11 November 2014

PLC - KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL


Pn Hjh Halijah binti Ariffin

Pensyarah Kanan IAB



Guru merupakan sasaran utama dalam usaha membangunkan peningkatan kualiti instruksional berdasarkan latihan semula dan meningkatkan kemahiran pengajaran guru melalui kaedah pembangunan Professional Learning Community (PLC) serta profesionalsime guru yang lebih kontekstual. Semua pihak yang terlibat perlu menggembleng tenaga dalam memainkan peranan masing-masing untuk memastikan amalan melindungi masa instruksional dipraktiskan di sekolah. Senario ini, diharap dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada pencapaian matlamat PPPM 2013 – 2025’.

[Petikan Kata Alu-aluan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan), YB Dato’ Haji Sufa’at bin Tumin dalam Buku Panduan Melindungi Masa Instruksional (2013) 

DEFINISI PLC 

Sebahagian daripada pembaca mungkin sudah mengetahuinya tetapi bagi yang masih menjadi tanda tanya, teruskan membaca. Artikel ini akan membentang konsep PLC secara ringkas yang dipetik daripada DuFour, R. (2004) dan Hord, S.M (1997) iaitu penyelidik yang menemui dan mempopularkan PLC. 

Professional Learning Community (PLC) atau dalam Bahasa Melayu dikenali dengan Komuniti Pembelajaran Profesional, namun di Malaysia, istilah PLC lebih popular dan kerap digunakan. Pada tahun 1990, Peter Senge telah membuat kajian ke atas organisasi korporat yang berjaya dan mendapati organisasi yang berjaya adalah organisasi yang mengamalkan pembentukan visi secara bersama dengan semua warga, berlaku perkongsian visi dan nilai, menyokong pembelajaran dan penyelesaian masalah secara bersama dengan ahli-ahli organisasi. Peter Senge (1990) akhirnya menamakannya sebagai ‘Learning Organisation’.

Dalam dunia pendidikan pula, ramai penyelidik mencari formula yang tepat bagaimana sesebuah sekolah itu boleh berjaya. Hord (1997) yang pada masa itu terlibat dengan kajian di bawah Southwest Educational Development Laboratory (SEDL) telah mendapati sekolah yang Berjaya mempunyai ciri-ciri seiring dengan ‘learning organisation’ seperti yang diperkenalkan oleh Senge (1990). Hasil kajian ini membawa satu model baru kepada dunia pendidikan yang dikenali sebagai ‘Professional Learning Communities’.

Hasil kajian ini membawa satu model baru kepada dunia pendidikan yang dikenali sebagai Professional Learning Communities’. PLC adalah kolaborasi antara guru, pemimpin, ibu bapa dan murid, bekerjasama dan secara berterusan untuk mencari kaedah pengajaran terbaik, untuk meningkatkan prestasi murid. Sekolah yang mempunyai PLC memberi fokus kepada apa yang murid belajar bukannya apa yang guru mengajar (DuFour, 2004).

PLC adalah sekumpulan guru 6-12 orang yang sentiasa berhubung dan mengadakan perbincangan tentang pengajaran mereka. Kumpulan PLC berjumpa secara kerap, mengadakan dialog tentang pembelajaran murid mengikut protokol dengan penerimaan kritikan adalah bukan peribadi tetapi untuk meningkatkan pencapaian murid (Yendol, D. 2010).

Pendekatan Komuniti Pembelajaran Profesional menyediakan perkakasan kepada guru untuk membentuk wawasan kaedah pengajaran mereka melalui maklum balas pelajar dan rakan guru. Apabila guru memberikan fokus kepada waktu instruksional yang berkualiti, kaedah bertanya yang berkesan, pengurusan bilik darjah yang baik dan berbincang kesukaran pelajar menerima apa yang diajar bersama rakan, satu bentuk kaedah pengajaran yang berkesan akan dapat dihasilkan (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011).

Perkara utama dalam PLC ialah semua warga sekolah memberi fokus kepada pembelajaran iaitu tidak lagi menumpukan kepada apa yang diajar tetapi apa yang dipelajari oleh murid. Peralihan fokus ini membawa kepada situasi di mana guru-guru sentiasa mencari kaedah terbaik untuk memastikan murid dapat menerima pelajaran yang disampaikan.

Penghayatan slogan atau misi seperti ‘pembelajaran untuk semua’ menjadikan semua guru atau warga sekolah berusaha memastikan  pembelajaran diterima oleh semua murid. Sekiranya ada murid yang ketinggalan, guru akan berusaha membantu memberikan bimbingan dan kelas tambahan sehingga murid berkenaan menguasai pembelajaran yang diharapkan.

Perkara kedua dalam PLC ialah budaya kolaborasi yang kukuh dalam kalangan guru-guru. Secara tradisionalnya, guru-guru bekerja secara solo atau bersendirian. Guru merancang rancangan pengajaran, membina alat bantu mengajar dan membuat soalan secara bersendirian. Keadaan ini tidak wujud dalam sekolah yang mengamalkan PLC.

Guru yang membudayakan PLC akan bekerjasama dalam merancang pengajaran, membina modul pengajaran dan sentiasa mencari kaedah terbaik untuk memastikan pembelajaran berlaku. Selain itu, mengajar bukan lagi secara bersendirian, rakan guru secara sukarela membantu atau mengikuti pengajaran guru. Kelas terbuka kepada rakan guru untuk membantu dan memantau pengajaran. Perbincangan dan kritikan secara terbuka sentiasa berlaku dan hasilnya satu kaedah pengajaran terbaik tercipta.

Mengutamakan pembelajaran dan kejelekitan sesama guru menyebabkan tiada guru menerima kritikan secara peribadi.

3 Perkara utama dalam PLC
  • Fokus kepada pembelajaran 
  • Fokus kepada keputusan  
  • Kolaborasi

Perkara utama dalam PLC ialah semua warga sekolah memberi fokus kepada pembelajaran iaitu tidak lagi menumpukan kepada apa yang diajar tetapi apa yang dipelajari oleh murid Warga sekolah yang digelar PLC memberi fokus kepada pencapaian. Bekerjasama untuk meningkatkan pencapaian murid menjadi perkara rutin kepada semua warga di sekolah.

Pencapaian murid bukan lagi tanggungjawab seorang guru tetapi menjadi tanggungjawab semua. Dalam konteks ini, data  pencapaian murid menjadi bahan utama perbincangan dan guru-guru lain sentiasa bersedia membantu dalam pencambahan idea, bahan-bahan dan kaedah pengajaran serta juga memberi bimbingan kepada murid yang rendah pencapaian. Hasilnya pencapaian murid meningkat dan bilangan murid yang ketinggalan semakin berkurangan hari demi hari. Selain itu, ‘stress’ dalam kalangan guru-guru berkurangan ataupun mungkin tidak wujud kerana bebanan telah dikongsi bersama rakan guru lain.

Perkongsian nilai dan visi – sekolah yang mempunyai PLC melibatkan semua warga dalam membina visi, dan menjadikan visi tersebut sebagai panduan dalam membuat keputusan terutama dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

Perkongsian kepimpinan – kepimpinan dan keputusan dibuat bersama dengan warga sekolah. Pengetua sekolah tidak lagi dianggap sebagai seorang arkitek yang mereka bentuk pelan sekolah. Guru-guru diberi kebebasan untuk membuat perubahan dan keputusan tetapi di bawah batasan dan kuasa yang dimiliki.

Keputusan bersama menyebabkan rasa kesepunyaan kepada keputusan dan tindakan yang dibuat, yang akhirnya meningkatkan Perkongsian kreativiti – setiap warga berusaha meningkatkan kapasiti peribadi melalui perbincangan dan dailog bersama rakan guru yang lain. Perbincangan dan dailog membawa kepada penemuan baru yang dikongsi bersama.

Perkongsian amalan terbaik – PLC mengamalkan budaya kolaborasi yang tinggi, hormat  menghormati serta bersikap terbuka kepada kritikan rakan. Pengajaran guru terbuka kepada rakan yang lain untuk dilihat dan dikongsi bersama. 

CIRI-CIRI PLC
  • Perkongsian Nilai dan Visi 
  • Perkongsian Kepimpinan 
  • Perkongsian Amalan 
  • Perkongsian Kreativi 

Struktur yang menyokong PLC 

Struktur yang menyokong – struktur yang menyokong dilihat daripada sokongan daripada struktur fizikal dan hubungan kemanusiaan yang menyokong kepada pembentukan dan pembudayaan PLC. Struktur fizikal termasuk struktur bangunan, masa, struktur komunikasi, kuasa autonomi dan pengagihkan kuasa. Sebagai contoh, struktur fizikal bangunan yang besar menyukarkan guru-guru berjumpa manakala masa pula, sekiranya tiada perancangan yang rapi untuk pertemuan guru dan perbincangan dilakukan akan menghalang untuk pembentukan PLC.

Hubungan kemanusiaan pula dilihat kepada sikap dan kesediaan warga sekolah menerima kritikan, memberi bantuan dan berkongsi bahan dan modul pengajaran. Hubungan yang renggang dan lebih suka kepada pengajaran secara solo menyukarkan pelaksanaan PLC.

 APAKAH STRATEGI UNTUK MEMBENTUK PLC DI SEKOLAH? 

Di bawah digariskan beberapa strategi secara ringkas untuk membentuk PLC di sekolah. 
  1. Perjumpaan bulanan untuk membincangkan artikel dan ilmu baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran
  2. ‘Book Clubs’ – sekumpulan guru mengadakan perbincangan dan perkongsian mengenai buku atau artikel yang dibaca, dicadangkan secara bulanan.
  3. ‘Study Group’ – sekumpulan guru mengadakan perbincangan tentang sesuatu topik dengan mengabungkan pelbagai latar belakang dan jurusan akademik guru.
  4. ‘Video critiques of teaching moments’ – melihat dan menganalisa teknik pengajaran guru yang telah divideokan.
  5. ‘Learning walks’ – berjalan disepanjang kelas dengan tujuan memerhati guru mengajar dan diikuti dengan perbincangan kekuatan dan kelemahan pengajaran.
  6. ‘Peer coaching/ instructional coaches’ – membimbing guru setelah menyaksikan pengajaran yang berlaku di dalam kelas
  7. ‘Lesson study’ – sekumpulan guru bersama-sama membina rancangan mengajar, seorang guru mengajar manakala guru-guru lain memerhati. Akhir pengajaran, guru-guru tersebut berbincang dan membuat penambahbaikan kepada rancangan mengajar atau modul pengajaran.
  8. ‘Data analysis’ – guru secara berkumpulan berbincang pencapaian murid dan membantu mencari penyelesaian dan bersama-sama membimbing murid yang masih belum menguasai sesuatu pembelajaran.
  9. ‘New teacher induction/mentoring’ – guru pakar dan guru senior membimbing dan memberi sokongan kepada guru baru.
  10. ‘Vision activity’ – sekumpulan guru membina matlamat dan pelunjuran pencapaian murid dan merancang aktiviti untuk mencapai matlamat tersebut.

RUMUSAN 


Pelancaran Akta ‘No child Left Behind’ pada tahun 2001 oleh Amerika Syarikat telah mengalakkan model PLC dilaksanakan di sekolah-sekolah di negara Barat. PLC dikatakan sebagai salah satu kaedah untuk memastikan hasrat pendidikan untuk semua tercapai. Di Malaysia, PLC telah diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Guru melalui pendekatan ‘lesson study’ kepada 289 buah sekolah pada tahun 2011. Gerakan ini telah disokong oleh Institut Aminuddin Baki yang telah memberikan pendedahan kepada pemimpin sekolah untuk membangunkan PLC di sekolah. Pada tahun 2013 pula, PLC telah disarankan dalam usaha melindungi masa instruksional dan menjadi satu kaedah utama pembangunan profesional guru. Oleh itu adalah langkah bijak sekiranya kita sama-sama memahami konsep PLC dan menjadi pengerak PLC di sekolah.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :