BAGAIMANA besarnya
tanggungjawab guru terhadap murid, begitu jugalah besarnya tanggungjawab
murid terhadap gurunya. Jika tidak ada guru, maka tidak ada murid. Guru
juga seperti ibu bapa yang patut dihormati dan dipatuhi segala
ajarannya yang baik. Jika di rumah anda harus menurut segala perintah
dan ajaran ibu bapa dengan taat, tetapi di sekolah anda harus pula
mentaati guru dan segala ajarannya harus disematkan di hati.
Seorang murid harus menghormati bantuan
gurunya untuk membimbing mereka ke jalan yang diredhai Allah SWT untuk
menuntut ilmu demi bekalan hidup mereka.
Jangan sekali-kali membantah atau mencela
guru kerana guru adalah merupakan orang yang sentiasa membimbing anda
untuk mencapai cita-cita.
Antara Adab-adab Murid Terhadap Gurunya
- Memberi hormat ketika guru masuk ke kelas dengan memberi salam kepada guru kelas anda. Jika guru terdahulu memberi salam hendaklah segera dijawab.
- Tunjukkan muka yang manis ketika menyambut guru masuk ke bilik darjah anda.
- Perhatikan guru anda dengan tenang dan mula membuka buku untuk pelajaran hari itu jika diperintahkan oleh guru.
- Tumpukan perhatian ketika guru mengajar. Jika kurang faham bolehlah bertanya kepada guru anda dengan sopan.
- Catatkan apa yang disampaikan oleh guru jika dia menyuruh anda berbuat demikian.
- Jangan berkata-kata atau berbual dengan rakan-rakan ketika guru sedang mengajar.
- Tumpukan perhatian sepenuhnya ketika guru sedang memberi penerangan. Sematkan di hati anda apa yang diajarkan ketika itu.
- Ucapkan terima kasih kepada guru anda sebaik sahaja guru itu selesai mengajar.
Seorang murid harus peka dengan apa yang
disampaikan oleh guru mereka, dengan cara ini anda akan dapat menumpukan
perhatian terhadap pelajaran anda. Anda jangan menyalahkan guru anda
jika anda kurang faham apa yang diajari oleh guru anda, sebaiknya anda
harus banyak bertanya dari banyak merungut untuk mendapatkan kefahaman.
Jika anda ingin menjadi seorang murid /
pelajar yang berjaya, anda harus berusaha sendiri untuk mencapai
kejayaan itu, jangan cuma berharap pada guru sahaja. Guru hanya boleh
mengajar untuk menyampaikan ilmu, sedangkan anda adalah seorang murid
yang harus tahu membuat sesuatu untuk mencapai kejayaan itu.
Usaha anda untuk menjadi murid yang
berjaya adalah lebih bererti dari hanya mendengar guru mengajar
sedangkan anda tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkan pelajaran itu.
Kejayaan seorang pelajar itu bergantung
kepada kegigihannya untuk mencapai kejayaan, tanpa mengharap pertolongan
orang lain untuk menjayakan diri sendiri.
Seorang murid harus menghormati gurunya
sebagaimana dia menghormati ibu bapanya juga. Rasa hormat kepada guru
membuatkan anda dapat mengikuti pelajaran dengan baik dan sudah tentu
lebih keberkatan ilmu yang anda pelajari itu. Di samping berusaha anda
harus berdoa, agar segala usaha anda itu akan beroleh kejayaan
cemerlang.
INGAT!!! Seorang pelajar itu adalah bakal
pemimpin masa hadapan, oleh itu tidak ada sebab anda tidak mahu
berusaha untuk terus mencapai kejayaan. Kerana mundur atau majunya
sesebuah negara itu bergantung kepada para belia dan remajanya yang
rajin berusaha untuk mencapai kejayaan.
Sumber: Kalam Abu Musaddad
1 comments:
Write commentsApa tanggungjawab guru terhadap murid?
Reply