21 October 2014

MAKSUD, TUJUAN DAN KEPENTINGAN UJIAN PENILAIAN PENGESANAN, PENILAIAN DIAGNOSTIK, PENILAIAN PERKEMBANGAN, PENILAIAN PENCAPAIAN DAN PENILAIAN PSIKOLOGI

DEFINISI PENILAIAN

Penilaian membawa definisi tersendiri mengikut pandangan masing-masing. Menurut Jamila K.A Mohamed mendefinisikan penilaian sebagai menilai murid daripada segi perkembangan intelektual, emosi, bahasa, kognitif bagi mengetahui kelemahan dan kekuatan. Manakala menurut Atan Long, penilaian ialah memberikan respons tentang proses pengajaran dan pembelajaran samaada telah mancapai objektif atau tidak. D.Stuflebeam,dalam bukunya Educational Evaluation and Decision membuat takrifan bahawa penilaian adalah satu proses menentukan, mendapatkan dan memberi makluamt yang berguna untuk  membuat pertimbangan mengenai tindakan yang akan diambil selanjutnya. 

Kesimpulannya, Penilaian adalah satu kaedah dalam mendapatkan maklumat untuk membuat perancangan yang lebih berkesan.  Penilaian ini juga dilakukakan untuk menentukan kekuatan dan kelemahan pelajar. 

PENILAIAN PENGESANAN 

DEFINISI 
Penilaian pengesanan didefinisikan sebagai satu penilaian secara informal yang dijalankan oleh ibubapa, guru, pengasuh melalui cara pemerhatian atau senarai semak ke atas kanak-kanak di bawah umur 7 tahun. Dalam menjalankan penilaian pengesanan ini tiada latihan khas yang dijalankan ke atas kanak–kanak. Maklumat hasil dari penilaian ini juga bertujuan membantu ibubapa menjalankan penilaian ke atas kanak–kanak seterusnya bagi merancang aktiviti yang boleh digunakan untuk merancang aktiviti yang boleh meningkatkan keupayaan kanak–kanak tersebut. 

Menurut Jamila K.A Mohamed (2005) mendefinisikan penilaian pengesanan adalah satu proses yang kompleks yang melibatkan banyak cara bagi mengumpul maklumat berkaitan murid supaya dapat mengenalpasti masalah atau ketidakupayaan  sebenar yang menyebabkan murid tidak dapat mencapai objektif pembelajaran. 

TUJUAN PENILAIAN PENGESANAN 
Tujuan penilaian pengesanan dilakukan adalah untuk mengumpul maklumat bagi proses penyimpanan rekod. Hasil kajian penilaian pengesanan yang dilakukan akan digunakan untuk tujuan rujukan dalam merancang aktiviti atau pengajaran yang sesuai kepada kanak–kanak tersebut.  Selain itu hasil penilaian ini juga boleh diserahkan kepada pihak berkaitan dalam usaha meningkatkan keupayaan kanak–kanak tersebut. 

Selain itu, penilaian pengesanan ini juga dapat membantu pengesanan di peringkat yang lebih awal. Tahap ketidakupayaan kanak–kanak akan disedari lebih awal oleh ibubapa dan guru.  Ini secara tidak langsung dapat membantu dalam proses melakukan  tindakan atau rawatan yang sesuai mengikut kebolehan kanak- kanak tersebut. Contohnya bayi normal mengesan bunyi dan bertindakbalas menoleh ke arah bunyi, bagi  bayi yang menghadapi masalah pendengaran bayi ini tidak akan memberi ransangan terhadap bunyi,pengesanan awal ini membantu bagi mendapatkan rawatan awal. 

Penilaian pengesanan yang dilakukan boleh mengenalpasti kelebihan dan kekurangan yang dimiliki oleh kanak-kanak. Setiap kanak-kanak terdiri daripada pelbagai kecenderungan atau kelebihan yang dimiliki. Sebagai guru dan ibu bapa kita tidak sepatutnya memaksa kanak-kanak untuk maju di dalam pelajaran. Pengajaran yang dilakukan oleh guru hendaklah fleksibel. Contoh, jika seseorang kanak-kanak mempunyai kelebihan dalam bidang seni, ibu bapa dan guru hendaklah meningkatkan kelebihan itu dengan menghantar kanak-kanak tersebut ke kelas seni. 

KEGUNAAN PENILAIAN PENGESANAN 
Melalui penilaian pengesanan ini,ibubapa dan guru dapat mengetahui kebolehan dan kekurangan kanak-kanak. Perancangan yang lebih boleh dirancang bagi meningkatkan lagi kebolehan dan kreativiti yang ada pada kanak-kanak tersebut. Di samping itu, penilaian ini akan dapat mengurangkan kekurangan yang ada pada kanak-kanak tersebut. Contohnya kanak-kanak cenderung menonjol bakat dalam berinteraksi, ini secara tidak langsung dapat mengurangkan rasa rendah diri untuk bergaul dengan orang lain. 

Selain itu, penilaian pengesanan ini juga digunakan untuk membantu guru,ibubapa supaya dapat menilai dan mengesan peringkat perkembangan kanak-kanak sama seperti kanak-kanak normal yang lain.  Kemahiran yang sedia ada pada kanak-kanak harus digilap dan ditonjolkan supaya ketidakupayaan dapat diatasi segera. Dengan ini kanak-kanak tersebut tidak akn terus mengalami perkembangan yang terbantut. 

Hasil  penilaian ini juga boleh digunakan untuk diberikan kepada yang berkaitan untuk membantu bagi mengenali dan mengesan tahap perkembangan kanak– kanak secara lebih terperinci dan betul.  Hasil penilaian ini juga boleh disimpan untuk tujuan rujukan pada masa akan datang. Dengan ini perkembangan kanak-kanak akan terus dinilai dari masa ke semasa dan ketidakupayaan dapat diatasi dengan segera. 

Kesimpulannya, penilaian pengesanan dilakukan bagi mengenalpasti ketidakupayaan kanak-kanak pada peringkat awal. 

PENILAIAN DIAGNOSTIK 

DEFINISI 
Penilaian diagnostik ialah satu proses penilaian terhadap kanak-kanak untuk melabel tahap ketidakupayaan kanak-kanak.Penilaian ini biasanya dilakukan oleh psikiatris, guru. Proses ini juga dikenal sebagai proses melabel.  Proses melabel ini penting kerana ini akan menentukan masa depan kanak-kanak tersebut.  Disebabkan proses melabel ini penting penglibatan ramai pakar diperlukan untuk mendapat keputusan diagnosis yang lebih tepat. 

Kementerian Pelajaran Malaysia mendefinisikan penilaian diagnostik sebagai penilaian secara formatif bagi mendapatkan data yang menunjukkan ketidakupayaan murid yang akan menyulitkan proses pengajaran dan pembelajaran. 

Kesimpulannya, penilaian diagnostik ini adalah penilaian yang dilakukan kepada kanak-kanak mengikut tahap ketidakupayaan mereka.  Dengan ini langkah dan rawatan tertentu boleh diambil dengan lebih berkesan. 

TUJUAN PENILAIAN DIAGNOSTIK 
Penilaian diagnostik ini bertujuan untuk membuat penilaian awal tentang ketidakupayaan kanak-kanak. Penilaian awal diperlukan oleh kanak-kanak bekeperluan khas terhadap keupayaan mereka samaada secara formal iaitu melalui pemerhatian dan analisis. Penilaian ini membantu guru menentukan samaada kanak-kanak tersebut memerlukan perhatian yang lebih atau tidak.  Guru-guru juga dapat maningkatkaan tumpuan dan keupayaan pelajar yang memerlukan bantuan. 

Selain itu, penilaian ini juga bertujuan mengumpul maklumat untuk tujuan penempatan kanak-kanak mengikut kebolehan mereka. Bagi kanak-kanak yang mempunyai ketidakupayaan yang terbatas dan berbeza kemampuan dengan kanak-kanak lain perlu diasingkan mengikut keperluan pembelajaran.  Penilaian ini juga bertujuan membantu guru menyediakan atau menyelaras sistem pengajaran mengikut ketidakupayaan kanak-kanak. 

Penilaian diagnostik juga bertujuan memberikan maklumat kepada ibu bapa, guru dan pakar kanak-kanak. Hasil penilaian yang dibuat boleh digunakan sebagai bahan rujukan. Selain itu ibubapa juga boleh didedahkan dengan masalah sebenar anak-anak mereka dan kaedah atau pendekatan yang sesuai ditekankan oleh ibubapa sebagai langkah mengurangkan masalah kanak-kanak.  Penilaian ini juga membantu pakar memantau keadaan kanak-kanak dari masa ke semasa. 

KEGUNAAN PENILAIAN DIAGNOSTIK 
Penilaian diagnostik penting bagi menentukan jenis ketidakupayaan kanak-kanak. Dengan adanya penilaian ini guru-guru dan ibubapa dapat menngenalpasti tahap perkembangan kanak-kanak. Oleh itu guru dan ibubapa dapat menyediakan program intervensi yang sesuai mengikut kemampuan kanak-kanak supaya mereka mendapat kehidupan yang selesa disamping pendidikan yang sesuai dengan tahap kemampuan kanak-kanak. 

Selain itu, penilaian diagnostik juga penting kepada guru-guru untuk merancang kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian mengikut tahap murid.  Apabila kanak-kanak ini telah didiagnosis, guru akan mengetahui tahap kanak-kanak dan membolehkan guru menyediakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.  Contohnya kanak-kanak yang lemah ditekankan dengan pengajaran secara visual manakala kanak-kanak normal lebih kepada pengajaran yang lebih kompleks dan abstrak. 

Penilaian ini juga penting bagi memberi maklumat yang lebih jelas tentang ketidakupayaan kanak-kanak.  Hal ini kerana pada tahap ini kanak-kanak akan dilabel mengikut ketidakupayaan mereka.  Dengan ini ibubapa akan mempunyai pengetahuan yang lebih tentang ketidakupayaan anak mereka.  Ibubapa juga boleh mengambil tindakan sewajarnya iaitu mencari pakar-pakar yang sesuai bagi melatih dan merawat anak-anak mereka. 

Kesimpulannya, penilaian diagnostik ini diperlukan bagi proses melabel kanak-kanak.Dengan adanya label ini akan dapat membantu proses rawatan.

PENILAIAN PERKEMBANGAN 

DEFINISI 
Penilaian pekembangan ialah perubahan secara kualitatif yang belaku ke atas individu sejak dilahirkan  lagi. Walaubagaimanapun perubahan yang berlaku adalah tidak sama antara individu dan individu lain kerana perkembangan ini dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Baka di sini membawa maksud menentukan potensi seseorang dari segi mental, fizikal, sosial, emosi dan persekitaran pula membantu seseorang itu mencapai tahap maksimumnya. 

Menurut crow dan crow pula,perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral, dan social. Contohnya semasa di tingkatan 4, ani tidak dapat menyelesaikan masalah persamaan matematik.tetapi dia mula dapat menyelesaikannya setelah berada di tingkatan 5.  Dengan ini jelaslah ani telah mengalami perkembangan. 

Menurut Karl E Garrison, perkembangan adalah dihasilkan daripada tindakan yang saling berkait di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran.  Secara ringkasnya beliau berpendapat perkembangan ditakrifkan sebagai pengaliran yang saling berkait di antara perubahan kualitatif dan kuantitatif yang menuju kearah tertentu dan dijangkakan. 

Menurut Rozumah Baharuddin (1984) Perkembangan ialah perubahan yang yang berlaku yang berlaku dari segi kualiti, perubahan yang berlaku tidak boleh diukur secara kuantiti tetapi boleh dilihat dengan membandingkan sifat yang terdahulu dengan sifat yang sedang terbentuk.  Proses ini adalah proses rumit yang berlaku secara terus dari peringkat awal kanak-kanak hingga ke akhir hayat. 

ASPEK PENILAIAN PERKEMBANGAN 
Penilaian perkembangan kanak-kanak ini diukur dari 5 aspek iaitu penilaian aspek motor, bahasa, mental, sosial dan pengurusan diri. 

Penilaian dari aspek perkembangan fizikal dan motor kanak-kanak ialah dari segi kebolehan kanak-kanak bergerak.  Perkembangan motor mula berlaku apabila pergerakan tubuh dan kegiatan tubuh dapat dikawal oleh system saraf dan otot.  Semasadi peringkat janin perkembangan motor adalah sangat pesat.  Motor terbahagi kepada dua iaitu motor kasar dan motor halus.  Selepas bayi dilahirkan  bayi banyak menggunakan motor halus kerana daya kawalan motor bayi yang  sangat lemah.  Contohnya mengenggam,menyentuh dan sebagainya.Apabila berusia 5 tahun kanak-kanak mula mmenggunakan  motor kasar untuk berjalan, berlari, melompat dan sebagainya. Hal ini kerana otot motor kanak-kanak mula kuat. 

Penilaian melalui aspek mental ialah proses bagaimana maklumat daripada persekitaran diterima dan disimpan dalam ingatan dan bagaimana maklumat tersebut diingat  apabila diperlukan.  Menurut Jean Piaget (1896-1980). Pada tahap dunia motor iaitu dari (lahir hingga 2 tahun) bayi menggunakan aspek perkembangan mental keranaa mula berfikir kerana dipengaruhi oleh kebolehan deria menyentuh, mendengar dan sebagainya.  Manakala pada peringkat pra operasi (2 hingga 7 tahun).  Kanak-kanak mula berkomunikasi menggunakan perkataan bagi mewakili objek dan pengalaman yang belaku di sekeliling mereka. 

Penilaian dari aspek bahasa juga merupakan salah satu aspek perkembangan.  Bahasa merupakan satu media untuk berkomunikasi.  Melalui  bahasa manusia dapat bertutur untuk melahirkan apa yang dirasai.  Bayi yang baru dilahirkan tidak dapat berhubung dengan orang lain untuk menyatakan keperluan atau kehendaknya.  Apabila umur mula meningkatdari 0-2 tahun bayi mula berinteraksi dengan kadar yang minimum dengan menggunakan pancaindera yang lain.  Apabila umur bayi 6 bulan bayi kurang berkukur tetapi mula boleh menyebut perkataan.  Contohnya ma….ma, ba…ba..  Perkembangan bahasa peringkat ini penting sebagai asas latihan bercakap untuk perkembangan seterusnya. 

Penilaian perkembangan juga dinilai melalui aspek sosial iaitu proses apabila kanak-kanak mula berhubung dengan orang lain mengikut cara yang diterima masyarakat.  Pada peringkat baru lahir hingga1 tahun.  Perkembangan sosial awal bayi ialah mula boleh tersenyum.  Perkembangan sosialnya berlaku berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan sebagainya manakala apabila kanak-kanak memasuki alam persekolahan, mereka akan mula bergaul dengan kawan-kawan. Dengan ini perkembangan sosial  akan mula berkembang. 

Aspek penilaian pengurusan diri kanak-kanak bermula pada usia 3 hingga 4 tahun. Pengurusan diri ini merangkumi aspek menjaga dan memelihara diri sendiri dari pelbagai bentuk. Contohnya dalam melakukan aktiviti harian, memakai baju , memberus gigi dan sebagainya.  Ibu bapa perlu manjadi terbaik kepada anak-anak dalam proses pengajaran pengurusan diri. 

TUJUAN PENILAIAN PERKEMBANGAN 
Tujuan utama penilaian perkembangan ialah menilai tahap perkembangan kanak-kanak dari aspek perkembangan.Kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam mencapai tahap perkembangan atau tidak boleh berkembang seperti kanak-kanak normal. Guru perlu memainkan peranan dengan menjalankan proses intervensi awal untuk membantu perkembangan kanak-kanak selaras dengan tahap umur mereka. 

Selain itu penilaian ini juga bertujuan mengesan kekurangan dan kelebihan yang ada pada kanak-kanak. Guru boleh melakukan perubahan dalam proses pengajaran supaya dapat meningkatkan kreativiti kanak-kanak. Guru juga harus mencungkil bakat yang ada pada kanak-kanak supaya kelebihan yang ada pada mereka dapat ditonjolkan disamping mengurangkan kelemahan yang ada pada kanak-kanak tersebut. 

Penilaian ini juga bertujuan untuk meningkatkan tahap perkembangan kanak-kanak.  Hal ini kerana apabila guru telah mengetahui ketidakupayaan kanak-kanak langkaah bagi mangatasi ketidakupayaan ini akan diambil.  Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak tersebut.  Selain itu kanak-kanak ini juga akan lebih cenderung untuk menyerlahkan kemahiran mereka. 

KEGUNAAN PENILAIAN PERKEMBANGAN 
Penilaian  perkembangan kanak-kanak penting kerana melalui penilaian ini tahap perkembangan kanak-kanak dapat diketahui.  Maklumat tentang perkembangan kanak-kanak akan digunakan untuk  membuat pengesanan awal.  Pengesanan awal ini adalah untuk memastikan kanak-kanak tidak mengalami perkembangan yang terbantut.  Contohnya pada usia 2 tahun kanak-kanak yang mengalami pertumbuhan terbantut masih tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak normal. 

Selain itu, penilaian ini juga penting bagi melakukan intervensi awal.  Kanak-kanak akan mengalami perkembangan bermula umur 6 tahun.  Dalam tempoh ini kanak-kanak mula berkembang. Perkembangan yang terbantut biasanyadisebabkan oleh adanya ketidakupayaan. Ibu bapa, pengasuh perlu melakukan intervensi bagi membantu  kanak-kanak. Program intervensi juga boleh dilakukan,melalui program ini kanak-kanak akan dilatih supaya dapat meningkatkan  ketidakupayaan kanak-kanak supaya selaras dengan umur mereka. 

Penilaian perkembangan juga penting bagi mengenalpasti masalah dan perbezaan semasa perkembangan kanak-kanak. Masalah ketidakupayaan kanak-kanak yang tidak sama antara satu sama lain memerlukan penilaian bagi mengkelaskan ketidakupayaan kanak-kanak mengikut tahap.  Kanak-kanak yang mempunyai ketidakupayaan lebih mudah dikenalpasti dengan membandingkan mereka dengan kanak-kanak normal yang lain.  Hal ini kerana tahap perkembangan kanak-kanak yang berbeza antara satu sama lain,ada antara mereka yang aktif dan ada juga yang pasif. 

Kesimpulannya, penilaian perkembangan menyelaras kemahiran mengikut usia kanak-kanak disamping membantu perkembangan kanak-kanak supaya tidak terbantut. 

PENILAIAN PENCAPAIAN 

DEFINISI 
Penilaian pencapaian ialah ujian atau siri ujian yang dijalankan untuk mendapatkan maklumat  tentang pencapaian murid.  Penilaian pencapaian ini biasanya dilakukan kepada kanak-kanak pada usia 7 tahun ke atas oleh guru untuk menentukan pelajar memerlukan kelas inklusif atau tidak.  Penilaian ini dijalankan untuk menilai kecekapan dan kemahiran melalui pemerhatian dan ujian bertulis.  Penilaian ini terbahagi kepada  dua iaitu penilaian sumantif dan penilaian formatif. 

Menurut Mokhtar Ismail (1995) penilaian sumantif adalah yang dilakukan untuk mengukur pengetahuan pelajar tentang sesuatu yang telah dipelajari .  Contohnya dalam UPSR, PMR, SPM dll manakala penilaian formatif ialah ujian mengesan kekuatan dan kelemahan dan kekuatan pelajar dalam penguasaan sesuatu kemahiran yang diajar.  Contohnya  soaljawab lisan, kuiz matematik dll. 

Menurut Kamus Dewan Bahasa, Penilaian pencapaian ialah proses pentaksiran yang dibuat keatas apa yang telah dicapai atau dikenali sebagai prestasi. 

TUJUAN PENILAIAN PENCAPAIAN 
Tujuan penilaian pencapaian ini dijalankan adalah untuk menilai tahap pencapaian kanak-kanak. Kanak-kanak yang lemah dalam penguasaan dan berkebolehan dapat dikesan lebih awal.Bagi kanak-kanak yang tidak dapat menguasai konsep 3M juga dapat dikesan dan ini membolehkan guru membuat tindakan awal bagi mengatasi masalah ini. 

Selain itu, penilaian pencapaian ini juga bertujuan meningkatkan keupayaan pelajar.  Dengan adanya penilaian ini juga dapat mengubah atau merancang bilik darjah yang sesuai dengan menempatkan mereka mengikut kebolehan pelajar.  Dengan ini proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan lebih lancar. 

Penilaian pencapaian ini juga bertujuan menganalisa kelemahan dan kekuatan murid.  Hasil keputusan penilaian ini boleh menjadi pendorong untuk pelajar mencapai kejayaan. Pelajar akan mengetahui kelemahan masing-masing dan guru dapat merancang aktiviti yang lebih bersesuaian. 

KEGUNAAN PENILAIAN PENCAPAIAN 
Hasil penilaian yang dilakukan membolehkan guru mengetahui objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai oleh pelajar atau tidak.  Ini akan membolehkan guru merancang  pengajaran yang paling sesuai dan terbaik mengikut kemampuan pelajar. Contohnya, guru menggunakan kaedah visual kepada pelajar yang lemah. 

Penilaian pencapaian penting bagi mengenalpasti keperluan pembelajaran murid, penilaian yang dibuat memberi gambaran kepada guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pencapaian yang dicapai oleh murid mengambarkan kepada guru tahap pemahaman murid.  Guru boleh melakukan tindakan samaada ingin meneruskan dengan subjek lain atau memberi lebih pemahaman terhadap tajuk tersebut. 

Selain itu, penilaian pencapaian ini penting bagi membuat penempatan pelajar mengikut keperluan pembelajaran mereka.Ujian ini juga menjadi titik permulaan untuk memisahkan pelajar kepada kumpulan-kumpulan kecil mengikut kemampuan pembelajaran mereka.Hal ini penting bagi mengelakkkan terdapat pelajar yang tercicir dalam pembelajaran. 

Kesimpulannya,penilaian pencapaian ini dapat membantu guru untuk membuat pengubahsuaian dalam strategi pengajaran.  Contohnya menggunakan alat bantu mengajar (ABM). 

PENILAIAN PSIKOLOGI 

DEFINISI 
Psikologi berasal daripada dua perkataan iaitu `psyche` yang bererti jiwa dan `logos` yang membawa maksud kajian tentang sesuatu.  Penilaian yang dilakukan ini berkaitan secara langsung dengan tingkah laku, mental, emosi, kanak-kanak berkeperluan khas.  Penilaian ini adalah bertujuan untuk membantu penilai mengawal tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas dari segi mental, emosi dan tingkah laku. 

Menurut kamus dewan bahasa  penilaian psikologi ialah pentaksiran terhadap ilmu yang mengkaji jiwa atau fikiran manusia dan kelakuan manusia. Crow dan crow pula berpendapat penilaian psikologi ialah satu kajian untuk mengkaji maklumat tentang cara individu atau sekelompok manusia di peringkat umur berlainan bertindakbalas terhadap ransangan dari alam sekitar. 

Davindoff ( 1976 ) dipetik dari buku psikologi dalam bilik darjah pula mentafsirkan psiko sebagai kajian saintifik tentang tingkah laku manusia dan haiwan secara nyata atau terselindung.  Kajian ini adalah berdasarkan tingkah laku yang dapat diperhatikan. Contohnya bagaimana kanak-kanak berjalan dan kajian tentang emosi kanak-kanak.

Kesimpulannya,definisi penilaian psikologi ialah berdasarkan penilaian terhadap mental dan tingkahlaku manusia atau haiwan. 

TUJUAN PENILAIAN PSIKOLOGI 
Penilaian psikologi amat diperlukan terutama kepada kanak-kanak berkeperluan khas.  Golongan kanak-kanak ini memerlukan satu kaedah penilaian yang sesuai dengan kaedah realiti mereka.  Kaedah-kaedah yang sering diguna pakai untuk kanak-kanak normal mungkin tidak mampu untuk membantu perkembangan tingkah laku, emosi, dan mental mereka.  Dari itu pengetahuan dan kemahiran amat penting dikuasai oleh penilai kerana dengan mengenal pasti keperluan khas ini maka guru dan penilai akan dapat mengadakan rawatan dan merancang intervensi awal yang sesuai. 

Tujuan penilaian psikologi dibuat adalah untuk mengawal tingkah laku manusia yang tidak diingini.  Secara tidak langsung ini akan membantu penilai memberi bimbangan akan membentuk tingkah laku yang tidak baik kepada tingkah laku baik. 

Penilaian psikologi ini juga mampu membantu membuat penilaian, menyelidik dan membuat pemerhatian tentang tingkah laku kanak-kanak bekeperluan khas ini.Dengan adanya maklumat ini segala rancangan rawaatan boleh dilakukan. 

KEGUNAAN PENILAIAN PSIKOLOGI 
Penilaian psikologi memberi kegunaan kepada guru ibubapa untuk memahami tingkahlaku dan mental kanak-kanak bekeperluan khas.  Guru juga harus mengenali kanak-kanak sebelum mendekati mereka supaya mereka tidak bertindak agresif. Hal ini akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Proses bimbingan kanak-kanak juga lebih mudah dijalankan.Pemahaman oleh guru-guru dan ibubapa terhadap masalah ini akan membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab membimbing dengan lebih berkesan.  Dengan itu kanak-kanak berkeperluan khas akan merasa diri mereka dihargai dan merasakan selamat berada dibawah jagaan guru mereka. 

Selain itu penilaian psikologi juga digunakan sebagai satu kompenan untuk membantu guru-guru menyelaras dan menyesuaikan kaedah mengajar agar bersesuaian dengan kanak-kanak ini. Penyelarasan dan kesesuaian kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan adalah perlu kerana tahap perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak ini sangat jauh ketinggalan di belakang. 

Selain itu penilaian psikologi ini amat berguna untuk pengesanan pada peringkat awal.  Pengesanan yang boleh dibuat melalui penilaian ini adalah seperti ketidakupayaan  murid. Selain itu pengesanan juga akan dapat diperolehi di kalangan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran.  Akhir sekali penilaian pada peringkat awal akan mampu untuk mengesan mereka yang mempunyai risiko ketidakupayaan. 

PENUTUP

Kesimpulannnya, penilaian  amat penting kerana ia dapat menilai perkembangan kognitif intelektual, emosi, bahasa dan komunikasi dan tingkah laku sesseorang kanak-kanak. Penilaian ini mencakupi penilaian pengesanan,pengesanan diagnostic, penilaian perkembangan,penilaian  pencapaian dan penilaian psikologi.  Penilaian ini boleh dilakukan kepada seseorang kanak-kanak sejak mereka lahir hingga ke akhir hayat Penilaian boleh dilakukan mengikut langkah demi langkah. 

Langkah pertama ialah menjalankan penilaian pengesanan.  Penilaian pengesanan yang dilakukan membolehkan simpton-simpton awal dapat dikenalpasti.  Hal ini membolehkan ibubapa dan guru membawa kanak-kanak tersebut berjumpa pakar seperti dooktor, pakar psikologi, pakar terapi, pakar psikiatri dan lain-lain.  Ini bertujuan supaya penilaian diagnostik boleh dilakukan keatas kanak-kanak tersebut. 

Penilaian diagnostik amat penting kerana ia dapat membantu ibubapa dan guru untuk mengenalpasti ketidakupayaan kanak-kanak dengan tepat. Apabila penilaian diagnostik ini dilakukan  kanak-kanak tersebut akan dilabel mengikut ketidakupayaan.  Hal ini membolehkan langkah yang lebih khusus boleh diambil untuk membantu kanak-kanak tersebut. 

Selepas melakukan penilaian diagnostik, penilaian perkembangan akan dilakukan bagi mengetahui tahap perkembangan seseorang kanak-kanak. Perkembangan kanak-kanak dilihat melalui perubahan yang berlaku keatas kanak-kanak mengikut usia mereka.  Selain itu tahap perkembangan yang berlaku pada seseorang kanak-kanak  juga diukur melalui pencapaian. 

Oleh itu penilaian pencapaian akan dilakukan bagi mengukur tahap kebolehan seseorang kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah terutama kanak-kanak berkeperluan khas penilaian psikologi  akan dilakukan. Penilaian psikologi bertujuan untuk membantu penilai mengawal tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas dari segi emosi,tingkah laku dan mental mereka.

Sumber:  notapendidikankhasku.blogspot.com

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :