18 November 2011

CUTI PANJANG HUJUNG TAHUN

Hari ini adalah hari terakhir sesi persekolahan tahun 2011. Esok bermulalah cuti panjang hujung tahun. Bagi ibubapa, bolehlah merancang pengisian cuti panjang ini dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk anak-anak mereka.

Melancong dan menikmati alam semula jadi...

Tazkirah dan beribadah di masjid...

Bersukan dan beriadah......dan lain-lain.


Manfaatkan musim cuti sekolah yang panjang ini dengan aktiviti-aktiviti seperti:
  1. Ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup yang sihat.
  2. Lakukan aktiviti bercorak keluarga seperti berjalan-jalan, jogging, berkebun, mengajar memasak dan bertukang kayu.
  3. Aktiviti gotong-royong membersihkan rumah akan mendidik anak-anak tentang kebersihan. Jika perkara ini menjadi kebiasaan, akan lahir sifat pembersih di dalam diri mereka. Selain itu, aktiviti ini akan melatih mereka menjadi anak yang taat kepada setiap arahan ibu bapa.
  4. Bawa keluarga melancong dalam negeri dan lawatlah temapt-tempat yang menarik di seluruh negara atau berkelah di tepi pantai atau taman rekreasi.
  5. Bersukan atau bermain bersama anak-anak. Sekiranya anda mampu boleh hantar anak-anak menghadiri kelas badminton, renang, squash atau apa sahaja sukan yang mereka minati.Kalau ada perpustakaan awam yang berhampiran anda, bawalah anak-anak ke sana dan tanamkan tabiat membaca.
  6. Kalau anda mempunyai kemudahan internet di rumah, jelajahlah dunia maklumat bersama anak-anak.
  7. Hantar anak-anak ke kelas pengajian al quraan dan fardhu ain untuk memantapkan lagi ilmu agama mereka. Pastikan mereka tidak mengabaikan kewajiban bersolat dan tanamkan semangat cintakan Islam di dalam jiwa mereka.
  8. Bawalah anak-anak balik ke kampung untuk berjumpa saudara mara agar ikatan persaudaraan sentiasa utuh dan supaya hubungan kekeluargaan akan sentiasa rapat.
  9. Menyedarkan mereka bahawa musim cuti bukan dihabiskan untuk berehat semata-mata, bermain, tidur dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan.
  10. Mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan pada tahun-tahun berikutnya.
  11. Ibu bapa dicadangkan mencari guru-guru yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak dengan kelas-kelas tuisyen dan aktiviti latih tubi.
  12. Melibatkan anak-anak dengan kelas-kelas kesedaran Islam, Fardhu Ain, Tahsin Qiraat, Smart Solat dan kelas-kelas hafazan jangka pendek.
  13. Masa lapang yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam ekspidisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, waja diri, berkebun dan lain-lain.
  14. Libatkan anak-anak dalam program dan aktiviti yang boleh mendorong mereka berjaya seperti Kem Motivasi, Nadwah Islam, rehlah, Kem Insan cemerlang dan lain-lain.
  15. Memberikan pendedahan kepada anak-anak remaja anasir-anasir yang boleh meruntuhkan Islam seperti keruntuhan akhlak, akidah dan syariat yang akhirnya membawa kerosakan kepada kehidupan.
  16. Ambillah peluang di musim cuti persekolahan ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim, khususnya bagi keluarga terdekat dengan menziarahi saudara-mara sama ada yang di kampung atau di bandar apabila hubungan kekeluargaan dan saudara-mara menjadi akrab dan mantap, hidup akan menjadi ceria dan mendapat rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.
  17. Selain itu, gunakanlah juga peluang cuti persekolahan ini untuk berjalan-jalan menikmati keindahan alam semulajadi negara kita yang kaya dan indah ini. Aktiviti ini sebenarnya meningkatkan kefahaman akidah dan tauhid kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan supaya kita akan merasa betapa bersyukurnya mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah.
  18. Luangkanlah sedikit masa merancang pengisian anak-anak walaupun hakikatnya bukan sahaja untuk musim cuti sekolah, bahkan setiap masa.
  19. Kita boleh menjadikan solat berjemaah di rumah sebagai budaya, dengan itu kita boleh melatih anak-anak lelaki menjadi imam seterusnya ia mampu melatih sifat berani dan kepimpinan di dalam diri selain dapat menghafal beberapa ayat sebagai bacaan di dalam solat.
  20. Budaya makan bersama juga boleh diamalkan. Dengan makan bersama, kasih sayang akan terjalin dan hubungan akan lebih erat. Ibu bapa berpeluang mengambil tahu perkembangan anak-anak ketika itu. Hasan Al-Banna sendiri tidak akan makan sehinggalah kesemua ahli keluarganya ada bersama-sama.
  21. Kem-kem motivasi dan kem ibadah semakin banyak diadakan sempena cuti sekolah. Memang benar yuran yang dikenakan agak mahal walaupun program tersebut hanya berjalan selama beberapa hari, namun anggaplah yuran tersebut sebagai pelaburan jangka masa panjang. Agak pelik juga apabila terdapat ibu bapa yang sanggup membayar harga yang mahal untuk membeli kereta dan perabot rumah tetapi tidak sanggup membayar untuk kebaikan anak-anak mereka.
  22. Ikuti program hafazan Al-Quran di masjid-masjid. Perkara ini amat positif kerana ia memupuk kecintaan kepada Al-Quran di dalam hati anak-anak. Menariknya, program ini dijalankan secara percuma dan turut dianjurkan pertandingan hafazan sebelum cuti berakhir.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu menyedari kepentingan mengisi masa lapang anak-anak di musim cuti yang panjang ini. Jika kita tidak merancang, menyusun dan mengisi aktiviti percutian mereka, secara automatik anak-anak ini akan mengisi masa mereka mengikut selera sendiri, dan dapat pengaruh kawan-kawan dan persekitaran.

Selamat bercuti.

14 November 2011

PEPERIKSAAN SPM 2011

Peperiksaan SPM dah bermula pada hari ini. Semoga calon-calon SPM sekolah kita beroleh kejayaan yang cemerlang. Selamat maju jaya.

11 November 2011

MAJLIS GRADUASI TINGKATAN 5 2011

Pagi ini bertempat di Dewan A, pelajar-pelajar Tingkatan 5 menghadiri Majlis Graduasi Tingkatan 5 2011. Majlis ini khusus diadakan untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menamatkan alam persekolahan setelah menimba ilmu selama 5 tahun belajar di sekolah ini. Sejak pagi-pagi lagi para graduan bersama ibubapa mereka telah bersiap sedia dengan jubah masing-masing mananti ketibaan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian. 

Majlis bermula apabila ketibaan En. Abdul Rahim Bin Lamin, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian yang diiringi oleh Tuan Pengetua masuk ke dalam dewan. Di dalam dewan sudah sedia menunggu pelajar-pelajar yang duduk kemas di tempat masing-masing tampan segak dan manis berpakaian graduasi kebiruan.

Majlis yang dirasmikan oleh En. Abdul Rahim Bin Lamin, nampak meriah apabila pelajar-pelajar memakai pakaian graduasi serba biru sentiasa tersenyum riang. Selepas menyampaikan ucap utama, En. Abdul Rahim Bin Lamin menyampaikan sijil-sijil kepada semua pelajar. Diantara sijil-sijil tersebut ialah sijil pelajar terbaik dalam peperiksaan percubaan SPM, sijil pencapaian terbaik setiap subjek, sijil penghargaan dalam kegiatan kokurikulum, sijil sahsiah terbaik, dan lain-lain. Irama daripada muzik tradisional gamelan yang dimainkan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 2 mengiringi sepanjang upacara penyampaian sijil-sijil tersebut berjalan.

Selaian daripada guru-guru, ibu dan bapa pelajar-pelajar turut hadir untuk meraikan anak-anak mereka buat kali terakhir di SMKTK sebelum menghadapi peperiksaan SPM pada minggu hadapan. Zaman di alam persekolahan menengah bagi anak-anak ini akan berakhir tak lama lagi.  Selepas tamat menghadapi peperiksaan SPM nanti, tentunya pelajar-pelajar tersebut bertaburan mengikut haluan masing-masing. Mereka akan datang lagi ke sekolah apabila nak ambil slip keputusan SPM pada Mac 2012 dan juga membereskan urusan kemasukan ke pusat-pusat pengajian lanjutan.

Semoga dengan pakaian graduasi yang dipakai itu, akan menjadikan pelajar-pelajar ini bersemangat untuk menghadapi peperiksaan SPM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke menara gading atau ke institusi pengajian yang lain. Itulah harapan kami warga SMKTK dan ibubapa kalian. Semoga kalian berjaya.








































10 November 2011

MAJLIS MOHON RESTU CALON SPM 2011

Pagi ini bertempat di Dewan A telah diadakan Majlis Mohon Restu Calon SPM 2011. Majlis diadakan khusus untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menghadapi peperiksaan SPM yang bermula pada 14 November iaitu pada minggu hadapan. Majlis yang penuh hening dengan titisan air mata pelajar-pelajar mohon restu ilmu daripada guru-guru bertambah syahdu dengan alunan selawat guru-guru di sepanjang waktu pelajar-pelajar bersalaman dan berpelukan dengan guru-guru.

Majlis ini diadakan agar pelajar-pelajar bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan SPM. Disamping itu mereka mendapat keampunan dan keikhlasan ilmu yang disampaikan oleh guru-guru. Dalam majlis itu guru-guru, para pelajar dan semua warga SMKTK sama-sama berdoa semoga pelajar-pelajar mendapat kejayaan dalam peperiksaan SPM.