31 August 2014

SMKTK NAIB JOHAN PERTANDINGAN KECERIAAN DAN PENCAHAYAAN


Tahniah kami ucapkan atas kemenangan sebagai naib johan dalam pertandingan keceriaan dan pencahayaan sempena sambutan hari kemerdekaan Malaysia ke-57 peringkat daerah Pontian. Hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000.00 serta piala diterima dari Tuan Pegawai Daerah Pontian di perhimpunan dan perarakan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-57 di Stadium Mini Pontian pada 31 Ogos.  Terima kasih diucapkan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang membuat persediaan pertandingan itu.


25 August 2014

BULAN KIBARKAN JALUR GEMILANG

Bulan ini adalah bulan Ogos iaitu bulan kemerdekaan, bulan dimana kita sebagai rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat merdeka dan penghayatan kesetiaan kepada negara. Marilah kita sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang. SMKTK turut mmeriahkan bulan kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang yang di kibarkan oleh guru-guru dan murid-murid.















23 August 2014

PASUKAN 2S DAN 1M JUARA

Pasukan bola sepak Tingkatan 2S dan pasukan bola jaring Tingkatan 1M muncul menjuarai pertandingan bola sepak dan pertandingan bola jaring 1M1S SMK Telok Kerang. Pasukan Tingkatan 2S mengalahkan pasukan Tingkatan 2T manakala pasukan 1M mengalahkan pasukan 1S. Tahniah kami ucapkan kepada kedua-dua pasukan ini.



1 MURID 1 SUKAN


Hari ini di gelanggang bola sepak dan bola jaring SMK Telok Kerang meriah dengan sorakan penyokong pasukan masing-masing. Hari ini diadakan pertandingan bola sepak dan bola jaring 1 murid 1 sukan.

Apakah 1 murid 1 sukan?

Latar Belakang

Dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengna menyertai aktiviti sukan sepanjang tahun. Dasar ini juga adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.

Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan kesemua murid. Bagi Sukan Untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi dibangunkan di bawah program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1Malaysia yang sihat, cergas dinamik dan bersatu padu. 

Matlamat

Dasar 1M 1S berhasrat untuk: 
  • Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dalam kalangan murid melalui kegiatan sukan sepanjang tahun; dan 
  • Memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

Konsep 

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Ke arah ini, Konsep Dasar 1M 1S adalah diwujudkan untuk menyokong FPK agar dapat:
  • Memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang aktif atau tidak aktif; 
  • Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sukan sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah; dan 
  • Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

Objektif Dasar

Dasar 1M 1S berhasrat untuk memenuhi objektif-objektif berikut; 
  • Meningkatkan kecergasan jasmani; 
  • Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni; 
  • Memupuk perpaduan di antar kaum; 
  • Membentuk budaya sukan di kalangan murid; 
  • Memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal; 
  • Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal; dan 
  • Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.

Prinsip Pelaksanaan

Perlaksanaan Dasar 1M 1S hendaklah mengambil kira prinsip-prinsip berikut: 
  • Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan; 
  • Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di Sekolah Rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga 6 di Sekolah Menengah. Walau bagaimanapun murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah; 
  • Murid boleh menyertai lebih dari 1 jenis sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan serta persetujuan pihak sekolah; 
  • Asas kepada Dasar 1M 1S adalah perlaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang berkualiti di sekolah. Segala sumber mata pelajaran PJK hendaklah diguna sama bagi pelaksanaan dasar ini; 
  • Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti sukan; 
  • Ibu bapa, agensi luar dan rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah; dan 
  • Setiap sekolah yang sudah mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan (PKPS) hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.

Pendekatan Pelaksanaan 

Bagi sekolah yang kurang PKPS, bolehlah berkongsi dengan sekolah-sekolah yang berdekatan atau memohon PKPS daripada pihak berkuasa tempatan secara percuma atau sedikit bayaran minimum bagi menjayakan dasar ini. Bagi memenuhi prinsip-prinsip pelaksanaan Dasar 1M 1S, setiap sekolah mesti mempunyai strategi pendekatan dalam melaksanakan program sukan mengikut acuan dan kemampuan sedia ada. Maka, pelaksanaan 1M 1S adalah berdasarkan kepada pendekatan berikut:
  • Aktiviti sukan bermaksud melibatkan diri dan mengambil bahagian secara aktif dalam latihan sukan dan permainan di bawah pengurusan sekolah. Sukan yang ditawarkan di bawah 1M 1S hendaklah berunsurkan aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal. 
  • Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah. 
  • Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di Sekolah Rendah dan Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di Sekolah Menengah. Manakala murid Prasekolah hingga Tahun 3, digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. 
  • Bagi Murid berkeperluan khas, aktiviti sukan juga hendaklah dilakukan berdasarkan keupayaan dan kemudahan sedia ada. 
  • Pihak sekolah hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah sukan, dorm asrama dan kelab sukan sekolah. Penyertaaan murid dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) / Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta peringkat antarabangsa juga merupakan aktiviti 1M 1S.










 


19 August 2014

REFLEKSI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Refleksi 

Refleksi merupakan suatu proses yang penting dalam kitaran pembelajaran bagi kemajuan profesion keguruan. Pengalaman pengajaran yang diperolehi oleh guru-guru sejak mereka mula berkhidmat adalah amat bernilai dan boleh dikongsi untuk manfaat semua guru. Berasaskan kaedah yang sistematik dalam refklesi, pengalaman tersebut dapat dijadikan pengajaran dan membawa pengertian kepada semua guru. 

Definisi 

Amalan refleksi ini diperkenalkan oleh Donald Schon dalam bukunya “The Reflective Practitioner” dalam  tahun 1983. Menurut beliau, amalan reflkesi merangkumi pengalaman dalam minda apabila menggunakan pengetahuan teori yang berubah menjadi aplikasi praktikal. Sacara amnya, refleksi adalah pengalaman hidup peribadi seseorang itu. 

Refleksi bagi guru-guru boleh didefinisikan sebagai proses di mana guru-guru mempelajari kaedah pengajaran sendiri dan menentukan cara-cara yang terbaik untuk mengajar murid-murid. Melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti, guru-guru mempelajari apa yang berjaya dan apa yang tidak berjaya dalam bilik darjah. Guru-guru akan mempelajari apa yang penting dan apa yang perlu dielak dalam pengajaran dan pembelajaran yang akan datang. 

Kedua-dua aktiviti yang berkesan dan kurang berkesan boleh digunakan untuk memperkayakan seseorang melalui pendekatan refleksi sistematik. Apabila direnung kembali sesuatu tindakan dan akibatnya, guru-guru bukan sahaja mengingati perkara tersebut tetapi juga memikirkan keputusan yang menyebabkan perkara tersebut berlaku. 

Refleksi atau introspeksi tersebut akan memberi input yang berharga untuk memperbaiki diri dan peribadi seorang guru. Proses mengingat kembali faktor-faktor penyebab dan hasil tindakan guru-guru akan memberi pengertian kepada mereka untuk mengelak perkara-perkara yang kurang berkesan dan memperbaiki segala tindakan mereka. Guru-guru yang cekap dalam mengamalkan refleksi juga akan mengalami proses pembelajaran dan pengajaran yang lebih bermutu. 

Ciri-ciri Refleksi 

Memahami ciri-ciri amalan reflkesi akan memberi guru-guru asas yang baik tentang proses refleksi seperti berikut: 

(a)  Proses Sistematik 

Proses refleksi ialah proses yang sistematik , mengingati kembali dari ingatan pengalaman-pengalaman yang telah berlalu. Dalam proses sistematik ini, guru-guru memahami dan menjelaskan proses-proses yang berlaku dari awal hingga akhir bagi sesuatu kejadian supaya mendapat pengertian dan pemahaman pembelajaran yang baru.

Contohnya, mengingati kembali dan memahami apa yang berlaku ketika mengajar, apa yang berlaku di minda guru-guru dan reaksi murid-murid pada setiap langkah pengajaran. 

(b)  Bukti Penambahbaikan 

Refleksi juga dapat menyediakan bukti dan pengetahuan teknikal untuk meramal penyelesaian efektif untuk proses-proses penambahbaikan. Selepas mengajar sesuatu pelajaran, guru-guru perlu menganalisis aktiviti pembelajaran untuk menunjukkan hasil positif dan negatif. Contohnya, dalam sesuatu keadaan pembelajaran dan pengajaran, perkara-perkara yang perlu dielakkan dan langkah-langkah yang diteruskan apabila sesuatu pelajaran diulangi perlu diberi penekanan. 

(c)  Pengetahuan Gerak Hati 

Refleksi melibatkan penggunaan pengetahuan gerak hati. Dalam proses refleksi, pembelajaran berlaku melalui teknik inkuiri. Mengikut pengetahuan gerak hati, guru-guru sentiasa dapat membuat perubahan dan pembaharuan kepada proses pengajaran. 

d)  Meramal Akibat

Refleksi membolehkan guru-guru menjangka hasil sesuatu tindakan dan membuat perancangan awal. Guru-guru dapat meramalkan tentang segala perubahan dan hasil pembelajaran kerana mereka mempunyai pengetahuan tentang murid-murid mereka. 

e)  Menjana Idea-Idea Baru 

Refleksi membantu guru-guru merangka semula pengetahuan teori yang lampau dengan menggunakan pengertian baru untuk mengubah pengajaran mereka. Oleh yang demikian, guru-guru boleh menjana idea-idea yang baru untuk diterapkan dalam pengajaran selepas pengalaman praktikal mereka. 

(f)  Berfikir Secara Kritikal 

Refleksi adalah proses pemikiran kritikal pelbagai faktor yang mempengaruhi pengajaran guru-guru di dalam kelas. Dalam proses pemikiran kritikal, guru-guru perlu membuat pengubahsuaian kepada pengetahuan yang diperolehi daripada langkah-langkah pengajaran yang berlaku di dalam kelas. Guru-guru juga perlu membuat perubahan secara langsung apabila keadaaan yang tidak dijangka berlaku ketika mereka mengajar. 

(g)  Amalan Etika 

Refleksi adalah suatu proses yang menghargai dan menghormati semua orang. Terdapat satu kod amalan etika yang perlu diikuti oleh semua guru yang terlibat dalam amalan refleksi. Semua aktiviti professional dan peribadi dijalankan dengan sikap mengambil berat dan toleransi. 

(h)  Proses  Aktif 

Refleksi adalah proses aktif mengingat kembali, menganalisis dan mencari penyelesaian kepada masalah. Menurut Schon (1983), ini dibuat melalui refleksi dengan cara-cara yang berikut:-

  1. Refleksi Semasa PengajaraN - Merujuk kepada pemikiran langsung mengenai apa yang dilakukan oleh guru-guru ketika mereka mengajar. Guru-guru melaksanakan pelan tindakan pengajaran berasaskan  teori-teori yang pernah dipelajari.
  2. Refleksi Selepas Pengajaran - Refleksi dilakukan  selepas sesuatu pengajaran dilaksanakan dan ia membolehkan guru-guru memahami apa yang telah dilakukan dan reaksi murid-murid terhadapnya. Ini menjana beberapa persoalan dan idea-idea mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan ketika guru-guru mengajar.
  3. Refleksi Tindakan Susulan - Refleksi  ini diamalkan  selepas pengajaran apabila guru-guru menilai dan membuat kesimpulan mengenai implikasi untuk tindakan selanjutnya seperti membentuk satu  pelan tindakan baru untuk pengajaran. Ciri-ciri tersebut wujud apabila guru-guru menjadikan refleksi sebagai suatu aspek amalan praktikal pengajaran. Ia memanfaatkan guru-guru dalam pelbagai cara.

Kebaikkan Refleksi 

Refleksi penting kerana pembelajaran berlaku melalui campuran teori dan praktikal, pemikiran dan tindakan serta pemerhatian dan interaksi:
  1. Menghasilkan perancangan pengajaran yang lebih baik. 
  2. Menjana idea-idea inovatif untuk menghasilkan bahan pengajaran. 
  3. Memahami keperluan murid-murid yang pelbagai. 
  4. Boleh menyelesaikan masalah selepas mengambil kira semua pilihan. 
  5. Menjana proaktif dan bukannya reaktif. 
  6. Membina cara kreatif untuk memotivasikan murid-murid. 
  7. Bertimbang rasa terhadap murid-murid yang lain. 
  8. Memahami diri sendiri dan orang lain. 
  9. Menyedari kesilapan dan tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Guru-guru akan lebih bertimbang rasa terhadap murid-murid kerana ebih memahami diri sendiri dan keperluan anak murid mereka. Guru-guru akan menyedari kesilapan dan kesalahan diri dan tidak akan mengulangi kesilapan-kesilapan tersebut. Melakukan amalan refleksi, guru-guru yang berkeyakinan juga dapat menjalankan kajian secara kolaborasi dengan jayanya dan berkongsi hasilnya dengan guru-guru lain dalam profesion keguruan. 

