29 August 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

 سلامت هاريراي عيدالفطري
 Maaf Zahir dan Batin


Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga SMK Telok Kerang yang beragama Islam dan kepada umat Islam di seluruh dunia. Maaf zahir dan batin.

Aidilfitri adalah perayaan khusus dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Ia sebagai tanda individu muslim itu telah kembali ke fitrah asalnya iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya.

Sebagai tanda meraikan kejayaan itu maka kita dianugerahkan Hari Raya Aidilfiri. Pada asasanya Aidilfitri adalah hari untuk kita menzahirkan kegembiraan. Namun, kegembiraan itu perlu dilakukan dalam kerangka syariat Islam. Umat Islam perlu mengikut lunas-lunas akhlak dan syariat Islam. Rasa kehambaan yang kita kecapai di bulan Ramadan itu jangan dicemarkan dengan perbuatan dan amalan-amalan yang boleh merosakkan kembali ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Aidilfitri bukan hari untuk kita melempiaskan hawa nafsu sekehendak hati. Kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan takbir (Allahu akhbar), tahmid (Alhamdulillah) dan taqdis (Subhanallah).

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama ummah. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertaut kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa ynag kita lakukan di bulan Ramadan itu dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita yang diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang hayat.

21 August 2011

SIMPTOM MURID YANG GAGAL

Berikut adalah simptom-simptom murid yang tak nak berjaya. Anda bagaimana dan di mana?
  1. Mempunyai sifat “malas” yang menjadi musuh utama kejayaan.
  2. Tidak bermotivasi.
  3. Mempunyai tanggapan bahawa pelajaran belum tentu memberi jaminan masa depan.
  4. Menjadikan seseorang yang telah gagal sebagai idola atau model.
  5. Tidak bersedia menghadapi pembelajaran dalam bilik darjah.
  6. Tiada perancangan untuk belajar dengan berkesan.
  7. Terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang menjurus ke arah perkara-perjara yang tidak baik.
  8. Sentiasa menangguhkan masa untuk belajar hingga ke saat-saat akhir peperiksaan.
  9. Datang lewat ke sekolah dan selalu ponteng sekolah.
  10. Gagal menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru.
  11. Berangan-angan dan sering bermain-main dalam bilik darjah.
  12. Tidak mempunyai kelengkapan persekolahan yang lengkap untuk proses pembelajaran.
  13. Sentiasa bermasalah, suka mencari masalah dan mendatangkan masalah di sekolah dan luar sekolah.
  14. Melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak dengan rakan-rakan di bandar-bandar, terlibat dengan kegiatan tidak bermoral.
  15. Menjadikan kemiskinan penghalang kepada usaha untuk berjaya dalam pendidikan.
  16. Terlalu berserah pada nasib dan tidak mahu lagi berusaha untuk mengubah dirinya.
  17. Lebih banyak bergantung kepada ibu, bapa, guru dan rakan-rakan untuk belajar. Tidak boleh berdikari.
  18. Tidak ada perancangan masa untuk belajar seperti mengadakan jadual waktu.
  19. Sentiasa beranggapan bahawa peperiksaan dalam kelas adalah tidak penting.
  20. Tidak menggunakan sepenuhnya perpustakaan sebagai gedung untuk mencari dan menambahkan ilmu.
  21. Tidak sanggup mengorbankan masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit demi untuk pelajaran. Pelajar seperti ini lebih sanggup menghabiskan wang mereka untuk membeli majalah-majalah hiburan atau komik kegemaran mereka.
  22. Tidak menghormati ibu, bapa, guru, orang tua dan rakan-rakan sekelas.
  23. Mementingkan diri sendiri dalam apa sahaja yang dilakukan termasuklah pembelajaran.
  24. Gagal menunaikan tanggungjawab kepada Allah.
  25. Menyalahkan nasib dan takdir jika berlaku sebarang masalah. Namun tidak pernah mahu menyalahkan diri sendiri.
  26. Cepat putus asa dan kecewa apabila gagal.

20 August 2011

GURU: TIADA LAGI SENTUHAN KASIH SAYANG

Harian Metro 8 Ogos 2011

GURU dulu tegas dan komited sewaktu menjalankan tugas, namun di sebalik ketegasan itu ada hati yang bersih dan ikhlas mendidik pelajar menjadi anak bangsa berjaya. Disebabkan sikap bertanggungjawab itu, mereka bukan saja dihormati malah mulia kedudukannya dalam kalangan masyarakat.

