24 August 2013

SEJARAH PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Sejak kemerdekaan, pendidikan di Malaysia telah melalui pelbagai perubahan besar dan pembangunan yang ketara. Daripada satu sistem yang bercapah dan berpecah berdasarkan keperluan kaum,  pendidikan di Malaysia telah berubah kepada satu sistem yang berusaha untuk mencapai perpaduan negara berdasarkan acuan sendiri. Malaysia berhasrat untuk membangunkan masyarakat berdaya saing, bersatu dan berdaya tahan dalam berdepan dengan cabaran dan kesukaran.

Sebelum Merdeka: Pendidikan semasa Pemerintahan British (1824-1957) 

Sebelum mencapai kemerdekaan daripada kerajaan British pada 1957, didapati tidak ada satu sistem pendidikan yang bersepadu. Setiap kaum menubuhkan sekolah masing-masing. Sekolah Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil mempunyai bahasa pengantar, kurikulum, buku dan guru yang dilantik sendiri. Kanak-kanak berbilang kaum hanya dapat belajar bersama-sama di sekolah Inggeris. Guru sekolah Cina dan Tamil dibawa masuk dari China dan India, manakala orang Melayu dilatih untuk menjadi guru sekolah Melayu. Pada masa itu, pendidikan berfokus kepada mengekalkan kesetiaan terhadap negara asal mereka, menyebabkan berlakunya pengasingan antara kaum.

Selepas Merdeka: Pendidikan Selepas Kemerdekaan (1957-1970) 

Sebelum kemerdekaan, terdapat kesedaran dalam kalangan pemimpin dan rakyat tempatan untuk menggantikan sistem pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah dengan satu sistem pendidikan untuk semua. Kesedaran ini membawa kepada terhasilnya Penyata Razak 1956. Laporan Jawatankuasa Pendidikan 1956 telah mengesyorkan penubuhan satu sistem pendidikan yang mempunyai ciri nasional dan menjamin peluang pendidikan tanpa mengira kaum atau pegangan agama. Dasar pendidikan yang digariskan dalam Penyata Razak merupakan asas kepada pembentukan sistem pendidikan kebangsaan berteraskan perpaduan.

Pada 1960, satu Jawatankuasa Penilai telah ditubuhkan untuk melihat pelaksanaan syor yang dikemukakan oleh Penyata Razak. Dapatan daripada Jawatankuasa ini yang lebih dikenali sebagai Penyata Rahman Talib mengesahkan dasar pendidikan yang disyorkan dalam Penyata Razak dan penerimaan rakyat terhadap Penyata ini. Cadangan daripada kedua-dua Penyata ini menjadi komponen penting dalam Akta Pendidikan 1961. Akta ini juga telah dikuatkuasakan pada 1976 di Sabah dan di Sarawak.

Senarai Laporan Jawatankuasa Pendidikan Utama
  1. Laporan Barnes 1951
  2. Laporan Fenn-Wu 1951
  3. Laporan Razak 1956
  4. Laporan Rahman Talib 1960
  5. Laporan Jawatankuasa Pengajian Tinggi 1967
  6. Laporan Keciciran 1973 Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979
  7. Laporan Jawatankuasa Kabinet mengenai
  8. Latihan 1991 Senarai Laporan Jawatankuasa Pendidikan Utama

Cabaran utama dihadapi oleh negara baharu ini selepas Merdeka ialah perpaduan dan pendemokrasian pendidikan. Pada waktu itu, usaha penggabungan jenis sekolah yang pelbagai ini kepada system pendidikan yang kohesif, menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar telah dimulakan. Pada 1957, semua sekolah rendah telah diklasifikasi sebagai sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK). Sekolah yang bahasa pengantarnya bahasa kebangsaan dikenali sebagai SK, manakala sekolah Inggeris, sekolah Cina dan sekolah Tamil menjadi SJK menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Bahasa kebangsaan dijadikan mata pelajaran wajib di semua SJK. 

SJK Inggeris diubah status menjadi SK secara berperingkat bermula 1968, dengan pelaksanaan lima mata pelajaran diajar dalam bahasa Malaysia untuk murid Tahun 1 hingga Tahun 3. Sekolah menengah jenis kebangsaan Inggeris dan Cina diubah status menjadi sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) dengan diberi bantuan penuh atau separa, manakala sekolah persendirian Cina yang memilih untuk akur kepada dasar pendidikan kebangsaan telah diklasifikasikan sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan (Conforming Schools). Tahun 1958 menyaksikan permulaan bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah.

Kelas menengah dengan bahasa pengantarnya bahasa Malaysia ditumpangkan pada mulanya di sekolah menengah aliran Inggeris. Lama kelamaan, kelas ini berkembang menjadi SMK. 

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Bahasa (LI) merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk membangunkan bahasa Melayu. Fungsi utama LI adalah untuk melatih guru Bahasa Melayu, manakala DBP dipertanggungjawab untuk meneguhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menerbitkan buku dalam bahasa kebangsaan.

Pada 1962, yuran sekolah dimansuhkan di semua sekolah rendah bantuan kerajaan. Pendidikan rendah percuma diberikan kepada semua murid tanpa mengira kumpulan etnik. Malaysian Secondary School Examination dan ujian kemasukan ke sekolah menengah yang dijalankan pada tahun sebelumnya, dimansuhkan di Semenanjung pada 1964, di Sarawak pada 1974 dan di Sabah pada 1977. Pendidikan asas dilanjutkan daripada enam tahun kepada sembilan tahun di Semenanjung Malaysia. 

Agenda nasional untuk menyatupadukan pelbagai kumpulan etnik di Tanah Melayu bermula dengan perubahan kurikulum. Perubahan kurikulum ditumpukan kepada menyemak semula sukatan pelajaran yang ada dan mereka bentuk kandungan kurikulum yang seragam bercirikan Malaysia. Kajian semula secara menyeluruh ke atas skop dan kandungan apa yang diajar di sekolah kali pertama diadakan pada 1956. Jawatankuasa Kajian Semula Sukatan Pelajaran telah dibentuk pada 1964 untuk menilai semula, meminda, dan dalam kes tertentu merangka sukatan pelajaran yang baharu. Sistem pendidikan yang komprehensif untuk sekolah menengah rendah diperkenalkan pada 1965. Pendidikan teknik dan vokasional telah diberi penekanan dengan pembentukan Bahagian Teknik dan Vokasional di  Kementerian Pelajaran pada 1964.

Pembangunan Pendidikan dalam Era Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) 

Isu sosial dan ekonomi merupakan dua aspek penting dalam merangka pembangunan pendidikan negara dari 1971 hingga 1990. Keharmonian kaum dan usaha untuk mengurangkan ketakseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat adalah penting untuk mengekalkan pembangunan, kestabilan dan kemajuan negara. Era Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini merupakan satu era yang penting untuk mencapai perpaduan dan pembangunan secara menyeluruh, dengan member tumpuan kepada pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat Malaysia, serta mengelakkan pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi dan lokasi geografi. Usaha yang sangat penting pada waktu ini termasuk meningkatkan pendapatan golongan miskin terutama di kawasan luar bandar serta merapatkan jurang antara kaum dan lokasi. Kerajaan juga berusaha meningkatkan pengeluaran dan mewujudkan lebih banyak peluang dalam sector perdagangan, industri, dan profesional.

DEB telah membawa kepada perubahan signifikan dalam system pendidikan nasional dengan semua murid mengikuti kurikulum dan menduduki peperiksaan yang sama. Pendidikan Sivik diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran untuk memupuk semangat berdikari dalam kalangan murid. Mata pelajaran Sains dan Teknikal ditawarkan di peringkat menengah untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang sains dan teknologi.

Matlamat untuk mencapai perpaduan nasional melalui penggunaaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah rendah menengah bermula sejak 1970, dengan pelaksanaan secara berperingkat. Di Semenanjung dan di Sabah, bahasa Inggeris dimansuhkan sebagai bahasa pengantar peringkat rendah bermula 1975, peringkat menengah pada 1982, dan peringkat lepas menengah pada 1983. Di Sarawak, perubahan dalam bahasa pengantar dilaksanakan pada 1977, bermula dengan murid Tahun 1.

Kini bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar di semua SK dan mata pelajaran wajib di SJKC dan SJKT. Bahasa Inggeris diajar sebagai bahasa kedua di semua sekolah. Pada 1980, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan dalam bahasa Malaysia. Pada 1970, bahasa Inggeris tidak lagi menjadi bahasa pengantar untuk latihan guru sekolah rendah.

Penyediaan peluang pendidikan yang pada peringkat awalnya lebih tertumpu di kawasan bandar telah diperluas ke kawasan luar bandar. Lebih banyak sekolah dibina di kawasan luar bandar untuk memberi akses kepada murid luar bandar, terutama dalam kalangan mereka yang kurang mampu. Kerajaan juga telah memperkenalkan program sokongan seperti sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah sains, asrama sekolah luar bandar, skim bantuan buku teks, dan program TV Pendidikan. Kerajaan juga meluaskan peruntukan biasiswa, program makanan tambahan, dan program kesihatan. 

Pada 1974, satu Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan. Fokus Jawatankuasa ini adalah untuk memastikan sistem pendidikan negara dapat melahirkan warganegara yang bersatu padu, progresif, berdisiplin, dan berpotensi dalam pelbagai bidang seperti yang diperlukan bagi mencapai misi negara. Hasil Laporan Jawatankuasa Kabinet ini, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) telah dibentuk pada 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada 1989. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dirangka pada 1988 untuk menjadi panduan dan mengukuhkan system pendidikan negara.

Pembangunan Pendidikan dalam Era Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) 

Perubahan drastik dalam pendidikan berlaku dalam dekad terakhir abad ke-20. Pembangunan pesat dalam ICT telah mempercepatkan era globalisasi. Sejajar dengan cabaran globalisasi dan era teknologi maklumat, Wawasan 2020 telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 1991 untuk memacu aspirasi rakyat Malaysia mencapai status negara maju pada 2020. Sejajar dengan hasrat tersebut, Kementerian merangka satu sistem pendidikan untuk mencapai wawasan ini. Langkah awal telah diambil dengan meminda peruntukan undang-undang bagi pendidikan supaya lebih relevan
dengan keperluan semasa, justeru Akta Pendidikan 1961 diganti dengan Akta Pendidikan 1996. 

Satu daripada pindaan utama yang dilakukan ialah dengan memasukkan pendidikan prasekolah ke dalam sistem pendidikan kebangsaan. Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 juga dipinda bagi membolehkan penubuhan lebih banyak institusi pendidikan tinggi swasta. Kementerian telah menggubal akta baharu dan melakukan pindaan terhadap akta yang ada untuk menggalakkan pembangunan pendidikan tinggi yang lebih sistematik.

Akta tersebut ialah:
  • Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996: Membenarkan menubuhan Majlis yang akan menentukan dasar dan mengurus pembangunan pendidikan tinggi. 
  • Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996: Memberi jaminan kualiti, terutama untuk program pendidikan tinggi swasta.
  • Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1996: Memberikan lebih autonomi dari segi kewangan dan pengurusan kepada IPTA 
  • Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997: Menyediakan pinjaman dan dana bagi meningkatkan akses kepada pengajian tinggi.

Satu langkah utama pada masa ini adalah untuk meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi dengan menubuhkan lebih banyak universiti awam, kolej universiti, kolej matrikulasi, kolej komuniti, kolej swasta dan universiti, termasuk kampus cawangan universiti luar negara. Maktab Perguruan Sultan Idris dinaik taraf kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1997.

Program Diploma Pendidikan juga diperkenalkan untuk menggantikan program Sijil Perguruan bagi guru praperkhidmatan di maktab perguruan. Pelbagai langkah juga diambil untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dalam kalangan pemimpin sekolah. Institut Aminuddin Baki (IAB) telah diberi kepercayaan untuk memberikan latihan kepimpinan dan pengurusan kepada pemimpin dan pengurus sekolah. Satu lagi perubahan signifikan yang berlaku pengenalan kepada konsep terbuka untuk peperiksaan SPM dan STPM pada 2000.

Pembangunan Pendidikan semasa Era Dasar Wawasan Nasional (2001-2010) 

Globalisasi, liberalisasi dan pembangunan pesat ICT terus mempengaruhi pembangunan sistem pendidikan kebangsaan. Cabaran untuk negara pada ketika itu ialah untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan, cekap, dan berdaya saing pada peringkat global. Dasar Pendidikan Kebangsaan telah dirangka berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, yang kemudiannya dipinda melalui Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Dasar Pendidikan diperkukuh lagi melalui perundangan dan pindaan akta yang berikut,

1 Ordinan Pelajaran, 1952
2 Ordinan Pelajaran, 1957
3 Akta Pelajaran, 1961 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 / 67
4 (Semakan - 1971)
5 Akta Pendidikan, 1996

Pelbagai langkah telah diambil untuk menyediakan infrastruktur berkualiti dan meningkatkan  kemudahan pendidikan di semua institusi pendidikan bagi menampung pertambahan enrolmen murid. Pembangunan kompetensi dan kecekapan pemimpin, guru dan pegawai pendidikan juga menjadi agenda utama dalam era ini. Konsep penurunan kuasa (empowerment) dan organisasi pembelajaran (learning organisation) dipupuk dan digalakkan dengan meluas. Peruntukan kewangan disediakan untuk menggalakkan pembangunan sumber manusia secara berterusan. Program seperti latihan dalam perkhidmatan untuk pembangunan pengurusan, kepimpinan, dan kemahiran membuat kajian dijalankan di semua peringkat Kementerian. Usaha ini adalah untuk melaksanakan sistem pengurusan pendidikan yang kompeten dan cekap, yang mampu memberikan pendidikan berkualiti dan relevan kepada negara.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Malaysia 2013 – 2025 

Pelan Pembangunan Pendidikan mengambil kira matlamat dan aspirasi Dasar Wawasan Negara untuk membina negara yang berdaya tahan, menggalakkan kewujudan masyarakat yang adil, mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang lestari, membangunkan masyarakat berdaya saing di peringkat global, membina ekonomi berdasarkan pengetahuan (K-ekonomi), mengukuhkan pembangunan sumber manusia dan mengekalkan pembangunan alam sekitar yang lestari. 

Matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah untuk memastikan semua warganegara mempunyai peluang, dari segi akses, ekuiti dan kualiti, untuk mengikuti pendidikan formal selama 12 tahun. Kementerian juga telah menggariskan matlamat dan strategi untuk membangunkan lagi potensi individu secara holistik dan bersepadu bagi melahirkan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Pelan ini termasuk strategi untuk memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid, memperkaya budaya pembelajaran, membangunkan budaya sains dan teknologi, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, serta menyediakan sistem pendidikan berkualiti, cekap, dan berkesan. Pelan Pembangunan Pendidikan ini memberi tumpuan kepada pembangunan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tinggi, yang diperkukuh melalui pembangunan program sokongan, dana, pengurusan dan integrasi ICT. 

Pelan Pembangunan Pendidikan digunakan sebagai kerangka bagi menyediakan pelan tindakan untuk pembangunan pendidikan, yang merangkumi peluasan dan pengukuhan program sedia ada serta menggantikan program yang tidak relevan dengan program yang lebih realistik dengan keperluan pendidikan semasa dan masa depan. 

Pelan Pembangunan Pendidikan dirangka berdasarkan empat teras: (i) meningkatkan akses kepada pendidikan, (ii) meningkatkan ekuiti dalam pendidikan, (iii) meningkatkan kualiti pendidikan dan (iv) meningkatkan tahap kompetensi dan kecekapan pengurusan pendidikan. Bagi melaksanakan program dalam Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kerajaan Persekutuan sentiasa menambah peruntukan dana untuk Kementerian. Kementerian juga sentiasa menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta individu untuk member sokongan kewangan, dan menawarkan yuran yang kompetitif kepada pelajar antarabangsa yang belajar di sekolah atau institusi pendidikan di Malaysia. Pelibatan sektor swasta dalam pendidikan tinggi amat menggalakkan. Kerjasama pintar, insentif, program berkembar, dan perkongsian kos dalam latihan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) membantu kerajaan mencapai matlamat pendidikan.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) 

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dilancarkan pada bulan Januari 2007 bagi memperinci agenda pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9. PIPP menggariskan enam teras yang mencerminkan objektif misi nasional, iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan, dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. 

Kementerian mewujudkan PIPP 2006 - 2010 sebagai satu dokumen perancangan pendidikan yang menyeluruh berdasarkan tiga aspek utama, iaitu infrastruktur, kandungan, dan sumber manusia. Matlamat utama PIPP adalah untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua.

Dua pendekatan utama dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Ke-9 bagi memastikan matlamat ini dicapai, iaitu:
  • Menyempurnakan tugasan yang dinyatakan di bawah pelan lima tahun sebelum ini, memastikan akses kepada pendidikan untuk semua, dan memberikan peluang yang sama untuk semua murid. 
  • Meningkatkan lagi potensi sekolah dalam kluster institusi pendidikan, membolehkan guru dan murid meningkatkan prestasi sekolah dan sistem pendidikan negara pada tahap antarabangsa.

Pembangunan Pendidikan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2010-2012 

Pada 2010, Kerajaan melancarkan NKRA di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Kerajaan memberi fokus kepada empat inisiatif di bawah program ini bagi meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti:
  • Meningkatkan enrolmen prasekolah: Kajian menunjukkan lima tahun pertama merupakan masa yang paling kritikal dalam tempoh perkembangan kanak-kanak. Oleh itu, NKRA menyasarkanpeningkatan enrolmen murid prasekolah, terutamanya di kawasan luar bandar, daripada 67% kepada 87% menjelang 2012;
  • Memastikan literasi bahasa Malaysia and numerasi (LINUS): LINUS dirangka untuk memastikan setiap murid dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun menjalani pendidikan rendah arus perdana menjelang akhir 2012, bermula dengan pencapaian asas pada kadar 80% pada 2009;
  • Membangunkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT):Kementerian bercadang untuk membangunkan 100 SBT menjelang 2012 yang setanding dengan standard antarabangsa. Status sebagai SBT akan memberikan sekolah keluwesan dari segi operasi dalam usaha mereka meningkatkan keberhasilan murid. Sehingga kini 91 sekolah sudah dikenal pasti sebagai SBT; dan 
  • Memperkenalkan Tawaran Baharu (Bai’ah) untuk pengetua/guru besar: Satu program insentif prestasi dikenali sebagai Tawaran Baharu untuk pengetua/guru besar yang member ganjaran kepada sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam masa yang singkat, dan sekolah yang  mengekalkan prestasi tinggi, diperkenalkan bagi menggalakkan pengetua/guru besar meningkatkan prestasi secara signifikan.

Dalam tempoh dua tahun pelaksanaan, program pendidikan di bawah NKRA ini telah mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam meningkatkan kualiti sistem pendidikan, contohnya melalui peningkatan literasi dan numerasi asas. Sasaran yang ditetapkan di bawah NKRA menunjukkan peningkatan yang aamat mengalakkan bagi meneruskan peningkatan dalam pendidikan.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :