Selalunya guru yang membawa murid melawat ke destinasi tertentu. Tetapi kali ini guru-guru dan keluarganya yang di bawa melawat dan jalan-jalan dengan menaiki bas.
Pada hari Sabtu dan Ahad, 9 dan 10 November 2013, seramai 42 orang guru dan keluarganya telah berjalan-jalan melawat ke Putrajaya, Shah Alam dan Kuala Lumppur. Ada di kalangan guru-guru yang pergi secara solo, ada yang bersama pasangan masing-masing, dan ada yang membawa sekali anak-anak mereka. Rombongan diketuai oleh Cikgu Mohd Muslim b Japri, Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan SMK Telok Kerang.
Rombongan ini bertolak dari SMKTK pada jam 5.00 pagi pada pagi Sabtu. Destinasi pertama ialah sekitar Putrajaya. Selepas round-round di sekitar Putrajaya, mereka melawat Taman Botani, Pameran Kesenian Islam di Presint 3, berehat, makan tengahari dan bersolat di Masjid Putra.
Pada sebelah petang, rombongan meneruskan perjalan ke Shah Alam. Destinasinya ialah i-City. Di situ ahli rombongan masuk ke Snow Walk, Muzium Lilin dan menikmati malam dengan pencahayaan lampu LED pada pokok-pokok. Ada di antara guru-guru yang menaiki roda gergasi berpusing untuk melihat bandar Shah Alam. Pukul 9.00 malam mereka check-in di Intekma Resort.
Pada pagi Ahad, selepas bersarapan pagi di Intekma Resort, rombongan bertolak ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan mereka singgah di Pasar Hari Stadium Shah Alam iaitu pasar hari yang terbesar di Malaysia. Sampai di Kuala Lumpur, terus ke Muzium Diraja. Muzium Diraja adalah bekas istana tempat bersemayam Yang DiPertuan Agong Malaysia. Di situ ahli rombongan menghabiskan masa melihat keadaan luar dan dalam istana dan menghayati keanggunan hiasan dalaman istana raja.
Selepas itu meneruskan lawatan ke Muzium Negara. Dengan menaiki tangga, mereka terus ke Planetariun Negara di atas bukit. Di pusat pendidikan angkasa lepas ini, selain melihat pameran, guru-guru dan keluarganya masuk ke panggung untuk menonton wayang berkaitan angkasa lepas.
Selepas itu rombongan bergerak ke Masjid Negara untuk bersolat. Seterusnya mereka ke Muzium Kesenian Islam di sebelahnya. Di situ ada pameran mengenai perkembangan pemergian jemaah Malaysia menunaikan fardhu haji dari zaman dulu hingga kini. Seterusnya bas bergerak menuju ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Di situ ahli rombongan berpeluang membeli-belah di kawasan yang sibuk dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri.
Bas bergerak balik ke Pontian pada pukul 6.15 petang. Singgah di R&R Ayer Keruh untuk berehat, makan dan solat. Rombongan sampai di SMK Telok Kerang pada pukul 12.00 malam. Syukur dan alhamdulillah ahli rombongan selamat pergi dan selamat kembali.