28 February 2011

SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1432H

Sambutan Maulidurrasul sekolah diadakan pada hari Sabtu 26 Februari 2011. Dalam majlis yang sama juga ramai guru-guru dan kakitangan yang membuat aqiqah. Pada hari itu dan hari-hari yang lain sewajarnya kita menyelongkar semula perjuangan Rasulullah SAW bagi menegakkan agama Allah SWT di dunia yang fana ini.

Guru-guru dan pelajar-pelajar berarak sambil bersalawat di kawasan Kampung telok Kerang. Semangat kerjasama dan gotong-royong antara warga sekolah telah dapat menjayakan majlis tersebut.

Foto-foto Sambutan Maulidurrasul 1432H di SMK Telok Kerang pada 26 Februari 2011.









22 February 2011

TELEFON AWAM DI SEKOLAH DIPERTINGKAT

Utusan Malaysia 22 Februari 2011

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan berusaha mempertingkatkan kemudahan telefon awam di kawasan sekolah agar dapat membendung gejala pelajar membawa telefon bimbit ketika waktu persekolahan. Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu sekali gus akan menjawab persoalan mengenai pelajar yang menghadapi kesukaran menghubungi ibu bapa atau penjaga ketika di sekolah.

"Apabila masalah itu diatasi maka tiada lagi alasan kenapa pelajar termasuk yang tinggal di asrama harus membawa telefon bimbit ke sekolah. Membawa telefon bimbit ke sekolah memang banyak mendatangkan masalah berbanding kebaikan kepada pelajar," katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia yang mendedahkan kegiatan pelajar yang bebas membawa telefon bimbit ke sekolah.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa surat pekeliling kementerian mengenai larangan penggunaan telefon bimbit tersebut seolah-olah sudah diabaikan oleh pelajar dan pihak sekolah.

Menurut Ka Siong, mesyuarat Jawatankuasa Induk Disiplin yang diadakan tahun lepas telah memutuskan agar larangan itu kekal dilaksanakan.

"Perkara ini telah diumumkan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran tahun lalu, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom. Oleh yang demikian, pihak sekolah perlu melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas pelajar dari semasa ke semasa," katanya.

15 February 2011

LARIAN MAHKOTA

Pada pagi tadi, kawasan sekolah meriah dengan guru-guru dan pelajar-pelajar yang suka-suka berlari dalam Larian Merdeka. Larian anjuran JPN Johor disambut baik oleh warga sekolah. Macam-macam gaya berlari telah mereka tunjukkan. Apa yang jelas kelihatan ramai guru-guru yang berjalan santai seperti itik pulang petang. Mereka berpegang pada 'beribu langkah kejayaan bermula dari selangkah kaki ke hadapan'....ewwahhh.

Pada larian itu juga diadakan cabutan bertuah. Yang bertuah tu seronoklah. Yang tak bertuah dapatlah peluh-peluh dari badan yang sihatttt....




03 February 2011

SYARIKAT SIMEN LAFARGE TAJA 5,000 NASKHAH UTUSAN MALAYSIA

Utusan Malaysia 29 Januari 2011

JOHOR BAHRU 28 Jan. - Syarikat simen, Lafarge Cement Sdn. Bhd., telah menaja 5,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia bernilai RM4,896 untuk diagihkan kepada enam buah sekolah di Pasir Gudang dan Pontian, dekat sini.


TAY Chee Hui (empat dari kanan) menyerahkan replika cek
kepada Mohd. Asri Jantan bagi menaja 5,000 naskhah
Utusan Malaysia di Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.
Turut hadir guru besar dan pengetua enam buah sekolah terbabit. 

Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd. Zon Selatan, Mohd. Asri Jantan berkata, sekolah-sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 2, SK Pasir Gudang 3, SK Pasir Putih dan SK Perigi Acheh.

Kata Mohd. Asri, turut menerima tajaan tersebut ialah SMK Telok Kerang iaitu satu-satunya sekolah dari Pontian.

Menurutnya, menerusi penajaan tersebut sekolah terbabit mendapat sisipan pendidikan ADaP, akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari Rabu bagi sekolah rendah, manakala pada hari Khamis untuk sekolah menengah.

"Penajaan itu adalah khusus untuk pelajar sekolah rendah dan menengah yang akan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tajaan itu akan diedarkan mulai Februari hingga menjelang peperiksaan, dengan anggaran antara 15 hingga 20 naskhah bagi setiap sekolah," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan replika cek bernilai RM4,896 sumbangan Lafarge untuk menaja 5,000 naskhah Utusan Malaysia di Lafarge Cement di Pasir Gudang, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus kilang Lafarge Cement, Tay Chee Hui disertai para pengetua dan guru besar sekolah terbabit.

Sementara itu, Chee Hui berkata, setiap tahun syarikat itu memberikan bantuan kepada pelajar miskin serta mengiktiraf pelajar-pelajar cemerlang di enam sekolah terlibat dan program ini merupakan tahun keenam ia dilaksanakan.

"Sebagai sebuah syarikat, wajar bagi kami membantu kerajaan dalam menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan dengan harapan dapat melahirkan masyarakat yang sempurna. Kami juga memberi bantuan kewangan dan simen kepada sekolah-sekolah yang memerlukan, begitu juga masyarakat sekitar Pasir Gudang telah memanfaatkan simen yang disumbangkan apabila rumah mereka ditimpa musibah kebakaran sebelum ini," katanya lagi.

Tambah beliau, pihaknya turut prihatin terhadap alam sekitar dengan mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan Sungai Padang di Suaka Burung Panti, Kota Tinggi.

02 February 2011

KEMEROSOTAN KEPUTUSAN STPM 2010 AKAN DIKAJI

Utusan Malaysia 23 Februari 2011

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mengkaji punca kemerosotan peratusan lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 di seluruh negara yang diumumkan semalam.  Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian akan menyediakan analisis bagi mengenal pasti punca penurunan peratusan lulus penuh itu sebelum tindakan seterusnya diambil. Selain itu, kata beliau, tindakan menempatkan guru berpengalaman dan berkualiti di luar bandar tidak semestinya langkah tepat untuk merapatkan jurang prestasi antara calon bandar dan luar bandar.

"Kebanyakan sekolah di luar bandar mahupun di kawasan pedalaman mempunyai guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada lima tahun dan bukanlah hanya dipenuhi dengan guru baru lepasan maktab sahaja. Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum mengambil tindakan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan memastikan keputusan lulus penuh dapat ditingkatkan semula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM tahun lalu dan hanya 46,780 atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menunjukkan penurunan iaitu dari 47.72 peratus atau 25,001 calon yang dicatatkan pada 2009 berbanding 46.41 peratus (23,473 calon) tahun lalu.

Selain itu, 11 lagi mata pelajaran turut menunjukkan penurunan prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Seni Visual, Perakaunan, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Biologi, Ekonomi, Matematik S dan Bahasa Arab.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, kajian tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh meskipun terdapat sesetengah pihak beranggapan ia tidak serius.  katanya, jika perkara tersebut tidak ditangani segera, dibimbangi pelajar lepasan STPM tidak mampu bersaing dengan penuntut program matrikulasi mahupun diploma. Tegasnya, lebih serius peratus lulus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia turut menunjukkan penurunan pada tahun lalu.

"Penurunan tersebut perlu dikaji dengan teliti bagi mengenal pasti sama ada pendekatan memartabatkan bahasa kebangsaan itu masih rendah dan tidak menonjol. Kesan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik juga perlu dikaji sama ada turut menjadi punca penurunan bagi mata pelajaran tersebut," katanya.

Jelas Mohamad Ali, kementerian perlu mengesan penurunan keputusan STPM 2010 dan mencari langkah terbaik mengatasinya yang juga merangkumi langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang.