Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan
penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan
Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan
global dan cabaran masa depan. Ia membabitkan rombakan
menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah
kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama,
Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.
Bagi memastikan matlamatnya
dicapai, pandangan, maklum balas dan idea rakyat akan menjadi sebahagian
daripada pembentukan laporan pelan itu kerana kerajaan berpendapat pembabitan
bersama rakyat sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan
negara.
Ojektif utama pelan itu adalah
menilai kembali prestasi sistem pendidikan Malaysia melalui penanda aras
antarabangsa seperti Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa
(TIMMS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Penyata Razak
pada 1956, Laporan Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979). Ia juga untuk memangkinkan
transformasi sistem pendidikan dan menaik taraf penyampaian serta piawaian dalam
pembentukan modal insan seiring keperluan ekonomi global dan wawasan 2020.
Rombakan juga
bertujuan melakar hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai
organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan dan menjadi contoh kementerian
kepada sebahagian dari agenda program transformasi kerajaan,” katanya pada sesi
taklimat kepada editor media, di sini semalam.
Sistem pendidikan baru itu
berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan yang juga akan membentuk aspirasi
sistem pendidikan pada masa depan. Penilaian merangkumi dua fasa
dengan fasa satu membabitkan penilaian semula atau diagnostik yang bermula
sejurus pembentukan sebuah jawatankuasa kerja khas pada Oktober tahun lalu
sehingga Februari 2012 dan fasa kedua pada April hingga November tahun ini yang
membabitkan hala tuju dan pelan strategik.
Laporan fasa satu dibuat
berasaskan kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta, termasuk
kajian UNESCO, Bank Dunia, TIMSS, PISA dan lapan universiti tempatan, lawatan
serta kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai Jabatan
Pendidikan negeri dan daerah, 13,000 pelajar serta ibu bapa. Selain itu, panel yang
dianggotai anggota bebas tempatan dan antarabangsa di kalangan pakar pelbagai
bidang sudah dibentuk untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan
fasa satu itu.