01 November 2013

DRAF TEKS UCAPAN TUAN PENGETUA UNTUK MAJLIS GRADUASI KE-3 TAHUN 2013




























BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM 

Bukanlah jauh terlerai jodoh
Mengapa menderu kenangan lebaran
Bersatu teguh bercerai roboh
Harapan di bahu membina kejayaan. 

Assalamualaikum  warahmatullahi  wabarakatuh, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.

Terima kasih pengacara majlis.

Yang Berhormat Haji Suhaimi b Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Kukup,
Guru-guru dan kakitangan SMK Telok Kerang,
Ahli-ahli jawatankuasa Majlis Graduasi tahun 2013,
Ibu bapa para graduan,
dan pastinya putera puteri tersayang, para graduan yang kita raikan sekalian. 

Ucapan: 

Alhamdullilah, dengan izin dan keredhaan Allah swt. Majlis Graduasi SMK Telok Kerang tahun 2013 bagi putera dan puteri tingkatan lima dapat kita adakan pada hari ini dalam suasana yang  penuh  gemilang dan bermakna buat kita semua.  

Saya mewakili seluruh warga kerja SMK Telok Kerang mengalu-alukan dan merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke majlis ini untuk meraikan anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kita berasa begitu bertuah dan berbangga kerana majlis kita pada hari ini dimeriahserikan dan  akan disempurnakan oleh ADUN yang baru kawasan ini iaitu Y.B. Haji Suhaimi b Salleh.  Kehadiran beliaumerupakan satu penghormatan kepada kami di SMK Telok Kerang yang telah  beroperasi kira-kira 46 tahun sejak 1967. Kehadiran dan keprihatinan Y.B.  pastinya akan menyuntik semangat kepada kami, warga pendidik dan warga pelajar untuk terus mencemerlangkan dunia pendidikan khususnya dan martabat negara secara menyeluruh. 

Saya juga mengalu-alukan kehadiran para jemputan, ibu dan bapa putera dan puteri yang kita raikan ke majlis ini dan sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan akan terus mengeratkan silaturrahim  yang  sedia  terjalin antara kita. 

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada AJK Pengelola Majlis Graduasi ini kerana telah berjaya menzahirkan majlis ini dengan penuh gemilang.  

Yang Berhormat  dan hadirin yang  dihormati  sekalian, 

Kumpulan graduan yang ada di dalam Dewan A yang mulia ini,adalah terdiri 26 putera dan puteri Tingkatan 5 Sains,25 putera dan puteri Tingkatan 5 Akaun, 27 putera dan puteri Tingkatan 5 Teknologi, 26 putera dan puteri Tingkatan 5 Kemanusiaan, 19 putera dan puteri Tingkatan 5 Katering dan 14 putera dan puteri Tingkatan 5 Landskap. Jumlah semuanya ialah 137 putera dan puteri. Mereka akan menamatkan alam persekolahan dan pembelajaran formal di sekolah ini. 

Majlis graduasi ini diadakan khusus untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada putera-putera dan puteri-puteri tingkatan 5 SMK Telok Kerang atas kesabaran mereka belajar di sekolah ini. Majlis ini juga sebagai perangsang kepada mereka untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang bakal diceburi. Malah diharapkan ia mampu mengukir kenangan manis dan mencatat nostalgia penuh bermakna dalam lipatan sejarah para graduan.

Kepada para graduan, di harap sentuhan majlis ini dapat membuatkan anakanda putra dan puteri tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh barisan pendidik mithali SMK Telok Kerang. Tahniah diucapkan kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus mendidik dan memberikan tunjuk ajar. Kami berharap, anakanda putra dan puteri graduan dapat meneruskan pembelajaran di mana jua selepas SPM nanti dan seterusnya mencurahkan jasa dan bakti kepada bangsa dan negara sebaik sahaja melangkah keluar ke alam pekerjaan.

Sebenarnya Majlis Graduasi ini dan peperiksaan SPM yang bakal ditempuhi hanyalah titik permulaan jalan kehidupan yang bakal diterokai. Di hadapan para graduan nanti, terbentang pelbagai ranjau, duri dan rintangan ke arah pencapaian sebenar dalam kehidupan. Semangat perjuangan yang murni dan kekuatan iman perlu diperkukuh bagi membolehkan para graduan meneruskan perjalanan dengan penuh yakin dan tabah. Kami semua mendoakan kejayaan dan kesejahteraan anda semua.

Pada kesempatan ini saya ingin melontarkan cabaran kepada putera-puteri graduan agar dapat membuktikan bahawa putera-puteri graduan  mampu meneruskan kejayaan yang lebih gemilang untuk sekolah ini.  Di saat akhir ini berusahalah dengani ltizam yang tinggi dan penuh ketakwaan berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru para graduan untuk memperoleh kejayaan dan seterusnya memartabatkan SMK Telok Kerang di persada daerah, negeri dan seterusnya mengharumkan nama sekolah di peringkat kebangsaan.

Yang Berhormat, hadirin, hadirat dan para graduan yang diraikan,

Putera dan puteri graduan sekelian. Gunakanlah peluang yang ada pada masa kini untuk memperkasa diri para graduan dengan kemahiran teknologi malumat, kemahiran berkomunikasi serta meningkatkan penguasaan teknologi dan Bahasa Inggeris. Tiada jalan pintas ke arah kejayaan. Nama-nama besar orang yang berjaya seharusnya terjelma dalam kotak minda para graduan sebagai insan yang berusaha gigih hingga kadangkalamempertaruhkan nyawa demi mencapai matlamat meletakkan nama negara dipersada dunia. Semangat juang inilah yang perlu dicontohi oleh para graduan.

Saya juga amat berharap agar putera dan puteri graduan sekalian memiliki daya saing yang positif ke arah mewujudkan generasi yang inovatif dalam bidang sains dan teknologi. Negara kini memerlukan teknokrat yang proaktif dan matlamat tersebut juga merupakan sebahagiandaripada hasrat negara. Untuk berjayasebagai  teknokrat   mahupun   pemangkin  pembangunan negara, para graduan semua perlu berubah dan untuk memulakan perubahan itu pula, para graduan mestilah meneroka dalam diri sendiri untuk mencari kekuatan, kelemahan dan ancaman yang ada. Dengan kata lain, kita perlu ada unsur-unsur pemugaran kendiri. Janganlah hendaknya kita mengajar diri kita menilai sesuatukeputusan untuk berubah itu menerusi dimensi yang sempit tetapi semestinya perlu bersikap imaginatif dan praktikal. Jika kita berjaya melihat daripada perspektif yang lebih global dan positif, ia berupaya diterjemahkan dalam tindakan yang lebih bermakna. Hanya mereka yang bergerak dengan kekuatan ilmu dapat berdaya saing.  

Yang Berhormat  dan hadirin yang dihormati sekalian, 

Dalam majlis ini, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru, kakitangan, dan ibu bapa sekalian. Kesediaan dan kesudian para waris untuk sama-sama berganding bahu hadir dalam Majlis Graduasi ini amat kami hargai dan kami sanjung. Kepada para graduan,hargailah harapan tinggi yang telah disandarkan oleh waris anda. Balaslah jasa mereka dengan ‘juadah’ kejayaan yang hasilnya begitu  indah dan dapat  dinikmati selama-lamanya.  

Yang Berhormat dan hadirin hadirat sekalian,

Izinkan saya membaca Gurindam Melayu Klasik mengenai ‘menuntut ilmu’ khas untuk putera dan puteri graduan,  

Gunakan latihan gunakan ilmu 
Pada masa yang betul di tempat yang betul 
Pandai-pandai menyesuaikan ilmu 
Pandai-pandai menyesuaikan diri 
Ibarat berdayung biar dalam perahu 
Menyumpit biar dalam hutan 
Menumbuk biar dalam lesung 
Bertanak biar dalam periuk 
Melemang biar dalam buluh 
Mengeram biar dalam sarang 
Membakar biar dalam bara 
Menyalai biar dalam asap 
Mengendap biar dalam gelap 
Menjahit biar dalam terang 
Belajar menyelam biar dalam air 
Belajar menjerat biar dalam hutan 
Latihan yang diberi di sini sambung di tempat lain 
Tempat kerja adalah sebaik-baik guru  

Izinkan saya berpantun untuk Yang Berhormat dan ibu serta bapa yang hadir dalam dewan yang mulia  ini, 

Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini,
Nan elok bawalah balik, 
Nan tak elok tinggallah di sini.  

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita,
Kalau tersilap tutur bicara, 
Jemari disusun maaf dipinta.  

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara,
Baliklah tuan membawa ilmu, 
Binalah bangsa bangunkan Negara  

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi,
Salam perpisahan untuk semua, 
Di lain masa bersua lagi.  

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan,
Andai kata tersilap bicara, 
Kemaafan jua kami pohonkan. 

Sebagai penutup, sekali lagi saya bagi pihak SMK Telok Kerang merakamkan penghargaan atas kehadiran Yang Berhormat Haji Suhaimi b Salleh, guru-guru, ibu dan bapa, dan putera-puteri graduan. Teruskan lakaran kita untuk terus mekar memartabatkan alam pendidikan negara kita. Kepada ibu bapa sekalian, iringilah perjuangan putera dan puteri graduan kita menempuh peperiksaan dengan doa agar kecemerlangan yang kita harap-harapkan tercapai. Kepada para jemputan, terima kasih atas kehadiran dan sokongan anda semua. Kepada putera dan puteri graduan, perjuangan belum berakhir. Teruskan perjuangan anda.  

Sekian. Wassalam. 

ABDUL HAMID BIN ABU BAKAR,
PENGETUA,  
SMK TELOK KERANG, PONTIAN, JOHOR.  

31 Oktober 2013

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :