10 October 2012

MENGAPA MEMBACA?

'Membaca jambatan ilmu.'


"Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian mahluk, ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya". (Al 'Alaq : 1 - 5)


Menuntut ilmu merupakan satu kemestian bagi setiap orang Islam, kerana dengan ilmu seseorang itu bukan sahaja boleh membangun dan memajukan dirinya bahkan juga untuk masyarakat dan negaranya. Terdapat banyak cara untuk mendapatkan ilmu itu antaranya melalui pembacaan.

Jadikanlah budaya membaca sebagai amalan kerana membaca itu adalah amalan mulia yang dapat membentuk insan berilmu pengetahuan. Sesungguhnya orang yang berilmu pengetahuan tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Oleh sebab itu Allah SWT telah menjanjikan kedudukan yang tinggi bagi orang-orang yang berilmu, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Mujaadilah ayat 11 tafsirnya:

"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan"

Sesebuah negara hanya akan membangun dan maju jika rakyatnya berilmu pengetahuan. Ilmu dapat menjadikan seseorang itu bijak pandai sehingga mampu menguasai pelbagai bidang ilmu. Kerana itu di mana-mana negara di dunia ini mementingkan pendidikan rakyat dan penduduknya dengan membangun sekolah dan institusi pengajian tinggi sebagai pusat untuk menimba ilmu pengetahuan. Ilmu yang dipelajari itu sebahagian besarnya diperolehi melalui faedah membaca.

Terdapat banyak kelebihan dari amalan membaca. Di antaranya seseorang itu bukan sahaja akan mendapat ilmu, bahkan juga akan dapat mengasah fikiran seseorang itu menjadi lebih tajam, kreatif dan inovatif serta dapat menjadikan minda lebih berkembang dengan idea dan pengetahuan yang baru.

Oleh itu sudah sewajarnya budaya membaca ini disemai dan disuburkan kepada semua peringkat golongan masyarakat lebih-lebih lagi kepada anak-anak, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun dalam mendidik anak-anak supaya suka membaca, masyarakat dewasa perlu ikut sama menunjukkan minat untuk membaca kerana mereka merupakan role model dan pendorong yang menjadi ikutan kepada anak-anak untuk suka membaca.

Selalulah pergi ke perpustakaan agar dapat memupuk minat membaca ke dalam jiwa dan juga meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri. Perlu diambil perhatian agar bahan-bahan bacaan yang dibaca ialah bahan-bahan bacaan yang berfaedah dan boleh menambah pengetahuan, bukannya bahan-bahan bacaan yang tidak bermanfaat dan boleh merosakkan minda serta menyesatkan. Adalah lebih baik sekiranya diwujudkan perpustakaan mini ataupun sekurang-kurangnya menyediakan sedikit bahan-bahan bacaan di rumah.

Sebenarnya amalan membaca tidak terhad di tempat-tempat tertentu sahaja, akan tetapi amalan tersebut boleh dilakukan di mana-mana sahaja kita berada seperti ketika sedang menunggu giliran di klinik-klinik dan hospital-hospital, di kaunter-kaunter pembayaran dan sebagainya.

Selain itu, bahan-bahan bacaan bukan hanya terhad melalui buku, majalah dan akhbar, kita juga boleh mendapatkan bahan-bahan bacaan di internet. Walaupun pengunaan internet sangat berfaedah dan berguna pada zaman ini, tetapi jika disalahgunakan akan mendatangkan kemudaratan. Teknologi ini pada asalnya adalah untuk memudahkan sesuatu. Jika sekiranya teknologi yang berfaedah ini digunakan dengan niat yang betul, maka ia akan membawa manfaat dan kesejahteraan hidup, tetapi jika sebaliknya maka akan membawa kepada kemudaratan dan kerugian.

Melihat betapa penting kesedaran membaca itu perlu dipupuk di kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak, remaja dan belia maka perlu diadakan program-program memperkasa budaya membaca ini. Sesungguhnya usaha sedemikian adalah sangat baik dan sudah sewajarnya usaha tersebut disokong untuk meningkatkan lagi budaya membaca kita dari semasa ke semasa.

Perlu diingat, satu-satunya jalan untuk mendapatkan ilmu yang berguna dan membina ialah dengan banyak membaca dari sumber yang benar dan sahih. Mudah-mudahan dengan kekuatan ilmu pengetahuan, kita dapat mencipta kecemerlangan dan kejayaan. Semoga Allah SWT menambahkan ilmu pengetahuan dan mengurniakan kefahaman kepada kita. Mudah-mudahan diri kita, bangsa, agama dan negara akan maju jaya dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

"Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran". (Al Imran : 7)

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :