01 August 2013

PERSARAAN TN. HJ. ABDUL LATIF B AMBOK LILANG

Hari ini adalah hari terakhir perkhidmatan Tn. Hj. Abdul Latif b. Ambok Lilang sebagai penjawat awam. Beliau mula bersara pada usia 58 tahun setelah berkhidmat selama 41 tahun 5 bulan dan 16 hari. Pada pagi ini bertempat di Dataran Ilmu telah diadakan majlis persaraan beliau dengan dihadiri guru-guru, kakitangan dan pelajar-pelajar SMK Telok Kerang.

Kami warga SMK Telok Kerang mengucapkan selamat bersara kepada Tn. Hj. Abdul Latif b. Ambok Lilang. Semoga berbahagia disamping isteri, anak-anak, menantu dan cucu.

Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang ditapak tangan
Biar jauh berbatu-batu
Di mata hilang di hati jangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Kalau ada sumur di ladang  
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Hari ini menanam jagung
Hari esok menanam serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bersurai






Tn. Hj. Abdul Latif b Ambok Lilang dilahirkan pada 9 November 1954 di Kampung Parit Betak. Kelahiran beliau amat dinantikan oleh ibu bapanya iaiatu Ambok Lilang b. Daeng Pawiro dan Hjh. Dalimah bt Daeng Palureng. Beliau merupakan anak ketiga daripada 6 adik beradik yang terdiri 4 lelaki dan 2 perempuan.

Beliau memulakan alam persekolahannya di darjah satu di SR Inggeris Kluang Rengit. Di sekolah menengah pula beliau bersekolah di SMK Tun Saadun, Rengit hingga berjaya mendapat sijil SPM. 

Pada 13 Mac 1972 beliau memulakan alam kerjaya sebagai pembantu makmal di sekolah. Tempat beliau mula bertugas ialah di SMK Parit Betak, Benut, Pontian. Beliau berkhidmat di sekolah itu selama 7 tahun. Pada tahun 1979 beliau dinaikkan pangkat dan dipindahkan di SMK Pekan Nanas. Pada tahun 1982 beliau berkhidmat pula di SMK Telok Kerang sehinggalah beliau bersara pada hari ini.

Tn. Hj. Abdul Latiff b Ambok Lilang berkahwin dengan gadis idamanna iaitu Pn. Kalsum bt Sadami yang berasal dari Senggarang, Batu Pahat, Johor pada tanggal 20 November 1977. Mereka berdua dikurniakan dengan tiga orang anak iaitu Azlan Shah b Hj. Abdul Latif, Dr. Adibah bt Hj. Abdul Latif dan Hidayah bt Hj. Abdul Latif. Azlan Shah b Hj. Abdul Latif kini bertugas sebagai Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Dr. Adibah Hj. Abdul Latif pula bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, manakala Hidayah b Hj. Abdul Latif kini bertugas sebagai guru di SK Kelapa Sawit 2, Bekenu, Miri, Sarawak.

Selain bekerja sebagai Pembantu Makmal di sekolah, Tn. Hj. Abdul Latif b Ambok Lilang juga aktif menyertai dan berkhidmat di organisasi lain. Di antaranya ialah Setiausaha Koperasi JESS (10 tahun), Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Konsortium Pengguna Malaysia Berhad dan Bendahari Koperasi Pasaraya Johor Berhad. Beliau juga pernah menjadi AJK UMNO Bahagian Pontian pada tahun 1977. Pada tahun 1993 hingga 1994 beliau menjadi AJK PIBG Kolej Islam Klang, pada tahun 1993 hingga 1997 sebagai AJK SMA Johor Jaya dan pada tahun 2000 hingga 2005 sebagai Naib Yang Dipertua PIBG SMK Dato Ali Hj. Ahmad. Beliau juga pernah menjawat jawatan Bendahari PIBG SMK Telok Kerang dari tahun 1998 hingga 2007.

Ada ketikanya Tn. Hj. Abdul Latif b Ambok Lilang melawat luar negeri. Beliau percaya dengan bidalan orang-orang tua iaitu 'jauh berjalan luas pemandangan'. Selain menunaikan fardhu haji di Makkah a-Mukaramah, beliau pernah melancong dan melawat ke Beijing, di China dan Bangkok, di Thailand. Manakala di negara Indonesia pula, beliau pernah melawat ke Bandung, Jakarta, Bukit Tinggi dan Medan.














SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :