29 January 2010

TUNKU ISMAIL IDRIS DIMASYHUR SEBAGAI TMJ

JOHOR BAHRU - Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris (gambar) semalam dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang baru bagi menggantikan ayahandanya Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor. Pemasyhuran berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 itu diisytiharkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim di Istana Besar di sini pada pukul 3.20 petang.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor memilih dan melantik seorang waris bergelar Tunku Mahkota Johor. Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1, fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor mengikut nasihat Jumaah Diraja dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," isytihar baginda.

Sejurus perisytiharan itu, Tunku Ismail menjunjung kasih ke atas ayahanda baginda atas limpah perkenan dilantik sebagai waris takhta Johor.

DOA GURU KEPADA PELAJAR DAN DOA PELAJAR KEPADA GURU

Pagi ini selepas majlis membaca Surah Yaasin guru-guru dan pelajar-pelajar digalakkan dan diminta membaca doa ini semasa guru-guru masuk ke kelas untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran. Doa ini dibaca selain daripada doa menuntut ilmu yang telah diamalkan oleh pelajar-pelajar sebelum ini.

Rasionalnya adalah untuk mendidik dan melembutkan hati pelajar dan guru disamping memohon keberkatan Ilahi di dalam peningkatan ilmu dan membentuk insaniah kamil di kalangan warga SMK Telok Kerang. InsyaAllah.
Doa guru kepada pelajar:
  • Ya Allah, dengan rahmatMu ampunilah segala dosa kami, dosa ibu bapa dan guru-guru kami, serta muslimin muslimat, mukminin dan mukminat yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.
  • Di hadapanku ini adalah pelajar-pelajar yang baik dan mengharapkan ilmu dan didikkanku. Sinarilah hati dan minda mereka dengan kefahaman dan ingatan yang baik. Mudahkan mereka memahami apa yang disampaikan olehku serta berkatilah mereka.
  • Serta ya Allah, jadikanlah mereka para hambaMu yang soleh dan taat padaMu, RasulMu, ibu bapa dan guru-guru mereka.
Doa pelajar kepada guru:
  • Ya Allah, kami para pelajar memohon limpah rahmat dan belas kasihanMu agar dikurniakan kepada guru kami ini umur yang panjang dan rezeki yang luas.
  • Sejahterakanlah fizikal, rohani, mental dan emosinya begitu juga keluarganya.
  • Teguhkan ya Allah, iman dan semangatnya untuk mendidik kami dengan ikhlas tanpa merasa jemu. Semoga kami memperoleh manfaat dan berkat dari ilmunya dalam hidup kami.

28 January 2010

JOHOR SASAR LEBIH BANYAK SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

JOHOR BAHRU 27 Jan. - Jabatan Pelajaran Negeri Johor merancang untuk mewujudkan lebih banyak sekolah di negeri ini mendapat status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di masa hadapan. Pengarah JPN Johor, Sufaat Tumin berkata, sasaran itu boleh dicapai melalui Perancangan Strategik Tiga Tahun yang diperkenalkan jabatannya sejak tahun lalu.

"Dalam tempoh tiga tahun kita menyasarkan 20 peratus sekolah yang kita calonkan untuk SBT akan mendapat status tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah kebangsaan Bandar Baru UDA 2 yang tersenarai antara 20 SBT di seluruh negara di sini hari ini. Katanya pelan itu mula membuahkan hasil apabila dua daripada 10 buah sekolah di negeri ini yang dicalonkan sebagai SBT telah menerima status tersebut. Selain SKBU2, sebuah lagi sekolah yang mendapat status SBT dari Johor ialah Sekolah Tun fatimah (STF).

Sufaat berkata, bagi mewujudkan lebih banyak SBT di negeri itu, pihaknya menekankan agar sekolah-sekolah mempunyai visi untuk menjadi sekolah yang unggul melalui pembangunan pendidikan berkualiti. Sehubungan dengan itu, pihaknya akan berusaha meningkatkan kualiti kepimpinan pengetua dan guru besar yang lebih berwibawa disamping menggalakkan budaya innovasi di kalangan guru.

"Turut ditekankan ialah kemudahan sekolah yang berkualiti disamping mempunyai sistem pengurusan yang cekap dan berkesan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti," katanya.

KEMENTERIAN PELAJARAN TERIMA BANTUAN TAMBAHAN RM700J

CEBU 27 Jan. - Kementerian Pelajaran dijangka menerima bantuan tambahan sebanyak kira-kira RM700 juta bagi membolehkan bantuan untuk pendidikan yang dikurangkan pada Bajet 2010 lalu, diteruskan semula. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu adalah perkiraan kasar yang dibuat kementerian beliau selepas Kabinet hari ini bersetuju meluluskan usul menimbangkan semula pemberian bantuan itu. Beliau pada mesyuarat Kabinet itu diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjalankan tugas sebagai Menteri Pelajaran.

"Kita akan berunding dengan Kementerian Kewangan berapa bantuan yang disediakan semula itu supaya mana-mana bantuan yang terpaksa kita kurangkan sebelum ini boleh dilaksanakan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat salah satu sesi perbincangan yang dihadiri beliau di sini, sempena Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45.

Pada pembentangan Bajet 2010 lalu, kerajaan terpaksa mengurangkan bantuan tahunan bagi sekolah-sekolah berbanding tahun sebelum ini kerana defisit yang didepani negara. Pengurangan bantuan itu mencakupi enam perkara iaitu skim bantuan tuisyen, bantuan pakaian sekolah beruniform, bantuan makanan asrama dan rancangan makanan tambahan. Turut dikurangkan ialah bantuan elaun murid berkeperluan khas dan sukan serta kokurikulum. Menurut Muhyiddin, keputusan memberikan semula bantuan bagi pendidikan itu menunjukkan kerajaan sangat prihatin dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar.

Dalam masa yang sama, beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan kerana memberi perhatian sewajarnya kepada perkara tersebut.

"Harapan saya isu bantuan kepada pendidikan selepas ini tdak lagi berbangkit di kalangan ibu bapa dan para pelajar pula tidak menjadikannya alasan untuk meneruskan pembelajaran dengan sempurna," katanya.

25 January 2010

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI (SBT) ANGKAT KUALITI SEKOLAH TERBAIK KE TARAF DUNIA

25/01/2010

PUTRAJAYA 25 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam usaha mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik ke taraf dunia. Sekolah tersebut melibatkan 10 buah sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sekolah yang memenuhi kriteria SBT diberikan kuasa autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.

“Antara lainnya membenarkan pelajar menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

- Utusan


20 SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI 2010 YANG DIUMUM TPM



PUTRAJAYA 25 Jan. - Berikut senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dalam usaha mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik ke taraf dunia.


1. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.
2. Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor.
3. Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.
4. Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.
5. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.
6. SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.
7. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.
8. Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.
9. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.
10. SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.
11. SMK (P) St. George, Pulau Pinang.
12. Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis.
13. Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.
14. SMS Muzaffar Syah, Melaka.
15. Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.
16. SK Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan.
17. SK Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur.
18. SK Convent Kota, Taiping, Perak.
19. SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
20. SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.


PERHIMPUNAN RASMI PAGI ISNIN 25 JANUARI 2010 - PUTERI ISLAM BERTUGAS MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN

Pagi ini tiba giliran Puteri Islam SMK telok Kerang bertugas mengendalikan perhimpunan rasmi pagi Isnin. Bendera negeri Johor dinaikkan separuh tiang kerana perkabungan selama tujuh hari atas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail pada hari Jumaat 22 Januari 2010. Pada perhimpunan itu, guru-guru dan pelajar-pelajar menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah kepada Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.








24 January 2010

SULTAN JOHOR, SULTAN ISKANDAR IBNI ALMARHUM SULTAN ISMAIL MANGKAT

JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail disahkan mangkat hari ini. Baginda disahkan mangkat pukul 7.15 malam semasa dirawat di Hospital Pakar Puteri. Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pukul 11.20 malam ini.

Pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ismail Ibni Sultan Ismail di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah kira-kira pukul 2 petang, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkannya.


Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat hari ini pada usia 77 tahun, adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini. Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.
Semasa pemerintahan baginda, Sultan Iskandar dikasihi pelbagai lapisan rakyat negeri Johor atas bimbingan dan perhatian berterusan baginda terhadap segala naungannya. Baginda bukan sahaja bijak dalam hal keagamaan dan pemerintahan tetapi juga dalam pelbagai bidang lain seperti ketenteraan, sukan dan perniagaan. Baginda sering bertitah mengingatkan rakyatnya agar sentiasa hidup bermuafakat, bersatu padu dan bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kebahagiaan negeri Johor.

Sultan Iskandar dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh The National University of Singapore (NUS) pada 12 April 2007 sebagai mengiktiraf peranan baginda dalam kemajuan dan kemakmuran negeri itu serta sumbangan baginda terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura. Dalam menjaga hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, baginda sering menjemput pemimpin Singapura ke Istana Bukit Serene di Johor Baharu semasa sambutan Hari Raya.

Sultan Iskandar, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989, diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932 adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Menggemari permainan polo, papan layar, golf dan memburu, baginda adalah juruterbang bertauliah dan pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Baginda adalah Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang diasaskan dan ditubuhkan oleh moyang baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1885. Minat baginda dalam bidang ketenteraan jelas dilihat daripada perwatakan baginda yang sentiasa segak beruniform tentera dan ketegasan baginda dalam soal disiplin. Sultan Iskandar pernah menyertai batalion kedua Askar Wataniah di Johor Baharu pada 1960 dan berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pegawai dan dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Gerak Khas.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa mengadakan hubungan erat dengan Majlis Agama Negeri atau pentadbiran jabatan berkenaan untuk mengikuti perkembangan dan masalah agama. Baginda sendiri turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid sekitar Johor.

Di arena sukan, baginda terkenal sebagai peminat dan ahli sukan dalam pelbagai acara yang mencabar seperti golf, tenis, tinju, luncur layar, ski air, menyelam, berenang, payung terjun, lumba kereta dan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Baginda adalah seorang juruterbang helikopter dan pesawat ringan yang dikagumi.

Sultan Iskandar yang turut gemar berburu, sering menasihatkan rakyat negerinya agar menceburi sukan menembak kerana baginda percaya sukan itu akan muncul sebagai sukan utama di masa hadapan. Ketika merasmikan Kejohanan Menembak Sultan Iskandar Challenge Trophy 1997, baginda bertitah sukan itu bukan lagi menjadi aktiviti yang dikhususkan kepada golongan berada tetapi terbuka kepada semua golongan kerana yuran dikenakan oleh kelab menembak adalah kecil. Hasrat baginda itu kini menjadi kenyataan kerana Malaysia mula muncul sebagai antara negara yang mempunyai penembak terbaik di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, Persatuan Penembak Clay Target Johor (JCTSA) terus menganjurkan pertandingan menembak Piala Sultan Iskandar, yang membabitkan penembak tempatan dan luar negara, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Iskandar.

 
Selain sukan menembak, baginda turut memberikan sokongan kepada sektor pelancongan dengan seringkali mencemar duli menghadiri Festival Layang-layang Antarabangsa di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang yang menjadi venue tetap acara itu. Titah baginda, penganjuran agenda bertaraf antarabangsa merangkumi acara sukan, rekreasi serta temasya layang-layang dapat memberikan imej antarabangsa kepada Johor dan Malaysia.

Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Baharu dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian. Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London. Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken. Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja pada 11 Mei 1981, selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden. - Bernama

 

TUNKU IBRAHIM ISMAIL DIMASYHUR SEBAGAI SULTAN JOHOR KE-5

JOHOR BAHRU 23 Jan. – Pemangku Raja Johor, Tunku Ibrahim Ismail, 52, dimashyurkan sebagai Sultan Johor yang kelima hari ini. Istiadat pemashyuran baginda diadakan di tangga Istana Besar, di sini pukul 1.08 petang. Watikah pemasyhuran Sultan Ibrahim Ismail dibacakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurut Abdul Ghani, Sultan Ibrahim telah menandatangani watikah pemashyuran sebagai Sultan Johor di hadapan Jumaah Majlis Diraja Johor dan kaum kerabat Diraja Johor di Bilik Singahsana, Istana Besar, Johor Bahru.

‘‘Ketahuilah olehmu sekalian rakyat negeri kita daripada bangsa keturunan Melayu dan lain-lain keturunan dan ketahuilah juga olehmu sekalian yang berkenaan dengan negeri dan jajahan tanah air kita bahawa mengikut Fasal 8 Bagi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor tahun 1895 kita. Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menaiki tahta kerajaan. Dan telah mengangkat sumpah di dalam Bilik Singgahsana di Istana Besar Johor Bahru pada pukul 10.15 pagi pada 7 Safar 1431 bersamaan dengan 23 Januari 2010 di hadapan jumaah pangkuan negeri menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dalam jajahan Johor dan segala daerah takluknya bagi menggantikan Seri Paduka ayahanda kita, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail bertarikh di Istana Besar Johor Bahru pada 23 Januari 2010 dengan titah perintah Datuk Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor,” katanya Abdul Ghani.
Pemashyuran itu dilangsungkan sebelum jenazah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar dibawa ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini untuk istiadat pemakaman.

Sebaik sahaja selesai pembacaan watikah itu, Penasihat Majlis Agama Islam, Datuk Nooh Gadut membacakan doa kira-kira pukul 1.12 petang.
Selesai bacaan doa, kedengaran laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali dilafazkan oleh rakyat dan para hadirin.

 
Ia diikuti dengan Majlis Perangkatan jenazah Almarhum Sultan Ibrahim dari Dewan Istana Besar menggunakan sebuah pedati dengan ditarik oleh Pasukan Istiadat dan Pegawai Badan Istiadat istana menuju ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah yang terletak kira-kira tiga kilometer. Pedati yang membawa jenazah Almarhum itu turut dinaiki oleh Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Sultan Ibrahim Ismail bersama kaum kerabat lain berjalan kaki mengiring jenazah ke makam berkenaan sambil diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 77 das, bersamaan dengan usia Almarhum. Selain itu, kerabat-kerabat diraja dari negeri lain dan tetamu kehormat turut menuju ke Makam Diraja berkenaan.

Hampir kesemua raja dan sultan di negara ini serta kaum kerabat mereka hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri masing-masing.

Sultan Ibrahim Ismail menggantikan ayahanda baginda yang mangkat semalam pada usia 77 tahun setelah memerintah negeri ini hampir tiga dekad bermula 11 Mei 1981. Petang semalam baginda dilantik sebagai Pemangku Raja oleh Jumaah Majlis Diraja Johor setelah menerima laporan kegeringan Sultan Iskandar daripada tiga pakar perubatan di Hospital Pakar Johor, di sini bahawa ayahanda baginda tidak dapat melakukan kerja-kerja raja. Namun, Sultan Iskandar disahkan mangkat pukul 7.15 malam.

Sultan Ibrahim Ismail yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar. Baginda yang berjiwa rakyat telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor Bahru pada 3 Julai 1985. Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, pasangan diraja itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Sultan Ibrahim Ismail mula mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru. Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School di Australia mulai 1968 hingga 1970. Sultan Ibrahim Ismail juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) dari 1971-1975. Baginda turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru.

Setelah tamat persekolahan, Sultan Ibrahim Ismail telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.
Kemudian baginda ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, Amerika Syarikat.

Baginda turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, Amerika Syarikat untuk menjalani latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying‘s School dan menerima anugerah ‘sayap’ penerbangan.
Selain itu, baginda juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tuftf, Amerika Syarikat.

Dalam bidang sukan, Sultan Ibrahim Ismail gemar bermain polo dan menunggang motosikal berkuasa tinggi serta sinonim dengan program Kembara Mahkota Johor yang melawat ke seluruh pelosok negeri ini.

20 January 2010

MESYUARAT PENTAKSIRAN DAN PENILAIAN

Hari ini guru-guru bermesyuarat Pengurusan Penilaian dan Pentaksiran. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Pengetua.


1. Isu-isu dalam pengurusan peperiksaan dalaman:
2. Bentuk-bentuk PBS:
  1. Projek
  2. Kerja Kursus (KK)
  3. Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS)
  4. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PLBS)
  5. Modul
3. Bidang tugas JK peringkat sekolah:
  1. Melantik pentaksir bagi setiap mata pelajaran.
  2. Menyediakan jadual pelaksanaan PBS.
  3. Memberi taklimat pelaksanaan PBS kepada murid.
  4. Melaksanakan npemantauan dalaman.
  5. Memastikan pentaksir sekolah memasukkan markah calon dalam aplikasi yang ditetapkan oleh LPM.
4. Ketua pentaksir sekolah
  1. Memenuhi syarat
  2. Memenuhi kriteria
  3. Menjalankan tugas berkaitan dengan pentaksiran
5. Pentaksir sekolah:
  1. Memenuhi syarat
  2. Memenuhi kriteria
  3. Menjalankan tugas berkaitan dengan pentaksiran
6. Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dalam transformasi pendidikan:
  1. Sistem pentaksiran semasa
  2. Matlamat SPPK
  3. 5 jenis pentaksiran dalam SPPK - Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Psikometrik (PSi), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani & Kokurikulum (PAJK) dan Peperiksaan Pusat (PpP).



  1. Penyediaan soalan
  2. Pengawasan dan pengendalian peperiksaan
  3. Skrip jawapan pelajar
  4. Pengurusan kelas
  5. Peraturan pelajar
  6. Penyerahan markah

19 January 2010

KOKURIKULUM DITERUSKAN

PUTRAJAYA 18 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran tidak bercadang menghentikan sebarang aktiviti kokurikulum termasuk di kawasan laut ekoran kejadian bot naga karam di Pantai Macallum, Pulau Pinang, semalam. Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Pelajaran mengingatkan pihak sekolah supaya sentiasa menekankan aspek keselamatan para pelajar ketika melaksanakan aktiviti seumpama itu.

"Kadang-kala malang tidak berbau, saya tidak kata jangan buat aktiviti kokurikulum. Cuma aspek keselamatan kita tekankan, mereka sentiasa diperingatkan kerana semasa latihan itu jurulatih ada sekali dan mereka sudah memakai jaket keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif penggunaan MyID di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Muhyiddin mengulas tragedi bot naga karam dipukul ombak semasa pasukan dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Chung Ling, Pulau Pinang berlatih mendayung semalam. Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, dua termasuk guru sekolah terbabit lemas manakala empat lagi hilang. Seramai 12 orang lagi bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai. Muhyiddin yang mengucapkan takziah kepada semua mangsa tragedi itu berharap kejadian tersebut menjadi satu peringatan agar ia tidak berulang pada masa akan datang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihak sekolah berkenaan telah memastikan aspek keselamatan semasa latihan dilakukan termasuk dengan kehadiran guru dan jurulatih.

"Namun, bot itu telah berlanggar dengan sebuah tongkang statik, kalau di jalan raya, ia pun boleh berlaku. Jadi, perlulah diperingatkan supaya kejadian sebegitu tidak berlaku lagi," katanya. Usaha mencari masih diteruskan dan pagi ini saya dimaklumkan pasukan penyelamat telah menemui seorang lagi mangsa yang hilang," katanya.

Ditanya mengenai ketiadaan bot penyelamat ketika tragedi itu berlaku, Muhyiddin berkata;
"Apabila sesuatu kejadian sudah berlaku, kita boleh berkata macam-macam tetapi siapa yang boleh jangka (kejadian itu boleh berlaku)," katanya.

SUKANTARA SMK TELOK KERANG TAHUN 2010

Sukantara dijalankan selama dua hari iaitu pada hari Isnin 18 Januari hingga hari Selasa 19 Januari 2010. Ia bermula pada pukul 2.30 petang setiap hari. Pelajar-pelajar diwajibkan mengambil ketiga-tiga acara yang dijalankan iaitu lontar peluru, 100 m dan 400 m. Hanya pelajar yang sakit kronik dikecualikan.

Isnin 18 Januari 2010
  • Lontar peluru lelaki dan perempuan
Selasa 19 Januari 2010
  • 100 m lelaki dan perempuan
  • 400 m lelaki dan perempuan
Kedudukan setiap rumah setelah tamat sukantara ialah:
  1. Rumah Hijau - 314 (Rentas desa) + 188 (Sukantara) - 502 mata
  2. Rumah Biru - 304 (Rentas desa) + 198 (Sukantara) - 502 mata
  3. Rumah Kuning - 291 (Rentas desa) + 186 (Sukantara) - 477 mata
  4. Rumah Merah - 218 (Rentas desa) + 174 (Sukantara) - 392 mata

Teruskan perjuangan anda.

18 January 2010

PERHIMPUNAN RASMI PAGI ISNIN - PASUKAN KADET POLIS BERTUGAS MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN

Pagi ini perhimpunan rasmi pagi Isnin dikendalikan oleh Pasukan Kadet Polis SMK Telok Kerang. Seramai 19 ahli Pasukan Kadet Polis bertugas mengendalikan perhimpunan itu yang diketuai oleh Sarjan Norsaufi Bin Khamisan.
Cikgu Hasan Kasmuri menegaskan bahawa perhimpunan pagi Isnin adalah perhimpunan rasmi sekolah. Oleh itu pasukan beruniform yang mengendalikan perhimpunan hendaklah berpakaian uniform penuh dan mengikut protokol yang ditetapkan.


Di antara ingatan-ingatan dan amanat Tuan Pengetua dalam ucapannya ialah:
  • Pakai topi keledar jika naik motosikal.
  • Jangan datang lewat ke sekolah.
  • Jangan bawa makanan dan makan waktu belajar dalam kelas.
  • Apabila keluar kelas mesti ada pas keluar kelas.
  • Semasa pergi ke bilik air - pelajar perempuan berdua dan pelajar lelaki seorang.
  • Gerak gempur disiplin.
  • Foto pelajar bermasalah disiplin akan dipamerkan.
  • Merentas desa dan sukantara - akan diambil tindakan kepada pelajar yang tidak hadir.

Barisan guru-guru Kadet Polis.
Tuan Pengetua sedang memeriksa perbarisan.

Tuan Pengetua sedang berucap.

Pasukan Kadet Polis Mengaminkan doa.

Pelajar-pelajar SMK Telok Kerang mendengar ucapan.




Guru-guru dan ahli Pasukan Kadet Polis bergambar dengan Tuan Pengetua.



16 January 2010

PELAJAR RINDU PUJIAN GURU

Oleh ANUAR AHMAD

Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah.
Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.

Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya. Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah. Sedih rasanya melihat bagaimana ada guru yang sanggup menyakiti tubuh anak-anak kecil yang kononnya dikatakan nakal, tidak mematuhi arahan atau membuat bising di dalam bilik darjah.

Sebenarnya, atas apa jua alasan guru tersebut, hukuman tidak sekali-kali boleh dilaksanakan sehingga membawa kesakitan kepada pelajar. Amalan 'memukul' dengan tujuan menyakiti tubuh anak-anak kecil terutama di bahagian badan yang sensitif dan lemah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Menyakiti pelajar seperti deraan adalah sesuatu yang keji dan tidak berperi-kemanusiaan. Biarlah apa pun kesalahan anak-anak di peringkat sekolah rendah, hukumannya sama sekali tidaklah boleh sampai kepada memukul, menumbuk atau menampar muka dan badan pelajar.
Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati. Penulis sendiri sudah tidak dapat mengingati banyak peristiwa semasa bersekolah dahulu secara jelas, tetapi masih dapat mengingati beberapa perkara baik semasa di sekolah dahulu. Antara perkara yang tidak pernah dilupakan ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru kepada penulis. Pujian mereka bukan sahaja menyebabkan jasa dan nama mereka terus menjadi kenangan abadi penulis tetapi juga pujian ini banyak membina semangat dan keinginan penulis untuk cemerlang dalam pelajaran.

Sebab itu penulis sangat tidak percaya bahawa pujian boleh merosakkan pelajar. Mitos ini masih wujud di kalangan ramai guru-guru yang mengajar. Pada mereka, pujian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar menjadi bongkak, lupa diri dan akhirnya akan merosakkan pembelajaran mereka.

Maka tindakan seperti ugutan, memarahi serta memberikan amaran dikatakan lebih berkesan untuk memastikan pelajar belajar serta berjaya di dalam pelajaran mereka. Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif. Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya. Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian yang tidak berkesan juga boleh berlaku apabila guru memberikan pujian yang berbentuk umum atau generalisasi sahaja kepada pelajar. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini". Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.

Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya. Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar. Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan, Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Perkara ketiga ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar. Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya di ikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.

Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif. Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh berbanding gembira bila mereka dipuji. Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.

Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka.

Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

15 January 2010

PERTANDINGAN MERENTAS DESA SMK TELOK KERANG 2010

Pagi ini Jumaat 16 Januari 2010 suasana SMK Telok Kerang meriah apabila diadakan pertandingan merentas desa. Acara bermula pada pukul 8.30 pagi. Ahli-ahli Rumah Merah, Rumah Biru, Rumah Hijau dan Rumah Kuning penuh semangat berlari merentasi kawasan kampung dan estet bagi meraih mata untuk rumah mereka.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Lelaki A, Lelaki B, Perempuan A dan Perempuan B. Sorakan dan laungan semangat kedengaran mengiringi peserta setiap rumah yang menang dan menerima piala di astaka. Piala kemenangan disampaikan oleh Tuan Pengetua En. Ahmad Khairi Bin Paimin dan PKHEM Puan Hajjah Arbaenah Bt. Masod.

Mata terkumpul pertandingan merentas desa ini akan dicampurkan dengan mata sukantara, mata pra-kejohanan dan mata kejohanan olahraga. Rumah Hijau diishtiharkan sebagai johan pertandingan merentas desa pada tahun ini. Kepada Rumah Hijau kami ucapkan Syabas dan Tahniah!!!

Berikut adalah mata terkumpul setiap rumah:
  1. Rumah Hijau - 314 mata
  2. Rumah Biru - 308 mata
  3. Rumah Kuning - 291 mata
  4. Rumah Merah - 218 mata


Guru-guru rumah memberi semangat kepada peserta merentas desa.
Peserta merentas desa memanaskan badan sebelum berlari.


Peserta perempuan memulakan larian.


Peserta lelaki memulakan larian.


Johan kategori Perempuan B


Johan kategori Perempuan A


Johan kategori Lelaki B


Johan kategori Lelaki A


Guru-guru Rumah Biru bangga dengan piala yang dimenangi.


Sabar menyaksikan rakan-rakan menerima piala kemenangan.

13 January 2010

13,000 GURU BAHASA INGGERIS DIPERLUKAN

KUDAT 12 Jan. - Kira-kira 13,000 guru Bahasa Inggeris diperlukan bagi menampung kekurangan di sekolah seluruh negara yang kini berada pada tahap mendesak. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tenaga pengajar dalam bahasa tersebut amat diperlukan bagi memastikan pencapaian dalam subjek itu tidak terjejas.

"Kementerian mendapati masalah kekurangan guru bahasa Inggeris begitu kritikal sekali malah hingga menjejaskan prestasi pelajar terutama di kawasan luar bandar," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat beberapa sekolah di Pulau Banggi yang memakan masa kira-kira sejam perjalanan dengan bot dari sini hari ini. Katanya, antara punca utama kekurangan itu disebabkan keengganan guru yang mengajar bahasa tersebut untuk bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman. Sehubungan itu katanya, sebagai langkah segera mengatasi masalah tersebut, kementerian merancang mengambil 300 tenaga pengajar dari luar negara untuk melatih guru-guru tempatan mengajar subjek tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengakui menerima banyak aduan daripada lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih belum diserapkan sebagai guru oleh Kementerian Pelajaran. Jelas Mohd. Puad, pihak kementerian memberi jaminan akan menyelesaikan masalah mereka yang berkelulusan sarjana muda pendidikan itu secepat mungkin.

12 January 2010

KERAJAAN KAJI GUNA SISTEM SEKOLAH LONDON

LONDON 11 Jan. - Kerajaan akan mengkaji untuk menggunakan sistem e-pembelajaran yang dilaksanakan di sebuah sekolah menengah komuniti di bandar raya ini bagi memantapkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem teknologi maya frog system yang dilaksanakan di Sekolah Sunbury Manor itu memberi kesan positif kepada pencapaian sekolah berkenaan yang sebelum ini bukan sekolah pilihan ibu bapa.

"Memang kita telah menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah kita tetapi kita berminat untuk melihat sistem yang digunakan di sekolah ini untuk menambah baik lagi sistem pengajaran dan pembelajaran negara," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai e-pembelajaran oleh wakil sekolah Sunbury Manor di Sheraton Park Tower di sini hari ini. Katanya, dengan adanya sistem e-pembelajaran yang lebih radikal seperti yang digunakan di sekolah berkenaan, ia mampu melonjakkan sistem pendidikan di Malaysia.

"Kita sentiasa mahu menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran negara dengan melihat kepada pencapaian sekolah-sekolah lain di luar negara. Sebenarnya tujuan saya ke sini untuk melihat sendiri sistem ini dijalankan tetapi kerana masalah cuaca (salji tebal), kita hanya dapat mendengar sahaja taklimat itu di sini," kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan melihat pelbagai sudut sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan sistem berkenaan.

"Belum ada keputusan. Kita akan meneliti aplikasi yang digunakan selain faktor kos kerana ia bukan melibatkan jumlah yang sedikit," katanya. - Utusan

BUKU TEKS BARU

JAWATANKUASA Inovasi Buku Teks akan membuat pembaharuan bagi memperkemaskan bentuk fizikal buku teks, termasuk mengurangkan saiz hingga 20 peratus berbanding sekarang. Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT), Mohd Adenan Deraman, berkata pembaharuan itu membabitkan buku teks cetakan baru berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah bermula sesi persekolahan 2011.

Katanya, proses inovasi merangkumi usaha mengecilkan saiz buku teks itu diharap dapat mengurangkan masalah buku berat hingga menyukarkan pelajar membawanya. Beliau berkata, proses inovasi itu antara lain bertujuan memastikan bentuk fizikal buku teks lebih mesra pelajar dan mudah dibawa ke mana-mana, selain mengurangkan kos cetakan. “Pengstrukturan semula itu juga penting dalam usaha menghasilkan buku teks yang memenuhi aliran bahan bacaan semasa dengan memiliki ciri rekaan kreatif dan inovatif.

“Perkembangan positif ini perlu dijadikan contoh supaya buku teks tidak bersifat tradisi hingga mengurangkan minat pelajar membacanya. “Perubahan ini diharap menjadikan buku teks bukan saja bahan rujukan pelajar, malah bacaan umum,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini. Mohd Adenan berkata, perubahan itu turut mengambil kira penggunaan ilustrasi dan grafik bagi memastikan persembahannya menarik dan menjadi sumber rujukan utama, selain buku tambahan. Perubahan fizikal buku teks ini, katanya, tidak menjejaskan kandungan berdasarkan silibus yang sudah ditetapkan mengikut tahap pelajar.

“Kami akan memanggil ahli jawatankuasa pengstrukturan buku teks, antaranya wakil sektor teknikal BBT, Dewan Bahasa dan Pustaka serta penerbit terpilih. Perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat bertujuan mengumpul idea sebagai panduan dalam menghasilkan buku teks bersifat kreatif dan inovatif,” katanya.

Dalam perbincangan itu, Mohd Adenan menjelaskan pihaknya akan mengemukakan konsep diperlukan, antaranya kandungan, persembahan dalaman, kulit dan susun atur serta saiz yang lebih bersifat mesra pengguna. Katanya, berdasarkan konsep asas itu, penerbit diminta mengemukakan contoh terbaik bagi memastikan cadangan serta persembahan mereka dipersetujui. Beliau berkata, pengstrukturan itu sejajar dengan penetapan 2010 sebagai "Tahun Kreativiti dan Inovasi" bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan persembahan dalam memperkemas pengurusan sesebuah organisasi.

“Kami mengharapkan proses ini membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara dengan menyediakan bahan bacaan berkualiti memenuhi keperluan pelajar dan membantu proses pengajaran dan pembelajaran berkesan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Zainora Mohamad, berkata pihaknya yakin usaha kementerian itu menjadikan buku teks sebagai bahan rujukan utama di sekolah. Beliau berkata, rekaan inovasi perlu mengambil kira pelbagai faktor, antaranya penambahan kos, konsep dan pendekatan yang lebih bersifat mesra pelajar. Selain itu, bagi mata pelajaran tertentu contohnya Geografi atau Sains, katanya, ia turut mengambil kira faktor nilai ditambah.

“Penyediaan sisipan atau lipatan antara muka surat juga perlu disediakan sesuai dengan topik dalam bab berkenaan, termasuk penggunaan gambar eksklusif,” katanya.


Berita Harian Online 11/01/2010

08 January 2010

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN PMR 2009

Pagi ini diadakan Majlis Kecemerlangan PMR 2009 di Dataran Nilam. Majlis diadakan khusus untuk menghargai pelajar-pelajar yang memperoleh kejayaan yang cemerlang dan lulus dalam peperiksaan PMR yang lalu. Selain itu majlis ini boleh dijadikan budaya mencontohi serta mengikuti yang terbaik kepada pelajar-pelajar yang lain. Majlis diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua PIBG dan Penolong PPD Pontian En. Hamid Bin Selamat.

Seramai 5 orang pelajar mendapat 8A, 2 orang pelajar mendapat 7A 1B, 6 orang pelajar mendapat 6A 2B dan keseluruhannya sejumlah 118 orang pelajar lulus semua mata pelajaran. Warga SMKTK mengucapkan tahniah.


Tuan Pengetua bersama YDP PIBG dan En. Hamid Bin Selamat.

YDP PIBG menyampaikan ucapan.

Ucapan daripada Tuan Pengetua.

En. Hamid Bin Selamat sedang berucap.

Nurhanisah Bt. Mohd. Sham (8A)
Nurulafikah Barek Bt. Idrus (8A).
Siti Aishah Bt. Rahmad (8A)
Siti Majidah Bt. Iskandar (8A).
Mohamad Azri Bin Azaman (8A).
Norfatin Najwa Bt. Mohd Arip (7A 1B).
Mohd. Kholil Bin Jofri (7A 1B).
Hazlin Iswanie Bt Jemani (6A 2B).
Noor Fazila Bt. Ishak (6A 2B).
Umi Fatimah Bt. Abdullah (6A 2B).
Mohamad Redha Bin Abdul Halim (6A 2B).
Toh Poh Lin (6A 2B).

Pelajar-pelajar cemerlang bergambar bersama YDP PIBG,
Tuan Pengetua dan En. Hamid Selamat.
Pelajar-pelajar perempuan yang lulus semua mata pelajaran.

Pelajar-pelajar lelaki yang lulus semua mata pelajaran.