23 November 2010

PEPERIKSAAN SPM DAH BERMULA - KAMI DOAKAN CALON-CALON SPM SEMUA BERJAYA

Hari ini calon-calon SPM di Malaysia dan di SMK Telok Kerang mula menghadapi cabaran sebenar peperiksaan dalam alam persekolahan iaitu menghadapi Peperiksaan SPM. Segala usaha sama ada daripada ibu dan bapa, sekolah, guru-guru dan diri sendiri telah dilakukan. Kini tiba masanya anda semua mengorak langkah berjuang untuk menggapai kejayaan. 

Selamat menghadapi pepriksaan SPM....Kami doakan semoga anda semua berjaya.

22 November 2010

DAULAT TUANKU

Daulat Tuanku



Mengadap,
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN
JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA'ZIM

Merafak Sembah
Menjunjung Kasih dan Setinggi-tinggi Tahniah

Sempena
Ulang Tahun Hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Pada 22 November 2010 Bersamaan 15 Zulhijjah 1431 Hijrah

Dengan Segala Hormat Takzimnya
Yang Berdatang Sembah

Pengetua, Guru-guru, Kakitangan dan Pelajar-pelajar,
SMK Telok Kerang

20 November 2010

SELAMAT BERCUTI PANJANG

Hari ini cuti panjang hujung tahun dah bermula. Kami mengucapkan selamat bercuti kepada guru-guru dan pelajar-pelajar. Isikan waktu cuti sebegini dengan kerja-kerja yang berfaedah. Jaga keselamatan diri. Selamat bercuti.

19 November 2010

SMK TELOK KERANG JADI NAIB JOHAN DALAM PERTANDINGAN PENCAHAYAAN, KEBERSIHAN DAN KECERIAAN SEMPENA SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN DYMM SULTAN JOHOR TAHUN 2010



Petang tadi bertempat di perkarangan Majlis Daerah Pontian telah diumumkan pemenang-pemenang Pertandingan Pencahayaan, Kebersihan dan Keceriaan Bangunan. Pertandingan tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor Tahun 2010.

SMK Telok Kerang telah diisytiharkan sebagai Naib Johan dalam pertandingan tersebut. Hadiah-hadia telah di sampaikan oleh Tuan Pegawai Daerah Pontian. Cikgu Hasan Kasmuri mewakili Tuan Pengetua untuk menerima hadiah.

Pertandingan yang bertemakan 'Pontian bersih, indah dan menarik' adalah berdasarkan empat kategori iaitu: Institusi Kerajaan, Bangunan Swasta, Sekolah-sekolah dan Masjid. Suasana di hadapan bangunan SMK Telok Kerang nampak ceria dengan kibaran Bendera Negeri Johor dan Jalur gemilang dan  bertambah bercahaya pada waktu malam dengan sinaran lampu-lampu pelbagai warna.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Hasan Kasmuri yang dibantu oleh En. Roslee Md Khair dan pelajar-pelajar lelaki Tingkatan 1 Segar yang bertungkus-lumus membuat persediaan.





MAJLIS PERPISAHAN CIKGU ROZI AHMAD, CIKGU YUSNIZAWATI BT YUSOFF DAN CIKGU ROSZAINI BT JAMIAN

Pagi ini selepas majlis membaca Surah Yasin, diadakan pula majlis perpisahan guru-guru yang akan berpindah. Guru-guru tersebut ialah Cikgu Rozi B Ahmad dan isterinya iaitu Cikgu Yusnizawati Bt Yusoff, dan Cikgu Roszaini Bt Jamian.

Pasangan Cikgu Rozi dan Cikgu Yusnizawati yang bertemu jodoh semasa bertugas di SMK Telok Kerang akan berpindah ke Taiping, Perak. Cikgu Roszaini pula akan berpindah ke Johor Bahru, Johor.

Majlis perpisahan bertambah sayu dan pilu apabila kelihatan Cikgu Roszaini tidak dapat menahan air mata semasa menyampaikan ucapan selamat tinggal kepada warga SMK Telok Kerang.

Semoga Cikgu-gikgu akan terus kental melaksanakan tugas sebagai guru di sekolah baru. Selama cikgu-cikgu bertugas di sekolah ini akan menjadi kenangan terindah antara kita. Selamat berpisah. Jika ada ketentuan daripada Allah SWT kita bisa ketemu lagi.














17 November 2010

HARI RAYA AIDILADHA DAN KORBAN


Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain daripada Hari Raya Aidilfitri. Eidul Adha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun.

Selepas solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha  ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-Maidah ayat 27.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim).

Hikmah di sebalik ibadah korban di Aidiladha:

  1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
  2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya.
  3. Berkongsi merasai nikmat Allah s.w.t.hasil daripada ibadah korban (nikmat daging sembelihan) dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
  4. Menghidupkan amalan sunah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w ketika Hari Raya Eidul Adha dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban binatang ternakan.
  5. Melahirkan sifat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t dengan tujuan mencari keredhaan-Nya semata-mata.
  6. Melahirkan budaya gotong royong di kalangan umat Islam dan membina ukuwah Islamiyah dan silaturahim

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha

15 November 2010

MAJLIS MOHON RESTU CALON-CALON SPM

Pagi tadi telah diadakan Majlis Mohon Restu SPM 2010. Dalam majlis tersebut, selain daripada ucapan semangat dan motivasi daripada Puan Hjh. Arbaenah Bt Masud, GPK1, telah diadakan juga penyampaian cenderahati dan bersalam-salaman antara pelajar-pelajar dan guru-guru sambil berselawat.

 Matlamat majlis ini ialah:

  1. Pelajar-pelajar calon SPM bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan SPM.
  2. Pelajar-pelajar mendapat pengampunan dan keikhlasan ilmu yang disampaikan oleh guru-guru.
  3. Mohon doa restu seluruh warga SMKTK agar-agar pelajar-pelajar berjaya.








14 November 2010

PELAJAR CEMERLANG MISKIN DIUTAMA MASUK SEKOLAH BERASRAMA PENUH 2011

Berita Harian 14 November 2010

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, bermula tahun depan, hanya pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah akan dipilih memasuki sekolah berasrama penuh (SBP).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan berdasarkan kriteria yang saksama dan merit pencapaian pelajar sejajar matlamat asal penubuhan sekolah itu. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, ketika kerajaan mewujudkan SBP dulu, ia bertujuan memberikan peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah belajar di tempat selesa tanpa mengeluarkan belanja besar. Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini, ia sudah lari daripada matlamat asalnya apabila SBP ini dianggap sebagai sekolah elit untuk pelajar dengan keputusan terbaik.

Beliau menegaskan, ini menyebabkan ibu bapa berlumba-lumba mahu menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan, walaupun hakikatnya sekolah bukan berasrama penuh turut mencapai keputusan cemerlang.

Jadi saya sudah meminta pegawai di Kementerian Pelajaran supaya meneliti semula asas kenapa kita adakan sekolah berasrama penuh ini. Ini akan dimulakan bagi pengambilan persekolahan tahun depan, katanya kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, bahawa hanya 10 peratus daripada 48,327 murid yang memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh.

Muhyiddin juga menjelaskan, walaupun Kementerian Pendidikan membuat pengambilan berdasarkan asas itu akan ada juga di kalangan pelajar yang layak gagal mendapatkan tempat di sekolah berkenaan kerana bilangannya mungkin jauh lebih besar daripada hanya kira-kira 7,000 tempat yang ada.

Jika 70 atau 80 peratus daripada 80,000 yang memohon adalah daripada kalangan miskin, sudah tentu kita tidak dapat penuhi semuanya. Justeru, kita akan menggunakan kriteria saksama dan berdasarkan merit pencapaian mereka, katanya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, langkah yang akan diambil Kementerian Pelajaran itu tidak seharusnya mengecewakan ibu bapa pelajar yang lain kerana usaha meningkatkan mutu pembelajaran di semua sekolah sudah dilakukan. Malah, katanya, banyak sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) bukan daripada kalangan SBP.

Saya akan mengumumkan 30 sekolah berprestasi tinggi yang sebahagian besarnya bukan SBP, katanya.

11 November 2010

JAMUAN AKHIR TAHUN

Malam ini telah diadakan Jamuan Akhir Tahun Guru-guru dan Kakitangan Tahun 2010. Jamuan tersebut diadakan di Hotel Pontian bermula pukul 8.00 malam. Jamuan itu juga turut meraikan persaraan Tn. Hj. Harsat B Abd. Rahman dan Pn. Hjh. Maznah Bt Abu Talib. Ramai guru-guru yang hadir dengan diketuai oleh Tuan Pengetua, En. Abd Hamid B A Bakar. Ada guru-guru yang membawa suami atau isteri dan anak-anak. Namun begitu kebanyakannya datang secara solo....

Tn. Hj. Harsat dan Pn. Hjh. Maznah dalam ucapannya banyak mengimbau kenangan lalu semasa mula dan mengakhiri zaman menjadi guru. Mereka berdua juga memberi nasihat kepada guru-guru agar terus berkhidmat dalam pendidikan dengan cemerlang.

Acara pada malam itu selain daripada acara utama iaitu pulum juadah yang dihidangkan, diselitkan juga acara-acara seperti tayangan slaid foto-foto klasik orang yang diraikan iaitu Tn. Hj. Harsat dan Pn. Hjh. Maznah, cabutan bertuah dan bertukar-tukar hadiah. Yang dapat hadiah cabutan bertuah dah tentu gembira, yang tak dapat tuuuu cuba lagi tahun hadapan....
















MAJLIS PERSARAAN TN. HJ. HARSHAT B ABD. RAHAMAN DAN PN. HJH. MAZNAH BT ABU TALIB

Pagi ini suasana SMK Telok Kerang berlainan daripada hari-hari biasa. Dua orang guru yang disayangi akan bersara. Mereka ialah Tn. Hj. Harsat B Abd Rahman, GPK1 dan Pn. Hjh. Maznah Bt Abu Talib, GC Kemahiran Hidup ERT. Dengan takdir Allah SWT mereka berdua memulakan karier sebagai guru pada hari yang sama dan sekolah yang sama iaitu di SMK Ayer Baloi dan bersara bersama di sekolah yang sama iaitu di SMK Telok Kerang.

Majlis persaraan diadakan di Dewan A dengan dihadiri oleh guru-guru dan pelajar-pelajar. Majlis dimulakan dengan perarakan kompang mengiring mereka berdua masuk ke dewan. Biodata mereka berdua dibacakan oleh Cikgu Zamri  B Ismail.  Dalam ucapan terakhirnya, Cikgu Harsat dan Cikgu Maznah bercerita mengingat kembali nostalgia semasa mula-mula menjadi guru. Ada kenangan manis dan ada kenangan pahit.

Majlis berakhir dengan acara 'send off' mereka berdua dengan diiringi sorakan barisan pelajar-pelajar di kiri dan kanan sepanjang jalan keluar ke pintu utama.

Selamat bersara cikgu. Walaupun dah bersara, panggilanmu tetap 'Cikgu'. Cikgu Harsat dan Cikgu Maznah, jasamu tetap di kenang.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga











09 November 2010

DATUK ABD. GHAFAR MAHMUD KETUA PENGARAH PELAJARAN BAHARU

Utusan Malaysia 8 November 2010


Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Abd. Ghafar Mahmud, 54, dilantik menjadi Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu berkuat kuasa esok. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, Abd. Ghafar akan menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang bersara wajib hari ini.

''Selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 144(3), Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri telah memperkenankan pelantikan Abd. Ghafar sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Beliau memberitahu, pelantikan Abd. Ghafar dibuat berasaskan pengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengetahuan serta kompetensi yang dimilikinya.

''Kerajaan percaya, pengalaman, pengetahuan serta komitmen Abd. Ghafar akan membolehkan beliau melaksanakan tugas seperti mana diperuntukan oleh Akta Pendidikan 1996,'' kata beliau.

Tambah Muhyiddin, kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Alimuddin atas sumbangan kepada perkhidmatan awam serta negara selama 34 tahun.

Alimuddin memegang jawatan Ketua Pengarah Pelajaran sejak 16 Julai 2007.

Abd. Ghafar berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang pendidikan dari Universiti of East Aglia, Norwich, United Kingdom serta pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai pegawai perkhidmatan pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya di Kementerian Pelajaran, Abd. Ghafar memegang pelbagai jawatan antaranya sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki sejak tahun lepas, Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pada 2008 dan Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum pada 2007. Di samping itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah, Unit Berasrama Penuh serta Ketua Penolong Pengarah, Unit Perancang dan Pembangunan, Bahagian Sekolah pada 2001.