31 August 2010

PANDU PUTERI SMK TELOK KERANG BERGAYA MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN HARI KEMERDEKAAN KE-53 DI PERINGKAT SEKOLAH

Persatuan Pandu Puteri SMK Telok Kerang telah diberi peluang untuk mengendalikan perhimpunan rasmi sempena hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-53 peringkat sekolah. Perhimpunan tersebut diadakan pada pagi Isnin 30 Ogos 2010. Seramai 14 ahli Persatuan Pandu Puteri yang diketuai oleh Maizatul Nurul Hidayah bt Rozali berbaris kemas untuk diperiksa baris oleh Puan Hajjah Arbaenah Bt Masud, GPK1 yang diiringi oleh Cikgu Yusnizawati bt Yusuf, Pemimpin Persatuan Pandu Puteri. Tahniah kerana anda berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik.









SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-53 DI SMK TELOK KERANG



Setiap tahun pada 31 Ogos kita menyambut Hari Kemerdekaan. Pada tahun ini, Sambutan Kemerdekaan di sekolah ini dilakukan pada pagi Isnin 30 Ogos 2010 bertempat di Dataran Nilam. Sambutan yang sederhana tetapi meriah dimulakan dengan perbarisan pengendali perhimpunan iaitu Persatuan Pandu Puteri. Ucapan rasmi sempena kemerdekaan telah disampaikan oleh Pn. Hjh. Arbaenah Bt Masud, GPK 1.

Di antara program-program sambutan pada tahun ini ialah:
  1. Kempen kibarkan Jalur Gemilang.
  2. Pertandingan menulis esei patriotisme.
  3. Pertandingan keceriaan kelas dan sudut kemerdekaan.
  4. Pertandingan kuiz sejarah secara spontan.
  5. Majlis bacaan Surah Yasin sempena kemerdekaan.
  6. Pertandingan melukis potret tokoh sejarah.
  7. Perhimpunan rasmi kemerdekaan.
Kemerdekaan ialah apabila seseorang bangsa atau umat merdeka daripada segala bentuk penjajahan undang-undang ciptaan manusia kepada pengabdian diri hanya kepada Allah, bebas daripada kezaliman kepada keadilan dan bebas dari kejahilan kepada berilmu baik lahiriah ataupun zahiria.
Merdeka bukan bermaksud bebas dan tidak terikat dengan sebarang peraturan dan boleh melakukan apa saja yang disukai. Merdeka bukan semata-mata bebas secara fizikal daripada belenggu penjajahan, tetapi konsep merdeka yang sebenar mengikut pandangan Islam ialah membebaskan diri daripada semua bentuk penjajahan yang bercanggah dengan ajaran Islam, samada dalam bentuk pemikiran rohani dan jasmani mahupun budaya dan citarasa, perasaan dan emosi seseorang insan itu.

Sepatutnya, umat yang merdeka dapat berfikir dengan matang apakah yang terbaik dilakukan untuk dirinya, bangsa dan kepentingan umat keseluruhannya serta negaranya tanpa khawatir dan bimbang terhadap sebarang halangan yang menghalangnya. Sepatutnya kita mempunyai pemikiran apakah yang kita telah sumbangkan untuk negara, bukan mengharap apa yang negara dapat sumbangkan untuk kita. Sebab itulah sekiranya fahaman dan mentaliti kita belum berganjak sampai bilakah kita boleh dikatakan sebagai seorang manusia yang benar-benar merdeka?

Kefahaman tentang kemerdekaan sememangnya amat berbeza antara generasi dulu yang memperjuangkan kemerdekaan dengan air mata dan darah berbanding generasi hari ini. Hal ini kerana bagi generasi terdahulu, kemerdekaan adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya, manakala bagi golongan muda di zaman ini, 31 Ogos hanya sekadar cuti umum, berseronok, bakar bunga api, berhibur, berkelah dan bersantai.




Golongan penjajah pada masa kini tidak lagi datang menaiki kapal dan menggunakan senjata seperti masa dulu, sebaliknya berupaya menjajah umat islam menerusi alat komunikasi canggih serta menggunakan kuasa kewangan dan media. Dengan danya zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan, ia menjadi semakin mudah untuk mereka melebarkan pengaruh dan mengawal aspek politik, ekonomi dan system social milik kita. Sesetengah Negara masih bergantung kepada Negara yang masih menjajah mereka dalam banyak sektor seperti perdagangan, pendidikan dan ketenteraan. Malah, perkara terburuk ialah penjajahan pemikiran masih berlaku masih berlaku dikalangan masyarakat Negara itu.



Justeru, rakyat Malaysia perlu terus berusaha untuk membebaskan diri dan jiwa mereka daripada kejahilan, kemiskinan dan rasa rendah diri daripada bangsa-bangsa lain. Kemerdekaan yang sebenar akan menjadikan umat islam sebagai umat yang mampu berdikari, berilmu pengetahuan, berkeyakinan tinggi, mempunyai jati diri yang kuat dan bebas daripada pengaruh penjajahan.


Sehubungan itu, dalam kemeriahan pelbagai pihak mengadakan sambutan kemerdekaan pada Ramadan mulia ini, maka kita juga perlu secara serius berfikir mengenai pelbagai persoalan berkaitan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan untuk diteruskan bagi memartabatkan Malaysia.
Banyak cara kita boleh membuktikan komitmen, jasa bakti dan pengorbanan untuk negara. Biar apapun bentuk khidmat kita, peranan dan modus operandi pengisian kemerdekaan memerlukan rakyat berilmu dan berakhlak mulia dengan etika kerja cemerlang. Menerusi ilmu maka dapatlah kita berkhidmat lebih efektif dan efisien mempertahankan kemerdekaan dalam semua bidang, termasuk pelestarian alam sekitar.


Semoga Watan Ini Sentiasa Aman Damai
Janganlah kita mensia-siakan nikmat ini dengan melakukan perkara-perkara yang tidak memberi untung kepada kita. Marilah kita mengisi kemerdekaan secara dengan melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah dan berguna bagi membangun agama, bangsa dan Negara.



Hakikatnya kemerdekaan adalah satu konsep sarat dengan pengertian politik, jati diri dan pembangunan sebuah bangsa. Pengertian merdeka dari segi politik tidak terbatas kepada pembebasan dari kuasa penjajah saja. Merdeka bererti kebebasan dari segi pemikiran, keilmuan, sosial, ekonomi dan budaya dari pengaruh asing yang merosak dan menindas. Merdeka juga bermakna mempertahankan maruah negara terhadap penghinaan dalaman dan asing, seperti memomokan bahasa dan agama rasmi, apatah lagi melumurkan Jalur Gemilang dengan najis!
Penghayatan kemerdekaan seharusnya diserlahkan menerusi kefahaman mengenai peranan kita sebagai warga merdeka. Merdeka tidak semestinya perayaan disambut dengan pelbagai acara meriah. Merdeka juga jangan sampai sekadar upacara tahunan terhadap suatu tarikh keramat seperti 1 Syawal atau tahun baru.
Tidak bermakna mendiami sebuah Negara merdeka, sedangkan rakyatnya masih belum merdeka jiwanya dan amalan sehariannya. Apalah erti kemerdekaan yang dikecapi oleh kita, jika masyarakat yang tidak patuh kepad aperaturan-peraturan agama dan Negara.
Kejayaan sesebuah Negara yang merdeka tidak hanya dilihat dari segi pembangunan luaran seperti bangunan yang besar, tinggi dan moden, di samping kemudahan-kemudahan lain yang disediakan. Namun yang lebih utama dalam pembangunan sesebuah Negara ialah aspek pembangunan modal insan yang berteraskan ajaran islam.
Kemerdekaan dalam ertikata lain akan dapat dinikmati sepenuhnya jika kita mampu menjadikan negara yang tercinta ini mencapai tahap tamadun yang tinggi berasaskan perinsip keadilan dan pegangan agama, perpaduan, mempunyai keperibadian dan akhlak yang kukuh dan menunaikan kewajipan bernegara, serta mampu menjauhi diri daripada melakukan perkara-perkara negatif yang dipelopori oleh penjajah barat atas nama kebebasan dan hak individu. Pengaruh pemikiran bebas atau Liberal yang didatangkan oleh barat, jika dibawa kedalam masyarakat dan menjadi amalan di negara ini, pasti akan membawa kepada kehancuran masyarakat dan kehancuran negara.
Sebagai bangsa Malaysia yang merdeka, jiwa kita, diri kita, keluarga dan masyarakat kita perlu bebas daripada mengagungkan pemikiran penjajah, bebas daripada amalan penjajah dan bebas daripada idealisme dan undang-undang penjajah.

21 August 2010

SUMBANGAN DERMA ANAK-ANAK YATIM DAN PELAJAR MISKIN SMK TELOK KERANG

Hari ini satu surat siaran mengenai sumbangan derma anak-anak yatim dan pelajar miskin sempena Ramadhan almubarak telah diedarkan. Kepada warga SMKTK kami mohon jasa baik agar dapat memberi sumbangan ikhlas tersebut.

Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih keuntungan besar daripada bulan Ramadhan adalah melalui sedekah. Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Pada bulan Ramadhan, amalan ini menjadi lebih digalakkan lagi. Demikianlah sepatutnya akhlak seorang mukmin, yaitu dermawan. Allah dan RasulNya memerintahkan bahkan memberi contoh kepada umat Islam untuk menjadi orang yang dermawan serta pemurah.

Ketahuilah bahwa kedermawanan adalah salah satu sifat Allah Ta’ala, sebagaimana hadis:‏إن الله تعالى جواد يحب الجود ويحب معالي الأخلاق ويكره سفسافها“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR. Al Baihaqi, di shahihkan Al Albani dalam Shahihul Jami’, 1744)

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan”. (Riwayat At-Tarmizi)

Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti memperbanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan atau membelanjakan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.

Kepada warga SMKTK yang ingin membuat sumbangan ikhlas, sila serahkannya kepada Cikgu Hajjah Kasidah binti Sadimon (019-7807552) dan Ustazah Hajjah Hasnuli binti Abu Setaman (019-7076575) sebelum atau pada 27 Ogos 2010.

