-anak tidak berani atau tidak selesa menceritakan masalah kepada ibunya, mereka akan mendapatkan nasihat daripada kawan-kawan. Dan jika rakan-rakan berkenaan memberikan nasihat yang salah, mereka akan terjebak dalam pelbagai masalah seperti yang dapat kita lihat pada hari ini. Oleh itu, setiap ibu perlu memastikan mereka memberikan sepenuh kasih sayang, menjadi pendengar yang baik dan rakan yang memahami kepada setiap anak-anak mereka. Langkah ini mampu mengeratkan hubungan di antara ibu dan anak sekali gus menyuburkan nilai kasih sayang dalam masyarakat," katanya.