Kaedah-kaedah Refleksi 

Terdapat beberapa model untuk menjalankan refleksi. Contohnya, model tiga langkah, iaitu RANCANG, BUAT dan NILAI seperti yang dicadangkan oleh Greenway (1988) boleh digunakan untuk menjalankan refleksi dalam sistem sekolah. 

Dalam satu lagi model oleh Johnson (1998), proses refleksi boleh dijalankan dalam enam tahap seperti berikut : 
  1.  Tahap Pemahaman - Guru-guru memahami konsep pedagogi atau teori yang akan digunakan dalam bilik darjah. Contohnya, guru perlu memahami teknik-teknik dan kaedah-kaedah kumpulan koperatif sebagai satu  strategi pengajaran.
  2. Tahap Transformasi - Dalam tahap transformasi, guru akan melaksanakan pengajaran dengan sesuatu konsep atau prinsip di dalam kelas. Contohnya, guru menyediakan rancangan pelajaran harian dengan menjelaskan langkah-langkah kaedah koperatif secara terperinci.
  3. Tahap Pelaksanaan - Dalam tahap ini, guru akan melaksanakan pengajaran dengan melaksanakan segala langkah-langkah dan prosedur yang disarankan dalam kaedah koperatif. Guru akan membahagikan murid-murid kepada kumpulan-kumpulan yang kecil untuk menyelesaikan masalah pembelajaran yang ditetapkan oleh guru. 
  4. Tahap Penilaian - Guru menilai pelaksanaan kaedah koperatif langkah demi langkah dengan mengingati kembali pelajaran yang disampaikan. Beliau juga akan membuat catatan dalam buku jurnal mengenai prosedur-prosedur yang diambilnya dalam bilik darjah semasa melaksanakan kaedah koperatif dan menilai pencapaian setiap langkah pelaksanaan dalam kaedah pengajaran ini. 
  5. Tahap Refleksi - Guru mempersoalkan diri tentang pengajaran yang dilaksanakan dan merujuk kepada catatan-catatan di dalam buku jurnal serta mengimbas kembali mengenai respon dan emosi para murid semasa beliau melaksanakan pengajarannya dengan menggunakan kaedah koperatif. 
  6. Tahap Pemahaman Baru - Dalam tahap ini, guru mendapat pengertian baru daripada pengalaman pengajaran dengan menggunakan kaedah koperatif. Beliau akan memperbaiki rancangan pelajaran harian yang menerapkan kaedah koperatif untuk mengatasi segala kelemahan yang timbul semasa melaksanakan kaedah ini.
 
Sebenarnya, sepatutnya semua guru sudah sedia maklum tentang tiga komponen penting RPH iaitu objektif, aktiviti untuk mencapai objektif dan refleksi. Kelemahan yang ketara ialah penulisan yang terlalu umum dan tidak menjurus pada objektif pelajaran;

Contoh Refleksi yang tidak tepat:   
  • Proses PdP  berjalan lancar seperti yang dirancangkan. 
  • Proses PdP berjalan lancar dan objektif tercapai. 
  • Semua pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti PdP

Penulisan refleksi yang tepat mestilah jelas boleh diukur dan menjurus pada objektif  PdP.

Contoh Refleksi yang baik:  
(contoh mata pelajaran Bahasa Melayu)

Tajuk:     
Petikan Rencana Faedah Kitar Semula

Objektif:     
Pada akhir pelajaran diharap pelajar dapat
i)   membaca kuat petikan rencana dengan intonasi yang betul
ii)  menyenaraikan sekurang-kurangnya 5 isi penting tentang faedah kitar semula

Contoh Refleksi 1 
-  Semua pelajar dapat menyenaraikan di dalam buku latihan 5 isi penting tentang  faedah kitar semula (atau)
-  30/30 orang pelajar dapat menyenaraikan 5 isi penting yang terdapat dalam petikan  rencana.

Contoh Refleksi 2 
-  25/30 orang pelajar dapat menulis ringkasan lengkap. 5 orang pelajar perlu bimbingan dalam menyusun isi dalam petikan (melalui refleksi ini , 5 orang pelajar yang telah dikenal pasti itu akan diberikan lebih perhatian dalam latihan mengenal pasti isi dalam petikan untuk PdP yang akan
datang.)  

APAKAH PERANAN REFLEKSI

Pertamanya,  dengan melakukan refleksi ianya membolehkan guru membuat penilaian kendiri. Oleh itu secara tidak langsung guru dapat berfikir secara analitik, kritis dan kreatif semasa menilai semula pengajarannya. Untuk mengatasi masalah atau mengubah amalan pengajarannya, guru dapat melihat, mengkaji dan menentukan alternative-alternatif dalam membuat keputusan. Antara peranan utama refleksi dalam amalan seorang guru ialah dapat menentukan justifikasi untuk mengubah tingkalaku atau amalannya.

Ringkasnya, dalam pengajaran dan pembelajaran, refleksi membolehkan seseorang guru:
  • Membuat penilaian kendiri 
  • berfikir secara analitik, kritis dan kreatif
  • menganalisis perkara-perkara penting proses bekerja dan hasil kerja
  • melihat alternatif-alternatif dalam membuat keputusaN
  • mencari jalan penyelesaian berasaskan ciri-ciri spiritual, moral, nilai & estetik
  • mengubah tingkahlaku

Satu panduan yang baik. 

Umumnya kita mengalakkan guru-guru menulis refleksi pengajaran yang berbentuk penilaian terdapat pengajaran guru berdasarkan respon pelajar. Tujuan supaya guru dapat mengekal atau mengubah cara pengajarannya. Persoalan seperti: 
  • Adakah pengajaran yang saya berjaya menyampaikan maklumat yang ingin saya sampaikan? 
  • Apakah cara lain yang boleh saya gunakan?
  • Bagaimana pelajar telah memberi respon kepada pengajaran saya?
  • Sejauh manakah berkesannya pengajaran saya hari ini?
  • Bagaimana saya boleh memperbaiki pengajaran saya?
  • Adakah bahasa yang saya gunakan sesuai?
  • Adakah kaedah yang saya gunakan membantu saya dalam pengajaran saya?

Hasil daripada refleksi ini guru-guru boleh:
  1. Mengekalkan kaedah atau cara pengajaran mereka jika ini membawa kesan yang positif atau 
  2. Mencadangkan / melakukan sesuatu yang lain dengan cara yang lain untuk membawa hasil yang diinginkan. Yang inilah dikatakan pembangunan profesional.

18 August 2014

DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA

  

Lirik Lagu Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Cinta
Cinta kepada nusa
Kini dan selamanya
Tak berbelah bagi
Cinta bergema
Sejarah kebangkitan
Semangat bagai pahlawan
Alangkah oh bertuahnya

Kita
Punya rasa yang dalam
Pada pertiwi ini
Kita terus berganding ke mercu

Chorus
Di sini lahirnya sebuah cinta
Cinta yang semarakkan
Penyatuan kita semua
Di sini lahirnya sebuah cinta
Curahkan sepenuhnya
Jasa dan budi kita

Segala cabaran
Kita terus tempuhi
Jangan ada yang leka
Tetap berjuang

Di sini lahirnya sebuah cinta
Cinta yang semarakkan
Penyatuan kita semua
Di sini lahirnya sebuah cinta
Curahkan sepenuhnya
Jasa dan budi kita

Ayuhlah berbakti
Hingga akhirnya

17 August 2014

WARISAN - ALLAHYARHAM SUDIRMAN HJ. ARSHAD

09 August 2014

BERKUNJUNG DAN BERMARHABAN DI HARI RAYA AIDILFITRI

Pada pagi Sabtu 9 Ogos 2014 guru-guru bersama keluarga masing-masing berkonvoi mengunjungi lima buah rumah teman guru untuk berhari raya. Rombongan yang diketuai oleh Cikgu Mohd. Muslim b Japri bersama-sama berselawat, berdoa hari raya, bermaafan dan menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah. Tahun ini adalah giliran guru-guru yang tinggal di kawasan selatan sekolah iaitu di Serkat, Kukup Laut dan Telok Kerang untuk menerima kunjungan. Guru-guru itu ialah:
  • Cikgu Hj. Anas b Muhamad
  • Cikgu Abdul Hadi b Ambok Ingtang
  • Ustaz Omar b Maidin
  • Pn. Habibah bt Abd Rahim
  • Cikgu Samani b Mashudi

Kami mengucapkan terima kasih kepada semua guru-guru yang  dapat menjayakan program hari raya ini terutamanya kepada tuan rumah yang sudi menerima kunjungan. Semoga Allah SWT murahkan rezeki kepada cikgu-cikgu.