Pagi ini SMK Telok Kerang sungguh berbesar hati kerana didatangi oleh pegawai-pegawai Yayasan Pelajaran MARA untuk memberi suntikan motivasi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM. Mereka ialah En. Zainal Rashid bin Zakaria, Pengurus Bahagian Pengurusan Yayasan Pelajaran MARA dan penceramah motivasi iaitu En. Mohd Isa bin Chik.
Program ini adalah satu inisiatif Yayasan Pelajaran MARA untuk menyumbang kepada peningkatan ilmu, pengetahuan, dan kemahiran bumiputera negara ini. Ia bertujuan mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar-pelajar Islam di setiap peringkat persekolahan yang dizahirkan melalui program-program kepada pelajar, ibu bapa, guru-guru serta pemimpin-peminpin masyarakat. Program yang dilaksanakan ini diharap dapat mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar-pelajar demi mencapai kejayaan di masa hadapan.
Di antara objektif program ini ialah:
- Melahirkan insan cemerlang dan gemilang.
- Membentuk insan berpersonaliti unggul.
- Membina insan berilmu, berpengetahuan dan bermaklumat.
- Membantu mencapai kecemerlangan akademik.
- Menjadi insan yang berjasa kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.
Pendekatan oleh penceramah dan ceramah-ceramah yang bertajuk 'Hala Tuju dan Cabaran Remaja Islam' dan 'Di ambang Kecemerlangan Bersama Impian dan Harapan Pada Hari esok' yang disampaikan oleh En. Mohd. Isa bin Chik berjaya menjadikan pelajar-pelajar tekun dan khusuk mengikuti dan menghayati mesej yang disampaikan. Masa yang diberi selama 4 jam dirasakan bagai angin yang berlalu.
Program anjuran Yayasan Pelajaran MARA dan dikendalikan oleh Unit Kaunseling SMK Telok Kerang ini adalah julung-julung kali diadakan di sekolah ini. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yayasan Pelajaran MARA atas anjuran ini.
Pendekatan En. Mohd. Isa bin Chik semasa berceramah
menjadikan suasana amat kondusif.
kehadiran pegawai-pegawai YPM.
En. Zainal Rashid bin Zakaria sedang berucap di hadapan pelajar-pelajar.