15 October 2013

IBADAH KORBAN OLEH GURU-GURU SMKTK

Hari ini pada Hari Raya Aidiladha seramai 7 orang guru SMKTK mengambil bahagian melakukan ibadah korban seekor lembu. Ibadah korban ini diketuai oleh Ustaz Sukri b Osman dan beliau juga yang menyembelih lembu korban tersebut. Penyembelihan dilakukan di  kawasan rumah Tn. Hj. Mohd Shah b Sairan manakala melapah dan memotong daging korban itu dilakukan di sekolah. Syukur alhamdulillah semua kerja-kerja itu selesai pada pukul 12.30 tengahari.

Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji disambut bukan sekadar melambangkan kesyukuran malah memperingati kisah pengorbanan yang berlaku dalam sejarah Islam. Turut difahami, sambutan Aidiladha ini bukan hanya diraikan oleh umat Islam sahaja, tetapi ia menjadi satu perayaan bersama kaum lain. Pengorbanan amat dituntut demi menjayakan apa yang diimpikan dalam kehidupan. Segalanya harus dilakukan seikhlas hati dan ia benar-benar menuntut pengorbanan yang besar dalam diri seseorang. 

Ya Allah, pada hari yang berkat ini kami memohon taufiq dan hidayahMu, kepada seluruh muslimin dan muslimat, kepada pemimpin-pemimpin kami serta para hujjaj yang menunaikan haji pada tahun ini. Jadikanlah kami semua ini menjadi hambaMu yang beriman dan beramal soleh sehingga ke akhir hayat kami. Ya Allah, kami mohon supaya Engkau terimalah ibadah korban yang kami lakukan pada tahun ini. Jadikanlah darah, tanduk dan bulu-bulunya sebagai kebajikan yang akan diperhitung dalam timbangan amal kami di hari akhirat kelak.