17 November 2010

HARI RAYA AIDILADHA DAN KORBAN


Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain daripada Hari Raya Aidilfitri. Eidul Adha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun.

Selepas solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Aidiladha  ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-Maidah ayat 27.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim).

Hikmah di sebalik ibadah korban di Aidiladha:

  1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
  2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya.
  3. Berkongsi merasai nikmat Allah s.w.t.hasil daripada ibadah korban (nikmat daging sembelihan) dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
  4. Menghidupkan amalan sunah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w ketika Hari Raya Eidul Adha dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban binatang ternakan.
  5. Melahirkan sifat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t dengan tujuan mencari keredhaan-Nya semata-mata.
  6. Melahirkan budaya gotong royong di kalangan umat Islam dan membina ukuwah Islamiyah dan silaturahim

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :