22 July 2011

MAJLIS PERSARAAN EN. SAMSUDDIN BIN AMI

Semalam adalah hari terakhir bagi seorang warga SMKTK yang disayangi iaitu En. Samsuddin B Ami bertugas di sekolah ini. Beliau akan bersara wajib pada usia 58 tahun pada hari itu. Selamat bersara.

En. Samsuddin B Ami atau mesra dengan panggilan 'Abang Sam' di kalangan guru-guru dan 'Pak Cik Sam' di kalangan murid-murid sekolah ini memulakan kerjaya sebagai Pegawai Am Rendah (PAR) pada 6 Januari 1969 seawal usia 15 tahun. Mula bertugas di SMK Telok Kerang pada 16 Mei 1991.

Beliau dilahirkan pada 21 Julai 1953 di Batu Pahat, Johor. Berkahwin dengan pasangan hidupnya iaitu Pn. Siti Robiah Bt Mahfod pada 4 Ogos 1984. Pada usia persaraan ini beliau dikurniakan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Kini beliau tinggal di rumah barunya yang tersergam indah di hadapan SK Telok Kerang, di Kampung Telok Kerang.

Beliau yang terlalu sayangkan isterinya amat mudah memberi kerja sama kepada guru-guru yang meminta bantuannya. Bersama rakan sekerjanya iaitu En. Rosle B Mohd Khair, beliau berusaha memperbaiki kerosakan fizikal sekolah atau membina fizikal sekolah yang baru. Kerja-kerja seperti penghantaran 'relief' untuk guru-guru, percetakan nota-nota dan kertas soalan yang kadang-kadang berlambak-lambak adalah permainan biasa baginya. Semua beres...

Satu keistimewaan En. Samsuddin Bin Ami ini ialah beliau banyak tahu mengenai sesuatu perkara terutamanya mengenai perkara-perkara yang berlaku di Pontian. Tanyalah kepada beliau, jawapan yang diterima boleh membantu kita. Beliau banyak kenalan. Hatinya gembira apabila dapat bersama kawan-kawan.

Untuk rancangan semasa bersara nanti, pada permulaannya beliau akan duduk rehat-rehat selepas berkebun di kebunnya. Keiinganan dan minatnya untuk berniaga akan dilaksanakan selepas beberapa bulan di alam persaraan.

Kami mengucapkan selamat bersara.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga









21 July 2011

MERIAHNYA HARI KOKURIKULUM

Hari ini suasana SMKTK meriah berbeza daripada hari-hari biasa kerana hari ini adalah Hari Kokurikulum. Banyak aktiviti yang dijalankan di sepanjang hari. Ramai murid dan guru yang terlibat dan turut serta menjayakan aktiviti yang dirancang.

Yang paling mendapat sambutan ialah penjualan pelbagai bahan jualan yang diusahakan oleh persatuan dan kelab. Ada yang menjual roti canai, nugget goreng, laksam, buah-buah potong, pelbagai air minuman, burger, barangan hiasan, barangan cenderahati dan banyak lagi. Kebanyakan bahan jualan habis terjual menjelang pukul 1.00 tengahari. Lepas tu buat kerja kira untung...

Di antara pengisian yang lain untuk aktiviti hari kokurikulum ini ialah ceramah khas untuk murid-murid perempuan, pertandingan-pertandingan bola sepak, bola tampar, bola jaring, ping pong, kawad kaki mini, shahiba dan lain-lain. Diadakan juga persembahan muzik tradisional gamelan dan nyanyian suka-suka diiringi kumpulan kugiran sekolah.











13 July 2011

LAWATAN KE CAMERON HIGHLANDS DAN PUTRAJAYA

Pada 9 hingga 12 Julai 2011 seramai 35 ahli Persatuan Landskap dan ALK Koperasi sekolah pergi melawat ke Cameron Highlands dan Floria Putrajaya. Mereka diiringi oleh Cikgu Hasan, Cikgu Noraizan, Cikgu Syuhada dan Cikgu Maherunnisak.

Murid-murid ini menginap di Cameron Highlands selama dua malam. Beberapa lokasi di Cameron Highlands telah dilawati termasuklah ladang teh, ladang strawberi Almashoor dan MARDI selain melawat nurseri tanaman hiasan dan ladang penternakan lebah. Masa yang terluang mereka gunakan untuk membeli belah disepanjang jalan di sana.

Hari terakhir mereka bertolak pula melawat ke Putrajaya khususnya melawat ke Floria Putrajaya 2011.


























03 July 2011

LARIAN SERENTAK 1MURID 1SUKAN PECAH REKOD MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR)


Muhyiddin Yassin bersalaman dengan murid-murid yang menyertai larian
 serentak 1Murid 1Sukan sambil diperhatikan Dr. Zambry Abd. Kadir (kanan)
ketika  pelancaran dasar 1Murid 1Sukan di Taiping, Perak, semalam. 






TAIPING 2 Julai - Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang berlangsung di seluruh negara berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai larian terbesar yang disertai oleh 4,137,126 pelajar daripada 9,980 buah sekolah.

Larian yang diadakan sempena pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan di Padang Dataran Perbandaran Taiping itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal pagi ini.

Muhyiddin sewaktu berucap pada majlis tersebut menegaskan, sukan merupakan satu platform pembentukan sahsiah pelajar dan memupuk integrasi sosial seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara.

"Saya amat berharap acara ini akan menjadi pemangkin ke arah pembudayaan sukan di kalangan semua murid di setiap sekolah di seluruh negara.

"Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah untuk merealisasikan aspirasi ini dalam masa terdekat," katanya.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran pada Mac lalu antara lain bertujuan melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Terdahulu, Muhyiddin melepaskan seramai 15,000 peserta larian yang terdiri pelajar dan murid daripada 30 sekolah menengah dan 20 sekolah rendah di sekitar bandar ini.

Larian yang bermula seawal 7.45 pagi dan sejauh 1.85 kilometer itu turut disertai oleh para guru dan ibu bapa.

Sumber: Utusan Malaysia

PROJEK FERTIGASI ROCKMELON: YANG TERGANTUNG DISEBALIK DAUN


Pagi tadi kami pergi jenguk projek fertigasi kami. Banyak pokok rockmelon yang dah berputik dan lebih besar daripada yang kami jangkakan. Buah muda sebesar telur angsa itu tergantung dan terselit di celah-selah daun yang lebar. Empat hari yang lepas Syahmi dan Syafik telah mencantas sulur di hujung putik buah. Jadi pada hari ini kelihatan putik buah yang membesar itu nampak kemas. Dengan kesempatan yang ada di pagi Ahad ini, kemudian kami bancuh asid giberelik lalu putik-putik buah itu kami celup dalam larutan asid giberelik itu.