01 November 2013

TEKS PENGACARA MAJLIS DAN PENGENDALIAN MAJLIS GRADUASI SMK TELOK KERANG TAHUN 2013


TENTATIF 1 
(8.15 pagi)
Ibu dan bapa mengambil tempat 

TENTATIF 2 
(8.30 pagi)

Mengumumkan perarakan masuk para graduan SMK Telok Kerang tahun 2013.

(Masuk melalui pintu belakang)

(Gamelan dimainkan kuat)

(Kemudian gamelan dimainkan perlahan) 

Panglima Johor segak bergaya
Srikandi negara cekal taat setia
Melangkah kemas penuh bergaya
Mengecap kejayaan yang dicita-cita
Tabah menempuh duga yang berbisa
Turun naik gunung lembah di mana jua
Bukan mudah menjulang cita yang dibangga
Bukan mudah menjejak mimpi menjadi nyata
Segala impian dan cita pasti berjaya
Bersama tekad dan semangat waja 

(Gamelan berhenti apabila graduan semua duduk) 

TENTATIF 3 
(8.40 pagi) 

Mengumumkan perarakan masuk barisan guru-guru kanan dan guru-guru SMK Telok Kerang

(Masuk melalui pintu belakang)

(Gamelan dimainkan) 

(Kemudian gamelan dimainkan perlahan) 

Gagah melangkah bak pahlawan
Cekalnya hati memberi harapan
Onak dan duri sebagai teman
Menjunjung ilmu dan kepakaran
Atas bahu terpikul harapan
Dengan tabah menempuh seribu duga
Dengan tabah menyampai ilmu bermakna
Semoga segala harapan jaya dilaksana
Bersama tekad dan semangat yang dijana
Bukan mudah menjulang harapan bangsa
Bukan mudah menjejak mimpi warga Negara 
(Gamelan berhenti apabila semua guru duduk) 

TENTATIF 4 
(8.45 pagi)

Hadirin hadirat sekelian, 

Mengumumkan perarakan masuk  Yang Berhormat Encik Suhaimi B. Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup, bersama Yang Berusaha En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang.

Semua hadirin diminta berdiri.

(Perarakan didahului pembawa bunga- bunga pahar) 

(Gamelan dimainkan)

(VIP duduk di pentas. YB Haji Suhaimi B Salleh duduk di kanan  Tuan Pengetua. 

(Gamelan berhenti. Semua hadirin terus berdiri) 

TENTATIF 5

Hadirin hadirat yang dihormati,

Nyanyian Lagu Bangsa Johor dan lagu sekolah Belajar Untuk Berbakti. Semua hadirin diminta berdiri.

(Semua berdiri)

(Lagu-lagu dimainkan dan dinyanyikan)

(Lagu tamat, semua duduk dengan tertib tanpa bunyi) 

TENTATIF 6 

Duduk bersama satu tujuan
Indah majlis gilang gemilang
Kepada Allah doa dipohonkan
Semoga majlis peroleh keberkatan 

Hadirin hadirat yang dimuliakan,

Bagi memula dan memuliakan majlis, marilah sama-sama kita menadah tangan bermunajat, memohon keberkatan agar segala urusan mendapat rahmat. Jesteru itu, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Ustaz Sukri b Osman untuk memimpin bacaan doa. Majlis dengan segala hormatnya mempersilaknn.

(Bacaan doa) 

TENTATIF 7 

Amin Ya rabbal alamin...Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustaz Sukri b Osman di atas pimpinan bacaan doa itu tadi. 

TENTATIF 8 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam sejahtera dan salam satu Malaysia

Sidang Hadirin sekalian, 

Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal bismillah pembuka bicara

Jajaran mengkudu di selang bidara
Di celah angsana meredup di hutan 
Awal bismillah pembuka bicara 
Majlis gemilang kita raikan 

TENTATIF 9

Yang Berhormat En. Suhaimi b Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup,
Yang Berusaha, En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang
Yang dihormati, barisan guru-guru kanan, barisan ketua-ketua panitia, guru-guru, para ibu bapa dan graduan yang diraikan sekalian. 

TENTATIF 10 

Pengisytiharan pembukaan Majlis Graduasi.

Majlis mempersilakan En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang mengisytiharkan tujuan majlis dan mengisytiharkan pembukaan majlis graduasi. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

(Pengetua membuat pengisytiharan) 

Pengisytiharan pembukaan Majlis Graduasi 

“Assalamualaikum.... dan selamat sejahtera. Saya Abdul Hamid Bin Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang dengan ini mengisytiharkan pembukaan Majlis Graduasi SMK Telok Kerang tahun 2013. Tujuannya untuk memberi pengiktirafan daripada pihak sekolah kepada putera dan puteri SMK Telok Kerang yang berjaya menamatkan pembelajaran selama 5 tahun di sekolah in” 

(Gong dimainkan kuat sebanyak 3 kali) 

TENTATIF 11

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang atas pengisytiharan tujuan majlis dan mengisytiharkan pembukaan majlis graduasi sebentar tadi. 

TENTATIF 12 

SMK Telok Kerang tersergam indah
Dari jauh tampak berseri
Bangunan lama dan baru berganding megah
Pepohon palma berbaris-baris
Pepohon rendang berbanjar-banjar
Dewan A tempat penyatuan
Pentas utama penyaksian anugerah
Para graduan segak menawan
Memakai jubah indah dan tampan
Tersenyum bangga menerima watikah
Hari ini yang penuh keramat
Segala usaha berjuta hikmat
Kepada graduan kami pertaruhkan
Selautan hasrat segunung harapan 

Terlebih dahulu, Majlis merakamkan sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih, terutama kepada Yang Berhormat En. Suhaimi b Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup dan semua para hadirin di atas kesudian meluangkan masa, bersama-sama kami dalam menjayakan majlis graduasi pada kali ini. Semoga dengan kehadiran kalian dapat menyuntik bara semangat kepada para bakal graduan bagi mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun 2013. 

TENTATIF 13

Hadirin hadirat yang dimuliakan, 

Majlis graduasi ini merupakan pengiktirafan tertinggi daripada pihak sekolah kepada putera dan puteri SMK Telok Kerang yang berjaya menamatkan pembelajaran di alam persekolahan selama 5 tahun di sekolah ini, Seramai 140 orang pelajar tingkatan 5 akan di graduasikan sebentar lagi.

Warga dewan yang dimuliakan,

Majlis graduasi tahun 2013 ini diraikan khusus untuk putera-putera dan puteri-puteri SMK Telok Kerang sebagai peransang kepada mereka untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang bakal diceburi, terutamanya dalam bidang akademik.

Majlis ini juga diharapkan mampu mengukir kenangan manis dan mencatat nostalgia penuh bermakna dalam lipatan sejarah para graduan. Diharapkan ia dapat di jadikan obor semangat kepada para graduan untuk menempa kejayaan yang lebih gemilang pada hari mendatang. 

Kepada para bakal graduan SMK Telok Kerang, di harap sentuhan majlis ini juga dapat membuatkan anakanda putra dan puteri tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh barisan pendidik mithali SMK Telok Kerang. Kami berharap, anakanda putra dan puteri dapat mencurahkan jasa dan bakti kepada bangsa dan negara sebaik sahaja melangkah keluar mengakhiri sesi pembelajaran bersekolah di SMK Telok Kerang. 

TENTATIF 14 

Yang Berhormat, dan hadirin hadirat yang dimuliakan,

Majlis meneruskan tirainya dengan mempersilakan Yang Berusaha Tn. Pengetua SMK Telok Kerang, En. Abdul Hamid b Abu Bakar, untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

(Ucapan Tuan Pengetua) 

TENTATIF 15 

Demikianlah tadi ucapan alu-aluan yang telah disampaikan oleh Tuan Pengetua SMK Telok Kerang, En. Abdul Hamid b Abu Bakar. Majlis merakamkan jutaan terima kasih. 

TENTATIF 16

Hadirin hadirat warga dewan yang dimuliakan,

Kini majlis dengan sukacita dan hormatnya mempersilakan Tetamu Kehormat Yang Berhormat En. Suhaimi b Salleh, ADUN Kukup, untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan majlis graduasi SMK Telok Kerang tahun 2013. Majlis dengan penuh rasa takzim mempersilakan.

(Ucapan YB ADUN Kukup) 

TENTATIF 17 

Berilah kami haluan kemudi
Pengubat hati menanti harapan
Ucapan diberi penuh bererti
Amanat tuan jadi pegangan 

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tetamu Kehormat atas ucapan dan amanat itu tadi. 

TENTATIF 18 

Hadirin hadirat warga dewan sekelian,

Beralih kita ke acara seterusnya iaitu penyampaian anugerah dan sijil graduasi kepada graduan-graduan SMK Telok Kerang.

Terdapat beberapa anugerah yang bakal di anugerahkan kepada para graduaan sebentar lagi. Anugerah itu adalah anugerah pengetua dan anugerah mata pelajaran terbaik. Sehubungan dengan itu, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Yang Berusaha En. Abdul Hamid b Abu Bakar untuk menjemput dan mengiringi tetamu kehormat Yang Berhormat En. Suhaimi b Salleh bagi menyempurnakan penyampaian anugerah. Majlis dengan penuh takzim mempersilakan. 

TENTATIF 19 

Majlis dimulakan dengan mempersilakan penerima anugerah sijil graduasi kepada 137 orang pelajar SMK Telok Kerang.

Majlis mempersilakan penerima sijil graduasi dimulakan dengan penerima:

Tingkatan 5 Sains
Tingkatan 5 Akaun
Tingkatan 5 Teknologi
Tingkatan 5 Kemanusiaan
Tingkatan 5 Katering dan Penyajian
Tingkatan 5 Landskap dan Nurseri 

TENTATIF 20 

Seterusnya majlis mempersilakan penerima anugerah pelajar terbaik dalam tingkatan. Dimulakan dengan penerima

Tingkatan 5 Sain
Tingkatan 5 Akaun
Tingkatan 5 Teknologi
Tingkatan 5 Kemanusiaan
Tingkatan 5 Katering dan Penyajian
Tingkatan 5 Landskap dan Nurseri 

TENTATIF 21

Majlis mempersilakan penerima Anugerah Mata Pelajaran terbaik. Majlis dimulakan dengan penerima

Bahasa Melayu
Matematik 
Bahasa Inggeris 
Sejarah 
Pendidikan Islam 
Sains 
Fizik 
Kimia 
Biologi
Pendidikan Seni 
Matematik Tambahan 
Prinsip Perakaunan
Perdagangan
Sains Pertanian 
Katering dan Penyajian 
Landskap dan Nurseri 

TENTATIF 22 

Berikut diumumkan penerima Anugerah Pengetua. Majlis mempersilakan penerima anugerah dimulakan dengan penerima: 
Anugerah pelajar terbaik akademik 
Anugerah pelajar terbaik kepemimpinan 
Anugerah pelajar terbaik sukan/permainan  
Anugerah pelajar terbaik unit beruniform 
Anugerah pelajar terbaik persatuan dan kelab 
Anugerah pelajar terbaik kesukarelaan 

TENTATIF 23

Demikianlah tadi berakhirnya pemyampaian anugerah-anugerah dan sijil-sijil graduasi yang telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat.

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tetamu Kehormat atas kesudian menyempurnakan penyampaian anugerah-anugerah dan sijil-sijil.

(Tuan Pengetua mempersilakan Tetamu Kehormat duduk)

(Tetamu kehormat duduk) 

TENTATIF 24 

Hadirin hadirat yang dimuliakan,

Sebagai tanda terima kasih di atas kehadiran Tetamu Kehormat dalam majlis ini, majlis berbesar hati memberikan cenderamata tanda terima kasih kami kepada para tetamu kehormat.

Dipersilakan En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang untuk menyampaikan cenderamata tanda terima kasih ini.

Majlis mempersilakan Yang Berhormat Encik Suhaimi B. Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup untuk menerima cenderahati. Dipersilakan.

(Penyampaian cenderamata) 

TENTATIF 25

Cantik jambangan bunga disusun,
Bunga orkid, cempaka, melati
Budimu bagaikan air terjun,
Mengalir terus tanpa henti.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut tersebut,
Budi yang baik rasa nak junjung. 

Majlis sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada

Yang Berhormat En. Suhaimi b Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup, Yang Berusaha, En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang, semua ahli jawatankuasa kerja Majlis Graduasi tahun 2013 yang bertungkus lumus dari mula hingga ke akhirnya, barisan guru-guru, para ibu bapa dan graduan yang diraikan sekalian. 

Pulau Pandan Jauh di tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di dalam peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Hari ini bertanam jagung
Hari esok bertanam serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bercerai 

TENTATIF 26 

Pengisytiharan penangguhan majlis Graduasi SMK Telok Kerang Tahun 2013.

Majlis mempersilakan En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang mengisytiharkan penangguhan Majlis Graduasi Tahun 2013. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

(Pengetua membuat pengisytiharan) 

Pengisytiharan penangguhan Majlis Graduasi 

“Assalamualaikum.... dan selamat sejahtera. Saya Abdul Hamid Bin Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang dengan ini mengisytiharkan penangguhan Majlis Graduasi SMK Telok Kerang tahun 2013”. 

(Gong dipalu kuat 3 kali) 

TENTATIF 27 

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada En. Abdul Hamid bin Abu Bakar. 

TENTATIF 28

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Dengan ini selesailah sudah Majlis Graduasi SMK Telok Kerang tahun 2013.

Inilah yang dikatakan,
Umpama belayar sudah sampai ke pelabuhan,
Umpama berjalan sudah sampai ke destinasi,
Umpama berkayuh sudah sampai ke haluan

Akhir kata, marilah kita hayati 

Gurindam Dua Belas Pasal Yang Kelima: 

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa.
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan. 

Terima kasih sekalung budi,
Daripada kami seikhlas hati.

Dengan ini, majlis memohon kemaafan, atas segala keterlanjuran, kepincangan dan kekhilafan sepanjang majlis ini berlangsung.

Sekian,  wabilahi taufik walhidayah assalamualaikum.... 

TENTATIF 29 

Hadirin  hadirat yang dihormati,

Nyanyian Lagu Negaraku. Semua hadirin diminta berdiri.

(Semua berdiri)

(Lagu Negaraku dimainkan dan dinyanyikan) 

TENTATIF 30 

Mengumumkan perarakan keluar Tetamu Kehormat, Yang Berhormat En. Suhaimi bin Salleh, para jemputan dan guru-guru. Warga dewan diminta berdiri.

(Tetamu turun dari pentas, berjalan di tengah dewan menuju ke belakang dan keluar melalui pintu belakang. Diikuti oleh para jemputan dan guru-guru)

(Gamelan dimainkan)

(Gamelan terus dimainkan) 

TENTATIF 31 

Mengumumkan perarakan keluar para graduan.

(Gamelan dimainkan) 

TENTATIF 32 

Sesi fotografi 

TENTATIF 33 

Jamuan makan tengahari




SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :

2 comments

Write comments
azfahani
AUTHOR
October 22, 2017 at 7:57 AM delete

terima kasih atas perkongsian, mohon nak guna sebagai rujukan ☺️

Reply
avatar
Faridah
AUTHOR
November 8, 2017 at 4:15 PM delete

Terima Kasih atas perkongsian. Sangat berguna sebagai rujukan saya.

Reply
avatar