TENTATIF 1
(8.15 pagi)
Ibu dan bapa mengambil tempat
TENTATIF 2
(8.30 pagi)
Mengumumkan perarakan masuk para graduan SMK Telok Kerang
tahun 2013.
(Masuk melalui pintu belakang)
(Gamelan dimainkan kuat)
(Kemudian gamelan dimainkan perlahan)
Panglima Johor segak bergaya
Srikandi negara cekal taat setia
Melangkah kemas penuh bergaya
Mengecap kejayaan yang dicita-cita
Tabah menempuh duga yang berbisa
Turun naik gunung lembah di mana jua
Bukan mudah menjulang cita yang dibangga
Bukan mudah menjejak mimpi menjadi nyata
Segala impian dan cita
pasti berjaya
Bersama tekad dan semangat waja
(Gamelan berhenti apabila graduan semua duduk)
TENTATIF 3
(8.40 pagi)
Mengumumkan perarakan masuk barisan guru-guru kanan
dan guru-guru SMK Telok Kerang
(Masuk melalui pintu belakang)
(Gamelan dimainkan)
(Kemudian gamelan dimainkan perlahan)
Gagah melangkah bak
pahlawan
Cekalnya hati memberi
harapan
Onak dan duri sebagai
teman
Menjunjung ilmu dan
kepakaran
Atas bahu terpikul
harapan
Dengan tabah menempuh seribu
duga
Dengan tabah menyampai ilmu bermakna
Semoga segala harapan jaya dilaksana
Bersama tekad dan semangat yang dijana
Bukan mudah menjulang harapan bangsa
Bukan mudah menjejak mimpi warga Negara
(Gamelan berhenti apabila semua guru duduk)
TENTATIF 4
(8.45 pagi)
Hadirin hadirat sekelian,
Mengumumkan perarakan masuk Yang Berhormat
Encik Suhaimi B. Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup, bersama Yang
Berusaha En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang.
Semua hadirin
diminta berdiri.
(Perarakan didahului pembawa bunga-
bunga pahar)
(Gamelan dimainkan)
(VIP duduk di pentas. YB Haji Suhaimi
B Salleh duduk di kanan Tuan Pengetua.
(Gamelan berhenti. Semua hadirin terus berdiri)
TENTATIF 5
Hadirin hadirat yang dihormati,
Nyanyian Lagu Bangsa Johor dan lagu sekolah Belajar Untuk
Berbakti. Semua hadirin diminta berdiri.
(Semua berdiri)
(Lagu-lagu dimainkan dan dinyanyikan)
(Lagu tamat, semua duduk dengan tertib tanpa bunyi)
TENTATIF 6
Duduk bersama satu
tujuan
Indah majlis gilang gemilang
Kepada Allah doa dipohonkan
Semoga majlis peroleh keberkatan
Hadirin hadirat yang dimuliakan,
Bagi memula dan memuliakan majlis, marilah sama-sama kita
menadah tangan bermunajat, memohon keberkatan agar segala urusan mendapat
rahmat. Jesteru itu, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Ustaz Sukri b
Osman untuk memimpin bacaan doa. Majlis dengan segala hormatnya mempersilaknn.
(Bacaan doa)
TENTATIF 7
Amin Ya rabbal alamin...Majlis mengucapkan jutaan terima
kasih kepada Ustaz Sukri b Osman di atas pimpinan bacaan doa itu tadi.
TENTATIF 8
Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam satu
Malaysia
Sidang Hadirin sekalian,
Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal bismillah pembuka bicara
Jajaran mengkudu di selang bidara
Di celah angsana meredup di hutan
Awal bismillah pembuka bicara
Majlis gemilang kita
raikan
TENTATIF 9
Yang Berhormat En. Suhaimi b
Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup,
Yang Berusaha, En. Abdul Hamid b
Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang
Yang dihormati, barisan guru-guru
kanan, barisan ketua-ketua panitia, guru-guru, para ibu bapa dan graduan yang
diraikan sekalian.
TENTATIF 10
Pengisytiharan pembukaan Majlis Graduasi.
Majlis mempersilakan En. Abdul
Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang mengisytiharkan tujuan majlis dan
mengisytiharkan pembukaan majlis graduasi. Dengan segala hormatnya
dipersilakan.
(Pengetua membuat pengisytiharan)
Pengisytiharan
pembukaan Majlis Graduasi
“Assalamualaikum....
dan selamat sejahtera. Saya Abdul Hamid Bin Abu Bakar, Pengetua SMK Telok
Kerang dengan ini mengisytiharkan pembukaan Majlis Graduasi SMK Telok Kerang
tahun 2013. Tujuannya untuk memberi pengiktirafan daripada pihak sekolah kepada
putera dan puteri SMK Telok Kerang yang berjaya menamatkan pembelajaran selama 5
tahun di sekolah in”
(Gong dimainkan kuat sebanyak 3
kali)
TENTATIF 11
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang atas
pengisytiharan tujuan majlis dan mengisytiharkan pembukaan majlis graduasi
sebentar tadi.
TENTATIF 12
SMK Telok Kerang
tersergam indah
Dari jauh tampak berseri
Bangunan lama dan baru berganding megah
Pepohon palma berbaris-baris
Pepohon rendang berbanjar-banjar
Dewan A tempat penyatuan
Pentas utama penyaksian anugerah
Para graduan segak menawan
Memakai jubah indah dan tampan
Tersenyum bangga menerima watikah
Hari ini yang penuh keramat
Segala usaha berjuta hikmat
Kepada graduan kami pertaruhkan
Selautan hasrat segunung harapan
Terlebih dahulu, Majlis merakamkan sekalung penghargaan dan
setinggi-tinggi terima kasih, terutama kepada Yang Berhormat En. Suhaimi b
Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup dan semua para hadirin di atas
kesudian meluangkan masa, bersama-sama kami dalam menjayakan majlis graduasi
pada kali ini. Semoga dengan kehadiran kalian dapat menyuntik bara semangat
kepada para bakal graduan bagi mencapai keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan SPM tahun 2013.
TENTATIF 13
Hadirin hadirat yang dimuliakan,
Majlis graduasi ini merupakan pengiktirafan tertinggi
daripada pihak sekolah kepada putera dan puteri SMK Telok Kerang yang berjaya menamatkan
pembelajaran di alam persekolahan selama 5 tahun di sekolah ini, Seramai 140 orang
pelajar tingkatan 5 akan di graduasikan sebentar lagi.
Warga dewan yang dimuliakan,
Majlis graduasi tahun 2013 ini diraikan khusus untuk
putera-putera dan puteri-puteri SMK Telok Kerang sebagai peransang kepada mereka
untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang bakal diceburi, terutamanya
dalam bidang akademik.
Majlis ini juga diharapkan mampu mengukir kenangan manis dan mencatat nostalgia
penuh bermakna dalam lipatan sejarah para graduan. Diharapkan ia dapat di
jadikan obor semangat kepada para graduan untuk menempa kejayaan yang lebih
gemilang pada hari mendatang.
Kepada para bakal graduan SMK Telok Kerang, di harap sentuhan majlis ini juga
dapat membuatkan anakanda putra dan puteri tidak melupakan jasa dan pengorbanan
yang telah dicurahkan oleh barisan pendidik mithali SMK Telok Kerang. Kami
berharap, anakanda putra dan puteri dapat mencurahkan jasa dan bakti kepada
bangsa dan negara sebaik sahaja melangkah keluar mengakhiri sesi pembelajaran
bersekolah di SMK Telok Kerang.
TENTATIF 14
Yang Berhormat, dan hadirin hadirat yang dimuliakan,
Majlis meneruskan tirainya dengan mempersilakan Yang Berusaha Tn. Pengetua SMK
Telok Kerang, En. Abdul Hamid b Abu Bakar, untuk menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dengan segala hormatnya dipersilakan.
(Ucapan Tuan Pengetua)
TENTATIF 15
Demikianlah tadi ucapan alu-aluan yang telah disampaikan
oleh Tuan Pengetua SMK Telok Kerang, En. Abdul Hamid b Abu Bakar. Majlis
merakamkan jutaan terima kasih.
TENTATIF 16
Hadirin hadirat warga dewan yang dimuliakan,
Kini majlis dengan sukacita dan hormatnya mempersilakan Tetamu Kehormat Yang Berhormat
En. Suhaimi b Salleh, ADUN Kukup, untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya
menyempurnakan majlis graduasi SMK Telok Kerang tahun 2013. Majlis dengan penuh
rasa takzim mempersilakan.
(Ucapan YB ADUN Kukup)
TENTATIF 17
Berilah kami haluan
kemudi
Pengubat hati menanti harapan
Ucapan diberi penuh bererti
Amanat tuan jadi pegangan
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tetamu Kehormat
atas ucapan dan amanat itu tadi.
TENTATIF 18
Hadirin hadirat warga dewan sekelian,
Beralih kita ke acara seterusnya iaitu penyampaian anugerah dan sijil graduasi
kepada graduan-graduan SMK Telok Kerang.
Terdapat beberapa anugerah yang bakal di anugerahkan kepada para graduaan
sebentar lagi. Anugerah itu adalah anugerah pengetua dan anugerah mata
pelajaran terbaik. Sehubungan dengan itu, majlis dengan sukacitanya
mempersilakan Yang Berusaha En. Abdul Hamid b Abu Bakar untuk menjemput dan
mengiringi tetamu kehormat Yang Berhormat En. Suhaimi b Salleh bagi
menyempurnakan penyampaian anugerah. Majlis dengan penuh takzim mempersilakan.
TENTATIF 19
Majlis dimulakan dengan mempersilakan penerima anugerah
sijil graduasi kepada 137 orang pelajar SMK Telok Kerang.
Majlis mempersilakan penerima sijil graduasi dimulakan
dengan penerima:
Tingkatan 5 Sains
Tingkatan 5 Akaun
Tingkatan 5 Teknologi
Tingkatan 5 Kemanusiaan
Tingkatan 5 Katering dan Penyajian
Tingkatan 5 Landskap dan Nurseri
TENTATIF 20
Seterusnya majlis mempersilakan penerima anugerah pelajar
terbaik dalam tingkatan. Dimulakan dengan penerima
Tingkatan 5 Sain
Tingkatan 5 Akaun
Tingkatan 5 Teknologi
Tingkatan 5 Kemanusiaan
Tingkatan 5 Katering dan Penyajian
Tingkatan 5 Landskap dan Nurseri
TENTATIF 21
Majlis mempersilakan penerima Anugerah Mata Pelajaran
terbaik. Majlis dimulakan dengan penerima
Bahasa
Melayu
Matematik
Bahasa
Inggeris
Sejarah
Pendidikan
Islam
Sains
Fizik
Kimia
Biologi
Pendidikan
Seni
Matematik
Tambahan
Prinsip
Perakaunan
Perdagangan
Sains
Pertanian
Katering
dan Penyajian
Landskap
dan Nurseri
TENTATIF 22
Berikut diumumkan penerima Anugerah Pengetua. Majlis mempersilakan
penerima anugerah dimulakan dengan penerima:
Anugerah
pelajar terbaik akademik
Anugerah
pelajar terbaik kepemimpinan
Anugerah
pelajar terbaik sukan/permainan
Anugerah
pelajar terbaik unit beruniform
Anugerah
pelajar terbaik persatuan dan kelab
Anugerah
pelajar terbaik kesukarelaan
TENTATIF 23
Demikianlah tadi berakhirnya pemyampaian anugerah-anugerah
dan sijil-sijil graduasi yang telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat.
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada Tetamu Kehormat atas kesudian menyempurnakan penyampaian anugerah-anugerah
dan sijil-sijil.
(Tuan Pengetua mempersilakan Tetamu Kehormat duduk)
(Tetamu kehormat duduk)
TENTATIF 24
Hadirin hadirat yang dimuliakan,
Sebagai tanda terima kasih di atas kehadiran Tetamu Kehormat dalam majlis ini, majlis
berbesar hati memberikan cenderamata tanda terima kasih kami kepada para tetamu
kehormat.
Dipersilakan En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok
Kerang untuk menyampaikan cenderamata tanda terima kasih ini.
Majlis mempersilakan Yang Berhormat Encik Suhaimi B. Salleh, Ahli Dewan
Undangan Negeri Kukup untuk menerima cenderahati. Dipersilakan.
(Penyampaian cenderamata)
TENTATIF 25
Cantik jambangan bunga
disusun,
Bunga orkid, cempaka, melati
Budimu bagaikan air terjun,
Mengalir terus tanpa henti.
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut tersebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.
Majlis sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada
Pulau Pandan Jauh di tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di dalam peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati
Hari ini bertanam jagung
Hari esok bertanam serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bercerai
TENTATIF 26
Pengisytiharan penangguhan majlis Graduasi SMK Telok Kerang Tahun 2013.
Majlis mempersilakan En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang mengisytiharkan penangguhan Majlis Graduasi Tahun 2013. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
(Pengetua membuat pengisytiharan)
Pengisytiharan penangguhan Majlis Graduasi
“Assalamualaikum.... dan selamat sejahtera. Saya Abdul Hamid Bin Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang dengan ini mengisytiharkan penangguhan Majlis Graduasi SMK Telok Kerang tahun 2013”.
(Gong dipalu kuat 3 kali)
TENTATIF 27
Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada En. Abdul Hamid bin Abu Bakar.
TENTATIF 28
Sidang hadirin yang dimuliakan,
Dengan ini selesailah sudah Majlis Graduasi SMK Telok Kerang tahun 2013.
Inilah yang dikatakan,
Umpama belayar sudah sampai ke pelabuhan,
Umpama berjalan sudah sampai ke destinasi,
Umpama berkayuh sudah sampai ke haluan
Akhir kata, marilah kita hayati
Gurindam Dua Belas Pasal Yang Kelima:
Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa.
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.
Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.
Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.
Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.
Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.
Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.
Terima kasih sekalung budi,
Daripada kami seikhlas hati.
Dengan ini, majlis memohon kemaafan, atas segala keterlanjuran, kepincangan dan kekhilafan sepanjang majlis ini berlangsung.
Sekian, wabilahi taufik walhidayah assalamualaikum....
TENTATIF 29
Hadirin hadirat yang dihormati,
Nyanyian Lagu Negaraku. Semua hadirin diminta berdiri.
(Semua berdiri)
(Lagu Negaraku dimainkan dan dinyanyikan)
TENTATIF 30
Mengumumkan perarakan keluar Tetamu Kehormat, Yang Berhormat En. Suhaimi bin Salleh, para jemputan dan guru-guru. Warga dewan diminta berdiri.
(Tetamu turun dari pentas, berjalan di tengah dewan menuju ke belakang dan keluar melalui pintu belakang. Diikuti oleh para jemputan dan guru-guru)
(Gamelan dimainkan)
(Gamelan terus dimainkan)
TENTATIF 31
Mengumumkan perarakan keluar para graduan.
(Gamelan dimainkan)
TENTATIF 32
Sesi fotografi
TENTATIF 33
Jamuan makan tengahari
2 comments
Write commentsterima kasih atas perkongsian, mohon nak guna sebagai rujukan ☺️
ReplyTerima Kasih atas perkongsian. Sangat berguna sebagai rujukan saya.
Reply