28 February 2014
19 February 2014
CERAMAH BAHAYA DADAH
Pagi ini murid-murid SMK Telok Kerang diberi pendedahan akan bahaya dadah sewaktu aktiviti kokurikulum. Ceramah yang diadakan di Dataran Nilam disampaikan oleh Insp. Azlee b Abdul dari IPD Pontian.
Di antara ingatan penting dalam ceramah itu iaah:
- Orang yang terlibat dengan dadah biasanya merokok terlebih dahulu.
- Remaja lelaki lebih banyak terlibat dalam salah guna dadah berbanding perempuan.
- Remaja perempuan terlibat dengan dadah biasanya dipengaruhi oleh teman lelaki.
- Jangan sekali-kali mencuba-cuba dadah.
- Hukuman kesalahan berkaitan dengan dadah adalah sama antara orang dewasa dan remaja.
- Apa juga kesalahan berkaitan dengan dadah, hukumannya berat sekali.
- Lebih banyak keburukan daripada kebaikan kesan daripada penyalahgunaan dadah.
- Jauhi salah guna dadah.
16 February 2014
PELANCARAN MINGGU ANTI DADAH
Pagi ini dilancarkan Minggu Anti Dadah. Pelancaran telah disempurnakan oleh GPK 1 Pn. Hjh. Arbaenah bt Masud di Dataran Nilam. Matlamat program minggu anti dadah ini ialah untuk merealisasikan sekolah bebas tanpa dadah dengan mengadakan pendidikan pencegahan dadah secara komprehensif melalui kurikulum dan kokurikulum. Semoga dengan adanya program ini ia dapat memberi pendedahan kepada murid-murid akan bahayanya dadah seterusnya membenci serta menjauhkan diri daripada dadah.
15 February 2014
SAMBUTAN MAULIDURRASUL 2014
Sambutan Maulidurrarul SMK Telok Kerang telah diadakan pada pagi ini Sabtu 15 Februari 2014. Sambutan yang bermula pada pukul 7.30 pagi didahului dengan perarakan mengelilingi kawasan sekolah yang diketuai oleh Tuan Pengetua dan diiringi bacaan selawat oleh Ustaz Sukri Osman dan Cikgu Hasan Kasmuri. Selepas bersarapan pagi, semua guru dan murid masuk ke Dewan A untuk menghayati acara-acara sambutan. Di antara acaranya ialah nasyid, selawat, bacaan berzanji, dan kuiz. Hadirin yang dihadir kemudian mendengar dan menghayati ceramah sambutan yang disampaikan oleh Ust. Mohd. Rozamli b Mohd Razak.
12 February 2014
08 February 2014
SMKTK PENERIMA ANUGERAH 100 SEKOLAH TERBAIK GPS PMR 2013
Membanggakan. Kami mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua warga SMK Telok Kerang kerana sekolah kita dapat Anugerah 100 Sekolah Terbaik GPS PMR 2013 dengan menduduki ranking ke 87 daripada 255 sekolah menengah di negeri Johor. Tahniah juga diucapkan kepada calon-calon PMR 2013 yang telah menunjukkan prestasi terbaik. Sekolah kita yang yang kecil dan terpencil tapi tidak terpencil daripada rangking di negeri Johor. Tahniah....
03 February 2014
TEORI-TEORI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Teori
membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran khususnya dalam
konteks pendidikan khas. Teori dapat memberi panduan atau kaedah yang
berkesan dan bersesuaian untuk menyelesaikan masalah murid. Antara
fungsi teori kepada guru ialah;
- Teori membantu untuk seseorang guru membuat penilaian, menyemak bahan, teknik, kaedah pembelajaran yang boleh digunakan kepada pelajar,
- Teori memberi panduan pengetahuan yang sistematik dan konsep bekerja bagi membolehkan pengubahsuaian sesuatu ilmu baru dan ia amat penting kerana memberi arah panduan menjelaskan dengan lebih teratur struktur pemikiran dan ini membentuk tindak balas yang diingini berlaku,
- Teori ialah pembentukan secara berproses. Setiap disiplin dibina berdasarkan konsep dan idea yang dikembangkan oleh teori sebelumnya. Teori adalah cabaran, kekuatan, bagi pengkaji dan ahli akademik untuk mempraktik dan membuat penilaian bagi membuktikan teori yang dikeluarkan oleh golongan ini bersesuaian dan berguna serta berhasil.
Menurut Thomas ( 1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri seperti dapat menjelaskan fakta-fakta dengan jelas, mudah difahami, berguna untuk membuat ramalan masa hadapan dan memperjelas perkara-perkara yang sudah lepas, boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak berasaskan banyak andaian (kepercayaan-kepercayaan yang tidak dapat dibuktikan).
Dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran hidup banyak kerja-kerja amali perlu dilakukan oleh murid supaya benar-benar dapat memahami sesuatu kemahiran. Perkara ini berkait rapat dengan realiti kehidupan mereka di luar. Jadi, untuk menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran ini tercapai dan dikuasai oleh murid khas, guru harus memikirkan bagaimana untuk memaksimumkan penguasaan murid ini dengan menggunakan teori-teori yang sesuai dan berkesan dalam pengajaran mereka. Terdapat beberapa teori pengajaran dan pembelajaran dibincangkan supaya boleh membantu guru mengamalkannya dan membuat penilaian semasa pengajaran.
Teori Pembelajaran Behaviorisme
Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau tidak wujud. Mereka berpendapat kecenderungan-kecenderungan tingkah laku termasuk trait-trait, bakat, nilai-nilai, kepercayaan–kepercayaan, aspirasi dan lain-lain adalah dipelajari.
Antara andaian ahli behaviorisme ialah tingkah laku boleh diukur, diperhatikan dan dianalisa dengan melihat gerak balas individu. Gerak balas bergantung kepada peneguhan dan dendaan. Matlamat behavioris ialah melihat kaitan rangsangan dengan gerak balas dan melihat bagaimana gerak balas ini boleh dikawal melalui ganjaran dan dendaan. Ahli-ahli behaviorisme menggunakan konsep pelaziman klasik dan pelaziman operan apabila menjelaskan proses pembelajaran (Jalongo dan Isenberg 2000).
Teori Pembelajaran Kognitif
Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Ahli-ahli psikologi kognitif berpendapat bahawa pembelajaran adalah mudah dan ia tidak selalunya berlaku melalui cuba jaya sebagaimana yang dicadangkan oleh mazhab behaviorisme. Menurut psikologis ini, dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ‘ingatan’. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal. Dengan itu, nyatalah seseorang individu jarang menggunakan cara cuba jaya untuk mempelajari sesuatu.
Teori kognitif berpegang kepada persoalan bagaimana kita mengetahui, memperolehi, memproses dan menggunakan maklumat. Jadi, dalam mendidik murid-murid khas , guru perlulah menyesuaikan segala teori-teori yang ingin digunakan. Ada kalanya teori behaviorimse penting digunakan demikianlah juga dengan teori kognitif. Semua teori boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Teori Pembelajaran Sosial
Albert Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku melalui proses peniruan. Bandura (1977) berpendapat, kita belajar melalui pemerhatian dan meniru orang lain serta dengan melihat konsekuen tingkah laku orang lain. Bandura berpendapat bahawa;
- Pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya.
- Peniruan selalunya diteguhkan.
- Pembelajaran pemerhatian dapat juga diterangkan melalui prinsip pelaziman klasik. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial Bandura,menekankan peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam perkembangan.
Teori Pembelajaran Humanis
Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran, pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas tindakannya. Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka dia perlu berusaha mencapainya ke arah itu. Setiap murid juga mempunyai keperluan mengembangkan potensinya ke tahap maksimum. Teori humanis menekankan objektif berikut;
- meningkatkan arah kendiri dan kebebasan murid.
- membantu murid agar lebih bertanggungjawab dalam menentukan perkara yang ingin dipelajari oleh mereka.
- meningkatkan daya cipta murid.
- mengembangkan minat dalam bidang seni.
- meningkatkan naluri ingin tahu murid.
Asas teori ini adalah kepercayaan seseorang murid mempunyai keperluan untuk pencapaian hasrat diri. Guru perlulah membantu murid mencapai hasratnya. Ini berlaku kerana dalam pengajaran secara humanis, pembelajaran arah kendiri amat ditekankan.
Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah seperti berikut;
- murid akan belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui.
- Keinginan untuk belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan fakta.
- Penilaian yang dibuat oleh murid sendiri lebih bermakna bagi dirinya.
- Perasaan murid adalah sama penting dengan fakta. Pembelajaran cara merasa adalah sama penting dengan pembelajaran berfikir.
- Pembelajaran hanya berlaku jika murid tidak berasa terancam.
Sumber dan penghargaan buat Pomizi Resources.Com
02 February 2014
TEKNIK-TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Teknik
adalah unsur terkecil dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, ia
terkandung dalam sesuatu kaedah. Ia merangkumi aktiviti, pelakuan dan
kemahiran guru yang digunakan untuk menyampaikan isi pelajaran dalam
pengajaran.
Teknik ialah cara menjalankan pelbagai langkah dalam pengajaran. Teknik yang digunakan oleh guru akan menjadikan pengajaran itu lebih bermakna dan menyeronokkan. Seseorang guru mestilah pandai menggunakan teknik supaya murid lebih berminat dan timbul motivasi untuk belajar. Dalam setiap pengajaran sememangnya terdapat pelbagai cara dan teknik yang boleh digunakan, namun begitu tiada satu teknik pun yang dianggap paling sesuai dan dapat digunakan untuk semua keadaan atau terbaik untuk semua sesi pengajaran. Teknik yang digunakan hendaklah bergantung kepada keadaan dan berdasarkan kepada minat pelajar serta bahan pengajaran yang hendak disampaikan (Rashid et al 1996). Teknik pengajaran dan pembelajaran ini mempunyai beberapa objektif, antaranya ialah:
Teknik ialah cara menjalankan pelbagai langkah dalam pengajaran. Teknik yang digunakan oleh guru akan menjadikan pengajaran itu lebih bermakna dan menyeronokkan. Seseorang guru mestilah pandai menggunakan teknik supaya murid lebih berminat dan timbul motivasi untuk belajar. Dalam setiap pengajaran sememangnya terdapat pelbagai cara dan teknik yang boleh digunakan, namun begitu tiada satu teknik pun yang dianggap paling sesuai dan dapat digunakan untuk semua keadaan atau terbaik untuk semua sesi pengajaran. Teknik yang digunakan hendaklah bergantung kepada keadaan dan berdasarkan kepada minat pelajar serta bahan pengajaran yang hendak disampaikan (Rashid et al 1996). Teknik pengajaran dan pembelajaran ini mempunyai beberapa objektif, antaranya ialah:
- untuk menyampaikan bahan pengajaran dengan cara yang boleh menarik minat murid-murid dan untuk mengekalkan perhatian serta mencungkil rasa ingin tahu mereka.
- untuk membolehkan murid mencapai objektif-objektif pengajaran yang dipelajari dengan mudah dan berkesan.
Terdapat banyak teknik pengajaran yang boleh digunakan dan diaplikasikan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran seperti teknik main peranan, teknik bercerita, teknik soal jawab, teknik perbincangan, teknik drama dan teknik forum.
Sumber dan penghargaan buat Pomizi Resources.Com
01 February 2014
LAPORAN PROGRAM PENGHIJAUAN 9: PROJEK TAMAN DUSUN TANAMAN POKOK BUAH-BUAHAN DAN PISANG TANDUK
Pengenalan
Projek tanaman
pokok buah-buahan dan pisang tanduk dilaksanakan oleh murid-murid Tingkatan
1 Maju dan murid-murid Tingkatan 4 Landskap. Projek tanaman pokok buah-buahan
dilaksanakan pada bulan Oktober 2013 manakala projek tanam pokok pisang tanduk
dibuat pada Januari 2014. Ia adalah pengayaan daripada sebahagian pembelajaran dalam
mata pelajaran Kemahiran Hidup Pertanian dan mata pelajaran MPV Landskap dan
Nurseri. Selain daripada belajar melalui pengalaman praktikal, murid-murid dapat menyumbang tenaga untuk menghasilkan bahan makanan selain dapat menghijaukan kawasan sekolah.
Objektif:
- Menggunakan sumber tenaga manusia yang ada untuk menyumbang usaha pengeluaran tanaman makanan.
- Meningkatkan kemahiran murid untuk menanam pokok-pokok.
- Memberi peluang kepada setiap murid untuk menyumbang usaha dalam penghijauan kawasan sekolah.
- Memberi peluang kepada setiap murid untuk menyumbang usaha pengeluaran tanaman makanan.
- Menjimatkan kos melestarikan kawasan sekolah dengan cara membuat sendiri sesuatu projek.
Nama
Program:
Projek Taman Dusun Tanaman Pokok Buah-buahan
dan PisangTanduk
Hari:
Projek
dibuat semasa murid-murid KHB Pertanian dan MPV Landskap dan Nurseri sedang
belajar mengenainya sebagai pengayaan dalam pembelajaran.
Tanggungjawab:
Penyediaan: En. Hasan Kasmuri dan murid-murid MPV Landskap
dan Nurseri dan KHB Pertanian.
Pengurusan: En. Hasan Kasmuri dan murid-murid MPV
Landskap dan Nurseri dan KHB Pertanian.
Pelaksanaan:
Tanam pokok buah-buahan pada Oktober 2013 oleh murid-murid Kemahiran Hidup Pertanian.
Tanam pokok pisang tanduk pada Januari
2014 oleh murid-murid Tingkatan 4 Landskap.
Tempat:
Tapak
lapang di belakang dan tepi Bengkel KHB.
Sasaran:
Murid-murid
MPV Landskap dan Nurseri dan murid-murid KHB Pertanian Tingkatan 1 M.
Kos:
Anak
benih pokok pisang tanduk (50 unit): RM30.00
Anak
pokok buah-buahan: RM90.00
Dokumentasi Bergambar:
PENDEKATAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pendekatan
merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran itu diajarkan
untuk mencapai objektifnya. Setiap pendekatan hendaklah mencerminkan
satu pandangan atau pendapat tentang hakikat satu matlamat pelajaraN.
Ia bertujuan untuk memudahkan murid menerima dan memahami isi pelajaran
yang disampaikan oleh guru.
Dengan adanya pendekatan, guru dapat membuat tanggapan asas yang akan dijadikan prinsip. Kita mempelajari sesuatu situasi itu secara keseluruhan dan kemudian memperinci elemen-elemen situasi satu pandangan atau sebagai teori pembelajaran, maka kita boleh menjadikannya sebagai satu pendekatan dalam sesuatu pengajaran. Ini membawa maksud sesuatu pengajaran itu harus dimulakan dengan mengamati keseluruhannya terlebih dahulu dan kemudian dikaji bahagian-bahagiannya.
Menurut pendapat Edward M.Anthony (1963), pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Melalui pendapat ini dapatlah kita merumuskan bahawa pendekatan harus berlandaskan kepada model , prinsip atau teori pembelajaran . Contohnya;
Dengan adanya pendekatan, guru dapat membuat tanggapan asas yang akan dijadikan prinsip. Kita mempelajari sesuatu situasi itu secara keseluruhan dan kemudian memperinci elemen-elemen situasi satu pandangan atau sebagai teori pembelajaran, maka kita boleh menjadikannya sebagai satu pendekatan dalam sesuatu pengajaran. Ini membawa maksud sesuatu pengajaran itu harus dimulakan dengan mengamati keseluruhannya terlebih dahulu dan kemudian dikaji bahagian-bahagiannya.
Menurut pendapat Edward M.Anthony (1963), pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Melalui pendapat ini dapatlah kita merumuskan bahawa pendekatan harus berlandaskan kepada model , prinsip atau teori pembelajaran . Contohnya;
- konkrit kepada abstrak
- mudah kepada kompleks
- keseluruhan kepada bahagian
- umum kepada spesifik (deduktif)
- spesifik kepada umum (induktif)
- dekat kepada jauh
- diketahui kepada belum diketahui
Pendekatan
merupakan aksiomatik iaitu kenyataan yang dianggap benar tanpa
memerlukan sebarang bukti atau alasan. Pendekatan ini bolehlah
dirumuskan sebagai satu teori pembelajaran yang beraksiomatik dan
diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan
objektifnya. Terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan dalam
kelas khas.
Pendekatan Koperatif
Pendekatan
koperatif merupakan program yang berstruktur yang menekankan penguasaan
kemahiran, konsep dan maklumat. Pendekatan pembelajaran koperatif
memerlukan murid bekerjasama ke atas setiap satu ahli dalam kumpulannya.
Kaedah ini mensasarkan matlamat dan pencapaian kumpulan yang hanya
dapat dicapai jikalau semua ahli dalam kumpulan itu belajar semua
objektif yang diajar.
Ada
tiga konsep yang berkait dengan pendekatan ini iaitu, ganjaran
kumpulan, kebertanggungjawaban indivdu, dan peluang yang sama untuk
berjaya. Melalui ini, kumpulan akan mendapat pengiktirafan jika
menunjukkan prestasi yang membanggakan. Oleh itu , ahli dalam kumpulan
bertanggungjawab membantu sesama mereka dalam kumpulan demi untuk
mengekalkan prestasi kumpulan mereka. Kaedah ini menunjukkan bahawa
ganjaran kumpulan dan kebertanggungjawaban individu merupakan elemen
penting untuk menghasilkan pencapaian kemahiran asas (Slavin, 1983).
Dalam beberapa kajian, kesan atas pencapaian murid adalah meningkat
hasil daripada tanggungjawab individu dan matlamat kumpulan.
Pendekatan Deduktif
Di sekolah guru mengajar murid menaakul secara deduktif dan induktif. Dari segi penaakulan deduktif , guru sering
mengajukan kepada murid dengan peraturan am dan membantu mereka
mengenal pasti contoh dan mengaplikasikan peraturan tadi. Dalam hal ini,
dalam mata pelajaran kemahiran hidup pun boleh dilaksanakan penaakulan
seperti guru ingin murid menyatakan apakah yang perlu kamu pakai untuk
berkebun. Pelajar akan menyatakannya serta memberi contoh dan berupaya
pula mengaplikasikannya apabila hendak berkebun. Ringkasnya prestasi
murid selepas memberi contoh itu membawa kepada inferens bahawa murid
telah menemui peraturan yang perlu untuk menyelesaikan dan peraturan ini
boleh digeneralisasikan kepada situasi baru yang mempunyai kaitan yang
sama.
Pendekatan Bermain Sambil Belajar
Kaedah
bermain adalah kaedah pembelajaran yang mendekatkan diri pelajar kepada
pengalaman sebenar secara langsung, terutama apabila mengajar konsep
atau kemahiran. Apabila digunakan secara berkesan boleh menambah respon
murid dan kepekaan kepada perasaan orang lain, iaitu murid tidak akan
dapat memahami atau mengaplikasikan prinsip yang dipelajari dengan
berkesan dan bermakna kecuali diberi peluang menyaksikan sendiri situasi
sebenar dan menilai hasil aplikasi mereka dalam situasi bermasalah.
Murid berpeluang dan boleh mempertingkat kebolehan empati, menambah
kepekaan proses interaksi dan memiliki kebolehan menganalisis situasi
secara objektif. Kaedah bermain sambil belajar merupakan situasi yang
dilakukan secara spontan dengan arahan dan bahannya diambil daripada
kisah benar. Untuk kaedah ini digunakan dengan berkesan, beberapa proses
asas harus diikuti iaitu:
Pengenalan dan Kesediaan Murid
Murid
berada dalam keadaan baik untuk belajar apabila mendapati reaksinya
terhadap situasi sebelum ini tidak memuaskan. Maka dengan ini murid akan
bermotivasi untuk mencuba cara yang baru. Contohnya membentangkan
situasi bermasalah dengan beberapa cara bereaksi terhadapnya dan murid
memilih cara bereaksi jika dia terlibat dalam situasi itu. Lepas itu
murid dikehendaki menunjukkan empati atau yang boleh membina perasaan
empati. Misalnya, jika rakan kamu cedera selepas menggunakan alatan
tajam, apakah yang perlu kamu lakukan dan bagaimana kamu menunjukkan
tanda simpati dan cara membantunya.
Mendefinisikan Situasi dan Peranan
Situasi
dibentuk oleh murid dengan bimbingan guru. Namun dalam pendidikan khas,
guru haruslah membentuk situasi dan memberi arahan yang lebih jelas
supaya murid lebih memahami situasi serta dengan bimbingan berterusan.
Selepas pemilihan murid-murid yang terlibat, maka mereka akan melakukan
lakonan itu. Guru haruslah membantu murid mendapatkan pengertian tentang
masalah dan berasa selesa dalam peranannya.
Menyediakan Kelas untuk Pemerhatian dan Analisis
Fasa
ini melibatkan mengorientasikan murid yang memerhati supaya mereka tahu
tanggungjawab mereka dan akan melibatkan diri secara aktif dalam
pengalaman pembelajaran. Kemudian murid diminta memberi pendapat tentang
isu yang dilakonkan.
Bimbingan
Guru
membimbing murid khas dalam lakonan yang ditentukan. Murid melakonkan
watak contohnya pekebun sayur di kebun sayurnya yang menghadapi masalah
dimusnahkan oleh haiwan ternakan. Pelajar dibimbing melakonkan setiap
watak, pekebun, tuan punya kebun, tuan punya haiwan dan watak lain.
Analisis dan Perbincangan
Pada
peringkat ini, guru dan murid membuat analisis dan perbincangan tentang
keseluruhan tema yang dilakonkan dan mengeluarkan daya kreativiti
penyelesaian masalah secara spontan. Guru dan murid akan bersoal jawab
tentangnya.
Pendekatan Secara Kumpulan, kelas dan Individu
Pendekatan kumpulan bermaksud
murid bekerja dalam kumpulan. Walaupun berkumpulan setiap murid
mengekalkan individualitinya dan dibantu untuk menyumbang idea kepada
kumpulan. Setiap murid dalam kumpulan bertanggungjawab berkongsi idea
dan memberi sumbangan yang baik, bukan mengikut sahaja. Guru memainkan
peranan penting lebih-lebih lagi bagi murid pendidikan khas. Guru
haruslah memastikan murid boleh mengalami pembelajaran bertujuan dan
matlamat serta objektif kumpulan secara beransur dan penilaian diadakan
berterusan. Guru mestilah berulang-ulang kali menyatakan objektif kerja
secara kumpulan, kelas dan individu. Ini supaya murid memahami peranan
dan akan meningkatkan kerjasama untuk kejayaan kerja kumpulan. Pendekatan
kumpulan sebagai satu kaedah pengajaran membantu murid menjadi bebas
serta yakin dan pada masa yang sama belajar bahawa seseorang itu
bergantung antara satu sama lain. Ia sesuai sebagai satu cara untuk
mempertingkatkan penyesuaian sosial.
Pendekatan pengajaran kelas pula,
guru akan berada di hadapan kelas dan mengajar. Murid akan memberi
perhatian, membuat tugasan atau menulis dan lain-lain. Selepas itu,
pelajaran baru bermula, guru akan bertanyakan pelajaran lepas dan
meneruskan dengan maklumat baru, memberi sedikit kerja kelas, menekankan
fakta penting, menyoal, memberi tugasan untuk hari berikutnya, menjawab
soalan murid dan pelajaran berakhir. Walau bagaimanapun, dalam
pendidikan khas, guru banyak membimbing murid dalam tugasan ini, memberi
tugasan yang mampu dilakukan oleh murid. Apabila mmurid faham akan
pelajarannya, maka penguasaan ilmu mereka akan diuji melalui kerja-kerja
latihan.
Pendekatan individu pula
menekankan rancangan untuk sesuatu pelajaran itu mengambil kira
perbezaan murid. Setiap murid bekerja dengan bebas dan meneima bantuan
apabila mereka memerlukannya. Murid akan melalui pembelajaran mengikut
kadar kebolehannya. Jadual juga dirancang untuk mereka, tugasan akan
disusun supaya pmurid ini akan bekerja berterusan. Ada beberapa kaedah
untuk pengajaran individu seperti:
- Menggunakan panduan yang rancangannya ditulis mengarah murid dalam pembelajarannya. Dalam panduan itu, guru memberi objektif serta aktiviti yang disusun mengikut urutan supaya pada akhir aktivti itu, objektif pembelajaran tercapai. Dengan cara ini, murid boleh membuat tugasan mengikut kadar kebolehannya. Melalui kaedah ini, segala arahan dan tugasan sentiasa ada dan panduan belajar menyatakan apa yang perlu dilakukan.
- Bahan dan program juga merupakan kaedah yang digunakan dalam pendekatan individu. Setiap langkah mempunyai sedikit matlamat, disusuli dengan soalan dan meminta respon daripada murid. Apabila murid memberi respon, dia akan ditunjukkan dengan jawapan yang betul yang memberi peneguhan kepada tindakan murid tersebut. Maklumat baru, kemahiran, saranan dan cadangan dimasukkan dalam program itu.
- Memberi tugasan individu yang sesuai dengan tahap murid. Tugasan individu ini berbeza dari segi kuantiti dan kualiti mengikut kebolehan dan keperluan murid.
- Menggunakan tahap kesukaran dalam program pengajaran dan juga menggunakan tahap jangkaan dalam memperihalkan kemajuan atau kualiti murid. Apabila murid diberikan tugasan mengikut tahap kesukaran tertentu, maka setiap tahap itu menjadi tahap jangkaannya. Murid itu diharap akan mencapai kualiti dan kuantiti kerja yang dibentuk untuk tahap itu dan kemajuannya dilapor secara berterusan.
Pendekatan Berasaskan Penyelidikan (Research-Based Approaches)
Meese (2001) dalam
bukunya “Teaching Learners With Mild Disabilities Intergrating Research
and Practice” Second Edition, menyenaraikan beberapa pendekatan
berasaskan penyelidikan, iaitu:
Pengajaran Secara Terus
Pengajaran
ini berprinsipkan penilaian secara berterusan dan dibuat secara
langsung dan menekankan kepada komponen-komponen kemahiran tertentu
dalam memberi tugasan kepada murid. Ia juga berfokuskan kepada kecekapan
guru pendidikan khas dalam merealisasikan teknik pengajaran untuk
membantu meningkatkan pencapaian murid.
Pendekatan
ini telah diperkenalkan oleh Bereither dan Engelmann (1996). Pengkaji
ini telah menggunakan pengajaran secara berstruktur dan pendekatan
secara berulang-ulang dalam mengajar kemahiran asas kepada pelajar.
Antara kebaikan pendekatan ini ialah, ia jelas, pengajaran dapat
dijalankan dengan teratur, berfokuskan kepada kemahiran tertentu sahaja,
cepat dan sistematik serta dapat memberi maklum balas yang baik kepada
murid.
Pengajaran Strategi Kognitif
Murid
khas dengan ketidakupayaan ringan merupakan murid yang agak sukar untuk
mengaplikasikan apa sahaja kemahiran dan tingkah laku yang dipelajari
di dalam kelas ke dalam situasi baru atau aktiviti di luar kelas. Oleh
itu, dengan adanya gabungan strategi pengajaran seperti modifikasi
tingkah laku kognitif, strategi pengajaran dan pembelajaran dan strategi
pengajaran metakognitif dapatlah membantu murid memberi tumpuan,
tujuan, memilih strategi yang sesuai dan efektif dalam menjalankan tugas
dan dapat mengawal perkembangan individu.
Bimbingan Rakan Sebaya
Penglibatan
rakan sebaya adalah amat penting dalam mempengaruhi pembelajaran murid
khas di dalam kelas. Ia juga dapat meningkatkan pencapaian murid dengan
memaksimumkan masa dalam proses pengajaran dan pembelajaran akademik.
Apa yang penting adalah interaksi antara mereka dalam menjalankan tugas
seperti mewujudkan kerjasama antara mereka. Guru akan memainkan peranan
sebagai perancang, melatih murid untuk berkongsi dengan rakan-rakan
sebaya agar dapat memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran
tercapai.
Pembelajaran Berasaskan Keadaan Sebenar
Pendekatan
ini akan dapat membantu murid dengan ketidakupayaan ringan
mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam masalah yang dihadapi
dalam keadaan sebenar atau aktiviti luar kelas seperti perkebunan. Murid
akan lebih bersedia untuk menghadapi keadaan sebenar apabila murid
tersebut telah didedahkan dengan pembelajaran yang berbentuk pengalaman
sebenar yang akan berlaku di luar kelas apabila proses pengajaran
pembelajaran dijalankan di dalam kelas.
Pendekatan Analisis Tugasan (Task Analysis)
Analisis
tugasan sering digunakan dalam pendidikan khas. Ia boleh didefinisikan
sebagai suatu proses yang melibatkan satu kemahiran tertentu atau
objektif am dipecahkan pada langkah-langlah urutan yang kecil. Analisis
tugasan dapat membantu pemahaman dan meningkatkan penguasaan kemahiran
murid khas secara beransur-ansur. Sebagai contoh, mendail nombor
telefon, melibatkan 12 kemahiran kecil seperti berikut:
- dapat mengenal nombor 0 hingga 9.
- dapat membezakan antara arah kanan dan kiri.
- dapat mengangkat gagang telefon dan menunjukkan bagaimana memegangnya.
- dapat menunjukkan ke arah mana untuk mendail dan menunjuk bagaimana meletakkan jari-jarinya ke dalam lubang-lubang.
- dapat menunjukkan ke arah halangan dail (bahagian penahan pergerakan dail).
- dapat memusing dail dengan jarinya sehingga halangan dail.
- dapat meletak jari ke dalam lubang yang padan dengan satu angka yang diberi.
- dapat mendail dua angka yang diberi dalam turutan.
- dapat mendail lebih angka dalam urutan hingga 10 angka. (03 - 89255039).
- dapat mengulangi langkah (10) semasa memegang gagang telefon berdekatan telinganya.
- dapat mengulangi langkah (8) dan (9) semasa memegang telefon berdekatan dengan telinganya.
- dapat mengulangi langkah (11) dalam susunan kiri ke kanan yang betul apabila diberikan nombor telefon yang penuh.
(Sumber: diubah suai daripada Larsen & Poplin, 1980)
Dalam
pelaksanaan pengajaran analisis tugasan boleh diamalkan pada setiap
kemahiran mata pelajaran lain. Analisis tugasan adalah perincian tentang
sesuatu tugasan atau aktiviti. Tujuannya untuk menstruktur sesuatu
aktiviti perlakuan itu dari mula hingga akhir, dan akhirnya murid dapat
melakukannya satu persatu hinggalah menguasainya. Contoh, dalam
kemahiran mengenal fungsi alatan perkebunan seperti cara menggunakan
cangkul, analisis tugasan dibuat supaya murid tahu cara-cara menggunakan
cangkul dan alatan lain. Secara keseluruhan, pendekatan yang efektif untuk proses pengajaran dan pembelajaran murid khas adalah seperti berikut:
- Pengajaran dan pembelajaran hendaklah dijalankan secara terus dan berterusan dari hari ke hari.
- Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah jelas dan terancang serta diajar dengan teratur.
- Proses pengajaran hendaklah disertakan dengan contoh yang bersesuaian dan jelas serta mudah pula difahami murid.
- Maklum balas mengenai pengajaran dan pembelajaran baik daripada murid kepada guru ataupun guru kepada murid hendaklah jelas untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik lagi.
- Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pengulangan konsep-konsep penting hendaklah dijalankan agar murid lebih memahami apa yang telah dipelajari.
- Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah bermakna kepada murid serta dapat diaplikasikan di dalam kehidupan seharian.
- Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah memberi penekanan kepada strategi mengingati fakta-fakta.
- Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah juga berfokuskan kepada memodifikasikannya kepada pekerjaan.
Bagi
pendekatan yang melibatkan perancangan berkumpulan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran, yang paling berkesan adalah melibatkan
pendekatan seperti berikut:
Bimbingan Rakan Sebaya
Rakan
sebaya akan sama-sama membantu guru dalam membantu rakan lain. Ini akan
dapat memberi pendedahan kepada murid-murid dalam bersosialisasi antara
mereka.
Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran
koperatif yang berprinsipkan pengajaran secara berkumpulan dapat
membantu murid bekerjasama dalam kumpulan masing-masing. Ia lebih
berfungsi kepada kumpulan yang kecil jumlah ahlinya.
Pembelajaran Kolaboratif
Pembelajaran
ini melibatkan guru pendidikan khas dan guru kelas biasa bekerjasama
secara berpasangan untuk merancang dan seterusnya melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Kumpulan Berdasarkan Kemahiran dan Keperluan
Kumpulan
ini terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing dan
mengikut keperluan murid. Mereka ini juga akan memberi khidmat yang
diperlukan kepada murid-murid.
Pendekatan Pengajaran Bertema
Pendekatan
pengajaran bertema (Jabatan Pendidikan Khas 2005) digunakan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran murid pendidikan khas. Pemilihan
topik atau tema mestilah bersesuaian dengan persekitaran murid.
Pendekatan pengajaran bertema melibatkan perkara-perkara berikut:
- penggunaan satu tajuk umum merentasi bidang pembelajaran
- pemilihan tajuk berdasarkan kesesuaian tahap murid, situasi tertentu atau peristiwa semasa
- saling berkaitan dengan pengalaman sedia ada dan pengalaman baru yang diperoleh secara tersusun dan sistematik
- peluasan dan pengukuhan pengetahuan dan kemahiran
- pemeringkatan daripada yang mudah kepada yang sukar dan umum kepada yang lebih spesifik
Pemilihan tema pula perlu mengambil kira perkara-perkara di bawah:
- kesesuaian dengan kehidupan murid
- peluang untuk mengaplikasi kemahiran kepada murid seperti kemahiran asas mendengar, membaca, menulis, mengira, penggunaan komputer dan lain-lain.
- kemahiran yang diperoleh daripada tema yang diajar dapat membantu murid mendapat kemahiran penyelesaian masalah
- sumber yang mudah didapati
- mengikut musim atau peristiwa untuk memberi kesedaran dan pengukuhan serta meningkatkan pengetahuan murid
Perkara-perkara berikut perlu dilaksanakan dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran bertema:
- sumbang saran berdasarkan topik oleh murid
- kenal pasti subtopik dan pilih aktiviti yang sesuai untuk membantu murid mempercayai isi kandungan dan mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam konteks yang bermakna
- mencipta peta minda untuk tema
- merancang dan menggalakkan kemahiran berfikir
- iklim dan persekitaran bilik darjah mempunyai suasana yang kondusif dan berkaitan dengan tema
Pendekatan Visualais
Pendekatan
visualais (Jabatan Pendidikan Khas 2005) merupakan pendekatan yang
lebih bermakna dalam aspek pengajaran dan pembelajaran. Murid akan dapat
melihat dengan jelas dan lebih memahami tatacara gerak kerja sesuatu
kemahiran itu diajar atau ditunjukkan . Pendekatan ini merangsang murid
ingin mencuba dan melaksanakannya kepada semua aspek pengajaran dan
pembelajaran yang terdapat dalam semua bidang khususnya bidang
pravokasional. Keperluan pelaksanaan pendekatan visualis ini ialah guru
perlu menyedari bahawa murid mempunyai penglihatan yang baik dan
kebolehan tahap pengamatan mereka berbeza; murid lebih memahami dengan
cara menunjukkan cara sesuatu kemahiran itu diajar; dan murid lebih
terangsang dan faham dengan menampakkan sesuatu langkah kerja itu
dilakukan.
Prinsip
pendekatan visualais ini ialah sebarang bentuk paparan yang hendak
ditunjukkan hendaklah jelas dan tidak mengelirukan , jaraknya yang
hampir dengan murid, diterangkan dengan jelas dan jika perlu dilakukan
berulang-ulang dan cahaya yang cukup terang serta bentuk paparan itu
dengan memilih warna yang sesuai. Ciri-ciri pendekatan visualais ini
ialah:
- hasil pembelajaran perlu ditentukan
- aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus
- aktiviti pembelajaran disusun mengikut urutan dari yang mudah kepada yang lebih kompleks
- bahan pengajaran dan pembelajaran mesti sesuai dengan tahap penguasaan murid dan berkaitan dengan kemahiran yang dipelajari
- sesuatu kemahiran itu diajar dengan kaedah tunjuk cara yang boleh dilihat oleh mereka
- murid lebih faham dan mudah mengikut apa yang dipaparkan kepada mereka
Pendekatan Kolaborasi
Pendekatan
kolaborasi dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan khas boleh
dibahagikan kepada empat bahagian iaitu latihan kemahiran kerja, bengkel
terlindung, pelbagai kaedah terapi dan aktiviti luar bilik darjah.
Latihan Kemahiran Kerja
Latihan
kemahiran kerja perlu didedahkan kepada murid pendidikan khas
bermasalah pembelajaran. Matlamat utama latihan ini adalah untuk memberi
kemahiran kendiri, komunikasi, sosialisasi, dan kemahiran asas
berkaitan pekerjaan dalam kehidupan. Latihan kemahiran kerja boleh
dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu:
Latihan Dalaman (Berbentuk Projek)
Guru melaksanakan aktiviti berbentuk projek yang telah dirancang dengan baik . Contohnya;
- perkebunan dan penjualan hasil tanaman
- aktiviti-aktiviti perdagangan seperti membuat aiskrim, biskut, kek, dan lain -lain
- memelihara ikan , burung dan lain-lain
Latihan Kerja yang Melibatkan Pihak Luar atau Kerja Luar
Guru
mendapatkan barangan dari luar (kilang) untuk pembungkusan (assemble)
dalam waktu persekolahan atau membuat barangan yang tertentu, contohnya
hasil kraftangan murid seperti batik, bunga telur dan lain-lain untuk
dijual
Latihan Kerja Sebenar
Latihan
kerja sebenar ialah usaha mewujudkan situasi sebenar untuk sesuatu
latihan kerja seperti mencuci kereta, mendobi, dan lain-lain yang dibuat
di sekolah. Pelajar-pelajar dihantar bekerja di tempat sebenar dan
pemantauan dibuat oleh pegawai kerja.
Bengkel Terlindung
Fungsi
bengkel terlindung adalah untuk memberi pengalaman , latihan,
penilaian, dan pekerjaan kepada individu yang berkeperluan khas.
Terdapat bengkel terlindung yang beroperasi sendiri (di bawah pengurusan
sekolah) atau yang mempunyai perjanjian dengan agensi yang memberi
perkhidmatan berkaitan dengan kerjaya. Bengkel terlindung tidak
mementingkan hasil pengeluaran tetapi lebih mengutamakan pengalaman
bekerja individu, menanam minat, memenuhi keperluan sosial dan memberi
kemahiran interpersonal. Di bengkel terlindung perlu ada:
- penilaian kemahiran vokasional
- latihan kerja secara umum atau khusus
- memberi peluang latihan kepada individu yang berkeperluan khas
- peluang untuk berekreasi
- perkhidmatan untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan
- bekerja dalam jangka masa panjang sebelum mendapat pekerjaan lain
Aktiviti Luar Bilik Darjah
Aktiviti ini dijalankan di luar waktu pembelajaran, bertujuan untuk;
- memberi peluang untuk murid memperoleh pengalaman sebenar
- rekreasi
- bersosialisasi dan berkomunikasi
- aktiviti yang menggembirakan
- penerokaan dan interaksi dengan persekitaran
- aktiviti bebas dan terancang
- meningkatkan aktiviti kemahiran vokasional
Antara aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah adalah aktiviti rekreasi yang melibatkan:
- lawatan
- motivasi
- perkhemahan
- perkelahan
- berkuda
- berenang
- aktiviti jual beli
- lawatan sosial
- kraftangan
- latihan industri
Sumber dan penghargaan buat Pomizi Resources.Com