29 January 2015

MAJLIS PERPISAHAN USTAZAH HASNULI BT ABU SETAMAM

Pada pagi Khamis 29 Januari 2015, Dataran Nilam SMKTK menyaksikan titisan air mata Ustazah Hasnuli Abu Setamam yang berdiri di astaka. Itulah kali terakhir Ustazah Hasnuli berdiri di situ kerana selepas ini dia akan berpindah ke sekolah lain iaitu SMK Mengkarak, Bera, Pahang. Majlis yang dihadiri guru-guru dan murid-murid SMKTK adalah untuk memberi peluang semua warga bertemu dengan Ustazah Hasnuli. Ustazah Hasnuli telah mencurah khidmat baktinya di SMK Telok Kerang selama 12 tahun 10 bulan. Semoga perpindahan itu memberi lebih kebahagian kepada Ustazah Hasnuli sekeluarga. Kami di sini tetap mengenang segala jasa dan budi Ustazah. In sya Allah, dengan keizinanNya kita dapat bertemu lagi. Selamat berpisah...








 






 

23 January 2015

CARA BERFIKIR YANG BOLEH DIUBAH UNTUK ANJAKAN MINDA PEMIMPIN PENDIDIKAN ABAD KE-21


ANJAKAN MINDA  PEMIMPIN PENDIDIKAN
Pemimpin pendidikan terutama di sekolah seperti Pengetua dan Guru Besar di zaman transformasi ini perlu membuat anjakan minda (mindset shift) untuk  kejayaan transformasi organisasi yang dipimpin. Sekurang-kurangnya 8 aspek yang berkaitan dengan cara berfikir perlu diubah selaras dengan perubahan gaya kepimpinan dan pengurusan global di luar bidang pendidikan. Zaman di mana ketua bersikap seolah-olah dia sahaja yang tahu dan betul, orang lain tidak tahu, sentiasa salah dan mesti mengikut kehendaknya telah berlalu dan tidak relevan lagi.
Berikut disarankan 8 perkara atau cara berfikir dan bertindak yang perlu diubah oleh pemimpin pendidikan abad ke-21. 

1. Daripada Berfokus Masalah Kepada Berfokus Penyelesaian
Sebagai pemimpin sememangnya kita sering menghadapi banyak masalah dan cabaran. Sikap yang diserlahkan seorang pemimpin melalui cara berfikir dan bertindak apabila menghadapi masalah berbeza-beza mengikut dan sekaligus menggambarkan kekuatan daya kepimpinannya. Pemimpin yang lemah apabila menghadapi masalah dan cabaran, fikiran dan tindakannya berlegar sekitar mencari apa dan siapa yang menjadi punca masalah, mengapa masalah timbul dan menyesali keadaan atau tindakan orang lain yang menyebabkan masalah timbul tanpa cuba memahami isu sebenar dan cara mengatasi atau menyelesaikan masalah. 

Pemimpin yang berjaya dan berkesan seringkali tidak menganggap isu atau masalah yang dihadapi sebagai masalah, sebaliknya sebagai peluang baginya belajar menyelesaikan masalah itu dengan cara yang berbeza dari kebiasaan. Pemimpin seperti ini tumpuan pemikiran dan tindakannya adalah mencari jalan penyelesaian sama ada secara individu atau jemaah bersama rakan dalam organisasi pimpinannya. Dia akan mencari peluang mempengaruhi sesiapa sahaja yang dipimpinnya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Pelbagai cara digunakan yang matlamatnya ialah menyelesaikan masalah tanpa bising menyalahkan orang lain yang didakwa menyebabkan masalah tersebut. 

2. Daripada Menetapan Matlamat Kepada Orang Lain Kepada Menjajarkan Matlamat Bersama
Sememangnya setiap pemimpin perlu ada maltamat (goal) untuk diri dan organisasinya. Dia perlu tahu ke mana hala tuju kehidupan dan pekerjaannya dan organisasi yang dipimpinnya. Namun untuk mencapai matlamat diri dan organisasi, dia tidak sepatutnya menyuruh (dictate) orang lain berbuat sesuatu mengikut kehendaknya semata-mata tanpa memikirkan kesukaran atau masalah yang dihadapi orang yang disuruh.

Ada kalanya matlamat organisasi telah ditetapkan dengan perancangan yang baik oleh pemimpin sebelumnya atau pihak atasan yang lebih tinggi daripadanya. Tidak perlu sebenarnya untuk dia menetapkan matlamat organisasi yang baru melainkan dia hanya perlu membuat penjajaran (alignment) kepada pelaksanaan perancangan untuk mencapai matlamat yang  dikongsi bersama anggota dalam organisasi.

Dalam merancang matlamat organisasi, pemimpin abad ke-21 tidak membuatnya secara bersendirian atau sentiasa mengikut kehendaknya semata-mata. Pandangan dan buah fikiran orang ramai termasuk pakar dalam bidang berkenaan perlu diambil kira. Apabila percanggahan atau perbezaan pendapat berlaku, penjajaran dalam bentuk kata sepakat perlu diperoleh. 

3. Daripada Memberi Nasihat Kepada Menimbulkan Kesedaran 
Pemimpin alaf baru tidak menganggap dirinya serba tahu sehingga dia mendakwa hanya layak memberi nasihat dan tidak layak untuk menerima nasihat apatah lagi tunjuk ajar. Sebanyak mana kita belajar, seluas mana pengalaman kita dan sejauh mana kita telah lalui liku-liku hidup pasti ada lagi perkara yang tidak kita ketahui. Kadang-kadang kita menyangka kita tahu dan mengambil tindakan yang betul tentang sesuatu perkara namun kerap kali sangkaan kita meleset kerana apa yang kita ketahui selalunya terbatas kepada konteks, masa, maklumat dan situasi tertentu sahaja.

Oleh itu, untuk mengajak dan mempengaruhi orang lain mencapai matlamat organisasi yang kita pimpin, lebih baik kita menimbulkan kesedaran mereka tentang pentingnya kita memikir, merancang dan mengambil tindakan yang strategik secara bersama untuk proses pembetulan dan penambahbaikan kepada dasar dan strategi sedia ada.

Banyak cara boleh diteroka untuk menimbulkan kesedaran warga organisasi yang bukan dalam bentuk nasihat. Antaranya, coaching dan mentoring, pembelajaran dan pembangunan (learning and development) dan pembangunan profesional berterusan (continuous  professional development atau CPD). Kesemua kaedah tersebut boleh mendatangkan kesedaran kendiri warga organisasi tanpa perlu terlalu memberi nasihat berulang-ulang yang boleh membosankan. 

4. Daripada Tahu Semua Hal Kepada Rasa Ingin Tahu 
Sebagai ketua, perbanyakkan menyoal daripada menjawab. Soalan atau permintaan juga boleh dijawab atau direspons dengan soalan. Sebagai contoh, soalan permintaan “Tuan, bolehkah saya  bercuti esok?” boleh dijawab “Mengapa anda hendak bercuti?”. Banyak lagi contoh soalan yang boleh dijawab dengan soalan.

Menjawab soalan dengan jawapan atau memberi jawapan atau penyelesaian kepada permasalahan menggambarkan orang yang yang disoal atau dikemukakan masalah atau diminta pendapat, tahu semua hal. Seperti yang saya katakan sebelum ini, zaman seseorang mendakwa serba tahu telah berakhir. Satu perkara kita tahu, puluhan perkara malahan mungkin ribuan lagi yang kita tidak tahu walaupun dalam perkara yang sama.

Oleh itu, sebagai pemimpin mahupun pengikut adalah lebih baik kita timbulkan rasa ingin tahu dengan lebih lanjut sebelum membuat keputusan tentang sesuatu walaupun mungkin kita telah tahu konsekuennya. Peribahasa ‘dont leave the stone unturn’  sangat baik diamal sebelum membuat keputusan. 

5. Daripada Mengarah Dan Mendesak Kepada Mempengaruhi
Pemimpin yang hanya pandai mengarah, mengerah, memerah dan memarah akan berakhir dengan pengikut mengatakan ‘porah’ kepadanya. Gambaran ini sesuai bagi seorang yang pemimpin yang mengarah dan mendesak dalam gaya kepimpinannya. Pemimpin sedemikian, terutama di sekolah dikuatiri boleh menjejaskan keberkesanan sekokah yang sekaligus kemenjadian murid kerana guru dan staf yang boleh bertindak negatif ekoran tindakan yang pasti tidak disukai.

Pemimpin sekolah sedemikian seringkali dikaitkan dengan pemimpin yang lemah, kurang berhemah dan seperti tidak pernah mengikuti latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan sebelum atau sepanjang perkhidmatannya. Pemimpin yang pernah mengikuti kursus kepimpinan dan pengurusan pendidikan seperti National Professional Qualification for Educational Leadership (NPQEL) atau lain-lain kursus anjuran Institut Aminudin Baki (IAB) pasti tahu bahawa definisi memimpin ialah usaha mempengaruhi orang lain dalam lingkungan kepimpinannya untuk mencapai matlamat organisasi.

Maksud mempengaruhi ialah mengajak, memujuk, memupuk dan menanamkan rasa suka untuk bekerja bersamanya bagi mencapai hasrat atau visi organisasi dengan bahasa dan kaedah yang baik. Selain mempengaruhi, memimpin juga membawa konotasi membuat perubahan (change) dari kurang baik kepada lebih baik.

Dalam pendidikan, Dato’ Dr Amin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pedidikan Malaysia menyarankan bahawa istilah memimpin itu sendiri bermaksud mendidik atau sebaliknya mendidik itu adalah memimpin. Hal ini bermaksud mendidik ialah proses mempengaruhi orang lain iaitu murid dan orang-orang di  sekitarnya untuk mencapai objektif pembelajaran supaya perubahan berlaku kepada diri murid itu, sekolah dan sistem pendidikan negara. 

6. Daripada Mengkritik atau Menghukum Kepada Menghargai atau Memuji
Kritikan dan hukuman oleh pemimpin ke atas pengikut tidak dinafikan boleh membawa kebaikan kepada organisasi. Namun apabila selalu digunakan oleh pemimpin kepada pengikutnya boleh menyebabkan pengikut demotivated. Kritikan selalunya digunakan pemimpin ke atas pengikut yang rendah mutu kerja dan hasilnya. Hukuman pula ialah natijah yang diterima pengikut apabila kerja dan hasil kerjanya tidak mencapai jangkaan ketua atau organisasi. Kritikan juga merupakan hukuman. Malahan kadang-kadang hukuman berbentuk kritikan lebih berat kesannya daripada bentuk yang lain.

Oleh kerana kritikan dan hukuman selalu dikaitkan dengan kesan yang negatif, ramai yang tidak suka sama ada orang yang menerima kritikan dan hukuman atau orang lain di sekelilingnya atau pakar pengkaji bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Mereka lebih cenderung untuk menerima penghargaan, pengiktirafan atau pujian.

Sememangnya, tiada siapa yang gemar kepada kelemahan, kekurangan dan kesilapan. Namun selain melakukan kesilapan, seseorang itu pasti banyak juga melakukan kebaikan kepada organisasi. Adalah lebih baik kita perbanyakkan menghargai, mengiktiraf dan memuji kerja atau hasil kerja seseorang terutama orang bawahan kita apabila membuat kerja dengan baik daripada mengkritik atau menghukum kesilapan kecil yang selalunya tidak disengaja.

Orang yang sering dihargai dan dipuji akan besar jiwanya. Sebaliknya orang yang sering dikritik dan dihukum kecil jiwa dan harga dirinya. Orang yang besar jiwa dan harga dirinya juga akan menghasilkan mutu kerja yang tinggi dan besar keuntungan yang diperoleh organisasi. Oleh itu sebarkan penghargaan dan pujian. Kesilapan kecil lupakan dan maafkan sahaja

7. Daripada Mengurus Kepada Mengupaya 
Mengurus ialah proses mengekalkan (maintain) kecekapan dan keberkesanan organisasi. Untuk mengekal kecekapan dan keberkesanan organisasi ketua perlu aktif merancang, mengorganisasi, mengawal dan memimpin kumpulannya dengan pelbagai cara dan gaya pengurusan. Selalunya pihak yang menerima kesan daripada gaya dan cara pengurusan seseorang ketua ialah pengikut. Ketua yang mengurus selalunya aktif sedangkan pengikut pasif menerima arahan ketua tanpa atau kurang diberi pengupayaan (empowerment).

Kepimpinan abad ke-21 adalah kepimpinan yang mengutamakan pengupayaan daipada pengurusan. Pemimpin yang mengupayakan pengikutnya adalah pemimpin yang memberi kepercayaan untuk membuat perubahan tanpa perlu terlalu disuruh dan diawasi. Dia cukup memberi garis panduan dan motivasi kepada pengikut untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat organisasi. 

8. Daripada Menyediakan Penyelesaian Kepada Meneroka Kemungkinan
Walaupun pemimpin abad ke-21 memberi tumpuan atau fokus kepada penyelesaian masalah, namun dia tidak cenderung untuk menawarkan apatah lagi menyediakan jawapan atau penyelesaian kepada masalah. Sebaliknya dia lebih cenderung untuk meneroka kemungkinan untuk mencari jalan bagi bukan sahaja mengatasi atau menyelesaikan masalah malahan mendapat keuntungan yang lebih besar.

Pemimpin seperti ini selalu dikaitkan dengan pemimpin yang kreatif dan inovatif serta berani mencuba dan mengambil risiko. Mereka selalunya berfikiran terbuka dan berlapang dada terhadap sesuatu yang baharu. Berbekalkan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman serta bantuan tenaga muda, yang lebih kreatif, kritis dan inovatif, pemimpin seperti ini mampu membawa perubahan besar kepada organisasi. 

Sumber:  SI Partners, PPD Kulai

21 January 2015

PERTANDINGAN MERENTAS DESA 2014

Pada pagi Rabu 21 Januari 2015 telah dilangsungkan pertandingan merentas desa. Pertandingan ini dipertandingkan mengikut empat kategori iaitu Lelaki A, Lelaki B, Perempuan A dan Perempuan B. Kategori Lelaki A terdiri peserta di tingkatan empat dan lima, kategori Lelaki B terdiri peserta lelaki di tingkatan satu hingga tingkatan tiga, kategori Perempuan A adalah peserta perempuan di tingkatan 4 dan tingkatan 5, manakala kategori Perempuan B adalah murid perempuan di tingkatan satu hingga tiga. Peserta lelaki perlu berlari sejauh 8 kilometer manakala peserta perempuan berlari sejauh 5 kilometer melalui jalan-jalan kampung dan jalan kebun.

Berikut adalah keputusan keseluruhan pertandingan:
Johan - Rumah Biru
Naib Johan - Rumah Hijau
Ketiga - Rumah Merah
Keempat - Rumah Kuning






















18 January 2015

LAWATAN DATIN HJH. CHE NORMADIAH BT HJ. CHE ABAS, KPP BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN JPNJ

Pagi ini SMK Telok Kerang telah dilawati oleh Datin Hjh. Che Normadiah bt Hj. Che Abas, KPP Bahagian Teknologi Pendidikan JPN Johor. Kehadiran beliau adalah dalam siri lawatan pemantauan pegawai-pegawai JPNJ ke sekolah-sekolah. Selain melawat bilik-bilik pembelajaran, beliau juga memberi ucapan kepada murid-murid dan memberi taklimat mengenai penggunaan VLE. Seterusnya beliau mengumumkan iaitu JPNJ akan memberi 10 buah laptop kepada sekolah ini.









17 January 2015

MENGEMAS BILIK GURU

Pagi ini guru-guru bergotong-royong membersih dan mengemas bilik guru. Keadaan bilik guru mula berubah dan sedap mata memandang setelah meja-meja disusun semula dan barang-barang yang tidak dikehendaki dipindahkan ke tempat lain. Semoga suasana bilik guru yang kemas menjadikan guru-guru lebih selesa apabila berada didalamnya.