28 June 2010

MINGGU KOPERASI SEKOLAH

Hari ini dilancarkan Minggu Koperasi Sekolah. Minggu koperasi ini yang bertemakan Kreativiti dan Innovasi Memperkasakan Koperasi Sekolah' bermula 28 Jun hingga 4 Julai 2010. Koperasi sekolah berperanan mendidik para pelajar berjati diri mulia selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi.

Program Minggu Koperasi Sekolah di SMK Telok Kerang:
  1. Bacaan perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, dan Yang Dipertuan ANGKASA.
  2. Penanaman pokok di Taman Herba
  3. Pertandingan melukis poster
  4. Jualan gerai
  5. Pertandingan menulis essei
  6. Pertandingan teka Silang Kata
  7. Kuiz spontan

27 June 2010

ROMBONGAN DIRAJA MULAKAN KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2010

Berita Minggu, 27 Jun 2010





Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memulakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 dari stesen kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kompleks JB Sentral di sini, untuk melawat serta mengikuti pelbagai aktiviti di daerah Kulaijaya serta Kluang, semalam.

KMJ kali ke-12 sejak 2001 itu yang julung kalinya menggunakan pengangkutan kereta api turut dihadiri isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Rombongan diraja berlepas pada kira-kira jam 9.45 pagi ke Kampung Pertanian, Kulaijaya dan disambut ribuan penduduk yang menunggu sekitar platform sementara yang didirikan khas bagi menyambut kehadiran Sultan Ibrahim.

Baginda kemudian menyaksikan pertandingan sukan rakyat di pekarangan dewan orang ramai, melawat gerai pameran dan jualan karnival pertanian. Kesempatan itu juga digunakan Raja Zarith Sofiah melawat pertandingan memasak, gubahan buah-buahan, demonstrasi produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pertandingan jahitan.

Sultan Ibrahim juga meluangkan masa menyampaikan sumbangan basikal kepada 50 kanak-kanak serta 80 penerima bantuan sara hidup kepada golongan miskin selain melepaskan benih ikan di kolam berhampiran dewan raya kampung berkenaan.

"Menerusi Kembara Mahkota kali ini, saya akan dapat melihat sendiri cara hidup masyarakat. Kita dapat tahu kehendak dan keperluan sebenar rakyat. Dengan cara ini, rakyat dengan ikhlas dan jujur akan beritahu isi hati, hubungan erat yang wujud ini akan memudahkan pejabat kerajaan menjalankan pembangunan," titah baginda ketika merasmikan program berkenaan di JB Sentral, semalam.

Seorang penduduk, Hong Jok Hon, 63, berkata beliau amat gembira apabila Sultan Ibrahim menziarahi gerainya yang mempamerkan pelbagai buah-buahan bersaiz besar seperti nangka, jambu batu dan pisang. Tuanku tanya saya kenapa buah nangka ini besar, saya kata ini buah yang jadi juara dunia dan ada juga klon yang jadi juara Sarawak. Tuanku juga mahu melawat ladang saya juga suatu hari nanti, katanya yang berpengalaman selama 42 tahun mengusahakan ladang buah-buahan. Beliau berkata, kehadiran Sultan Ibrahim dan keluarga diraja amat bererti buatnya dan beliau turut menghadiahkan sebiji buah nangka seberat 40 kilogram kepada baginda.

Semalam, Sultan Ibrahim meneruskan perjalanan ke Stesen Renggam dan Stesen Kluang dan dijadualkan melakukan pelbagai aktiviti di daerah itu sebelum menamatkan hari pertama dengan santapan malam di Kem Mahkota.

25 June 2010

PEMANSUHAN UPSR DAN PMR LANGKAH AWAL TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN

Berita Harian 24 Jun 2010

Kaedah penaksiran cara baru ganti peperiksaan bagi nilai kemampuan, prestasi pelajarAPABILA Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kemungkinan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, pelbagai pihak memberi reaksi berbeza. Ada pihak menyokong dan ada yang menyatakan sebaliknya.

Bagi yang menyokong, hujah diberikan ialah dari segi kegunaan peperiksaan itu. Peperiksaan UPSR dan PMR sudah lama dilaksanakan dan menunjukkan kegunaannya. Antaranya keputusan peperiksaan UPSR digunakan bagi memilih murid yang layak meneruskan pengajian di sekolah berasrama penuh.

Sebelum itu, peperiksaan ini digunakan untuk memilih murid yang layak meneruskan pengajian pada peringkat menengah rendah. Begitu juga dengan peperiksaan PMR digunakan bagi memilih murid ke sekolah berasrama penuh dan penempatan ke aliran persekolahan tertentu pada peringkat menengah atas, iaitu aliran sastera, sains, teknikal, vokasional dan agama. Peperiksaan ini pernah digunakan memilih murid yang layak meneruskan pengajian pada peringkat menengah atas.

Murid yang gagal atau tidak mencapai tahap kelayakan, mereka akan menduduki semula peperiksaan berkenaan. Bagaimanapun, kini murid meneruskan pengajian secara automatik ke Tingkatan 4 dan 5 walaupun pencapaian mereka dalam peperiksaan PMR tidak memuaskan. Atas sebab itu, kewajaran peperiksaan PMR diadakan.
 
Penilaian ke atas pembelajaran perlu dilakukan untuk mengetahui pencapaian dan prestasi murid dalam pembelajaran mereka. Penilaian ini boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk termasuk meminta murid menduduki peperiksaan umum seperti UPSR dan PMR. Selain itu, pencapaian dan prestasi murid boleh dinilai secara berterusan dengan menggunakan kaedah penaksiran berasaskan sekolah. Kaedah ini memerlukan pembabitan aktif guru dalam menggubal soalan dan menentukan jenis penilaian yang hendak digunakan. Dalam erti kata lain guru mestilah berpengetahuan dan berkemahiran dalam menjalankan penilaian pembelajaran murid.

Program pendidikan guru yang mereka lalui semasa di Institut Pendidikan Guru atau di universiti telah membekalkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran berkenaan yang membolehkan mereka menjalankan tugas ini. Penilaian atau penaksiran berasaskan sekolah membolehkan guru menilai apa jua aktiviti yang difikirkan sesuai dipelajari murid, bukan saja perkara yang berkaitan dengan akademik tetapi juga perkara yang berkaitan dengan pembinaan sahsiah, adab, akhlak, dan kemahiran sosial yang dikehendaki oleh majikan dan masyarakat. Dengan cara ini murid dan guru tidak lagi memberi fokus kepada peperiksaan umum, tetapi lebih kepada proses mendidik murid menjadi seorang yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempamerkan akhlak mulia.

Keputusan penaksiran berasaskan sekolah hendaklah digunakan untuk tujuan memantau pencapaian dan prestasi murid. Sehubungan itu, guru perlu memaklumkan keputusan penaksiran yang mungkin dilakukan secara berkala kepada murid dan ibu bapa yang akan menggunakan keputusan itu untuk mempertingkat dan menambahbaik kelemahan diri dalam perkara-perkara yang dinilai atau ditaksir.

Untuk mengetahui prestasi murid berbanding dengan pencapaian murid yang lain di seluruh negara, suatu kriteria atau penanda aras yang menunjukkan purata markah yang diperoleh murid di seluruh negara diadakan bagi setiap mata pelajaran. Murid boleh membandingkan pencapaian mereka dengan penanda aras berkenaan untuk menentukan sama ada pencapaian mereka melepasi purata atau di bawah purata markah peringkat kebangsaan.Dalam konteks ini peperiksaan setara diperlukan bagi menentukan kedudukan murid dan boleh diambil pada bila-bila masa.

Ada pihak yang masih menginginkan UPSR terus diadakan untuk menentukan kelayakan murid bagi meneruskan pengajian terutama di sekolah menengah berasrama penuh. Jika ini sebab mengapa UPSR ini harus diadakan, kaedah penilaian lain sebagai alternatif boleh digunakan seperti mengadakan ujian kelayakan masuk ke sekolah berasrama penuh. Ujian ini terbuka kepada mereka yang ingin meneruskan pengajian di sekolah itu dan tidak diwajibkan kepada semua murid. Keputusan penaksiran berasaskan sekolah yang diadakan secara berterusan boleh digunakan untuk tujuan penempatan murid di sekolah. Keputusan ini lebih bermakna dalam menunjukkan prestasi sebenar murid dalam pembelajaran mereka di sekolah.

23 June 2010

SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM - PERUBAHAN DAN CABARAN GENERASI PADA HARI ESOK OLEH YAYASAN PELAJARAN MARA

Pagi ini SMK Telok Kerang sungguh berbesar hati kerana didatangi oleh pegawai-pegawai Yayasan Pelajaran MARA untuk memberi suntikan motivasi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM. Mereka ialah En. Zainal Rashid bin Zakaria, Pengurus Bahagian Pengurusan Yayasan Pelajaran MARA dan penceramah motivasi iaitu En. Mohd Isa bin Chik.

Program ini adalah satu inisiatif Yayasan Pelajaran MARA untuk menyumbang kepada peningkatan ilmu, pengetahuan, dan kemahiran bumiputera negara ini. Ia bertujuan mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar-pelajar Islam di setiap peringkat persekolahan yang dizahirkan melalui program-program kepada pelajar, ibu bapa, guru-guru serta pemimpin-peminpin masyarakat. Program yang dilaksanakan ini diharap dapat mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar-pelajar demi mencapai kejayaan di masa hadapan.
Di antara objektif program ini ialah:
  1. Melahirkan insan cemerlang dan gemilang.
  2. Membentuk insan berpersonaliti unggul.
  3. Membina insan berilmu, berpengetahuan dan bermaklumat.
  4. Membantu mencapai kecemerlangan akademik.
  5. Menjadi insan yang berjasa kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.

Pendekatan oleh penceramah dan ceramah-ceramah yang bertajuk 'Hala Tuju dan Cabaran Remaja Islam' dan 'Di ambang Kecemerlangan Bersama Impian dan Harapan Pada Hari esok' yang disampaikan oleh En. Mohd. Isa bin Chik berjaya menjadikan pelajar-pelajar tekun dan khusuk mengikuti dan menghayati mesej yang disampaikan. Masa yang diberi selama 4 jam dirasakan bagai angin yang berlalu.
Program anjuran Yayasan Pelajaran MARA dan dikendalikan oleh Unit Kaunseling SMK Telok Kerang ini adalah julung-julung kali diadakan di sekolah ini. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yayasan Pelajaran MARA atas anjuran ini.


Pelajar-pelajar khusuk menghayati mesej daripada ceramah yang diberi.

Pendekatan En. Mohd. Isa bin Chik semasa berceramah
menjadikan suasana amat kondusif.

Pn. Hjh. Arbaenah bt Masod, GPK1 berucap mengalu-alukan
kehadiran pegawai-pegawai YPM.

En. Zainal Rashid bin Zakaria sedang berucap di hadapan pelajar-pelajar.

21 June 2010

MAJLIS AKUJANJI PELAJAR CEMERLANG PMR DAN SPM 2010

Pagi ini telah diadakan Majlis Akujanji Pelajar Cemerlang PMR dan SPM 2010 semasa perhimpunan rasmi pagi Isnin. Tuan Pengetua setelah memberi ucapan galakan, harapan dan motivasi ke arah kecemerlangan kepada pelajar-pelajar, kemudian menerima ikrar akujanji daripada 10 pelajar calon cemerlang SPM dan 10 pelajar calon cemerlang PMR.
Antara objektif majlis ini ialah:
  1. Memperkenalkan calon-calon pelajar cemerlang PMR dan SPM 2010 kepada pelajar dan guru.
  2. Memberi suntikan motivasi kepada calon dan pelajar lain agar berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
  3. menunjukkan kesungguhan pihak sekolah untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam peperiksaan.
Senarai calon-calon pelajar cemerlang PMR 2010:
  1. Afiq bin Taib
  2. Mohd Isma Fauzan b Shafiee
  3. Mohd Nur Affiq bin Zulkarnain Hassan
  4. Khairul Anuar bin Ambok Epek
  5. Annur Farha Amalina bt Wahid
  6. Masroha bt Suratno
  7. Norkhadijah bt Uyub
  8. Saleeha Aswad bt Alee Abu Thaleed
  9. Tang Suh Wee
  10. Pay Hui Shuan
Senarai calon-calon pelajar cemerlang SPM 2010:
  1. Halimatun Saadian bt Ismail
  2. Lee Zhi
  3. Suhaida bt Halmi
  4. Cheng Shong Wei
  5. Fakhrul Syahmi Azri b Hasan
  6. Nuraqilah bt Shamsuddin
  7. Norzianah bt Mohamad
  8. Ain Farhana bt Kamarudin
  9. Nadirah bt Sahabudin
  10. Salieha bt Ramli


Tuan Pengetua memberi amanat kepada calon-calon pelajar cemerlang.

Calon-calon pelajar cemerlang membuat akujanji.


Barisan calon-calon pelajar cemerlang SPM 2010.


Barisan calon-calon pelajar cemerlang PMR 2010.

20 June 2010

BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010

Tumpuan seluruh dunia pada ketika ini adalah ke arah Afrika Selatan. Paminat bola sepak seluruh dunia akan menguncikan diri di depan televisyen selama sebulan dari 11 Jun hingga 11 Julai 2010 menonton perlawanan-perlawanan bola sepak yang dipersembahkan oleh pemain-pemain terbaik dunia.

Tarikh 11 Jun 2010 adalah tarikh yang dinantikan oleh Afrika Selatan dan peminat bola sepak seluruh dunia apabila sepak mula perlawanan antara Afrika Selatan dengan Mexico sebagai permulaan pemburuan Piala Dunia. Negara itu akan mula membentangkan permaidani merah untuk menyambut 32 pasukan terbaik dunia serta penyokong masing-masing apabila Piala Dunia akan membuat sepak mula di stadium baru di Johannesburg, Soccer City.

Ketika ini, demam Piala Dunia sudah melanda sembilan wilayah Afrika Selatan yang akan menjadi tuan rumah kepada puluhan perlawanan yang dianggap sebagai sukan paling utama di dunia. Tahap keceriaan yang dapat dilihat di setiap pelosok Afrika Selatan juga meningkat 10 kali ganda ketika rakyat mereka menyifatkan apa yang bakal berlaku dalam beberapa hari ini sebagai keajaiban kedua - yang pertama ialah ketika Afrika Selatan berjaya bergelar negara demokrasi.

Pergilah ke mana saja di sekitar Afrika Selatan dan apa yang anda bakal saksikan ialah bendera kebangsaan mereka digantung tinggi dan setiap satu daripada tiga kereta rakyat mereka, pasti dilekatkan dengan bendera.Bagi pasukan tuan rumah, keghairahan penyokong mereka terbukti apabila beribu-ribu membanjiri jalanan di Johannesburg kelmarin sambil menari dan berteriak memanggil nama-nama pemain pujaan mereka ketika demam Piala Dunia semakin memuncak.

Malah Presiden Jacob Zuma berkata acara bola sepak terulung itu, yang pertama diadakan di benua itu, menyatukan Afrika Selatan seperti kejayaan Piala Dunia Ragbi 1995 yang membantu memecah sempadan perkauman dan akan meninggalkan kesan mendalam buat beberapa dekad akan datang.

Kelmarin juga menyaksikan pasukan juara dunia, Itali tampil sebagai pasukan paling akhir tiba bagi menyertai temasya bola sepak selama sebulan itu. Kapal terbang yang disewa khas dinaiki pemain dan pegawai pasukan Itali itu mendarat di lapangan terbang Johannesburg kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan selepas penerbangan selama sembilan setengah jam dari Milan.

Sementara itu, 97 peratus daripada tiket Piala Dunia sudah dijual dan penganjur menjangkakan akan menjual lebih 98 peratus daripada lebih 3 juta tiket ditawarkan. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengeluarkan angka dua hari sebelum perlawanan pembukaan menunjukkan 135,000 daripada 3.01 juta tiket masih belum dijual.

Info Bola Sepak Piala Dunia

Dari segi sejarah, bola sepak Piala dunia pertama kali dicetuskan pada 26 Mei 1928 di Amsterdam. Sebelumnya bola sepak hanya dipertandingkan di sukan olimpik. Piala Dunia pertama berlangsung di Uruguay pada 13-30 Julai 1930. Presiden FIFA pada waktu itu, Jules Rimet, berharap pertandingan antara negara ini dapat mencipta perdamaian dunia. Kejohanan pertama itu disertai oleh 13 buah negara yakni Amerika Syarikat, Perancis, Romania, Belgium, Yugoslavia, Argentina, Chile, Mexico, Brazil, Bolivia, Uruguay, Peru dan Paraguay. Tuan rumah Uruguay keluar sebagai juara setelah mengalahkan Argentina dengan 4-2 di perlawanan akhir yang melayakkan negara tersebut memperolehi trofi Jules Rimet Cup yang bertatahkan emas.

Semasa Perang Dunia II, kejuaraan ini terhenti selama 12 tahun. Ia dimulai kembali pada tahun 1950 di Brazil.
Pada tahun 1970 di Mexico, FIFA telah memutuskan untuk Brazil menyimpan piala Jules Rimet kerana berjaya menjadi negara pertama yang menjuarai kejohanan itu sebanyak 3 kali iaitu pada 1958, 1962 dan 1970. FIFA kemudian membuat trofi dunia yang baru. Trofi Piala Dunia itu berukuran 36.8 sentimeter dan seberat 6.175 kilogram diperbuat daripada emas padu 18 karat, yang menjadi rebutan hingga sekarang. Piala ini tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun kecuali oleh negara pemenang. Piala ini menggantikan Jules Rimet Trophy yang telah digunakan dari 1930 hingga 1970. Jules Rimet Trophy ini telah diserahkan kpd pasukan Brazil sebagai penghormatan memenangi World Cup pada tahun 1970 di Mexico dan juga telah memenangi kejuaraan sebanyak tiga kali.

Harapan/impian (?)
Harapan/impian kami iaitu pada suatu hari nanti ada di kalangan pelajar-pelajar SMK Telok Kerang yang beraksi di Pertandingan Bola Sepak Piala Dunia.

15 June 2010

PERKHEMAHAN KADET POLIS DAERAH PONTIAN TAHUN 2010

Pada 6 hingga 8 Jun 2010 (Ahad hingga Selasa) Kadet Polis sekolah ini telah menyertai Perkhemahan Pentauliahan Pangkat Sarjan dan Koperal Kadet Polis Daerah Pontian. Perkhemahan tersebut diadakan di Hutan Rekreasi Sungai Bantang, Bekok, Segamat, Johor.

Seramai 52 ahli Kadet Polis termasuk ahli-ahli unit beruniform lain seperti PBSM, KRS, Puteri Islam dan Kadet Bomba menyertai perkhemahan ini. Mereka disertai oleh guru-guru pengiring iaitu Cikgu Hasan Kasmuri, Cikgu Hamisah Mohd Amin, Cikgu Noraizan Mohd Rapaizal dan Cikkgu Lili Maznah Tajul Ariffin. Pemergian mereka ke tapak perkhemahan diangkut dengan menggunakan 2 lori PDRM.

Tuan Pengetua sekeluarga turut berada di kem perkhemahan pada hari kedua perkhemahan iaitu pada hari Selasa. Dalam ucapannya kepada kesemua peserta perkhemahan, Tuan Pengetua selaku Pengerusi Panitia Kadet Polis Daerah Pontian menekankan aspek keselamatan semasa berkhemah.

Perkhemahan secara rasminya ditutup pada pukul 2.30 petang 8 Jun 2010 oleh En. Hamid Bin Selamat, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Pontian. Sijil-sijil dan cenderahati pertandingan disampaikan pada petang itu.


Khemah-khemah di Tapak perkhemahan.

Peserta SMK Telok Kerang sedang masak.

Berganding bahu menyediakan menu perkhemahan.

Tuan Pengetua bersama Cikgu Hasan sedang minum petang
di khemah pegawai.

Tuan Pengetua berucap di hadapan peserta perkhemahan.

En. Hamid Bin Selamat sedang berucap di majlis penutup perkhemahan.

Peserta SMK Telok Kerang sedang bertanding tarian poco-poco.

Peserta SMK Telok Kerang berehat sambil menyaksikan
pertandingan tarian poco-poco.

Semua peserta perkhemahan berhimpun mendengar taklimat
daripada Komandan perkhemahan.



03 June 2010

LDP - KAEDAH PENGAJARAN BERKESAN BERASASKAN ELEMEN 9 SKPM

Petang ini bermula pada pukul 2.30 petang, guru-guru SMK Telok Kerang menjalani kursus Latihan Dalam Perkhidmatan. Kursus pada petang ini mengkhusus kepada kaedah berkesan pengajaran dan pembelajaran berasaskan Elemen 9 SKPM.

Penceramah: Haji Mohd Zakaria B Yusof
Ketua Nazir Negeri Johor
Jermaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Johor


Inti pati ceramah Haji Mohd Zakaria B Yusof






  1. Bersyukur kerana dalam sibuk dapat menjalan tugas. Jika tak sibuk bermakna seseorang itu tidak dihargai oleh orang lain.
  2. Apa yang berlaku dalam bilik darjah adalah pertempuran untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
  3. Guru mesti terbaik dalam memperkembangkan ilmu, berkomitmen dan beremosi stabil.
  4. Pembangunan guru - memastikan guru mengajar dengan berkesan.
  5. Tujuan mengajar - menjadikan murid belajar.
Untuk mencapai tahap gemilang dalam pemantauan pengajaran dan pembelajaran seseorang guru mesti melakukan 13 aspek Elemen 9 SKPM iaitu:

  1. Guru mesti menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan
  2. Guru mesti menyediakan Rancangan Pelajaran Harian
  3. Set induksi
  4. Penyampaian/perkembangan pelajaran
  5. Teknik penyoalan guru
  6. Penglibatan murid
  7. Peneguhan
  8. Latihan dan tugasan
  9. Pemeriksaan latihan dan tugasan murid
  10. Penutupan
  11. Hasil kerja murid
  12. Pengurusan kelas
  13. Perwatakan guru
Semoga selepas ini diharap semua guru mencapai tahap terbilang semasa melakukan proses pengajaran dan pembelajaran.