27 April 2013

TAHNIAH KADET POLIS MENJUARAI PERTANDINGAN KAWAD KAKI MANAKALA PANDU PUTERI DI TEMPAT KETIGA


Tahniah kami ucapkan kepada pasukan Kadet Polis SMKTK atas kejayaan menjuarai pertandingan kawad kaki sekolah-sekolah daerah Pontian kategori pasukan badan kerajaan. Tahniah juga kami ucapkan kepada pasukan Pandu Puteri SMKTK yang menduduki tempat ketiga dalam pertandingan itu bagi kategori badan bukan kerajaan. Pertandingan kawad kaki itu diadakan pada 17 hingga 18 April 2013 bertempat di Dataran Ilmu sekolah kita. Pasukan Kadet Polis akan mewakili daerah Pontian ke pertandinan peringkat negeri. Terima kasih kami ucapakan kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan ini.
 
 

 




26 April 2013

PEMIMPIN DAN KEPEMIMPINAN PELAJAR DI SEKOLAH

Siapakah pemimpin?
  • Pemimpin ialah ketua sesuatu kumpulan atau organisasi atau kerajaan atau negara.
  • Menjadi pemimpin boleh jadi melalui pemilihan atu perlantikan atau warisan atau keturunan atau peperangan atau pemberontakan.
  • Pemimpin mempunyai kuasa dan pengaruh dimana orang yang dipimpinnya perlu mengikut arahannya.

Definisi kepemimpinan
  • Kepemimpinan sebagai daya penggerak sumber dan alat yang terdapat dalam sesebuah organisasi untuk mencapai sesuatu matlamat.
  • Kepemimpinan adalah aktiviti mempengaruhi orang supaya mereka berusaha secara sukarela ke arah mencapai matlamat kumpulan.

Etika pemimpin pelajar sekolah
  • Amanah, jujur dan ikhlas
  • Adil dan saksama
  • Berhemah tinggi dan berdisiplin
  • Mendampingi semua pihak
  • Sentiasa di hadapan.
  • Arif dan mahir terhadap peraturan
  • Sentiasa menjaga maruah
  • Cemerlang akademik dan kokurikulum

PEMIMPIN

  • P  -  Perancangan
  • E  -  Efektif (berkesan)
  • M  -  Matlamat/Wawasan/Visi
  • I  -  Ikhlas / Jujur
  • M  -  Model / Role Model
  • P  -  Proaktif / Progresif
  • I  -  Inisiatif / Daya Usaha
  • N  -  Neutral / Tidak Prejudis

Ciri-ciri pemimpin pelajar yang berkesan
  • Mempunyai perancangan
  • Bekerja dengan efisien, cekap dan yakin
  • Ada matlamat yang jelas
  • Berinisiatif dan berinovatif
  • Menjadi model (role model)
  • Proaktif dan progresif
  • Ikhlas dan amanah terhadap tugas kepemimpinannya
  • Niat yang jujur


Gaya kepemimpinan
  • Gaya Autokratik  -  Arahan daripada pemimpin dan tiada penglibatan pengikut dalam membuat keputusan.
  • Gaya Demokratik  -  Peminpin menggalakkan perbincangan dan membuat keputusan secara bersama.
  • Gaya Laissez-Faire  -  Pemimpin memberi kebebasan sepenuhnya dan setiap orang boleh membuat keputusan sendiri.

Jenis pemimpin
  • Karismatik   -   Tingkah laku pemimpin yang bereyakinan, berkebolehan, berwawasan, kesungguhan dan luar biasa, agen perubahan dan peka pada persekitaran.
  • Transformasi  -  Pemimpin yang memberi fokus terhadap moral dan motivasi dalaman yang tinggi. Bersifat kemanusiaan, adil, jujur dan tidak emosional, tidak tamak, rasional dan mencemburui pengikutnya.
  • Transaksi  -  Pemimpin yang menggunakan motivasi luaran, ganjaran, mengamalkan pendekatan laissez-faire.
  • Islam  -  Kepimpinan adalah amanah daripada Tuhan. Pemimpin mengamalkan prinsip syura (rundingan), adil, demokratik, setia, ikhlas, mengikut syariat dan kepercayaan penuh epada pemimpin.


Asas-asas kepemimpinan pelajar sekolah
  • Mempunyai bakat semulajadi dan dikembangkan.
  • Keikhlasan dan kejujuran berkhidmat.
  • Bijaksana dan panjang akal.
  • Berkeyakinan diri.
  • Berdisiplin, boleh diteladani dan sebagai role-model.
  • Aktif dalam gerak kerja sekolah.
  • Kemas, menepati masa, pandai bergaul, tidak berlagak, tidak sombong dan disegani.
  • Kesetiaan terhadap organisasi/kelab/persatuan
  • Pencapaian akademik yan baik.
  • Ketrampilan dan penglibatan aktif dalam kurikulum dan kokurikulum.
  • Mempunyai minat yang mendalam sebagai pemimpin.
  • Sentiasa bermotivasi untuk mencapai kecemerlangan.
  • Bijak membuat keputusan dan mampu menangani masalah.

Komunikasi berkesan kepemimpinan pelajar
  • Gunakan nama semasa berkomunikasi.
  • Senyuman yang manis.
  • Beri penghargaan secara jujur dan ihlas.
  • Tunjukkan minat yang tulen.
  • Elakkan mengkritik atau 'complain'.
  • Tunjukkan minat keinginan untuk berkomunikasi.
  • Menjadi pendengar yang baik.
  • Menggunakan kemahiran melayan yang berkesan, 'eye contact', 'body language'.
  • Bercakap apa yang pendengar berminat.
  • Batlah pendengar berasa dirinya begitu penting.
  • Tidak mempunyai prejudis atau prasangka negatif.
  • Hargai pendapat dan pandangan pendengar.
  • I'm OK  =  You're OK
  • Panggil nama manjanya...
  • Beri penghargaan dan ucapan...
  • Mata bertentang mata semasa bercakap...
  • Ukir senyuman semanis-manis senyuman...
  • Ucapkanlah kata-kata pujian termasuk 'terima kasih'...

Halangan komunikasi kepemimpinan pelajar
  • Melabel / Mengejek
  • Menghukum / Menuduh / Mengkritik
  • Mengarah / Memerintah
  • Membebel / Berleter
  • Menggunakan bahasa yang tidak tepat / mengelirukan
  • Arahan yang tidak jelas
  • I'm OK = You're not OK
  • Berlagak
  • Menyindir / Memperli

Ciri-ciri pemimpin pelajar sekolah yang berjaya dan dihormati
  • Karisma diri pemimpin yang dihormati dalam organisasi.
  • Mengetahui dengan jelas matlamat yang ingin dicapai
  • Mengurus organisasi dengan berkesan untuk mencapai matlamat.
  • Berkebolehan membuat perancangan yang tepat untuk mencapai matlamat.
  • Berkomunikasi atau penerangan idea kepada orang laindengan baik dan berkesan.
  • Bijak membuat keputusan, menilai semua kemungkinan, menimbang kelebihan dan kekurangan.
  • Mengakui dan menggunakan kepakaran orang lain untuk mencapai matlamat.
  • Pemimpin yang menyelia dan memberi perkhidmatan yang berkualiti dan menerapkan nilai-nilai murni di dalam organisasi.
  • Jangan takut buat silap.
  • Libatkan semua ahli dalam organisasi.
  • Jadilah seorang yang fleksibel dan adaptif.
  • Miliki visi yang berpandangan jauh.
  • Berilah latihan dan peningkatan diri.
  • Sanggup ambil risiko.
  • Berikan dorongan kepada orang lain untuk lebih kreatif dan inovatif.
  • Menggalakkan bekerja dalam satu pasukan.
  • Memberi ganjaran kepada mereka yang bertugas dengan baik.


Sebagai pemimpin pelajar di sekolah, adakah anda telah berusaha...
  • Membantu guru-guru membuat perancangan dan pengurusan aktiviti organisasi seperti kelab, persatuan akademik, pasukan unit beruniform, rumah sukan dsbnya.
  • Membentuk organisasi kepemimpinan agar mantap, berwibawa dan berkesan.
  • Menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, ikhlas dan amanah.
  • Memastikan semua ahli hadir dalam setiap perjumpaan dan aktiviti yang dijalankan.
  • Memantau dan membuat penilaian aktiviti yang dijalankan.

Apakah harapan sekolah kepada anda sebagai pemimpin?
  • Anda sebagai senior di kalangan rakan-rakan dan pelajar-pelajar lain.
  • Anda sebagai mentor.
  • Anda sebagai 'role model'.
  • Anda sebagai tulang belakang sekolah.
  • Anda sebagai pemacu kejayaan sekolah.
  • Anda sebagai pewaris budaya kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum sekolah.


23 April 2013

KUNJUNGAN PEGAWAI-PEGAWAI JPNJ DALAM PROGRAM PENGARAH TURUN PADANG (PTP)

Setelah tertangguh beberapa kali pada program Pengarah Turun Padang (PTP), pagi ini sekolah kami dikunjungi oleh pegawai-pegawai dari JPNJ dan PPD Pontian yang diketuai oleh Pn. Norbiha bt Buang DARI Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPNJ. Kehadiran mereka disambut oleh Pn. Hjh. Arbaenah bt Masud GPK1 pada pukul 7.30 pagi. Kedatangan mereka adalah untuk memantau beberapa aspek di anataranya ialah Melindungi Masa Instruksional (MMI), waktu kritis pertukaran guru, pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah, dan pemantauan fail-fail pengurusan sekolah dan fail-fail pengurusan kurikulum.  Laporan yang dibentangkan di akhir pemantauan pada pukul 2.30 petang dari pelbagai aspek itu nampaknya semua OK dan positif. Terima kasih kepada guru-guru yang bersedia dan mengutamakan tetamu kita pegawai-pegawai dari JPNJ dan PPD Pontian dalam program PTP ini. Sayangi sekolah kita...







20 April 2013

BILIK DARJAH YANG KONDUSIF MERANGSANG PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Ciri-ciri bilik darjah yang kondusif 


1.  Dari segi susunan fizikal bilik darjah, meja dan kerusi murid-murid disususn dengan kemas dan rapi mengikut kumpulan. Meja dan kerusi dalam bilik darjah tahap satu disusun mengikut kumpulan manakala kerusi dan meja dalam bilik darjah tahap dua disusun secara berpasangan. Guru memainkan peranan yang amat penting dalam pengurusan bilik darjah. Ada guru yang membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan mengikut tahap kebolehan dan kefahaman murid-murid seperti kumpulan yang mempunyai tahap kebolehan yang tinggi, sederhana dan lemah. Ada guru juga membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada murid-murid yang tahap kebolehan yang lemah, sederhana dan tinggi dalam satu kumpulan. Pembahagian murid-murid kepada beberapa kumpulan kerana kebolehan murid-murid adalah berbeza antara satu sama lain. Dengan susunan fizikal bilik darjah seperti ini memudahkan interaksi antara murid dengan murid dan guru dengan murid.

 
2. Dari segi saiz bilik darjah, ruang bilik darjah yang mencukupi diperlukan bagi sesebuah bilik darjah bagi memudahkan pergerakan murid dan guru. Guru boleh berdiri di tengah kelas serta dapat memberi perhatian kepada semua murid dalam kumpulan atau berpasangan. Dengan ini, murid-murid dapat member sepenuh perhatian kepada guru yang mengajar di hadapan kelas. Guru juga dapat mengubah,mengajar dan menunjukkan ajar kepada murid-murid secara berkesan jika mereka melakukan apa jua kesalahan, sama ada kesalahan tatabahasa atau karangan atau perbuatan yang tidak menyeronokkan. Melalui pemerhatian saya semasa PBS, bilik darjahnya agak kecil dan murid-murid tidak dapat bergerak bebas dalam bilik darjah dan akan mengakibatkan murid-murid tidak mempunyai semangat untuk bertanya kepada kawan-kawan semasa menghadapi masalah dalam pembelajaran. Saiz bilik darjah yang besar akan memberikan keselesaan semasa murid-murid bergerak dalam bilik darjah semasa aktiviti-aktiviti dijalankan di dalam bilik darjah. 

3.  Dari segi kemudahan, bilik darjah dilengkapi dengan kerusi dan meja, papan hitam, kipas, tingkap, pintu, papan pameran, rak-rak dan sebagainya hendaklah disediakan dengan lengkap dan memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik. Dalam pemerhatian saya, kemudahan-kemudahan bilik darjah salah sebuah sekolah rendah tidak disediakan dalam keadaan yang baik dan selamat digunakan. Sebagai contoh, meja, kerusi, kipas dan tingkap yang rosak perlu digantikan dengan baru kerana kemudahan-kemudahan yang tidak elok akan mendatangkan ancaman dan juga berbahaya terhadap murid-murid. Ruang-ruang pembelajaran juga perlu dibekalkan bagi memudahlan murid-murid menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran. Hasil-hasil kerja murid juga diletakkan atau digantungkan di tempat atau di rak yang sesuai dalam bilik darjah. Keadaan ini akan membangkitkan semangat belajar murid-murid dalam bilik darjah. 


4.  Di samping itu, guru juga memainkan peranan yang penting dalam pengurusan rutin bilik darjah. Guru menyediakan jadual tugas untuk murid-murid mengikut kebolehan atau fizikal mereka. Jika murid tersebut tinggi, guru akan memberikan dia tugas mengelap tingkap atau pintu. Bagi murid-murid yang bertenaga, guru akan memberikan tugas seperti mengambil sebaldi air untuk kawan-kawan yang bertugas mengelap tingkap dan pintu. Bagi murid-murid yang berbadan kecil,guru akan memberi tugas seperti menyapu lantai, membuang sampah, menyusun kerusi dan meja dan lain-lain lagi kepada mereka. Tujuan pembahagian tugas seperti ini akan mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa serta keadaan fizikal bilik darjah yang bersih dan teratur.

5. Di samping itu, hubungan guru-murid amat dititikberatkan dalam suasana pembelajaran di bilik darjah. Hal ini adalah kerana murid menjadikan guru-guru sebagai model dan murid-murid ini akan mendengar ajaran daripada seseorang yang mereka mempercayai. Oleh itu, para guru hendaklah membina hubungan yang erat dengan para murid. Para guru memberi kasih sayang dan dorongan kepada semua murid tanpa mengira kaum. Lama-kelamaan, kepercayaan diwujudkan antara guru dengan murid. Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dijalankan dengan berkesan. Malahan, guru yang baik sentiasa dijadikan teladan bagi murid. Oleh itu, guru amat berpengaruh dalam membina sikap positif murid. 


Perancangan Persekitan Fizikal Bilik Darjah Yang Kondusif 

1.  Meja guru

Meja guru diletakkan di belakang kelas dan berada di tengah. Kedudukan seperti ini adalah amat sesuai sekali diaplikasikan terutama pada murid Tahun Satu. meja guru juga hendaklah menghadap meja murid bagi membantu berlakunya kontek visual antara murid dan guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan meja guru di belakang ini juga  tidak menghalang penglihatan murid pada papan putih semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan ini juga dapat memaksimumkan pemantauan guru terhadap setiap murid dari setiap sudut. Apabila murid mengetahui setiap gerak gerinya diperhatikan, mereka akan dapat membuat kerja berkumpulan atau individu dengan sebaiknya. Dengan itu, kedudukan ini dapat mencapai keselesaan guru dan dapat merangsang semangat untuk guru mengajar dalam emosi yang positif. 

2.  Kerusi dan meja murid

Perkara utama yang mesti diberi perhatian pada setiap kerusi dan meja murid ini ialah kuantiti kerusi dan meja adalah mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik dan selamat. Untuk tujuan keselasaan, saiz kerusi dan meja harulah sesuai dengan peringkat tahap umur murid. Bagi susunan pula, meja murid disusun secara berkelompok di mana meja disusun secara berempat. Susunan ini memudahkan pengajaran berpusatkan murid. Selain itu, susunan ini dapat menggalakkan interaksi antara murid semasa gerak kerja kumpulan. Pada masa yang sama, murid juga masih boleh fokus kepada kerja sendiri. Susunan kelompok membolehkan murid berbincang, meluahkan pendapat, saling membantu dan berkongsi bahan semasa gerak kerja berkumpulan. Walau bagaimanapun, untuk membuat susunan secara berkelompok ini, guru hendaklah memastikan bilangan murid tidak terlalu ramai dan keluasan kelas hendaklah luas. Guru juga hendaklah memantau ahli kelompok supaya boleh bekerjasama dan bukan medatangkan kesan negatif kepada kumpulan.  Guru juga bolehlah menempatkan setiap murid dalam kumpulan mengikut pencapaian mereka. Hal ini akan memudahkan guru memberikan tugasan atau latihan selaras dengan pencapaian murid.


3.  Sudut multi-media

Selain faktor udara, perabot dan ruang, persekitaran fizikal bilik darjah abad ke-21 memerlukan prasarana teknologi yang bersesuaian. Penggabungjalinan elemen-elemen ini menjadikan bilik darjah sebagai tempat yang seronok untuk proses pembelajaran. (Weinstein & Mignano, 2003). Bagi membina persekitaran kondusif sudut multi-media juga perlu ada di dalam setiap bilik darjah. Di sudut ini, disediakan sebuah komputer dengan jaringan internet untuk penggunaan murid yang disambungkan ke plug elektrik yang berada di dinding bahagian tersebut. Sudut ini diletakkan berhampiran meja guru bagi memudahkan murid mendapat bimbingan guru semasa penggunaannya. Ini juga dapat memberi kelebihan kepada guru untuk memantau murid-murid agar menggunakan multi-media secara bijak dan bermanfaat. Guru juga perlu menyediakan peraturan penggunaan multi-media. Rasionalnya adalah supaya semua murid dapat menikmati kemudahan ini di samping pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar dan mengelakkan berlakunya kerosakan atau kemalangan.

4.  Sudut bacaan

Di satu sudut di bahagian belakang kelas dikhaskan sebagai sudut bacaan. Di sudut ini, dihamparkan permaidani dan diletakkan beberapa bantal untuk keselesaan murid-murid. Ruang ini lebih bersifat mesra kepada murid-murid dan memberi suasana seolah-olah mereka berada dirumah. Beberapa rak yang memuatkan buku, kamus, peta, surat khabar, majalah turut disusun di sudut ini untuk bacaan umum dan rujukan murid. Bahan-bahan bacaan ini diperolehi daripada sumbangan murid dan guru. Oleh itu, murid-murid akan berasa lebih bertanggungjawab untuk menjaganya kerana merasakan mereka turut memberi sumbangan bahan bacaan. Peraturan penggunaan ruangan ini turut dibina seperti bahan bacaan tidak boleh dikeluarkan daripada kelas, bahan bacaan perlu disusun kembali di atas rak selepas digunakan, buku yang rosak harus diganti dan sebagainya. Peraturan sebegini boleh mengelakkan berlakunya kerosakan dan kehilangan bahan bacaan ini. Untuk mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah.


5.  Pencahayaan dan pengudaraan

Pencahayaan dan pengudaraan yang cukup amatlah penting untuk keselesaan murid dan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Tingkap dan lampu yang mencukupi boleh memberi pencahayaan yang mencukupi. Guru haruslah memastikan alat elektrik ini berfungsi dan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab jika terdapat kerosakan.  Susun atur perabot dalam bilik darjah juga hendaklah disusun dengan baik supaya tidak menghalang tingkap untuk mengelakkan berlakunya halangan pencahayaan dan pengudaraan. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa membuka pintu dan tingkap untuk pengudaraan.

6.  Meja bulat

Meja bulat diletakkan di sudut kiri atau berdekatan dengan pintu di bahagian belakang kelas. Ini adalah bagi membolehkan murid berehat atau berbincang mengenai aktiviti-aktiviti atau tugasan-tugasan tertentu. 


7. Tempat simpanan bekal makanan

Selain itu, untuk membina persekitaran yang kondusif juga, guru bolehlah menyediakan tempat simpanan bekalan makanan. Satu peraturan mewajibkan semua murid dikehendaki menyimpan bekal makanan masing-masing di tempat ini perlu dilaksanakan. Hal ini kerana sekiranya terdapat murid yang membawa bekal makanan dan diletakkan di meja murid, andainya makanan itu tertumpah, ruang meja murid akan kotor dan mungkin juga akan mengotorkan buku-buku murid. Selain daripada itu, bekal makanan itu juga boleh menarik perhatian murid sehingga mengganggu tumpuanmurid semasa belajar. Dengan adanya tempat simpanan bekal murid ini, masalah-masalah ini tidak wujud dan kelas kelihatan lebih kondusif.

8.  Papan kenyataan

Pada papan kenyataan ini hendaklah dimuatkan jadual tugasan murid, hasil kerja murid, dan gambar aktiviti murid pada papan kenyataan untuk rujukan dan hiburan. Dalam jadual tugasan ini, murid-murid dibahagikan mengikut turutan hari dan tugas membersihkan kelas. Ini dapat melatih sifat bertaggungjawab dan kelas akan kelihatan bersih sepanjang hari. Dengan menampal hasil kerja pula, guru dapat melahirkan rasa bangga murid-murid apabila mereka melihat hasil kerja mereka dipamerkan dan secara tidak langsung mencetuskan minat mereka untuk belajar. Dalam hasil kerja murid pula dapat memberi input yang bermanfaat kepada semua murid.


9.  Bakul sampah

Dengan adanya bakul sampah, kebersihan bilik darjah dapat dijaga kerana murid-murid perlu membuang sampah ke dalam bakul sampah.

10.  Peti pertolongan cemas

Peti pertolongan cemas ini diletakkan di hadapan kelas. Penggunaan peti pertolongan cemas ini perlu mendapat keizinan guru. Setiap kelas perlu mempunyai peti pertolongan cemas kerana kita tidak dapat menjangka bila berlakunya kemalangan. Dengan adanya peti ini, rawatan kecemasan dapat diberikan dengan segera apabila berlakunya kemalangan. 

11.  Jam dan Kalendar

Jam perlu diletakkan di hadapan kelas untuk melatih murid menghargai masa. Kalendar pula digunakan untuk rujukan tarikh. Dalam kalendar turut dicatatkan beberapa hari dan peristiwa penting seperti Hari Kebangsaan. Ini dapat melatih murid supaya peka dengan peristiwa-peristiwa penting sebegini.


12.  Rak guru

Rak guru diletakkan di sebelah meja guru bagi kemudahan guru untuk menyimpan bahan bantu mengajar, fail-fail  termasuk untuk kegunaan murid.

Kesimpulannya, pengurusan sebuah bilik darjah yang baik dan kondusif merupakan salah satu faktor meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid di sekolah akan menikmati dan menggunakan kemudahan yang amat lengkap dan memungkinkan melahirkan anak-anak murid yang cemerlang.

Sumber:  Tree Builder dan Titian Hidup

19 April 2013

BANGKU DAN MEJA SIMEN FERRO DI BAWAH REDUPNYA POKOK-POKOK

Seolah-olah alam semula jadi yang bersatu walaupun salah satunya adalah jelmaan dari hasil binaan tangan murid-murid MPV Landskap. Apabila objek ini yang bagaikan batang kayu diletakkan di bawah pokok-pokok yang redup, ia memberi gambaran penyatuan alam sekitar yang mesra. Satu usaha yang membanggakan hasil pembelajaran teori dan praktikal oleh murid-murid MPV Landskap. Tahniah....






17 April 2013

CERAMAH KESIHATAN DAN PERGIGIAN

Pagi ini SMKTK didatangi oleh pegawai-pegawai perubatan Hospital Pontian. Di Dewan A, dua orang doktor dengan penuh semangat memberi ceramah dan panduan kesihatan. Ceramah yang disampaikan oleh Dr. Noorafiqah bt Mohd Nor dan Dr. Norhizat b Mohd Salleh ini sungguh menarik. Mereka berbicara mengenai kesihatan pergigian dan kesan seks remaja. Bersama mereka adalah jururawat dan kakitangan Hospital Pontian dan Klinik Kesihatan Penerok. Pada waktu yang sama pameran pergigian dan pameran mengenai pencegahan penyakit diadakan di sebelah belakang Dewan A. Pelajar-pelajar diberikan brosur mengenai pencegahan penyakit. Kami mengucapkan terima kasih kepada Hospital Pontian dan Klinik Kesihatan Penerok atas inisiatif ini.













12 April 2013

SELAMAT PENGANTIN BARU CIKGU NURUL SYUHADA BT MD YATIM

Masih belum terlambat untuk kita mengucapkan selamat pengantin baru kepada Cikgu Nurul Syuhada bt Md Yatim yang telah melangsungkan hari perkahwinannya dengan pilihan hati iaitu Mohd Ashadi b Jaafar yang berasal dari Ampang, K Lumpur. Majlis pernikahan telah dilangsungkan di rumah keluarganya pada hari Sabtu 1 Disember 2012 manakala majlis resepsi pula telah diadakan di Dewan Jublee Intan, bandar Pontian pada hari Ahad 2 Disember 2012. Majlis dimeriahkan dengan kehadiran ramai jemputan, saudara-mara dan sahabat handai itu untuk sama-sama meraikan dan memeriahkan hari bahagia Cikgu Syuhada.   Selamat pengantin baru Cikgu Syuhada. Semoga berbahagia disamping suami tercinta.

 










10 April 2013

PELANCARAN PERSATUAN ALUMNI SMK TELOK KERANG



Pada hari Sabtu 16 Mac 2013 yang lalu secara rasminya telah tertubuh Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Telok kerang. Pelancarannya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Yang Berbahagia Prof. Dr. Hj. Awang b Hj. Sariyan semasa Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-36.

Di antara tujuan dan matlamat penubuhan persatuan alumni ini ialah:
  1. Menghimpunkan semula bekas pelajar-pelajar SMR/SM/SMK Telok Kerang.
  2. Mewujudkan jalinan hubungan erat  di antara ahli-ahli Persatuan Alumni dengan SMK Telok Kerang.
  3. Mewujudkan rangkaian perhubungan dalam menjalin persefahaman ke arah mencapai misi dan visi SMK Telok Kerang.
  4. Merancang, mengatur dan melaksanakan aktiviti yang boleh menjana idea dan pemikiran yang boleh membangunkan persatuan.
  5. Berperanan sebagai sebuah unit sokongan untuk memelihara dan mempertingkatkan kecemerlangan sekolah.
  6. Memantapkan kerjasama erat dengan organisasi luar dengan mengadakan kolaborasi bersepadu dan strategik untuk membantu pelajar-pelajar SMK Telok Kerang.
  7. Mewujudkan tabungan kewangan bagi membantu sekolah dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan infrastruktur sekolah. 

Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SMK Telok Kerang

Penaung:
Prof. Dr. Hj. Awang b Hj. Sariyan

Pengerusi:
Hj. Md. Daluis b Hj. Sadini

Naib Pengerusi:
En. Zamri b Ismail

Setiausaha:
En. Hasan b Kasmuri

Bendahari:
Hj. Anas b Mohamad

Ahli Jawatankuasa:
En. Mohd Ishak b Mahbob
En. Abdullah Sani b Salleh
En. Md Akil b Adam
Hj. Omar b Hj. Ahmad
En. Hermannazif b Halil
Hj. Md Shah b Sairan
En. Mohd Muslim b Japri
En. Badrul Hadi b Hj. Ahmad

Pemeriksa Kira-kira:
Cik Roszana bt Ismail
En. Mohd Syukri b Yazed


SOKONGLAH PERSATUAN ALUMNI SMK TELOK KERANG