Tidak
dinafikan ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan kaedah Pentaksiran
Tingkatan Tiga (PT3) yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ikuti
temubual wartawan Harian Metro Rosyahaida Abdullah bersama Ketua Sektor
Pengendalian Peperiksaan Menengah Rendah dan Rendah Lembaga Peperiksaan (LP)
Johara Abdul Wahab mengenai PT3.
S: Apakah yang dimaksudkan dengan PT3 dan bilakah ia mula diperkenalkan?
J: PT3 adalah komponen Pentaksiran Pusat (PP) di bawah Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS). Ia adalah penambahbaikan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR)
yang dilalui pelajar tingkatan tiga mulai Julai 2014. Pelajar tingkatan satu
pada 2012 adalah kohort pertama melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
dan akan menempuhi PT3 pada tahun ini.
S: Apakah perbezaan antara PT3 dan PMR? Apakah bentuk penambahbaikan yang
sudah dibuat?
J: Secara asasnya, skop pentaksiran PT3 masih sama seperti PMR di mana ia
berbentuk pentaksiran sumatif iaitu mengukur penguasaan intelek pelajar secara
menyeluruh di peringkat menengah rendah.
Namun, beberapa instrumen seperti ujian lisan misalnya, diperkukuhkan dalam PT3
untuk memastikan pelajar bukan saja menguasai mata pelajaran terbabit secara
bertulis malah secara lisan. Pelbagai instrumen pentaksiran lain seperti kajian
kes turut digunakan supaya pelajar benar-benar menguasai aspek pengetahuan,
kemahiran dan nilai bagi mata pelajaran yang dipelajari.
S: Adakah PT3 turut menilai keupayaan murid dari segi jasmani, emosi dan rohani
seperti dinyatakan dalam PBS?
J: Melalui PBS, terdapat dua komponen dalam bidang akademik dan dua komponen
dalam bidang bukan akademik. Dua komponen dalam bidang akademik ialah
Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP) iaitu PT3. Namun begitu,
setiap pelajar akan turut diukur dari sudut jasmani melalui Pentaksiran
Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta dari segi emosi dan
rohani melalui Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Pada akhir tingkatan tiga, pelajar akan diberi empat pelaporan iaitu PT3,
PAJSK, PPsi dan Pentaksiran Sekolah (PS).
S: Apa pula PS dan mengapa perlunya PT3 sedangkan pelajar turut melalui PS
pada akhir tingkatan tiga.
J: PS mempunyai dua bentuk pentaksiran formatif (mengesan perkembangan
pembelajaran murid secara berterusan bagi tujuan membaiki kelemahannya membuat
penambahbaikan dengan serta merta serta sumatif seperti ujian dan peperiksaan
bagi mengesan pencapaian murid berdasarkan beberapa unit pembelajaran dan
pemeringkatan gred murid. Makluman awal mengenai perkembangan dan pencapaian
murid adalah penting bagi membolehkan pihak sekolah melaksanakan intervensi
dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru dapat merancang program pemulihan yang
diperlukan bagi membantu meningkatkan prestasi murid.
S: Apakah peranan LP dalam pelaksanaan PT3?
J: LP menyediakan soalan untuk digunakan guru dalam menjalankan PT3 di sekolah
masing-masing. Bagi ujian bertulis misalnya, pihak LP bertanggungjawab
menyediakan item, format instrumen, panduan pemasangan instrumen, panduan
penskoran item, peraturan pentadbiran dan format pelaporan PT3. Manakala, bagi ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kajian kes
Sejarah dan Geografi pula, LP akan menyediakan instrumen, panduan penskoran dan
peraturan pentadbiran. LP juga menyediakan format pelaporan PT3.
S: Bagaimana pula dengan tanggungjawab pihak sekolah dalam pentaksiran ini?
J: Pihak sekolah bertanggungjawab dalam melaksanakan beberapa perkara
antaranya memasang instrumen ujian bertulis berdasarkan, Format Instrumen dan
Panduan Pemasangan Instrumen, memeriksa skrip jawapan murid dan menyediakan
pelaporan.
S: Sebelum ini PMR digunakan sebagai kayu ukur untuk menentukan kelayakan
kemasukan pelajar lepasan tingkatan tiga ke sekolah berasrama penuh, Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM) dan seumpamanya. Dengan PT3, bagaimana calon dinilai
untuk kemasukan ke sekolah terbabit?
J: Di peringkat menengah rendah, murid akan menerima 4 pelaporan iaitu
Pelaporan Pentaksiran Sekolah, Pelaporan PT3, Pelaporan PAJSK dan Pelaporan
Pentaksiran Psikometrik. Pelaporan-pelaporan ini memberi gambaran tentang perkembangan , pencapaian dan
potensi murid secara menyeluruh. Pelaporan ini boleh digunakan oleh pihak yang
berkepentingan untuk membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan murid
ke aliran pendidikan peringkat menengah atas.