29 September 2010

SOLAT SUNAT HAJAT, MOHON KEPADA ALLAH SWT SETELAH BERUSAHA

Menjelang malam tadi, SMK Telok Kerang mengadakan solat hajat khusus kepada ibu, bapa, guru dan pelajar yang akan menghadapi pepriksaaan PMR dan SPM. Solat hajat itu diadakan di Masjid Jamek Kampung Telok Kerang yang diimamkan oleh Tuan Haji Ahmad Bin Sarian, imam masjid dan Ustaz Sukri Bin Osman selepas solat maghrib. Selepas itu hadirin yang hadir bersama-sama membaca surah Yasin. Selepas solat Isyak, tuan pengetua memberi ucapan penguat semangat kepada pelajar-pelajar dan ibu bapa bagi menghadapi peperiksaan PMR dan SPM. Majlis selesai pada pukul 9.00 malam.

28 September 2010

PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Berikut adalah panduan semasa membuat persediaan menjelang peperiksaan. Mungkin ia amat bermanfaat buat kita.
  1. Menyemak jadual peperiksaan. Ini penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini.
  2. Teruskan membuat latihan dan ulangkaji mesti diteruskan. Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Jawab kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
  3. Banyakkan mengingat dan membuat kaitan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran. Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
  4. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan. Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
  5. Berdoa dan bertawakal. Sepatutnya kita berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
  6. Sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuatkan dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan. Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
  7. Kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda. ni kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
  8. Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan. Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
  9. Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
  10. Anda mesti siapkan keperluan peperiksaan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
  11. Pada hari peperiksaan, bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal. Pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah. Ini mengundang pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
  12. Sebelum pergi ke dewan peperiksaan , jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
  13. Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang. Anggaplah peperiksaan itu sebagai jambatan untuk kejayaan hidup anda. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
  14. Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
  15. Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel.
  16. Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, sama ada soalan objektif mahupun subjektif, semaklah sekali lagi sebelum kertas jawapan itu diserah kepada pengawas peperiksaan. Ini perlu untuk memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
  17. Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
  18. Selepas selesai menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah. Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya.


    Semoga kalian berjaya.

27 September 2010

BENGKEL KOMPETENSI SEKOLAH BESTARI LUAR BANDAR DI SMK TELOK KERANG



Hari ini di jalankan Bengkel Kompetensi Sekolah Bestari Luar Bandar khusus untuk semua guru-guru SMK Telok Kerang. Oleh kerana sekolah ini dah dikategorikan sebagai sekolah bestari luar bandar jadi guru-gurunya mesti celik IT.

Bengkel tersebut bermula pada pukul 2.00 petang. Bengkel dan pemantauan dikendalikan oleh guru-guru daripada PKG daerah Pontian. Diharap guru-guru SMK Telok Kerang bersedia menghadapi cabaran pembestarian sekolah.

SELAMAT DATANG DIUCAPKAN KEPADA TUAN PENGETUA SMK TELOK KERANG YANG BARU, EN. ABDUL HAMID BIN. A. BAKAR


Kami warga SMK Telok Kerang mengalu-alukan kehadiran Tuan Pengetua yang baru iaitu En. Abdul Hamid Bin A. Bakar yang mula melapor diri bertugas di sekolah ini pada hari ini. Selamat datang. Selamat bertugas sebagai pengetua di sekolah yang baru.

Semenjak pemergian En. Ahmad Khairi Bin Paimin bertugas ke tempat lain, sekolah ini tidak mempunyai pengetua selama lebih kurang 3 bulan. Dengan adanya pengetua baru, kami harap pengurusan dan pentadbiran sekolah berjalan dengan lancar.

MARHABAN AIDILFITRI GURU-GURU DAN KAKITANGAN SMK TELOK KERANG

Pada hari Sabtu 25 September yang lalu, guru-guru dan kakitangan SMK Telok Kerang pakat ramai-ramai berkunjung ke rumah rakan-rakan bermarhaban di aidilfitri. Syawal belum habis lagi. Disamping bermaaf-maafan dan menikmati juadah hari raya, kitorang berselawat dan berdoa di setiap rumah yang dikunjungi. Selepas ini tak ada masalah nak cari rumah rakan-rakan guru. Kemerihan suasana aidilfitri masih terasa dengan pakaian hari raya yang berwarna-warni dan keriangan keletah serta telatah anak-anak yang turut serta.

Tahun ini beberapa rakan guru-guru bersedia membuka rumahnya untuk kitorang serbu. Diorang pun faham dimana tak cukup pintu rumah, tingkap pun dibuka luas-luas. Mereka ialah Pn. Hajh. Kasidah di Benut, Cikgu Ruhil Amani di Parit Lapis, Tampok, Cikgu Ferra di Kg. Melayu, Kayu Ara Pasung, Tn. Hj. Harshat di Bandar Pontian, Cikgu Shamsul Sazali di Telok Kerang, dan Tn. Hj. Mohd. Shah di Kg. Telok Kerang.

Terima kasih cikgu. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.















20 September 2010

SEKOLAH DIARAH WUJUD PETI ADUAN BULI

Utusan Malaysia, 20 September 2010
PUTRAJAYA 19 Sept. – Kementerian Pelajaran hari ini mengarahkan semua sekolah mewujudkan peti aduan buli dalam usaha mencegah dan menangani gejala tersebut di sekolah masing-masing.


Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, arahan tersebut penting bagi memudahkan mangsa mengemukakan aduan dan siasatan manakala tindakan juga dapat dilaksanakan segera.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan matlamat kementerian yang mahu membanteras kegiatan itu di peringkat akar umbi.

“Peti aduan itu perlu diwujudkan berikutan kesukaran pihak sekolah mendapatkan maklumat atau laporan daripada murid khususnya berkaitan perbuatan buli.

“Ada ketikanya, murid yang terlibat berasa takut untuk mengadu secara terus kepada guru mereka,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Alimuddin mengingatkan pihak pengurusan sekolah agar bersikap telus, adil dan profesional dalam menguruskan setiap aduan buli yang diterima.

“Dalam hal kerahsiaan pengadu, sudah tentu kami telah mengambil kira soal tanggungjawab pihak pengurusan sekolah yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah perlu memaklumkan kepada semua murid, warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tentang fungsi peti itu serta memberi keyakinan terhadap keberkesanan dari segi pelaksanaannya.

Katanya, semua urusan siasatan serta tindakan terhadap aduan buli murid yang diterima diuruskan oleh Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan Asrama di peringkat sekolah masing-masing.

“Ini kerana kita mahu jawatankuasa itu dapat dirasai kewujudannya oleh warga sekolah dan dengan cara ini, murid-murid akan berasa selamat dan selesa untuk belajar.

“Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut perlu mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan yang dibuat oleh murid atau pihak berkepentingan lain,” katanya.

17 September 2010

16 SEPTEMBER HARI MALAYSIA

Hari Khamis 16 September 2010 adalah Hari Malaysia. Sambutan Hari Malaysia diadakan pada tahun ini bertempat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah. Padang Merdeka memiliki sejarah tersendiri kerana ia adalah lokasi pengisytiharan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963 apabila Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bersama Malaya serta Singapura membentuk negara baru. Singapura bagaimanapun mengambil keputusan keluar dari Malaysia dua tahun selepas itu.

Jika 31 Ogos adalah tarikh Malaysia merdeka, 16 September adalah tarikh penyatuan dan kesatuan Malaysia untuk menjadi sebuah negara lebih besar. Pengisytiharan 47 tahun lalu dilakukan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen, manakala Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, turut hadir sebagai wakil Kerajaan Pusat. Mulai tahun ini, Hari Malaysia diisytihar cuti umum seluruh negara tanda pengiktirafan kerajaan sebagai hari kebesaran negara.


NAJIB menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia sambil disaksikan (dari kanan) Alfred Jabu, Musa Aman, Rais dan Masidi Manjun (kiri) pada majlis sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, malam tadi. (Foto: Berita Harian 17 September 2010)

Sejarah Penubuhan Malaysia 16 September 1963
(Sumber: Arkib Negara Malaysia)
Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.


Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen. Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah.

Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan diantara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.


Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.



Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold. Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu.

Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

10 September 2010

RAMADHAN PERGI SYAWAL MARI

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Lailaha Illallah Wallahu Akbar.
Allahuakbar Walillahil Hamd.

Hari Raya Aidlifitri menjelang lagi. InsyaAllah umat Islam di Malaysia merayakannya esok iaitu pada hari Jumaat 10 September 2010. Hari Raya Aidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Hari Raya Aidilfitri ini merupakan kemenangan bagi umat Islam yang melepasi godaan nafsu dengan berpuasa dan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sempena dengan hari kemenangan ini sepatutnya umat Islam mengisinya dengan aktiviti yang terus mengekalkan dirinya dalam keadaan fitrah yang suci setelah dosanya diampunkan oleh Allah SWT.


Setelah beribadah puasa selama sebulan, bergembira di Syawal tidak ditegah. Malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam. Nabi SAW pernah menegur Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya: "Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" (Riwayat Al-Bukhari).

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.”

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya: "Hiasilah hari raya kamu dengan Takbir dan Tahmid." dan daripada Anas r.a.: "Hiasilah kedua-dua hari raya kamu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis."

Bagi meyambut hari kebesaran ini, ramai yang bertakbir tetapi tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid itu walaupun ianya diulang-ulang setiap kali tiba hari raya. Penghayatan dan kemanisan lafaz-lafaz itu tidak dapat dirasai.

Maksud takbir:

"Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah."

"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janjiNya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaanNya."

"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allahlah segala puji-pujian."

Justeru, amat penting bagi kita berhati-hati dalam bergembira di hari raya. Untuk memastikan yang kita berhati-hati, perlulah menjaga beberapa adab penting sepanjang Aidilfitri, seperti:
  • Mandi sunat hari raya aidilfitri di awal pagi.
  • Memakai wangian dan pakaian paling bagus, dan tidak semestinya baru.
  • Makan sebelum berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri.
  • Di sepanjang perjalanan ke tempat solat sunat aidilfitri, pada waktu inilah sebenarnya waktu terbaik untuk melafazkan takbir raya.
  • Sebaik-baik tempat solat Aidilfitri ialah di tempat yang terbuka seperti di padang atau dewan besar, di mana dibolehkan perhimpunan besar diadakan.
  • Semua disunatkan pergi ke tempat solat tersebut. Bagi yang terlambat, atau keseorangan di kejauhan, maka bolehlah dibuat secara bersendirian.
  • Pulang mengikuti jalan yang lain berbanding jalan pergi ke tempat solat. Ini bagi membolehkan kita bertemu dengan lebih ramai umat Islam.
  • Mengucapkan tahniah dan doa kepada umat Islam lain.
  • Membuat apa sahaja simbol gembira dan menggembirakan orang lain, asalkan tidak melanggar syariat.
  • Allah menyuruh kita agar mengiktiraf akan kebesaranNya dengan mengucap 'Takbir' pada malam Aidilfitri dengan gema yang mampu menggemparkan para syaitan.
  • Allah menyuruh kita mensyukuri segala nikmatNya dengan bertahmid dan berzikir.
  • Allah menyuruh kita supaya memohon keampunan dengan beristighfar.
  • Allah memerintahkan kita supaya mengeluarkan 'Sadaqatul Fitri' (membayar zakat fitrah).
  • Keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
  • Bertemu, beramah mesra dan bermaaf-maafan sesama muslimin.
  • Menziarahi kubur dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya.
  • Kunjung mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Pada 1 Syawal ini kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada guru-guru, kakitangan, pelajar-pelajar SMK Telok Kerang, dan kepada umat Islam di seluruh dunia. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

06 September 2010

MALAM LAILATUL QADR

Sekarang kita sudah masuk hari ke27 berpuasa di bulan Ramadhan. Pada hari-hari terakhir ini, junjungan kita Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah, kerana pada waktu inilah akan turunnya malam yang apabila seorang hamba beribadah, ibadahnya adalah seperti ibadah selama seribu bulan. Malam itu dinamakan malam Lailatul Qadar.

Saiyidatuna Aisyah, isteri Rasulullah pernah berkata: Ertinya: Adalah nabi s.a.w. apabila tiba malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, beliau mempergiatkan lagi ibadahnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah.( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Lailatul Qadr menurut bahasa ialah malam kemuliaan dan malam kebesaran. Adapun kelebihan malam ini ada termaktub di dalam Al-Quran seperti turunnya kitab suci Al-Quran. Allah juga telah menerangkan bahawa malam ini adalah lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat beserta Jibril juga akan diturunkan ke bumi dengan izin Allah pada malam yang mulia ini. Allah juga telah menjamin kesejahteraan malam ini akan berpanjangan sehingga terbit fajar.

Bagi mendapatkan malam lalaitul qadr tersebut seseorang itu mestilah bersedia bukan sekadar mengaharpkan malam tertentu dalam bulan ramadhan tersebut sahaja, malahan perlulah besedia setiap masa sejak awal lagi untuk memperhambakan diri terhadap Allah swt semoga Allah swt memberikan kemudahan untuk mendapatkannya. Malam lalatul qadr tersebut tidak di ketahui bila malamnya, kerana kalau diketahui umum seseorang itu hanya beribadat pada malam yang ditetapakan itu sahaja, tetapi yang lebih penting seorang mukmin itu dikehendaki sentiasa taat, beramal malksanakan ibadat dan kebajikan terhadap Allah swt sehingga kemuncaknya amalannya dianugerahkan Allah dengan lailatul qadar yang dimaksudkan.

Oleh itu, marilah kita berlumba-lumba untuk mendapatkan malam Lailatul Qadr itu, malam yang penuh dengan keberkahan dan kenikmatan dengan memperbanyakkan amal ibadah. Mudah-mudahan Allah akan memberikan hidayahNya kepada kita agar kita semua dapat ditemukan dengan malam yang amat dinanti-nantikan ini dan semoga dengan itu juga, dapatlah kita membiasakan diri kita untuk beribadah kepada Allah, sentiasa mengingatiNya dalam apa jua keadaan demi untuk meraih rahmat serta keampunan Allah s.w.t.

Diantara tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr:
  • Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.
  • Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Surah Al-Qdr, ertinya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Terdapat banyak faedah dan khasiat yang terkandung dalam surah ini, antara lain ialah:
  • Memudahkan mendapat rezeki
  • Di lepaskan dari seksa kubur
  • Menguatkan iman.
  • Memudahkan mendapat rezeki yang halal
  • Untuk memperoleh segala impian.
  • Keluasan rezeki selama kain masih dapat dipakai.

02 September 2010

MAJLIS KHATAM AL-QURAN GURU-GURU DAN PELAJAR-PELAJAR

Pagi ini bertempat di Dataran Nilam diadakan Majis Khatam Al-Quran Guru-guru dan Pelajar-pelajar SMKTK. Majlis tersebut bermula pada pukul 7.20 pagi. Dengan adanya majlis tersebut ianya menyemarakkan lagi bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Selain daripada itu, majlis ini diharap dapat menanam perasaan cinta terhadap Al-Quran sebagai kalam Allah SWT disamping melahirkan warga sekolah yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh GPKHEM En. Mohd Ishak bin Maliki. Ustaz Sukri bin Osman mengetuai majlis membaca ayat-ayat suci Al-Quran bersama guru-guru dan pelajar-pelajar. Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian Sijil Khatam Al -Quran dan cenderahati kepada guru-guru dan pelajar-pelajar.