28 April 2011

SYABAS DAN TAHNIAH! PASUKAN PANDU PUTERI SMKTK JADI NAIB JUARA PERTANDINGAN KAWAD KAKI BADAN BUKAN KERAJAAN PONTIAN 2011

Kalau semalam ahli KRS tersenyum riang, pada hari ini pula Pasukan Pandu Puteri sekolah kita menangis tanda gembira. Siapa sangka pasukan yang hanya bergiat mejalani latihan intensif selama seminggu menjadi naib juara dalam pertandingan penuh prestij anjuran PPD Pontian.

Pertandingan yang dijalankan di SMK Tan Sri Osman Mohd Saat itu menjadi detik awal kemunculan penuh gaya Pandu Puteri sekolah kita untuk melakar sejarah sebagai pasukan terbaik dalam kawad kaki bagi tahun-tahun akan datang. SMKTK boleh....

Tahniah kami ucapkan.

Tentunya perasaan gembira itu kita kongsi bersama. Kita berbangga apabila sekolah kita yang kecil ini mampu bersaing dengan sekolah-sekolah yang lebih besar di daerah Pontian. Yang penting ialah semangat jitu untuk berjaya. Adalah lebih baik jika semangat ingin menang ini diterapkan dalam proses pembelajaran. Tentunya hasilnya lebih lumayan. Ewah....

Sekalung penghargaan kami berikan khususnya kepada semua ahli Pandu Puteri yang berusaha gigih semasa latihan dan kepada Cikgu Shamsul Sazali sebagai jurulatih yang tak jemu-jemu melatih ahli pasukan ini. Tak lupa kepada Cikgu Lee GPK Kokurikulum yang dengan sabar berusaha menyediakan keperluan yang sepatutnya dan kepada semua guru-guru Pandu Puteri iaitu Cikgu Rafeah dan Cikgu Hasni yang sentiasa bersemangat.






27 April 2011

TAHNIAH! KRS LELAKI SMK TELOK KERANG JADI NAIB JUARA PERTANDINGAN KAWAD KAKI KRS DAERAH PONTIAN

Hari ini adalah hari yang menggembirakan bagi ahli-ahli KRS sekolah kita. Kita keluar sebagai naib juara dalam pertandingan kawad kaki KRS kategori laki-laki anjuran PPD Pontian. Sungguh membanggakan. Tahniah!

Pertandingan yang dijalankan di SMK Tan Sri Osman Mohd Saat itu berjalan dengan baik dan dijuarai oleh SMK Parit Betak. Sesiapa yang pernah menguruskan pasukan untuk pertandingan kawad kaki tentunya memahami susah payah untuk mengumpulkan ahli dan berlatih setiap hari. Ini ditambah pula dengan pakaian dan aksesori yang seragam menjadikannya satu pertandingan yang amat mencabar. 

Istilah bermuafakat dan berpakat membawa berkat memang betul dan itulah yang diamalkan oleh ahli-ahli kawad kaki ini dimana ahli-ahlinya terdiri daripada pelajar-pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Kami mengucapkan terima kasih kepada semua ahli pasukan KRS dan juga kepada Cikgu Hatta yang tidak jemu-jemu berlatih walaupun ada kekangan semasa berlatih. Kejayaan anda membanggakan kami warga SMKTK. Syabas!






20 April 2011

SMK TELOK KERANG MENJADI TUAN RUMAH PERBARISAN PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS KE-41 DAERAH PONTIAN TAHUN 2011

Petang tadi sempurnalah Perbarisan Peringatan Hari Kor Kadet Polis Ke-41 Daerah Pontian Tahun 2011. Perbarisan yang berlangsung di Dataran Nilam SMK Telok kerang bermula tepat pada pukul 3.00 petang apabila barisan kawalan kehormatan masuk baris.

Perbarisan dirasmikan sempurna oleh ASP Haji Othman Bin Sulaiman, Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian. Hadir bersama dalam perbarisan tersebut ialah En. Ab. Rahim Bin Lamin, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian dan En. Abdul Hamid Bin Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang merangkap Pengerusi Panitia Kor kadet Polis Daerah Pontian. Turut sama hadir ialah para jemputan iaitu Tuan Pengetua, GPK 1, GPK HEM, GPK Kokurikulum semua sekolah menengah , pegawai-pegawai polis IPD Pontian dan guru-guru Kadet Polis.

Perutusan Ketua Polis Negara telah dibacakan oleh ASP Haji Othman Bin Sulaiman, Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian selepas En. Ab. Rahim Bin Lamin, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian menyampaikan ucapannya.

Perbarisan diserikan apabila barisan Kawalan Kehormatan yang nampak segak dan gagah mula masuk baris. Barisan Kawalan Kehormatan ini terdiri daripada 33 ahli Kadet Polis dari SMKDAHA, Sekolah Maahad Pontian dan Sekolah Tinggi Pei Chun yang diketuai oleh Sarjan KP Puteri Noratiqa Binti Salimi dan dipimpin oleh Pegawai Baris iaitu Insp. KP Shamsul Sazali Bin Salimin. Di belakang barisan Kawalan Kehormatan ini ialah detachmen yang terdiri daripada platun-platun Kadet Polis semua sekolah di daerah Pontian.

Perbarisan pada petang tadi dalam keadaan yang tenang dan hening dengan suhu keliling yang dingin kerana hujan turun sekali-sekala. Hujan rahmat...
















13 April 2011

SMK TELOK KERANG MEMANG KUAT DALAM SUKAN BOLA TAMPAR

Dalam masa dua hari ini, suasana di kawasan SMK Telok Kerang bergema dengan sorak-sorai penyokong-penyokong pasukan bola tampar sekolah masing-masing. Pertandingan bola tampar MSSD Pontian berlangsung di sekolah ini.

Sekolah ini telah mengungguli kategori perempuan dengan pasukan SMKTK A menjadi juara pertandingan manakala SMKTK B dikedudukan ke-3. Manakala pasukan lelaki pula, SMKTK A dikedudukan ke-3. Ada desas-desus mengatakan jika Kamil tidak cedera kerana kemalangan, harapan untuk SMKTK A menjadi juara memang ada. Itu semua cuma andaian....

Ramai pemain sekolah kita berjaya dipilih untuk mewakili daerah Pontian ke pertandingan peringkat negeri. Berlatihlah bersungguh-sungguh.

Syabas dan tahniah kami ucapkan kepada para pemain dan pengurusan pasukan bola tampar yang diketuai oleh Cikgu Zamri dan Cikgu Samsul Sazali. Anda semua telah memberi kegembiraan kepada kami warga SMKTK.







08 April 2011

TAHNIAH... BOLASEPAK 15 TAHUN SMKTK JADI NAIB JOHAN DAERAH PONTIAN

Pagi tadi skuad bola sepak bawah 15 tahun sekolah kita melakar kejayaan dengan menjadi naib johan pertandingan  bolasepak daerah Pontian. Setelah berhempas-pulas mempertahankan gawang yang diserang bertalu-talu oleh pasukan SMKDMYS di perlawanan akhir, skuad di bawah bimbingan jurulatih import dari Terengganu iaitu Ustaz Sukri dan Cikgu Hata akhirnya mengaku kalah. Kecundang dengan jumlah jaringan yang tidaklah besar sangat.

Sebelum itu skuad ini telah seri dengan SMKDAHA, menang dengan MRSM dan kalah dengan SMKDMYS. Dalam perlawanan separuh akhir, sekolah kita mengatasi SMKAB. Tahniah diucapkan kepada semua pemain.



03 April 2011

200,000 TEMPAT DITAWAR DI IPTA/IPTS

Lebih 200,000 tempat ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta kepada para penuntut bagi kemasukan sesi akademik 2011/ 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 2 April 2011berkata, tawaran itu adalah untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf serta mereka yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Beliau memberitahu, 100,500 tempat adalah bagi pengambilan penuntut dalam bidang teknikal, latihan dan kemahiran di 27 buah politeknik serta 323 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) pada tahun ini.

“Dengan adanya tawaran melanjutkan pengajian sama ada ke IPT mahupun institut latihan dan teknikal, ia dapat memberi pilihan kepada penuntut untuk mengikuti kursus-kursus yang diminati sekali gus mampu menampung keperluan negara dari segi tenaga kerja mahir.Pastinya kerajaan akan meneruskan komitmen menyediakan pendidikan yang berkualiti di institusi pendidikan dan latihan di negara ini. Bagi kerajaan ini merupakan satu usaha berterusan,” katanya.

Muhyiddin berkata, buat masa ini lebih 580,000 mahasiswa mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama, sarjana dan PhD di semua IPT awam dan swasta.

Beliau berkata, sememangnya matlamat kerajaan menyediakan pendidikan berkualiti kerana ia merupakan landasan bagi melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan daya saing melalui peningkatan kualiti modal insan.








02 April 2011

SYABAS! ATLIT SMKTK BERJAYA MEMBAWA PULANG 11 EMAS, 4 PERAK DAN 5 GANGSA

Kami warga SMKTK mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlit-atlit sekolah yang telah berjaya membawa pulang 11 pingat emas, 4 perak dan 5 gangsa dalam Kejohahan Padang dan Balapan MSSD Pontian 2011. Kejohanan yang bermula dari 28 hingga 31 Mac telah menampilkan bakat dan keunggulan atlit-atlit sekolah ini. Dengan pungutan pingat sebanyak itu, kita berjaya menduduki rangking ke-3 daripada 18 sekolah menengah di daerah ini. Seramai 4 orang atlit akan mewakili daerah Pontian ke sukan MSSJ.

Sekali lagi kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlit-atlit dan pengurusan sukan sekolah kita.