ANJAKAN MINDA PEMIMPIN PENDIDIKAN
Pemimpin
pendidikan terutama di sekolah seperti Pengetua dan Guru Besar di zaman
transformasi ini perlu membuat anjakan minda (mindset shift) untuk
kejayaan transformasi organisasi yang dipimpin. Sekurang-kurangnya 8 aspek yang berkaitan dengan cara
berfikir perlu diubah selaras dengan perubahan gaya kepimpinan dan pengurusan
global di luar bidang pendidikan. Zaman di mana ketua bersikap seolah-olah dia
sahaja yang tahu dan betul, orang lain tidak tahu, sentiasa salah dan mesti
mengikut kehendaknya telah berlalu dan tidak relevan lagi.
Berikut
disarankan 8 perkara atau cara berfikir dan bertindak yang perlu diubah oleh
pemimpin pendidikan abad ke-21.
1. Daripada Berfokus Masalah Kepada Berfokus Penyelesaian
Sebagai
pemimpin sememangnya kita sering menghadapi banyak masalah dan cabaran. Sikap
yang diserlahkan seorang pemimpin melalui cara berfikir dan bertindak apabila
menghadapi masalah berbeza-beza mengikut dan sekaligus menggambarkan kekuatan
daya kepimpinannya. Pemimpin yang lemah apabila menghadapi masalah dan cabaran,
fikiran dan tindakannya berlegar sekitar mencari apa dan siapa yang menjadi
punca masalah, mengapa masalah timbul dan menyesali keadaan atau tindakan orang
lain yang menyebabkan masalah timbul tanpa cuba memahami isu sebenar dan cara
mengatasi atau menyelesaikan masalah.
Pemimpin
yang berjaya dan berkesan seringkali tidak menganggap isu atau masalah yang
dihadapi sebagai masalah, sebaliknya sebagai peluang baginya belajar
menyelesaikan masalah itu dengan cara yang berbeza dari kebiasaan. Pemimpin
seperti ini tumpuan pemikiran dan tindakannya adalah mencari jalan penyelesaian
sama ada secara individu atau jemaah bersama rakan dalam organisasi
pimpinannya. Dia akan mencari peluang mempengaruhi sesiapa sahaja yang
dipimpinnya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Pelbagai cara digunakan
yang matlamatnya ialah menyelesaikan masalah tanpa bising menyalahkan orang
lain yang didakwa menyebabkan masalah tersebut.
2. Daripada Menetapan Matlamat Kepada Orang Lain Kepada
Menjajarkan Matlamat Bersama
Sememangnya
setiap pemimpin perlu ada maltamat (goal) untuk diri dan organisasinya. Dia
perlu tahu ke mana hala tuju kehidupan dan pekerjaannya dan organisasi yang
dipimpinnya. Namun untuk mencapai matlamat diri dan organisasi, dia tidak
sepatutnya menyuruh (dictate) orang lain berbuat sesuatu mengikut kehendaknya
semata-mata tanpa memikirkan kesukaran atau masalah yang dihadapi orang yang
disuruh.
Ada kalanya
matlamat organisasi telah ditetapkan dengan perancangan yang baik oleh pemimpin
sebelumnya atau pihak atasan yang lebih tinggi daripadanya. Tidak perlu
sebenarnya untuk dia menetapkan matlamat organisasi yang baru melainkan dia
hanya perlu membuat penjajaran (alignment) kepada pelaksanaan perancangan untuk
mencapai matlamat yang dikongsi bersama anggota dalam organisasi.
Dalam
merancang matlamat organisasi, pemimpin abad ke-21 tidak membuatnya secara
bersendirian atau sentiasa mengikut kehendaknya semata-mata. Pandangan dan buah
fikiran orang ramai termasuk pakar dalam bidang berkenaan perlu diambil kira.
Apabila percanggahan atau perbezaan pendapat berlaku, penjajaran dalam bentuk
kata sepakat perlu diperoleh.
3. Daripada Memberi Nasihat Kepada Menimbulkan Kesedaran
Pemimpin alaf baru tidak menganggap dirinya serba tahu
sehingga dia mendakwa hanya layak memberi nasihat dan tidak layak untuk
menerima nasihat apatah lagi tunjuk ajar. Sebanyak mana kita belajar, seluas
mana pengalaman kita dan sejauh mana kita telah lalui liku-liku hidup pasti ada
lagi perkara yang tidak kita ketahui. Kadang-kadang kita menyangka kita tahu
dan mengambil tindakan yang betul tentang sesuatu perkara namun kerap kali
sangkaan kita meleset kerana apa yang kita ketahui selalunya terbatas kepada
konteks, masa, maklumat dan situasi tertentu sahaja.
Oleh itu, untuk mengajak dan mempengaruhi orang lain
mencapai matlamat organisasi yang kita pimpin, lebih baik kita menimbulkan
kesedaran mereka tentang pentingnya kita memikir, merancang dan mengambil
tindakan yang strategik secara bersama untuk proses pembetulan dan
penambahbaikan kepada dasar dan strategi sedia ada.
Banyak cara boleh diteroka untuk menimbulkan kesedaran
warga organisasi yang bukan dalam bentuk nasihat. Antaranya, coaching dan
mentoring, pembelajaran dan pembangunan (learning and development)
dan pembangunan profesional berterusan (continuous professional
development atau CPD). Kesemua kaedah tersebut boleh mendatangkan kesedaran
kendiri warga organisasi tanpa perlu terlalu memberi nasihat berulang-ulang
yang boleh membosankan.
4. Daripada Tahu Semua Hal Kepada Rasa Ingin Tahu
Sebagai ketua, perbanyakkan menyoal daripada menjawab.
Soalan atau permintaan juga boleh dijawab atau direspons dengan soalan. Sebagai
contoh, soalan permintaan “Tuan, bolehkah saya bercuti esok?” boleh
dijawab “Mengapa anda hendak bercuti?”. Banyak lagi contoh soalan yang boleh
dijawab dengan soalan.
Menjawab
soalan dengan jawapan atau memberi jawapan atau penyelesaian kepada
permasalahan menggambarkan orang yang yang disoal atau dikemukakan masalah atau
diminta pendapat, tahu semua hal. Seperti yang saya katakan sebelum ini, zaman
seseorang mendakwa serba tahu telah berakhir. Satu perkara kita tahu, puluhan
perkara malahan mungkin ribuan lagi yang kita tidak tahu walaupun dalam perkara
yang sama.
Oleh itu,
sebagai pemimpin mahupun pengikut adalah lebih baik kita timbulkan rasa ingin
tahu dengan lebih lanjut sebelum membuat keputusan tentang sesuatu walaupun
mungkin kita telah tahu konsekuennya. Peribahasa ‘dont leave the stone
unturn’ sangat baik diamal sebelum membuat keputusan.
5. Daripada Mengarah Dan Mendesak Kepada Mempengaruhi
Pemimpin
yang hanya pandai mengarah, mengerah, memerah dan memarah akan berakhir dengan
pengikut mengatakan ‘porah’ kepadanya. Gambaran ini sesuai bagi seorang
yang pemimpin yang mengarah dan mendesak dalam gaya kepimpinannya. Pemimpin
sedemikian, terutama di sekolah dikuatiri boleh menjejaskan keberkesanan
sekokah yang sekaligus kemenjadian murid kerana guru dan staf yang boleh
bertindak negatif ekoran tindakan yang pasti tidak disukai.
Pemimpin
sekolah sedemikian seringkali dikaitkan dengan pemimpin yang lemah, kurang
berhemah dan seperti tidak pernah mengikuti latihan kepimpinan dan pengurusan
pendidikan sebelum atau sepanjang perkhidmatannya. Pemimpin yang pernah mengikuti
kursus kepimpinan dan pengurusan pendidikan seperti National Professional
Qualification for Educational Leadership (NPQEL) atau lain-lain kursus
anjuran Institut Aminudin Baki (IAB) pasti tahu bahawa definisi memimpin ialah
usaha mempengaruhi orang lain dalam lingkungan kepimpinannya untuk mencapai
matlamat organisasi.
Maksud
mempengaruhi ialah mengajak, memujuk, memupuk dan menanamkan rasa suka untuk
bekerja bersamanya bagi mencapai hasrat atau visi organisasi dengan bahasa dan
kaedah yang baik. Selain mempengaruhi, memimpin juga membawa konotasi membuat
perubahan (change) dari kurang baik kepada lebih baik.
Dalam
pendidikan, Dato’ Dr Amin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pedidikan Malaysia
menyarankan bahawa istilah memimpin itu sendiri bermaksud mendidik atau
sebaliknya mendidik itu adalah memimpin. Hal ini bermaksud mendidik ialah
proses mempengaruhi orang lain iaitu murid dan orang-orang di sekitarnya
untuk mencapai objektif pembelajaran supaya perubahan berlaku kepada diri murid
itu, sekolah dan sistem pendidikan negara.
6. Daripada Mengkritik atau Menghukum Kepada Menghargai
atau Memuji
Kritikan dan
hukuman oleh pemimpin ke atas pengikut tidak dinafikan boleh membawa kebaikan
kepada organisasi. Namun apabila selalu digunakan oleh pemimpin kepada
pengikutnya boleh menyebabkan pengikut demotivated. Kritikan selalunya
digunakan pemimpin ke atas pengikut yang rendah mutu kerja dan hasilnya.
Hukuman pula ialah natijah yang diterima pengikut apabila kerja dan hasil
kerjanya tidak mencapai jangkaan ketua atau organisasi. Kritikan juga merupakan
hukuman. Malahan kadang-kadang hukuman berbentuk kritikan lebih berat kesannya
daripada bentuk yang lain.
Oleh kerana
kritikan dan hukuman selalu dikaitkan dengan kesan yang negatif, ramai yang
tidak suka sama ada orang yang menerima kritikan dan hukuman atau orang lain di
sekelilingnya atau pakar pengkaji bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan.
Mereka lebih cenderung untuk menerima penghargaan, pengiktirafan atau pujian.
Sememangnya,
tiada siapa yang gemar kepada kelemahan, kekurangan dan kesilapan. Namun selain
melakukan kesilapan, seseorang itu pasti banyak juga melakukan kebaikan kepada
organisasi. Adalah lebih baik kita perbanyakkan menghargai, mengiktiraf dan
memuji kerja atau hasil kerja seseorang terutama orang bawahan kita apabila
membuat kerja dengan baik daripada mengkritik atau menghukum kesilapan kecil
yang selalunya tidak disengaja.
Orang yang
sering dihargai dan dipuji akan besar jiwanya. Sebaliknya orang yang sering
dikritik dan dihukum kecil jiwa dan harga dirinya. Orang yang besar jiwa dan
harga dirinya juga akan menghasilkan mutu kerja yang tinggi dan besar
keuntungan yang diperoleh organisasi. Oleh itu sebarkan penghargaan dan pujian.
Kesilapan kecil lupakan dan maafkan sahaja
7. Daripada Mengurus Kepada Mengupaya
Mengurus
ialah proses mengekalkan (maintain) kecekapan dan keberkesanan
organisasi. Untuk mengekal kecekapan dan keberkesanan organisasi ketua perlu
aktif merancang, mengorganisasi, mengawal dan memimpin kumpulannya dengan
pelbagai cara dan gaya pengurusan. Selalunya pihak yang menerima kesan daripada
gaya dan cara pengurusan seseorang ketua ialah pengikut. Ketua yang mengurus
selalunya aktif sedangkan pengikut pasif menerima arahan ketua tanpa atau
kurang diberi pengupayaan (empowerment).
Kepimpinan
abad ke-21 adalah kepimpinan yang mengutamakan pengupayaan daipada pengurusan.
Pemimpin yang mengupayakan pengikutnya adalah pemimpin yang memberi kepercayaan
untuk membuat perubahan tanpa perlu terlalu disuruh dan diawasi. Dia cukup
memberi garis panduan dan motivasi kepada pengikut untuk bekerja
bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat organisasi.
8. Daripada Menyediakan Penyelesaian Kepada Meneroka
Kemungkinan
Walaupun
pemimpin abad ke-21 memberi tumpuan atau fokus kepada penyelesaian masalah,
namun dia tidak cenderung untuk menawarkan apatah lagi menyediakan jawapan atau
penyelesaian kepada masalah. Sebaliknya dia lebih cenderung untuk meneroka
kemungkinan untuk mencari jalan bagi bukan sahaja mengatasi atau menyelesaikan
masalah malahan mendapat keuntungan yang lebih besar.
Pemimpin
seperti ini selalu dikaitkan dengan pemimpin yang kreatif dan inovatif serta
berani mencuba dan mengambil risiko. Mereka selalunya berfikiran terbuka dan
berlapang dada terhadap sesuatu yang baharu. Berbekalkan pengetahuan,
kemahiran, nilai dan pengalaman serta bantuan tenaga muda, yang lebih kreatif,
kritis dan inovatif, pemimpin seperti ini mampu membawa perubahan besar kepada
organisasi.
Sumber:
SI Partners, PPD Kulai