25 July 2010

AKTIF KOKURIKULUM KRITERIA PENTING MASUK IPT

Utusan Malaysia, 6 Julai 2010

PULAU PINANG 5 Julai - Pelajar yang mendapat keputusan akademik cemerlang di sekolah tetapi tidak aktif dalam sebarang aktiviti kokurikulum, mungkin akan berdepan masalah untuk memasuki universiti.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun aktiviti kokurikulum hanya mewakili 10 peratus berbanding 90 peratus pencapaian akademik dalam kriteria kemasukan pelajar, ia tetap dianggap penting. Menurutnya, aktiviti kokurikulum turut memainkan peranan terutama dalam pembinaan sahsiah pelajar sejajar usaha melahirkan individu yang mempunyai keperibadian yang lebih bersepadu.

"Jadi saya ingin mengingatkan terutama bagi mereka yang masih bersekolah dan bercita-cita mahu masuk universiti pada masa akan datang supaya tidak mengabaikan aktiviti kokurikulum kerana kita menganggapnya sebagai kriteria yang sangat mustahak,'' katanya.

''Pada masa sama, kita harap pelajar, ibu bapa dan para guru jangan ambil mudah pemarkahan kokurikulum kerana di universiti juga, kita tekankan soal penglibatan secara aktif mereka dalam bidang itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Siswa Lestari Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Tuanku Syed Putra USM di sini hari ini. Turut hadir, Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Pengerusi Lembaga Pengarah USM, Prof. Emeritus Zawawi Mohd. Ismail.

Tambahnya, tidak dinafikan keputusan akademik menjadi ukuran awal untuk melayakkan diri menghadiri temuduga kerja tetapi lazimnya orang sudah tahu bahawa soalan akademik tidak akan ditanya oleh penemuduga.

''Kita semua pun tahu perkara yang dinilai semasa sesi temuduga adalah meliputi kemahiran insaniah seperti berkomunikasi, berfikir secara kritis, etika, kerja berpasukan, profesionalisme dan kepimpinan. Perkara itu akhirnya menjadi antara kriteria yang akan dinilai untuk bekerja. Penemuduga akan melihat pelbagai aspek yang sangat holistik sifatnya," ujarnya.

Justeru, semua pihak perlu mengambil kira aspek kokurikulum kerana pendidikan di universiti bukan tertumpu pada akademik semata-mata tetapi ia turut meliputi perkara lain yang masih ada kaitan dengan dunia akademik.

22 July 2010

SMK TELOK KERANG JOHAN PERTANDINGAN TARIAN ZAPIN

SMK Telok Kerang dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan tarian zapin peringkat daerah Pontian. Pertandingan tersebut diadakan di Dewan Jublee Intan Pontian pada hari Ahad 18 Julai 2010. Kami mengucapkan tahniah kepada penari-penari zapin sekolah atas kesungguhan berlatih dan membuat persembahan tarian yang baik. Tahniah!

10 July 2010

MAJLIS PERPISAHAN TUAN PENGETUA, EN. AHMAD KHAIRI BIN PAIMIN

Pagi ini diadakan majlis perpisahan Tuan Pengetua, En. Ahmad Khairi Bin Paimin selepas majlis membaca Surah Yasin. Tuan Pengetua akan berpindah ke Kolej Matrikulasi Banting, Selangor bertugas sebagai Pensyarah DG52. En. Ahmad Khairi betugas sebagai Pengetua di sekolah ini selama dua setengah tahun bermula pada bulan Mac 2008. Beliau seorang pengetua yang berjaya mengurus pentadbiran sekolah menjadi lebih baik daripada dahulu secara drastik. Kami warga SMKTK tentunya kehilangan seorang pengetua sekolah yang amat berdedikasi. Selamat berpisah. Semoga beliau gembira dan bahagia bertugas di tempat baru.











MAJLIS MEMBACA SURAH YASIN TERAKHIR BERSAMA TUAN PENGETUA

Seperti biasa pada pagi Jumaat setiap minggu, warga SMKTK beramai-ramai membaca Surah Yasin di Dataran Nilam. Namun pada pagi ini iaitu Jumaat 9 Julai 2010 adalah majlis membaca Surat Yasin yang terakhir bersama dengan Tuan Pengetua, En. Ahmad Khairi Bin Paimin. Hari ini adalah hari terakhir Tuan Pengetua bertugas di sekolah ini. En. Ahmad Khairi akan berpindah ke Kolej Matrikulasi Banting apabila naik pangkat menjadi Pensyarah DG52 di sana. Tahniah.








PATUTKAH UPSR DAN PMR DIMANSUHKAN?

Salleh Majid
Utusan Malaysia, 10 Julai 2010


Banyak perbincangan dan hujah diketengahkan untuk menyokong dan tidak menyokong pemansuhan UPSR dan PMR.Pada masa ini, kita tidak tahu apakah keputusan yang bakal dibuat oleh Kementerian Pelajaran. Walau apa pun keputusan itu, kita percaya kerajaan tentu sekali akan mengambil kira kepentingan dan kemajuan negara.

Kita memang sedia maklum bahawa pelajar-pelajar kita terlalu mementingkan lulus peperiksaan sehinggakan kita melihat ramai yang berlumba-lumba untuk mendapat berapa banyak jumlah A dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Persoalannya, apakah sudah ada kajian dilakukan bahawa mereka yang mendapat banyak A itu baik untuk modal insan keseluruhannya.

Kita diberitahu bahawa tujuan pemansuhan kedua-dua peperiksaan peringkat kebangsaan adalah untuk mengubah tumpuan pendidikan daripada yang berorientasikan peperiksaan kepada sesuatu yang mengambil kira pembentukan insan yang mampu berfikir. Sebenarnya, kalau kita perhatikan lepasan universiti tempatan sendiri pun, ramai juga yang taksub dengan peperiksaan.

Kita difahamkan seramai 30,000 graduan universiti kita masih lagi menganggur. Tak tahulah bagaimana pecahan tahunan.Ertinya entah ada yang mungkin sudah bertahun sejak keluar dari universiti masih lagi menganggur. Kalau mereka yang lulus universiti masih ada yang tidak mampu berkomunikasi dengan baik dan ramai juga yang kurang pengetahuan am mereka, apakah yang boleh kita rumuskan tentang pengajian mereka? Sekolah rendah dan menengah merupakan asas seperti bangunan tinggi, cerucuk yang perlu ditanam. Kalau asas bangunan ini lemah maka bangunan tinggi sekalipun tidak akan selamat. Kita lihat saja kurangnya tumpuan kita berikan kepada pendidikan vokasional sehingga menyebabkan kita kurang tenaga pekerja yang mahir.

Kini, baru kita sedar ia membuatkan rumit bagi kita untuk melonjak ke tahap pengeluaran yang lebih tinggi.Orientasi akademik yang diberikan tumpuan ini tidak menguntungkan kita sekarang, malah kita telah ketinggalan berbanding dengan mereka yang pada suatu masa dulu sama tahap dengan kita.Aset yang terpenting bagi mana-mana negara ialah modal insan.

Kita telah membawa corak pendidikan kita tidak lagi setaraf dengan negara-negara serantau.Lihat saja pencapaian pelajar 15 tahun kita dalam mata pelajaran sains dan matematik untuk tiga tahun berbanding dengan Hong Kong, Singapura dan Korea Selatan di mana kita hanya mampu duduk di tangga kedua puluhan saja.Ini berdasarkan laporan Bank Dunia.Jangan sampai kita menafikan pentingnya laporan itu.Begitu juga dari sudut inovasi, kita kalah dengan negara Vietnam.

Apakah dengan adanya peperiksaan diperingkat sekolah saja kita akan dapat mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan? Sebabnya, soal pokok adalah bagaimana kaedah mengajar yang kita amalkan.Ini tentu sekali bergantung kepada mata pelajaran, kandungannya dan kualiti tenaga pengajar. Kalau tujuan kita untuk mengubah kaedah pendidikan daripada yang memberikan tumpuan kepada peperiksaan kepada mewujudkan pelajar yang mampu berfikir, bukankah sebahagian besar daripada pengaruh untuk mencapai hajat itu terletak atas tenaga pengajar kita.

Katakanlah kita ingin mengubah tumpuan kepada melahirkan pelajar yang mampu berfikir dan katakanlah kita perkenalkan mata pelajaran yang dipanggil 'proses'. Mata pelajaran ini akan menunjukkan pelajar tentang bagaimana proses membuat atau mencapai sesuatu keputusan.Sebenarnya kita tidak pernah diajar langsung tentang ilmu proses. Kita hanya diberikan isi. Apa saja mata pelajaran yang kita ikuti dari darjah satu sehingga ke peringkat universiti, semuanya mementingkan isi.Kadang-kadang isi ini jauh daripada keadaan sebenar di luar sana atau keadaan sekeliling.

Berapa ramai daripada guru dan tenaga pengajar yang mampu mengajar 'proses? Selain daripada pendekatan proses ini, 'pemetaan minda' seperti yang dipelopori oleh Tony Buzan wajar diberi perhatian.

Seseorang yang terpelajar tidak kira apa bidangnya sepatutnya dikatakan orang terpelajar kerana ia tahu mencari maklumat yang diperlukan atau mencari jawapan kepada apa-apa persoalan.Di sinilah yang kita maksudkan pelajar yang mampu berfikir.

Saya beranggapan meletakkan tanggung jawab peperiksaan kepada sekolah akan mewujudkan macam-macam masalah terutama unsur pilih kasih yang mungkin wujud. Diperingkat kebangsaan, guru yang memeriksa tidak tahu siapa pelajar yang kertasnya diperiksa.Kemudian dari segi pengurusan dan pentadbiran juga, mungkin menimbulkan masalah di sesetengah sekolah dan ini akan berlanjutan kalau tidak disedari oleh pihak kementerian.

Apa yang perlu diubah untuk mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan ialah sukatan pelajaran untuk sesuatu peringkat. Pelajar tidak perlu dibebankan dengan begitu banyak mata pelajaran, sebaliknya patut didedahkan dengan keadaan sekeliling seperti lawatan ke tempat bersejarah, institusi-institusi kerajaan yang penting, taman-taman seperti taman wetland, dan sebagainya. Guru-guru dan pendidik pula patut perlu diberikan latihan untuk mampu melakukan perubahan untuk mewujudkan modal insan yang mampu berfikir.

CIKGU NURRUL CHE EME BT EMBONG BERPINDAH KE TERENGGANU

Pada pagi Jumaat 9 Julai 2010 diadakan satu majlis iaitu Majlis Perpisahan Cikgu Nurrul Che Eme Bt Embong. Cigku Nurrul Che Eme yang baru berkahwin pada bulan Jun yang lalu berpindah ke negeri Terengganu mengikut suaminya. Cikgu Eme memulakan kariernya sebagi guru di sekolah ini pada tahun 2008. Lebih kurang dua setengah tahun Cikgu Eme berkhidmat di SMKTK. Kami mengucapkan selamat berpisah dan semoga berbahagia bersama suami tercinta di sisi.




09 July 2010

UBAH PARADIGMA, CONTOHI NEGARA MAJU

Oleh Ruhaiza Rusmin
Harian Metro, 5 Julai 1010

APABILA cadangan mewujudkan sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun ada yang melihatnya sebagai kurang praktikal dan sangat membebankan. Hanya bayangan peperiksaan, bebanan akademik, wajah tekanan guru serta suasana kucar-kacir melayan kerenah pelajar tergambar. Apatah lagi, sistem pendidikan sedia ada lebih menumpukan aspek kecemerlangan membuatkan masyarakat bimbang pelajar dan institusi pendidikan yang memikul tanggungjawab itu gagal mencapai matlamat.

Ada yang melihat perubahan itu tepat pada masanya dalam menyediakan pembinaan modal insan lebih awal selain bersaing dengan perubahan pendidikan alaf baru. Persoalannya, mampukah sistem pendidikan negara meneruskan tradisi pendidikan sedia ada atau perlu berubah?

Pensyarah Psikologi dan Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata tidak timbul masalah jika ingin melaksanakan sistem pendidikan berkenaan kerana sudah didedahkan dengan pendidikan asas pra sekolah. Menurutnya, sudah cukup asas itu dijadikan pengukur aras bagi menjana proses pembelajaran formal, bagaimanapun perlu dimantapkan lagi dengan penggunaan elemen pengajaran dan pembelajaran lain.

"Memberi pendidikan awal berbentuk formal adalah langkah bijak untuk mengembangkan lagi tahap pencapaian sosial, kemahiran dan akademik selain belajar lebih menguasai dan memahami. Proses itu tidak boleh dilakukan mengikut sistem sedia ada dan perlu dilengkapi elemen lain yang membolehkan mereka faham serta dapat mengikuti proses pembelajaran dengan selesa. Paling penting, pastikan proses penerimaan ilmu tidak terlalu sukar, bersesuaian faktor umur dan tahap penerimaan" katanya.

Cadangan memulakan pendidikan formal seawal usia lima tahun dibentangkan baru-baru ini sebagai usaha memperkasakan lagi sistem pendidikan negara serta memperkukuhkan nilai modal insan. Ia diharap dapat mengubah paradigma pendidikan negara dengan mencontohi kejayaan negara maju dalam melaksanakan sistem pendidikan awal. Bagi tujuan pemantauan, beliau menyarankan pendidikan santai tapi berstruktur diguna pakai sebagai konsep asas pembelajaran dan pengajaran. Pendekatan itu mampu menilai potensi penerimaan dan pencapaian pelajar sekali gus memberi peluang guru memperbaiki kelemahan.

"Jangan terlalu fokus pada pendekatan akademik semata- mata kerana ia lebih memberi tekanan. Penyampaian biarlah lebih mudah dan santai asalkan matlamat pembelajaran mampu disampaikan sepenuhnya. Perlu ikut kemampuan supaya pelajar atau guru tidak tertekan. Persekolahan dalam usia muda memang mencabar selain masyarakat juga wajar diberi penerangan jelas," kata Dr Mariani.

Dr Mariani berkata ia bagi mengelakkan berlakunya salah faham hingga menyebabkan banyak percanggahan pendapat.

Kebanyakannya sudah melalui alam pra sekolah, boleh pendidikan asas termasuk mengenal huruf, nombor dan objek. Hanya selaraskan proses pembelajaran berdasarkan tahap kemampuan pasti tidak timbul masalah," katanya yang turut menekankan kepentingan persediaan tenaga pengajar.

Apatah lagi falsafah pendidikan mementingkan keupayaan guru dalam menjalankan tanggungjawab dan elakkan timbulnya masalah atau lebih memberikan tekanan kerana tidak bersedia.

"Guru perlu dilengkapkan dengan kelayakan setara dan mempunyai keupayaan fizikal serta emosi bagi membantu menangani kerenah, kehendak selain keupayaan pelajar," katanya.

Ibu bapa dan masyarakat harus bersikap terbuka, berfikiran positif serta memberi sokongan kepada institusi sekolah.

"Masalah timbul apabila kurangnya keyakinan terhadap institusi, sistem dan guru hingga mewujudkan pertikaian selain ada yang hanya pandai mengkritik tapi tidak mahu berkongsi pendapat. Perubahan ini memerlukan masa, penyesuaian dan perbandingan sebelum boleh diakui berjaya. Bagaimanapun, tidak mustahil jika semua pihak memberi sokongan. Kepada guru, tidak timbulkan bebanan kerana mendidik anak bangsa memang memerlukan pengorbanan," katanya.

08 July 2010

HARI TEMU RAMAH BERSAMA IBU BAPA SMK TELOK KERANG 2010

Hari ini adalah Hari Temu Ramah Bersama Ibu Bapa bermula pukul 10.00 pagi. Sebelum itu pada pukul 8.00 pagi diadakan taklimat Pembestarian Sekolah oleh Tuan Pengetua, manakala En. Hamid Bin Selamat, PPPD Sektor Pembangunan Kemanusiaan menyampaikan ceramah motivasi kepada ibu bapa. Kedua-dua majlis itu diadakan di Dewan A.

Objektif Hari Temu Ramah ini adalah:
  1. Untuk mendapatkan keputusan peperiksaan pertengahan tahun anak-anak.
  2. Untuk membincangkan dapatan keputusan peperiksaan anak-anak demi kejayaan yang lebih cemerlang dan sahsiah yang gemilang.
  3. Mewujudkan hubungan dua hala antara ibu bapa dengan guru-guru dalam membincangkan permasalahan anak-anak.
  4. Untuk sama-sama memainkan peranan ibu bapa dan guru-guru demi kejayaan dan kecemerlangan anak-anak.
  5. Supaya ibu bapa maklum tentang pengiktirafan pembestarian sekolah.


Ibu dan bapa membuat pendaftaran kehadiran.

En. Hamid Bin Selamat sedang memberi ceramah motivasi.

Ibu dan bapa yang hadir.
Ibu dan bapa yang hadir menumpukan perhatian terhadap
pengumuman Pembestarian Sekolah.

Ibu dan bapa diberi taklimat mengenai perkembangan pelajaran
anak-anak oleh guru-guru.

01 July 2010

FESTIVAL SAINS DAN TEKNOLOGI SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH DAERAH PONTIAN 2010

Hari ini SMK Telok Kerang menjadi tuan rumah Festival Sains dan Teknologi Sekolah-sekolah Menengah Daerah Pontian.

Diantara objektif festival ini ialah:
  1. Membuka perspektif yang lebih luas terhadap kepentingan dan peranan bidang sains dan teknologi.
  2. Menarik minat masyarakat khasnya para pelajar terhadap bidang sains dan teknologi.
  3. Memupuk pembentukan generasi baru yang berktrampilan, bersikap inovatif, kreatif dan dedikasi yang berdaya saing serta mampu menyumbang ke arah kemakmuran kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

Solar Boat
Cooking with nature
Solar car.
Roket paracut.