Hari ini Ahad 5 Februari 2012 bersamaan 12 Rabiul Awal 1433 kita menyambut Ulangtahun Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW (Maulidurasul). Untuk kesekian kalinya, pada hari ini sekali lagi kita menyambut Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW, Junjungan besar dan agung. Nabi terakhir yang telah menukarkan dunia ini dari zaman kegelapan kepada cahaya yang memberi rahmat keseluruh alam. Kita sebagai ummah yang terbaik tidak sepatutnya hanya menyambut hari kelahiran baginda setakat itu sahaja tanpa menghayati kehidupan Rasulullah yang menjadi insan contoh yang terbaik.
Umat Islam sewajarnya menghayati kehidupan Rasulullah SAW dan mencontohi baginda sebagai insan terbaik, bukannya setakat menyambut hari kelahiran baginda. Rasulullah SAW adalah role model yang perlu dicontohi kerana perbuatan menjadikan insan lain yang tidak mencontohi baginda sebagai contoh menyebabkan kita kehilangan prasyarat untuk menjadi Khalifah Allah SWT. Rasulullah SAW adalah role model yang perlu dicontohi dan jika menjadikan insan lain bukan mencontohi akhlak Rasulullah sebagai role model maka ia tidak memenuhi pra syarat untuk mencakupi peranan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Bagaimanakah cara kita membuktikan cinta kepada baginda? Adakah cukup sekadar sambutan dan perarakan saban tahun? Namun ada segelintir pihak mempertikaikan sambutan Maulidur Rasul. Selagi tidak membazir dan hasilnya berbaloi, tiada masalah jika ia menjadi cara menyemarakkan rasa cinta terhadap baginda. Malangnya, gejala sosial yang berleluasa pula tidak dihiraukan dan dipandang enteng umat Muhammad.
Fitrah manusia mudah alpa dan perlu diingatkan menggunakan pelbagai kaedah seperti penulisan, dokumentari, pengorbanan dan perjuangannya. Kemudiannya, pasti kita menyedari betapa kita tidak mensyukuri nikmat sebagai umat dijanjikan syafaat. Sedih apabila sering kali gagal mengawal kehidupan seperti mana yang diterapkan baginda.
Walau tidak pernah bersua tetapi pada saat akhir sebelum kewafatan, Rasulullah sempat memikirkan nasib umatnya. Bacalah sirah baginda, pasti membuatkan hati kita bertambah teguh mencintai kekasih Allah.
Amalkan langkah menyintai baginda kerana mengasihinya termasuk dalam hakikat iman dan semoga cinta kita terhadapnya tidak pernah goyah. Sebagaimana sabda Rasulullah; “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya dan seluruh manusia lainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, 1/24, no. 14).
Hayati kisah dan sentiasa berselawat ke atas junjungan besar kerana Nabi Muhammad bersabda: “Sesiapa antara kamu paling banyak berselawat kepadaku maka dialah paling dekat kedudukannya denganku” (Riwayat al-Baihaqi) Mengamalkan sunnahnya dalam mencapai keredaan Ilahi kerana mencintai dan mengikuti nabi termasuk tuntutan mencintai Allah. berdasarkan firman-Nya; “Katakanlah (wahai Muhammad), Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa kamu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (surah Al-Imran: 31).
Moga kita tergolong di kalangan ‘Ikhwan’ yang dinyatakan baginda kepada sahabatnya Saidina Abu Bakar. Dalam satu kisah baginda amat merindui ‘Ikhwan’ apabila ditanya siapakah ‘Ikhwan’, baginda menjawab; “Ikhwan ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang tua mereka.” Walaupun tidak bertemu baginda namun tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka yang membaca al-Quran dan hadis serta mencintai Nabi-Nya. Mereka juga mencintai sahabat Nabi yang berjuang menegakkan Islam.