Kini, ketegasan, integriti, profesionalisme, hak bersuara serta taraf guru semakin suram dan merudum di mata masyarakat malah menyedihkan kerana golongan itu mudah diperkotak-katikkan pelajar sendiri. Ini menjadikan hubungan antara guru-pelajar semakin jauh, dingin dan bergolak. Kesannya, semangat guru kian pudar melaksanakan tanggungjawab lebih dedikasi.

Disebabkan tidak mendapat sokongan selain bebanan tugasan semakin bertambah, motivasi sebahagian guru mulai luntur dan culas melaksanakan tanggungjawab. Mereka tidak lagi memegang falsafah ingin bertanggungjawab memberi pendidikan, tetapi lebih kepada mengajar semata-mata.

Mengajar lebih menjurus kepada kaedah 2M iaitu membabitkan proses penyampaian ilmu pengetahuan dari guru kepada pelajar dan lebih menumpukan kepada pembangunan intelektual atau akademik.

Manakala mendidik membentuk sahsiah atau akhlak dan memerlukan tempoh masa panjang untuk membentuk akhlak pelajar yang baik.

Persoalannya apakah beza mendidik dan mengajar?

Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan. Beliau berkata, mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai ‘sentuhan’ emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar.

“Boleh dikatakan sebahagian guru hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan menerima gaji hujung bulan. Tiada lagi ‘sentuhan’ atau perasaan kasih sayang telus seperti ditunjukkan golongan guru dulu. Guru dan pelajar kurang berinteraksi, sentiasa mencipta konflik. Bagaimanapun, menuding jari pada guru semata-mata adalah tidak adil kerana kita terpaksa menerima keadaan itu kerana senario hari ini tidak semuanya memihak kepada mereka,” katanya.

Katanya, kadangkala guru dibebani kerenah pelajar yang pelbagai menyebabkan ada yang sukar menumpukan perhatian. Akibatnya, akan ada pelajar yang terabai terutama mereka yang bermasalah.

“Tambah memburukkan keadaan, ibu bapa pula datang menyerang dan mempersoalkan kredibiliti guru. Apabila semua pihak menghentam, tidak mustahil ada yang mengambil langkah drastik bersikap sambil lewa dan enggan mengambil tahu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa hanya tahu mengambil pendekatan ‘lepas tangan’ atau bertindak secara melulu tanpa usul periksa. Secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru untuk mencorakkan gaya pembelajaran mereka.

“Jalan mudah, mereka hanya mengajar dan tidak mahu mendidik. Ironinya, guru berpendapat, tidak perlu menjalin atau mengambil berat mengenai pelajar kerana ibu bapa sendiri kurang memberi sokongan. Mengapa mesti menanggung beban sedangkan ibu bapa hanya relaks. Ia seperti barah hingga akhirnya menghakis sikap profesionalisme guru yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap tugas dan tanggungjawabnya,” katanya.

Ditanya mengapakah guru zaman dulu mempunyai nilai ‘sentuhan’ ajaib hingga menerbitkan hubungan rapat dengan pelajar, beliau berkata tugas guru dulu jarang ‘diganggu’ atau digugat pelbagai tugas sampingan lain. Menurutnya, guru dulu boleh menumpukan perhatian pada tanggungjawab hakiki kerana semua pihak faham makna pendidikan dan menuntut ilmu.

“Masalahnya hari ini guru atau pihak berkenaan kurang memahami makna itu tapi lebih mementingkan keputusan akademik . Malangnya itu bukan jaminan cemerlang sahsiah diri. Secara tidak langsung, menggambarkan bagaimana proses mendidik gagal dilaksanakan sedangkan untuk berjaya, gabungan keduanya perlu seimbang supaya dapat menampung kekurangan yang ada,” katanya.

Guru pula sebaliknya ada yang tidak mampu mempunyai komitmen tinggi terhadap tugas kerana segelintirnya menjadi guru semata - mata mahu mempunyai gaji dan pendapatan samping yang lebih berbentuk material.

“Dibandingkan guru dulu, mereka ikhlas dan tidak berkira mengenai bayaran, guru sekarang sebaliknya malah ada yang terus melanjutkan tugas di luar dengan harapan memperoleh pendapatan sampingan, misalnya tuisyen. Itu tidak salah namun sejauh manakah guru mampu membina hubungan baik dan mesra dengan pelajar. Adakah mereka mengambil berat dengan bertanya khabar atau masuk kelas, mengajar, beri kerja rumah kemudian keluar? Suasana seperti ini tidak sihat kerana perhubungan guru - pelajar hanya termaktub dalam kelas semata - mata. Guru tidak mengenali pelajar, begitu sebaliknya, justeru bagaimanakah sentuhan kasih sayang itu boleh menerbitkan hubungan yang erat,” soalnya.

Guru, katanya, perlu berusaha mengembalikan semula martabat sebagai golongan dihormati manakala masyarakat termasuk ibu bapa perlu memberi peluang golongan itu mencorakkan proses pendidikan mengikut acuan tersendiri asalkan tidak menyalahi peraturan.

“Guru jadilah golongan bertanggungjawab, kembalikan semula maruah yang sudah lama tercalar. Proses melahirkan masyarakat dan bangsa berguna tidak boleh dizahirkan melalui satu mekanisme semata-mata. Boleh mengajar tapi tekankan juga kepentingan mendidik. Barulah lengkap pakej untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik, budi dan peribadi seperti termaktub dalam falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Tokoh Guru Kedah 2009, Sayed Mahadzir Sayed Omar pula berpendapat teknik mendidik dan mengajar guru berbeza dibandingkan guru zaman dulu. Menurutnya, guru dulu mengajar berasaskan kasih sayang dan semangat patriotisme juga menerima kepercayaan tinggi daripada ibu bapa yang rela ‘menyerahkan’ anak untuk dididik.

“Mereka tidak kisah anak ‘dipukul’ kerana tahu itu tanggungjawab guru menjadikan mereka berjaya. Malangnya hari ini tidak boleh kerana banyak akta atau peraturan perlu dipatuhi. Bayangkan, kalau pelajar bermasalah, tapi tangan guru ‘terikat’, apakah boleh pelajar itu diasuh menjadi manusia yang baik? Justeru tidak hairanlah, ramai guru hari ini lebih senang mengajar daripada mendidik kerana tidak mahu masalah berbangkit,” katanya.

KIBARAN JALUR GEMILANG MENYEMARAKKAN HARI KEMERDEKAAN NEGARA

Adalah lebih bermakna jika ulang tahun hari kemerdekaan Malaysia kita rayakan bersama dengan kibaran Jalur Gemilang. Kibarkanlah Jalur Gemilang di mana-mana di tempat yang sesuai. Lagi banyak lagi bagus. Semakin tinggi Jalur Gemilang dikibarkan, semakin tinggi semangat cinta kita kepada Malaysia.

Detik bersejarah kemerdekaan negara mesti dihayati oleh seluruh rakyat dengan menghargainya melalui kibaran Jalur Gemilang. Tunjukkan semangat cintakan tanah air dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Sebagai salah satu tanda kita menghargai nikmat yang dikecapi melalui kemerdekaan yang dicapai adalah dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang terutama pada sambutan bulan kemerdekaan yang giat diadakan sekarang.

Kempen kibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan merupakan usaha kerajaan untuk menimbulkan perasaan cintakan negara di kalangan rakyat agar mereka sama-sama bertanggungjawab untuk mempertahankan kemerdekaan negara yang telah dicapai sejak sekian lama. Sebagai generasi yang bertanggungjawab, sejarah perjuangan kemerdekaan negara mesti dihayati sepanjang masa lebih-lebih pada bulan kemerdekaan ini.

Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mesti sentiasa meningkatkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai mengenang jasa negara kepada mereka.

Diucapkan terima kasih kepada kumpulan murid Tingkatan 4 Landskap yang membantu Cikgu Hasan Kasmuri mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan sekolah. Mereka ialah Mohd. Amiruddin  Kamarudin, Mohd. Syahmi Hamsatun, Mohd. Najib Hamzah, Mohd Khairil Azri Abd Kadir, Faiezrul Radzi Fuad Hashim dan Ishamudin Naharuddin.









15 August 2011

KALAU NAK BERJAYA, BELAJARLAH DENGAN CARA YANG BETUL

Berikut adalah panduan cara belajar yang betul. Kalau nak cemerlang ikutlah panduan ini. Insyaallah berjaya:

  1. Tidak mensia-siakan biar pun seminit
  2. Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi
  3. Gunakan masa awal pagi.
  4. Buat nota ringkas
  5. Mengikut jadual sepenuhnya.
  6. Mencuba soalan tahun lalu.
  7. Ulang sebanyak kali yang boleh.
  8. Sentiasa menanya kalau tidak faham.
  9. Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah
  10. Mengunjungi perpustakaan
  11. Menjadi model dalam rumah.
  12. Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
  13. Belajar mengikut rentak sendiri.
  14. Persiapan minda sebelum ulangkaji.
  15. Elakkan gangguan emosi.
  16. Kurangkan kerja rumah tangga.
  17. Rancangkan jadual ulangkaji setahun.
  18. Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan.
  19. Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda.
  20. Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan.
  21. Terokai bakat dan minat anda.

08 August 2011

PROJEK FERTIGASI ROCKMELON: MENUAI BUAH

Hari ini ahli-ahli Persatuan Landskap gembira kerana dah tiba masanya diorang menuai buah-buah rockmelon yang mereka usahakan. Setelah sama-sama menanam dan menjaga serta menunggu selama 70 hari, hari ini diorang dapat menikmati buah yang diorang idamkan. Namun demikian, diorang terpaksa menunggu sehingga waktu berbuka kerana bulan ini adalah bulan puasa.

Buah-buah yang dituai pada peringkat pertama ini beratnya di antara 1.3 kg hingga 2.5 kg. Ada sedikit yang di bawah 1.2 kg.  Setelah ditimbang, buah gred A (lebih daripada 1.5 kg) sebanyak 35  peratus dan buah yang gred B sebanyak 65 peratus. Ada banyak lagi buah yang belum dituai kerana belum cukup matang.

Ramai guru-guru sekolah ini yang membeli buah-buah tersebut. Kebanyakan guru-guru memilih buah bersaiz gred A. Ahli-ahli Persatuan Landskap mendapat peruntukan percuma seorang dua biji, (penghargaan penat-lelah diorang membantu menjayakan projek ini). Buah-buah yang lebih kami jual kepada pemborong buah-buahan di bandar Pontian. Hasil jualan buah dapatlah sikit untung dan balik modal pembelian baja fertigasi dan biji benih. Syukur... Allah SWT beri rezeki.











01 August 2011

SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN ALMUBARAK

Hari ini umat Islam di Malaysia mula berpuasa wajib di bulan Ramadhan. Kami mengucapkan selamat berpuasa.

Tazkirah Ramadhan
(Petikan daripada Utusan Malaysia)

ALLAH tidak mensyariatkan puasa dengan tujuan yang sia-sia. Hasil kajian sains moden menunjukkan puasa memberi banyak faedah kepada kesihatan. Salah seorang daripada sarjana moden yang membuat kajian tentang puasa ialah, Allan Cott. Beliau telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara, lalu memuatkannya dalam sebuah buku Why Fast iaitu pelbagai hikmah puasa.

Dalam sebuah hadis Nabi menjelaskan lima kelebihan bulan Ramadan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu.

"Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka iaitubau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

Sebagai dorongan dan motivasi orang-orang yang menjaga puasanya Nabi berkata: "Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Rayyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. (Hadis Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada sahabat Sahal bin Sa'd)."

Allah juga menjanjikan pahala yang sangat banyak bahkan tanpa batas kepada orang-orang yang ikhlas dan menjaga kualiti puasa mereka. Sahabat Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda bahawa Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus..."

Dalam hadis Qudsi yang lain pula Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Hadis Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai daripada sahabat Abi Hurairah dan Abi Sa'id).

Hadis ini juga memberi isyarat bahawa puasa juga berfungsi sebagai terapi jiwa. Allah menjanjikan rasa gembira sebanyak dua kali kepada orang-orang yang berpuasa. Kali pertama ialah ketika berbuka puasa dan kali kedua ialah ketika bertemu dengan Allah.

Antara keutamaan puasa yang besar dan bermakna ialah, ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Ini seperti yang disampaikan oleh sahabat Abu Hurairah r.a dari Nabi yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dalam teks yang lain pula Nabi menyebut yang bermaksud: Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Imam Muslim).

Puasa adalah perisai buat membenteng diri daripada melakukan dosa dan menjauhi api neraka. Nabi pernah berkata: "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat". (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)

Mendokong makna yang hampir senada dalam hadis yang lain Nabi menyebutkan, "Sesiapa yang berpuasa sehari di jalah Allah, nescaya Allah akan jauhkan neraka Jahannam sejauh perjalanan 100 tahun." (Hadis Imam Nasa'i disahihkah oleh Syaikh al-Albani).

Pernah suatu ketika seorang pemuda yang mahu menikah datang bertemu dengan Nabi. Oleh kerana kekurangan upaya nafkah untuk menikah, maka Nabi menyuruh lelaki ini berpuasa buat mengekang nafsunya.