Pn. Hjh. Arbaenah bt Masud sedang menyampaikan tazkirah. |
Pagi Khamis 16 Januari 2014.
Sewajarnya kita mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah adalah contoh ikutan yang terbaik". (surah al-Ahzab, ayat 21).
Peribadi Rasulullah SAW adalah model yang sangat agung untuk kita contohi. Di antara keperibadian dan akhlak mulia Nabi Muhammad ialah:
- Baginda berdoa dengan penuh khusuk sambil air matanya sentiasa berlinangan.
- Wajah baginda sentiasa ceria, elok dan sempurna sehingga sejuk mata yang memandang baginda.
- Baginda memiliki perasaan halus (mudah menangis).
- Baginda mengambil wuduk sebelum tidur dan berzikir hingga lena.
- Baginda gemar makan beramai-ramai daripada berseorangan.
- Baginda benci kemegahan dan perhiasan yang cantik kerana ia melambangkan kesombongan dan keangkuhan.
- Baginda makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
- Baginda tidak pernah mengumpat atau mencerca apa lagi menghina orang lain.
- Baginda memelihara rambutnya dengan kemas.
- Baginda suka membalas hadiah.
- Baginda mengucap salam kepada ahli rumah ketika hendak keluar daripada rumah atau semasa masuk ke rumah.
- Baginda sangat berlemah-lembut dengan isteri-isterinya dan ahli keluarganya.
- Baginda sentiasa memulakan salam kepada sesiapa yang ditemui.
- Baginda bersalaman dengan sahabatnya dan memeluk mereka ketika berjumpa.
- Baginda tidak melepaskan tangannya sehingga orang yang dijabatnya itu melepaskan tangannya.
- Baginda tidak menatap atau merenung wajah orang lain lama-lama.
- Baginda sangat menghormati orang tua dan mengasihani orang muda dan kanak-kanak.
- Baginda tidak pernah bangun dari sesuatu majlis makan sehingga tetamu lain bangun.
- Baginda tidak pernah menjulurkan kakinya di hadapan sahabat.
- Baginda suka bercakap lambat-lambat dan menyebut perkataan dengan jelas.
- Baginda sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya.
- Baginda tidak pernah ketawa terbahak-bahak, cuma tersenyum sedikit.
- Baginda sangat fasih dan manis dalam tutur bicara.
- Baginda sangat sabar dan tabah apabila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan.
- Baginda sangat kasih terhadap umatnya.
- Baginda tidak pernah mengambil rezeki Allah melebihi keperluan asas makan minum baginda. Rezeki yang melebihi keperluan akan ditabur untuk tujuan fisabilillah.
- Baginda sentiasa membantu orang lain walaupun baginda sendiri dalam kesusahan.
- Baginda tidak menghina orang miskin dan tidak rasa terhina bergaul dengan mereka.
Tazkirah disampaikan oleh Puan Hajjah Arbaenah bt Masud, GPK 1 SMK Telok Kerang.