29 October 2010

KEMENTERIAN PELAJARAN PANTAU PELAJAR JUAL KOMPUTER RIBA

Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010

PUTRAJAYA 28 Okt. - Kementerian Pelajaran akan membuat pemantauan berhubung dakwaan terdapat pelajar menjual komputer riba di bawah program Komputer 1Malaysia yang diberikan secara percuma oleh kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau, yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun berkata pihaknya belum mendapat maklumat mengenai kesahihan dakwaan tersebut.

"Sebab itu, di peringkat kementerian kita hendak memantau atau merekodkan pemberian itu...dan ia bukan sahaja digunakan di rumah tetapi turut dibawa ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan Jalur Lebar, di sini, hari ini.

Komputer itu diberikan kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 bagi kawasan luar bandar dan bawah RM5,000 bagi kawasan bandar berdasarkan nisbah yang ditetapkan.

Muhyiddin berkata, beliau tidak pasti sama ada disebabkan faktor tidak mampu melanggan perkhidmatan jalur lebar telah membuatkan mereka terpaksa menjual komputer riba tersebut.

Oleh itu, guru sekolah boleh menyemak sejauh mana pelajar terbabit masih menyimpan komputer riba yang diberikan. - Bernama

25 October 2010

KAEDAH BARU AJAR SEJARAH

Berita Harian, 25 Oktober 2010

AYER KEROH: Sejarah yang menjadi mata pelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014 akan menerapkan unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan bagi memastikan murid memahami serta menghayati sejarah negara secara mendalam.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengenalan mata pelajaran Sejarah akan menggunakan konsep ‘pendidikan itu menyeronokkan’ membabitkan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama.

Katanya, semua aspek yang akan digunakan itu amat sesuai bagi mengelakkan murid sekolah rendah bosan ketika menghadapi pelajaran serta dapat meningkatkan tahap pembelajaran di sekolah.

“Kementerian akan memastikan mata pelajaran Sejarah tidak diajar sehingga membosankan murid dan oleh sebab itulah pendekatan kerja sampingan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama diperkenalkan. Elemen sejarah yang diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini kurang menerapkan ketiga-tiga unsur terbabit. Jadi, kita mahu menekankan perkara ini supaya mata pelajaran Sejarah dapat dihayati dan difahami oleh semua golongan masyarakat, terutama generasi muda,” katanya selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Ke-22 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin, dan Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, mata pelajaran Sejarah perlu untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan anak bangsa, selain memastikan mereka memahami asal usul supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan apabila dewasa kelak.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah berasaskan kepada kehendak rakyat sendiri yang melihat aspek sejarah itu amat penting. Pembelajaran mata pelajaran itu dari awal pasti memberi impak positif yang memudahkan setiap rakyat menerima diri masing-masing atas paksi di bumi nyata. Pendidikan sejarah amat penting dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Sementara itu menjelaskan lanjut berhubung pelaksanaan Sejarah bagai mata pelajaran teras dalam KSSR, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, selain Perlembagaan, murid juga akan didedahkan kepada peristiwa penting tanah air seperti kemerdekaan, mengenali tokoh tempatan dan latar belakang masyarakat di negara ini menerusi mata pelajaran itu.

“Bagaimanapun, kurikulum subjek ini di sekolah rendah akan lebih menjurus kepada sukatan asas serta mudah, dan bukan fakta berat seperti pada peringkat sekolah menengah. Kementerian akan membuat penyusunan supaya tidak berlaku pertindihan kurikulum antara mata pelajaran Sejarah dan Kajian Tempatan kelak. Namun, penentuan sama ada mata pelajaran teras ini dilaksanakan mulai Tahun Satu atau Tahun Empat masih dalam perbincangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Alimuddin berkata, langkah melaksanakan Sejarah sebagai mata pelajaran teras di sekolah rendah juga akan membantu persediaan murid selari keputusan Kementerian Pelajaran untuk menjadikannya subjek wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Dalam konteks ini, beliau berkata, persediaan akan dilakukan untuk membantu guru melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik supaya pelajar mampu menghayati serta menguasai subjek teras itu dengan berkesan bagi menghadapi peperiksaan SPM.

“Keputusan itu (wajib lulus Sejarah dalam SPM) bukan semata-mata disebabkan timbulnya pelbagai isu (berkaitan) kebelakangan ini, tetapi kerana pengetahuan Sejarah amat penting untuk melahirkan warga bertanggungjawab, ada jati diri dan bersatu padu,” katanya.

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

18 October 2010

AKTIVITI SELEPAS PMR

Pada setiap tahun, selepas pelajar-pelajar tingkatan 3 selesai menduduki peperiksaan, masih berbaki 5 hingga 6 minggu sebelum cuti panjang hujung tahun. Pihak sekolah biasanya merancang aktiviti atau program bagi memenuhi masa pelajar-pelajar ini yang hadir ke sekolah. Guru-guru kaunseling akan membuat program yang bersesuaian mengikut subjek-subjek tertentu. Di antara program itu ialah lawatan, kuiz, sukan dan permainan, mengindahkan kawasan sekolah, belajar menjahit, dan lain-lain.

Pagi ini tibalah giliran guru-guru Kemahiran Hidup melaksanakan aktiviti untuk pelajar-pelajar. Masa yang diperuntukkan ialah 2 jam. Bagi pelajar-pelajar KH3, mereka dibahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ditugaskan membersih dan mengecat semula astaka sekolah di bawah seliaan Cikgu Hatta. Kumpulan kedua pula menanam pisang tanduk di belakang Bengkel KH yang diselia oleh Cikgu Hasan Kasmuri.

Diharap semua aktiviti yang dirancang ini bermanfaat kepada pelajar-pelajar. Sayangi sekolah kita.






17 October 2010

GURU PERLU BANTU KERAJAAN MENJADIKAN MALAYSIA NEGARA MAJU MENJELANG 2020


Berita Harian, 17 Oktober 2010


KUALA LUMPUR: Matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran yang akan menghasilkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, berketrampilan serta berupaya memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara.

Sehubungan itu, katanya, guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi.

“Tanpa sokongan guru, saya yakin hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang holistik tidak akan tercapai,” katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ia bertemakan ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru sebagai ejen pelaksana dan ejen perubahan perlu memainkan peranan pada semua peringkat demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia.

Katanya, kerajaan sedar setiap usaha yang hendak dilaksanakan menghadapi cabaran dan halangan, dengan cabaran utama dihadapi pendidik ialah untuk melahirkan warga negara berdaya tahan, dinamik, progresif, berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan berdaya saing pada peringkat global selain meningkatkan nilai akhlak mulia dan penyayang.

Oleh itu, kata beliau, sewajarnya ‘penilaian kritikal’ terhadap proses pendidikan yang sedang berjalan dilaksanakan supaya sebarang penyesuaian selaras dengan keutamaan serta keperluan masyarakat dan global yang sentiasa berubah.

“Justeru, guru perlu mempunyai nilai kepemimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta serta kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan kepada nilai dan etos ‘learning society’,” katanya.



16 October 2010

SISTEM PENDIDIKAN DIROMBAK

Utusan Malaysia, 16 Oktober 2010

Bajet 2011


KUALA LUMPUR 15 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem pendidikan negara akan dirombak dengan penekanan diberi kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi serta daya saing yang tinggi.

Bagi tujuan itu Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan sudah meluluskan dana sebanyak RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, tambahan sejumlah RM213 juta turut disediakan bagi memberi ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi, pengetua, guru besar serta guru yang cemerlang.

“Kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan dan kita juga tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka (anak-anak) akan disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing,” katanya semasa membentang Bajet 2011, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, bidang pendidikan harus bersifat melangkaui fahaman politik kerana setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, adalah aset dan warisan masa depan negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menyediakan dana pembangunan RM250 juta kepada sekolah bantuan modal agama, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, sekolah bantuan modal Mubaligh dan sekolah bantuan di seluruh negara.

“Bagi mengiktiraf Pendidikan Islam pula, kerajaan bersetuju bagi membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat sama ada rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta.

“Manakala, bagi menyediakan guru dan tenaga pengajar kompeten serta berkualiti agar dapat membimbing dan mendidik pelajar dengan baik, RM576 juta diperuntukan dalam bentuk biasiswa untuk mereka melanjutkan pengajian,” katanya.

Mengenai usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar pula, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru asing dari United Kingdom dan Australia.

Sementara itu, Najib menambah, pembangunan modal insan di peringkat kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila sebanyak RM111 juta disalurkan untuk Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata).

“Peruntukan ini antaranya bagi pembinaan Fasa Kedua Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN), membiayai operasi 52 PAPN serta meneruskan program Permata Pintar,” katanya.

14 October 2010

SAMBUTAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT SEKOLAH 2010

Hari ini pada 7.30 pagi diadakan perhimpunan Sambutan Bulan Bahasa di Dataran Nilam. Perhimpunan dirasmikan oleh GPK1 Pn. Hjh. Arbaenah Bt Masud. Aktiviti yang dijalankan ialah puisi, pidato dan bercerita.

Siti Majidah Iskandar menyampaikan
puisi bertajuk 'Zikir Bahasa' 


Di antara objektif perhimpunan ini ialah:

  • Perhimpunan ini bertujuan menggalakkan semua sektor kerajaan mahupun swasta menggunakan bahasa kebangsaan secara meluas.
  • Memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat negara ini. 
  • Memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara setiap golongan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan.


M Nurilazim Ahmad Baharum
 berpidato dengan tajuk
'Memartabatkan Bahasa Melayu'.
Lagu Bahasa Jiwa Bangsa

Gunakanlah bahasa kebangsaan kita
Marilah amalkan ramai-ramai
Bahasalah menyatukan kita semua
Yakinlah bahasa jiwa bangsa

Marilah mari rakyat semua
Buktikan taat setia dengan satu bahasa
Maju bangsa dan maju negara
Megahkan bahasa kita
Bahasa jiwa bangsa

Lagu dan lirik: Dol Ramli


11 October 2010

SISTEM BARU GANTI PMR MAMPU KURANGKAN TEKANAN PEPERIKSAAN

Minda Pengarang
Berita Harian, 11 Oktober 2010

TEKA-TEKI mengenai kedudukan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sudah pun terjawab. Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa UPSR akan dikekalkan dengan melakukan sedikit penambahbaikan.

Sementara PMR akan dimansuhkan dan diganti dengan sistem penilaian baru berasaskan sekolah. Perubahan itu sejajar dengan desakan pelbagai pihak yang mahu kerajaan memperbaiki sistem persekolahan di negara ini kerana berpendapat sistem yang diguna pakai sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan. Berikutan keputusan itu, mulai 2016 UPSR akan menggunakan format baru dengan beberapa penambahbaikan dari segi bentuk dan komposisi subjek. Antara perubahan dicadang itu, termasuk mengambil kira bidang utama dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan selebihnya berteraskan aktiviti kokurikulum atau sivik.

Perubahan itu mengurangkan penilaian prestasi pelajar yang selama ini hanya berasaskan akademik dan peperiksaan. Bagi PMR pula, kementerian melalui Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan memastikan aspek integriti pentaksiran supaya tiada sekolah mengamalkan sikap pilih kasih terhadap mana-mana calon dalam pemberian markah. Kita yakin, jika soalan disediakan atau dipantau LPM, masalah perbezaan soalan dan sistem pemarkahan dapat ditangani, sekali gus mengelak dakwaan pihak sekolah mengamalkan sikap pilih kasih terhadap calonnya.

Keputusan kerajaan ini, tentunya tidak mampu memuaskan hati semua pihak kerana sebelum ini pun pelbagai pandangan berbeza dilontarkan mengenai perubahan yang sepatutnya dibuat terhadap sistem peperiksaan, termasuk daripada wakil Kementerian Pelajaran atau agensi kerajaan sendiri, sektor swasta, ahli akademik serta tokoh pendidikan. Malah ada yang menyarankan supaya kerajaan memansuhkan langsung kedua-dua peperiksaan, sebaliknya memadai dengan satu peperiksaan saja, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kita yakin keputusan Kementerian Pelajaran itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak dan mengkaji secara mendalam dari pelbagai sudut. Selain itu, Kementerian Pelajaran turut melakukan ujian perintis membabitkan 50 sekolah pada 2008 dan 500 lagi tahun lalu bagi melihat kesesuaian cadangan yang bakal dilaksanakan itu.

Rakyat mesti yakin dengan tindakan kerajaan kerana apa diputuskan tentu sekali demi kebaikan semua pihak, apatah lagi jika ia membabitkan masa depan anak kita. Pendidikan adalah proses membangunkan insan sebab itu setiap perubahan memerlukan perancangan teliti kerana jika tersilap langkah ia bukan hanya menjejaskan masa depan rakyat, malah kemajuan negara juga boleh terancam. Pelajar, guru dan sekolah adalah pihak yang terbabit secara langsung dalam memastikan berjaya atau gagalnya pelaksanaan perubahan baru yang dicadangkan itu.

Kita tentunya tidak mahu sesuatu perubahan dilaksanakan separuh jalan, kemudian menemui kegagalan seperti apa yang berlaku terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang terpaksa dimansuhkan selepas mendapat bantahan banyak pihak. Walaupun peperiksaan adalah mekanisme penting untuk mengukur kecemerlangan pelajar, namun belum tentu dapat menjamin anak kita menjadi insan berketrampilan dari segi sahsiah dan berkemahiran dalam pelbagai bidang untuk mereka bersaing dalam dunia moden hari ini.



10 October 2010

FORMAT BARU UPSR DAN PMR BERMULA 2016

Berita Harian, 10 Oktober 2010


SYDNEY 9 Okt -  FORMAT baru Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diganti penilaian sekolah, akan diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, rundingan meja bulat terakhir mengenai pelaksanaan UPSR dan PMR bersetuju UPSR dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan, manakala PMR diganti penilaian sekolah.

“Sistem pendidikan ini ada putarannya. Kalau anak kita belajar sekarang, takkanlah tahun depan tiba-tiba (belajar) dengan sistem baru, dia akan menanggung beban, susah esok pada dia. Tapi kohort (kumpulan) yang baru mungkin akan masuk 2011 dan ujian pertama (diadakan) pada 2016. Pada waktu itu, kita akan adakan UPSR baru dan PMR dalam bentuk penilaian sekolah,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di bandar raya ini, semalam.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan berangkat ke Melbourne bagi menghadiri beberapa acara termasuk perasmian Dewan Malaysia Melbourne.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementerian.

Beliau berkata, antara perubahan dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik.

“Bagi UPSR, maknanya walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, tapi bentuk dan formatnya agak berbeza. Ini dikatakan penambahbaikan yang kita akan lakukan. Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tetapi Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah,” katanya.

Muhyiddin berkata, proses transformasi membabitkan penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR memerlukan tempoh enam tahun untuk disiapkan mengambil kira semua aspek dalam sistem pendidikan itu.

“Saya fikir dalam tempoh seminggu dua ini apabila selesai dan laporan lengkap (diterima), kita akan maklumkan secara muktamad (proses penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR),” katanya.



05 October 2010

PEPERIKSAAN PMR BERMULA

Pagi ini bermulalah peperiksaan PMR. Calon-calon PMR di sekolah ini dan di seluruh negara, menduduki peperiksaan tersebut. Kami harap calon-calon sekolah kita boleh menjawab kesemua soalan dengan betul. Selamat menghadapi peperiksaan. Semoga anda semua berjaya.

03 October 2010

FOTO TINGKATAN

Tingkatan 1S

Tingkatan 1M

Tingkatan 1T
Tingkatan 1K

Tingkatan 2S
Tingkatan 2M

Tingkatan 2T

Tingkatan 2K

Tingkatan 3S

Tingkatan 3M

Tingkatan 3T
Tingkatan 3K

Tingkatan 3P

Tingkatan 4 Sains

Tingkatan 4 Akaun
Tingkatan 4 Teknologi

Tingkatan 4 Kemanusiaan

Tingkatan 4 Katering

Tingkatan 4 Landskap


Tingkatan 5 Sains/Akaun


Tingkatan 5 Teknologi

Tingkatan 5 Kemanusian


Tingkatan 5 Katering

Tingkatan 5 Landskap

Kelas Pendidikan Khas

FOTO PENGAWAS, PERSATUAN DAN KELAB

Pengawas Sekolah
Pengawas Perpustakaan
Ketua-ketua Tingkatan Koperasi Sekolah
Persatuan Bahasa Malaysia
Persatuan Sains
Persatuan Bahasa Inggeris
Persatuan Matematik
Persatuan Sains Pertanian dan Landskap
Kelab Siaraya

Persatuan Pendidikan Islam
Persatuan Sejarah
Persatuan Kemahiran Hidup
Persatuan Seni Visual
Persatuan Katering dan Penyajian
Kelab Bimbingan dan Kaunseling