20 January 2012

MESEJ DARIPADA KETUA PENGAWAS SMKTK, SALEEHA ASWAT BT ALEE ABU THALEEB

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.

Sebagai Ketua Pengawas dan juga Ketua Pelajar SMK Telok Kerang bagi sesi pembelajaran tahun 2012, saya sedar bahawa tanggungjawab saya amat berat di mana sebahagiannya adalah untuk merealisasikan tahap disiplin warga pelajar sekolah yang tinggi dan terpuji. Tanpa disiplin diri yang kukuh amat susah untuk kita menempa kejayaan yang cemerlang.

Saya mengakui bahawa bukan mudah untuk memastikan tahap disiplin pelajar-pelajar sekolah ini terus unggul. Tanpa bantuan, bimbingan dan nasihat guru-guru tidak mudah untuk menjelmakan kenyataan bahawa pelajar-pelajar yang bersekolah di sekolah ini seharusnya mempunyai tahap disiplin yang terpuji.

Harapan saya kepada sekolah ini agar SMKTK lebih berjaya di masa-masa akan datang. Semoga sekolah ini berjaya melahirkan insan-insan positif dan tersohor bukan sahaja di daerah Pontian bahkan di dunia. Semuanya boleh dicapai jika rakan-rakan pelajar yang bersekolah di sekolah ini dapat membina disiplin diri yang terpuji.

Saya mohon kepada rakan-rakan pelajar agar sama-sama membina disiplin diri yang terpuji supaya proses pembelajaran kita di sekolah ini berjalan dengan tenang dalam suasana yang kondusif tanpa ada ganguan-gangguan yang boleh menjejaskan pembelajaran kita.

Bantuan, bimbingan dan didikan daripada guru-guru kepada saya dan barisan pengawas sekolah amat diharapkan bagi memastikan suasana sekolah adalah tempat pembelajaran yang terbaik.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas daripada saya,
Saleeha Aswat bt Alee Abu Thaleeb,
Ketua Pengawas SMK Telok Kerang tahun 2012. 

TAHNIAH PELAJAR-PELAJAR 8A PMR 2011

Inilah empat orang pelajar yang cemerlang dalam PMR 2011. Masing-masing memperolehi 8A dalam semua subjek. Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian mereka. Tahniah! Dengan kejayaan mereka, diharapkan menjadi pemangkin kepada pelajar-pelajar lain untuk meraih kecemerlangan dalam akademik.


Nur Amira bt Tohiran

Saya berasa bersyukur telah mencapai target yang saya tetapkan. Walaupun pada mulanya saya rasa agak kurang yakin dengan target saya, namun setelah saya mengulang kaji dan belajar, saya semakin yakin untuk mendapat 8A.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru, kedua ibu bapa dan rakan-rakan saya kerana telah banyak membantu, mendorong dan menasihati saya sehingga saya mendapat 8A.

Untuk mendapat keputusan yang cemerlang bukanlah mudah. Kita mestilah berusaha dan belajar bersungguh-sungguh. Hormati setiap guru sama ada yang mengajar atau yang tidak mengajar kita.

Namun begitu saya masih mengharapkan doa dan kasih sayang daripada semua guru untuk membantu dan mengajar saya untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti dengan target saya iaitu 9A+ dan mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang professor.


Nurul Najwa bt Zambere 
Pertama-pertama saya rasa amat bersyukur kerana telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR 2011. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa saya yang menjadi pendorong utama untuk saya mencapai kecemerlangan ini. Terima kasih juga buat guru-guru yang telah mengajar dan mendidik saya bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan 3.

Untuk mendapat keputusan 8A dalam PMR atau mahu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan bukanlah mudah. Usaha keras dan berterusan amat diperlukan. Tetapi cara pembelajaran yang betul juga diperlukan. Banyakkan membuat latih tubi dan perhatian atau tumpuan ketika guru mengajar amat penting.

Cara belajar seperti belajar sambil mendengar muzik boleh membantu dalam pembelajaran. Belajar sambil mendengar muzik dapat mengurangkan tekanan. keadaan persekitaran yang tenang juga turut membantu.

Akhir kata, saya berharap cita-cita saya untuk menjadi seorang jurutera akan tercapai. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya sama ada secara langsung atau tidak secara langsung.


Mohd Nuril Azim b Bahrom
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya Mohd Nuril Azim b Bahrom pelajar cemerlang 8A PMR bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah diberi peluang untuk menyatakan beberapa kata untuk anda semua.

Saya sangat bersyukur kerana segala usaha dan ketekunan saya berbalas dengan mendapat keputusan 8A di dalam PMR yang lalu. Suka saya katakan bahawa anda juga boleh berjaya seperti saya kerana betullah kata-kata 'usaha tangga kejayaan' dan perkara inilah yang saya lakukan dan anda juga harus lakukan untuk berjaya. Anda juga haruslah tetap dan istiqamah dalam belajar walaupun mendapat keputusan yang tidak diharapkan. Saya juga pernah mengalami perkara yang sama.

Akhir kata, saya berharap anda akan mengikut jejak langkah saya dan berharap anda boleh melakukan lebih baik daripada saya. Saya juga meminta berkat doa anda akan kejayaan saya untuk mencapai cita-cita menjadi seorang jurutera yang berjaya.

Saya amat berterima kasih kepada guru-guru dan ibu bapa saya kerana telah mendidik saya dengan cemerlang.


Aina Afifah bt Yusuff
Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua ibu dan bapa saya yang memberi dorongan kuat kepada saya dalam soal pelajaran. Kepada guru-guru SMKTK, saya juga amat berterima kasih kerana mengajar dan mendidik saya terutamanya pada waktu-waktu telah hampir pada hari peperiksaan.

Saya akan berusaha lebih kuat bagi menghadapi SPM dalam masa dua tahun lagi. Untuk mencapai kecemerlang bukanlah senang. Kita terpaksa berkorban masa, tenaga, keinginan dan keselesaan jika mahu meraih kejayaan terutamanya dalam bidang akademik.

Saya berseru kepada diri saya sendiri, kepada  rakan-rakan saya dan kepada pelajar-pelajar di SMKTK agar terus berusaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan dan seterusnya dapat mencapai cita-cita dan impian kita. Insyaallah.

MAJLIS PERLANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH, PENGAWAS PUSAT SUMBER DAN KETUA TINGKATAN 2012

Pagi ini, pagi Jumaat yang amat dinanti, telah diadakan majlis perlantikan pengawas sekolah, pengawas Pusat Sumber dan ketua tingkatan. Inilah tiga badan yang sangat membantu guru-guru dalam melaksanakan misi dan visi sekolah.

Majlis telah disempurnakan oleh Pn. Hjh. Arbaenah bt Masud, Guru Penolong Kanan 1. Terima kasih diucapkan kepada Pn. Hjh. Arbaenah bt Masud.

Tujuan diadakan majlis ini tak lain tak bukan adalah melantik dan memberi pengiktirafan kepada pengawas sekolah, pengawas Pusat Sumber dan ketua tingkatan yang banyak membantu pihak sekolah.
  • Ketua Pengawas:  Saleeha Aswat bt Alee Abu Thaleeb
  • Penolong Ketua:  Nor Mihamad Maczellan b Sulaiman
  • Penolong Ketua:  Masroha bt Sukatno
  • Setiausaha:  Nurin Fauzan bt Rusdi
  • Penolong Setiausaha:  Nur Aqilah bt Abd Halim
  • Bendahari:  Nur Anisah bt kaman
  • Penolong Bendahari:  Nur Atiqah Syahirah bt Abdul Shukor
  • ...dan 28 ahli jawatankuasa.

Tahniah  diucapkan kepada semua pengawas sekolah, pengawas Pusat Sumber dan ketua tingkatan atas perlantikan ini. Jalankanlah tanggung jawab dan amanah yang diberi dengan jujur, ikhlas dan penuh dedikasi.


Ust. Sukri Osman mengetuai bacaan doa.

Ketua Pengawas Sekolah,
Saleeha Aswat Bt Alee Abu Thaleeb.

Ketua Pengawas Pusat Sumber,
Siti Norhanisah Bt Abd Rahim.

Saleeha Aswat Bt Alee Abu Thaleeb menerima sijil perlantikan.

Pengawas sekolah, pengawas Pusat Sumber dan ketua darjah.

Pengawas sekolah menerima sijil perlantikan.

Barisan pengawas sekolah.

Pengawas Pusat Sumber menerima sijil perlantikan.

Barisan pengawas Pusat Sumber.

14 January 2012

RUMAH BIRU MENJUARAI PERTANDINGAN MERENTAS DESA SMKTK 2012












Pagi ini telah dijalankan pertandingan merentas desa. Suasana memang sungguh meriah. Murid-murid berusaha untuk mendapatkan mata untuk rumah masing-masing. Acara yang tamat pada pukul 11.30 pagi telah menyaksikan rumah Biru dinobatkan sebagai juara pertandingan pada tahun ini. Tahniah rumah Biru.

Keputusan pertandingan merentas desa 2011:
  • Johan:  Rumah Biru
  • Naib Johan:  Rumah Kuning
  • Ketiga:  Rumah Merah
  • Keempat:  Rumah Hijau

04 January 2012

NAK JADI PELAJAR CEMERLANG, BERMULALAH AWAL

Hari ini bermulalah sesi persekolahan tahun 2012. Pastinya pelajar sibuk menyesuaikan diri dengan pelajaran dan sekolah masing-masing. Pelajar cemerlang ialah mereka yang cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan baru. Ada pelajar yang baru masuk sekolah iaitu mereka di tingkatan satu. Apa sekalipun suasana dan keadaannya, pelajar mestilah berusaha memulakan langkah menuju kecemerlangan pada hari pertama.

Minggu pertama adalah penting kerana masa ini guru sibuk menyusun banyak perkara seperti jadual sekolah, melantik ketua kelas dan penolong, melantik ahli jawatankuasa kelas dan memaklumkan buku tambahan yang perlu dibeli.  Jika pelajar tidak hadir ke kelas, banyak maklumat yang tidak diperoleh dan mereka lambat menyesuaikan diri.

Berikut adalah beberapa langkah yang perlu diambil oleh para pelajar bagi memastikan mereka boleh mencapai kecemerlangan pada tahun 2012 ini:
  1. Tidur awal dan bangun awal. Pelajar perlu cukup segar dan bertenaga apabila berada dalam kelas dan di sekolah. Pelajar yang aktif akan mendapat banyak ilmu dan peluang untuk maju. Ramai pelajar terutamanya pelajar yang tinggal di asrama mengantuk dalam kelas kesan dari kekurangan tidur. Jika tidur awal, pelajar boleh bangun lebih awal, bersiap-siap awal dan ketika menunggu masuknya waktu Subuh sempat membuat sedikit ulangkaji tentang apa yang akan dipelajari pada hari tersebut.
  2. Mulakan dengan niat dan ‘mindset’ seorang juara. Usaha dan tindakan kita bergantung kepada cara fikir kita. Kalau kita rasakan yang kita boleh maka kita pasti melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh.
  3. Sebaliknya jika kita rasakan kita gagal, apa yang dilakukan hanya separuh hati. Ikhlaskan hati belajar kerana mencari ilmu dan kerana Allah. Soal berjaya atau tidak itu bukan urusan kita sebab hak manusia adalah berusaha dan hak Allah adalah menentukannya. Tetapi Allah itu adil. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan dengan cara yang betul maka hasilnya pastilah cemerlang.
  4. Pastikan bersarapan pagi. Ramai pelajar ke sekolah tanpa bersarapan. Sarapan bagi seperti mengalas perut dengan sekeping roti dan minum segelas susu sudah mencukupi. Sarapan pagi penting kerana ia mampu mencergaskan minda dan memberikan tenaga. Mereka yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.
  5. Tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Kejayaan dalam peperiksaan bermula dari dalam kelas. Ramai pelajar yang tidak memberikan tumpuan di awal sesi persekolahan kerana mereka berfikir apa yang diajarkan itu mudah dan tiada masalah untuk melakukan ulangkaji. Tetapi, jika pelajar tidak memberikan tumpuan maka mereka tidak faham apa yang diajarkan. Jika apa yang dipelajari hari ini tidak difahami maka sukarlah untuk memahami apa yang diajarkan esok hari kerana memahmi prinsip asas, istilah, teori dan sebagainya itu penting. Dengan memberikan tumpuan dari awal pelajar boleh mengenalpasti kelemahan dan masalahnya dalam matapelajaran sebelum ia menjadi serius.
  6. Banyak bertanya dan selesaikan segala masalah dan perkara yang tidak faham segera. Satu tabiat pelajar kita ialah malu atau takut untuk bertanya. Sangka mereka apabila bertanya nanti dilabel sebagai bodoh, cuba mencari perhatian, gila glamer dan sebagainya. Akhirnya, mereka lebih selesa mendiamkan sahaja dan merelakan dirinya tidak tahu. Pelajar sebenarnya punya beberapa pilihan untuk bertanya. Satu atau dua soalan mungkin boleh terus ditanya dalam kelas agar pelajar lain juga mendapat manfaat daripada apa yang disampaikan guru nanti. Bagaimanapun, kalau soalan itu banyak, eloklah dibuat temu janji dengan guru dan berbincang dengannya di luar waktu kelas.
  7. Sampai saja di rumah, siapkan dahulu kerja sekolah. Jadikan ini sebagai satu tabiat. Ramai pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah kerana mereka tidak meletakkannya sebagai keutamaan. Malah, mereka tidak fikir kerja sekolah itu penting. Tujuan guru memberikan kerja sekolah bukanlah bagi menyusahkan, tetapi sebaliknya bagi memastikan pelajar membuat ulang kaji dan melakukan latihan bagi memperkukuhkan lagi kefahamam mereka apa yang diajarkan.
  8. Rancang masa dan jadual belajar. Tanpa pengurusan masa yang betul pelajar sukar untuk cemerlang. Sebagai seorang pelajar banyak perkara dan aktiviti yang mesti dilakukan disamping masa untuk diri sendiri.
  9. Aktiviti seperi menyiapkan kerja sekolah, kelas tuisyen, kelas agama, ulang kaji, kokurikulum, beriadah, keluarga dan sebagainya perlu diatur dengan baik agar tidak menjejaskan prestasi akademik.
  10. Di samping itu jadual belajar juga perlu diatur bagi memastikan semua subjek selesai diulangkaji sebelum waktu peperiksaan nanti. Dengan merancang awal, pelajar dapat lihat pergerakannya sepanjang tahun dan ke mana hala tujunya tahun ini.
  11. Ulangkaji awal. Cuba untuk lakukan ulang kaji seawal mungkin. Usah tunggu sehingga apa yang dipelajari sudah terlalu banyak baru mahu memulakan proses ulangkaji itu. Belajar awal adalah bagi memahami, menguasai dan menyediakan nota peperiksaan. Apa yang dibaca hari ini mungkin lupa esoknya. Itu perkara biasa. Tetapi dengan sering mengulang kaji pelajar akan mudah mengingatinya dan tersimpan dalam memori jangka panjang. Pelajar yang melakukan ulang kaji awal akan lebih tenang, ceria dan teratur hidupnya.
  12. Bagi memulakan langkah menjadi pelajar cemerlang pelajar, seseorang itu memerlukan satu dorongan agar tercetusnya momentum untuk bertindak ke arah kecemerlangan itu.
  13. Seorang pelajar yang cemerlang juga perlu seimbang daripada segi pembangunan minda, jiwa dan rohani. Justeru, ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anaknya bersedia menghadapi 2012 ini seawal mungkin.

Lebih baik bermula awal....

01 January 2012

AMANAT DAN PESANAN TUAN PENGETUA DI MESYUARAT AWAL TAHUN SESI AKADEMIK 2012







Selama tiga hari berturut-turut guru-guru SMKTK menghadiri mesyuarat awal tahun 2012. Mesyuarat dibahagikan kepada beberapa sesi iaitu:
  • Selasa 27 Disember 2011 - Taklimat Tuan Pengetua.
  • Rabu 28 Disember 2011 - Mesyuarat kurikulum dan mesyuarat panitia.
  • Khamis 29 Disember 2011 - Mesyuarat Kokurikulum dan HEM.

Amanat dan pesan Tuan Pengetua khususnya untuk kecemerlangan akademik:
  1. Peranan panitia - Buat post-mortem peperiksaan akhir tahun 2011. Kaji kelemahan, punca dan faktor keseluruhan keputusan peperiksaan. Lebihkan tumpuan pada pelajar-pelajar Tingkatan 5 (2012).
  2. Terjemahkan analisis item bagi mengenal pasti topik-topik yang perlu diutamakan kepada murid-murid.
  3. Memastikan follow-up diamalkan.
  4. Membina ETR 2012 yang realistik berpandukan TOV mengikut kaedah dan budaya headcount yang diamalkan.
  5. Usaha menghabiskan Sukatan pelajaran.
  6. Ujian 1 meliputi soalan-soalan topik semasa Ting. 1 dan Ting. 2. Bincangkan nisbahnya.
  7. Bincangkan penyedia soalan ujian dan peperiksaan.
  8. Senaraikan semua bahan rujukan dan bilangannya.
  9. Merancang program peningkatan kurikulum.
  10. Membuat perancangan BBM bagi 2012 mengikut SPSK.
  11. Pastikan nota minta dibuat terlebih dulu sebelum pembelian. LO akan dikeluarkan.
  12. Semua pembelian yang dipesan mesti melalui pejabat.
  13. Pastikan pembelian berinvois mempunyai cop syarikat.
  14. Semua pembelian adalah untuk kepentingan murid-murid.
  15. Pastikan latihan kepada murid mencukupi, disemak dan ditanda.
  16. Memastikan pengurusan panitia mengikut semua keperluan dalam SPSK.
  17. Pastikan buku persediaan mengajar dihantar kepada GKMP masing-masing.
  18. Pemantauan dijalankan sebanyak 2 kali kepada setiap guru.
  19. P&P menggunakan BBM.
  20. Eksperimen dalam makmal dibuat dengan kerap.
  21. Elakkan mengajar sambil duduk sepanjang waktu P&P.
  22. Utamakan pengurusan dan kawalan kelas semasa P&P.
  23. Masuk kelas tepat pada waktunya.
  24. Mengajar murid penuh kasih sayang.
  25. Murid mesti buat pembetulan pada buku latihan.
  26. Budaya pop-quiz diamalkan sebelum memulakan sesi P&P.
  27. BRM hantar kepada Pengetua pada 13 Januari 2012.
  28. Laporan Mesyuarat Panitia yang pertama hantar kepada Pengetua pada 16 Januari 2012.