Pada 30 Ogos 2010 iaitu pada petang Isnin, akan diadakan majlis berbuka puasa dan penyampaian derma anak-anak yatim dan pelajar miskin SMKTK bertempat di Bilik Katering. Kepada semua guru, kakitangan sokongan dan kakitangan swasta dijemput hadir.

14 August 2010

AMALAN-AMALAN BAIK DI BULAN RAMADHAN ALMUBARAK

Berikut adalah amalan-amalan yang baik di bulan Ramadhan:

  1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
  2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
  3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
  4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
  5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
  6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
  7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
  8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur. Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
  9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah);
  10. Memenuhi malam di bulan Ramadhan dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

11 August 2010

LANGIT BAGAI NAK RUNTUH DI ANGKASA SMK TELOK KERANG

Kepulan dan gulungan awan berwarna kebiruan dan kehitaman menyelubungi angkasa SMK Telok Kerang seolah-olah langit nak runtuh. Kepulan awan tidak bergerak malah semakin bertambah. Kejadian itu berlaku pada pagi Selasa 10 Ogos 2010 pukul 7.05 pagi. Suasana pada ketika itu menjadi gelap dan hening. Lima belas minit kemudian hujan lebat turun mencurah-curah.








10 August 2010

PUASA DI BULAN RAMADHAN

Esok, hari Rabu 11 Ogos 2010 umat Islam di Malaysia mula menjalani ibadah puasa sebulan di bulan Ramadhan. Sekolah cuti sehari menyambut awal Ramadhan.

Kewajiban berpuasa dalam Al Qur’an, “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelummu, agar kamu bertakwa” (Al Baqarah:183)

Wajib berpuasa di bulan Ramadhan jika melihat hilal awal Ramadan dan berhenti puasa jika melihat hilal awal Syawal. Jika tertutup awan, maka hitunglah 30 hari. Hadis riwayat Ibnu Umar ra. Dari Nabi saw. bahwa beliau menyebut-nyebut tentang bulan Ramadan sambil mengangkat kedua tangannya dan bersabda: Janganlah engkau memulai puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Ramadan dan janganlah berhenti puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Syawal. Apabila tertutup awan, maka hitunglah (30 hari). Sahih Muslim: 1795

Masyru'iyat dan matlamat puasa di bulan Ramadhan:
  1. "Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertaqwa "(Al-Baqarah:183)
  2. "Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dengan yang bathil ), karena itu barangsiapa di antara kamu menyaksikan (masuknya bulan ini), maka hendaklah ia puasa... " (Al-Baqarah: 185).
  3. "Telah bersabda Rasulullah saw., Islam didirikan di atas lima perkara; Bersaksi bahwa tidak ada Ilah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Ka'bah. (Bukhari Muslim).
  4. "Diriwayatkan dari Thalhah bin ' Ubaidillah ra, bahwa sesungguhnya ada seorang bertanya kepada Nabi saw., ia berkata: Wahai Rasulullah beritakan kepadaku puasa yang diwajibkan oleh Allah atas diriku. Beliau bersabda: puasa Ramadhan. Lalu orang itu bertanya lagi : Adakah puasa lain yang diwajibkan atas diriku ?. Beliau bersabda: tidak ada, kecuali bila engkau puasa Sunnah".
Selamat menjalani ibadah puasa.

03 August 2010

SUMBANGAN PELAJAR-PELAJAR LANDSKAP UNTUK MENCANTIKKAN KAWASAN SEKOLAH

Minggu lepas pelajar-pelajar Tingkatan 4 Landskap saling bekerjasama menanam pokok hiasan dan menanam turf di kawasan pondok rehat yang baru siap. Sepanjang hari waktu pembelajaran, pelajar-pelajar ini mengerah kudrat mereka untuk menyiapkan kerja-kerja penanaman mengikut reka bentuk taman yang telah dipersetujui. Inilah sumbangan mereka kepada sekolah. Diharap dengan hasil tangan pelajar-pelajar ini, kawasan sekolah kita semakin bertambah cantik dan ceria.

Kumpulan pelajar-pelajar ini mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Hajjah Kasidah Bt Sadimon, Kaunselor Cemerlang yang telah menyumbangkan wang untuk perbelanjaan makan dan minum sewaktu mereka melakukan kerja-kerja penanaman tersebut. Semoga Cikgu Hajjah Kasidah sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah swt. Amin.








02 August 2010

PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR 2010

Hari ini bermulalah peperiksaan percubaan PMR tahun ini. Setelah bertungkus-lumus belajar sepanjang tahun, hari penentuan iaitu peperiksaan PMR dah semakin dekat. Jadi sebelum peperiksaan sebenar, calon-calon PMR ini kenalah menduduki peperiksaan percubaan. Peperiksaan percubaan ini dapat menilai pencapaian pelajar. Mana-mana yang longgar boleh diperbaiki dan mana-mana yang mantap masih boleh dipertingkatkan. Semoga anda semua berjaya dalam PMR.