15 January 2015

KRITERIA KEMASUKAN MURID TINGKATAN 4 ALIRAN SAINS MULAI TAHUN 2015 BERDASARKAN PT3


Mesyuarat Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal: Sastera  yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia pada 5 November 2012 memutuskan 40% murid lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) disalur ke aliran sains secara automatik.

Satu daripada 15 perakuan dalam Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal: Sastera  ialah 40% murid lepasan PMR disalur ke aliran sains secara automatik oleh Lembaga Peperiksaan (LP).
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan Sesi Khas 2013 pada 17 Disember 2013, LP telah membentangkan Kertas Cadangan bertajuk Kelayakan Kemasukan Murid Lepasan Peringkat Menengah Rendah Ke Aliran Sains di Peringkat Menengah Atas. Bagi menyalurkan murid-murid ke aliran sains/teknikal, LP telah mencadangkan ketetapan yang berikut:
  1. Penyaluran ini mula dilaksanakan untuk kohort Tingkatan 4 tahun 2015. 
  2. Murid lepasan pendidikan menengah rendah yang mendapat kelulusan sekurang-kurangnya gred B bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dalam PBS di peringkat menengah rendah. 
  3. Pencapaian akademik murid tersebut diperkukuhkan melalui maklumat daripada Pentaksiran Psikometrik. 
  4. Penyaluran itu dinyatakan dalam satu senarai (roster) untuk dipaparkan di papan kenyataan sekolah. 

LP membuat penambahbaikan dalam kertas cadangan tersebut dan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan Bil. 1/2014 bertarikh 11 Februari 2014 memutuskan bahawa, penempatan murid lepasan peringkat menengah rendah ke aliran sains di peringkat menengah atas adalah pelajar yang telah mengambil PT3 dan mendapat keputusan sekurang-kurangnya:
  1. mendapat Gred B dalam mata pelajaran Sains dan Matematik; atau 
  2. mendapat Gred C dalam mata pelajaran Sains dan Matematik serta berminat untuk belajar dalam aliran sains (Pentaksiran Psikometrik); atau
  3. Kes Khas: Diperakukan untuk mengikuti aliran sains oleh pengetua sekolah.

Mesyuarat Penetapan Kriteria Kemasukan Murid Tingkatan 4 Aliran Sains 2015 pada 14 Oktober 2014 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) mencadangkan supaya penambahbaikan terhadap kriteria kemasukan murid ke aliran sains Tingkatan 4 dibuat berdasarkan analisis keputusan PT3, PMR 2012 dan PMR 2013. 

LP telah membuat simulasi dan ingin memaklumkan bahawa kriteria kemasukan murid Tingkatan 4 Aliran Sains mulai tahun 2015 berdasarkan PBSperingkat menengah rendah adalah seperti berikut:
  1. semua murid yang mendapat sekurang-kurangnya Gred B dalam mata pelajaran Sains dan Matematik digalakkan mengikuti aliran sains di Tingkatan 4; 
  2. murid yang mendapat gabungan Gred A/C, B/C atau C/C dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, mendapat sekurangnya-kurangnya Band 4 dalam Pentaksiran Sekolah bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut, serta berminat untuk belajar dalam aliran sains (Pentaksiran Psikometrik) dibenarkan mengikuti aliran sains di Tingkatan 4;
  3.  Kes Khas - Murid yang mendapat gabungan Gred A/D, B/D atau C/D dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, mendapat sekurangnya-kurangnya Band 4 dalam Pentaksiran Sekolah bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut, serta berminat untuk belajar dalam aliran sains (Pentaksiran Psikometrik) dibenarkan mengikuti aliran sains di Tingkatan 4;
  4. Murid yang mendapat Gred E dalam mana-mana mata pelajaran Sains dan Matematik tidak digalakkan mengikuti aliran sains di Tingkatan 4.
Antara asas pertimbangan yang telah diambil kira dalam penetapan kriteria kemasukan Tingkatan 4 aliran sains adalah dalam perekaan bentuk format instrumen Sains dan Matematik PT3. LP telah mengambil kira tahap penguasaan murid supaya mampu meneruskan pelajaran dalam aliran sains jika memperoleh gred seperti yang ditetapkan. 

LP juga telah menggunakan analisis pencapaian calon yang memperoleh sekurang-kurangnya Gred C bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam PMR (rujuk Jadual 1 dalam Lampiran) dan keputusan mata pelajaran Matematik Teras peringkat  peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi calon yang sama (rujuk Jadual 2 dalam Lampiran) untuk membuat unjuran kemampuan mereka mengikuti aliran sains di peringkat menengah atas. Didapati bahawa 90% daripada calon tersebut mampu mengikuti aliran sains di peringkat SPM iaitu dengan memperoleh minimum Gred B untuk mata pelajaran Matematik Teras.

Sumber:  LPM

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :