02 November 2012

MAJLIS GRADUASI TINGKATAN 5 SMK TELOK KERANG KE-2 2012

Pagi ini bertempat di Dewan A telah berlangsung Majlis Graduasi Tingkatan 5 Tahun 2012. Majlis ini diadakan sebagai merai dan memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menamatkan zaman alam persekolahan di SMK Telok Kerang. Setelah mengharungi alam persekolahan selama lima tahun keberadaan mereka di sekolah ini, inilah masa dan ketikanya mereka berkumpul bersama buat kali terakhir sebelum menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula pada hari Isnin 5 November 2012.

Syabas kami ucapkan kepada anda semua pelajar yang tetap bertahan untuk melakukan yang terbaik bagi diri sendiri di sepanjang menghadapi pembelajaran di sekolah ini. Tujuan utamanya tak lain dan tak bukan adalah untuk melengkapkan diri dengan menimba ilmu pengetahuan di samping mempunyai nilai-nilai hidup yang terpuji sebagai rakyat Malaysia.

Majlis yang penuh gemilang itu telah dirasmikan oleh Tetamu Kehormat  En. Hamid b Selamat, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian. Turut serta menghadiri majlis itu ialah para ibu bapa graduan yang diraikan. Di sepanjang majlis berjalan ia diiringi oleh muzik tradisional gamelan yang dimainkan oleh kumpulan gamelan sekolah.

Aturcara Majlis:
8.00 pagi : Pendaftaran kehadiran graduan dan ibu bapa
8.30 pagi : Ibu bapa mengambil tempat
8.40 pagi : Perarakan masuk graduan
8.50 pagi : Perarakan masuk guru-guru kanan dan guru-guru
9.00 pagi :
  • Perarakan masuk Tetamu Kehormat En. Hamid b Selamat, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian diiringi oleh Tuan Pengetua dan Guru Penolong Kanan 1.
  • Nyanyian lagu Negaraku
  • Bacaan Doa
  • Ucapan pengisytiharan majlis graduasi oleh En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang.
  • Ucapan perasmian oleh Tetamu Kehormat En. Hamid b Selamat, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian. 
  • Penyampaian sijil kepada graduan
  • Penganugerahan anugerah khas akademik dan kokurikulum
  • Ucapan pengisytiharan penutupan majlis graduasi oleh En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang
  • Penyampaian cenderahati
  • Nyanyian lagu sekolah Berusaha Berbakti
  • Perarakan keluar dewan 
  • Majlis Bersurai

Kami mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang diraikan atas penerimaan sijil graduasi dan ketertiban dan kerjasama semasa majlis berlangsung. Suasana begitu harmoni sekali. Kami juga mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima anugerah khas kecemerlangan dalam majlis itu.

1. Penerima Anugerah Khas Cemerlang Akademik:
  • Tang Su Hwee (Tingkatan 5 Sains/Akaun)
  • Nur Farah Ain bt Sa'yon (Tingkatan 5 Teknologi)
2. Penerima Anugerah Khas Cemerlang Ko-Kurikukulum:
  • Mohd Fadzrani b Hudzuri (Tingkatan 5 Landskap)

  





















TITIPAN KASIH
Oleh Tn. Hj. Msduki b Hj. Shahri,
Pegawai Pelajaran Daerah Pontian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Sempena Majlis Graduasi Tingkatan 5 2012 di SMK Telok Kerang buat kali keduanya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh warga sekolah ini kerana telah berjaya mengadakan majlis ini bagi meraikan kecemerlangan para pelajar tingkatan 5 tahun ini di dalam majlis yang berbahagia ini.

Majlis yang penuh bermakna ini merupakan pentas pengiktirafan kepada pelajar yang telah memperoleh kejayaan yang cemerlang. Sesungguhnya kejayaan awal yang dicapai menjadi landasan untuk meneroka kejayaan yang lebih gemilang. Diharapkan juga kejayaan yang ditempa menjadi pembakar semangat pelajar yang bakal menempuh peperiksaan agar berusaha dengan lebih gigih lagi.

Lakaran sejarah gemilang yang diperoleh para pelajar, disebaliknya tersingkap profesionalisme yang diamalkan dalam kalangan pentadbir dan disokong dengan kredibiliti guru yang tidak mengenal erti jemu serta pemuafakatan padu warganya merupakan kunci kejayaan kepada SMKTK untuk terus unggul dalam meneruskan tradisi kegemilangannya. Semoga SMKTK berupaya menjadi ikon kepada sekolah-sekolah setempat dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

Akhir kata, saya berharap agar Majlis Graduasi Tingkatan 5 kali ini berlangsung dengan jayanya dan mencapai matlamat yang diharapkan.

SELAMAT MAJU JAYA



















BICARA AYAHANDA
Oleh En. Abdul Hamid b Abu Bakar,
Pengetua SMK Telok Kerang.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya SMK Telok Kerang berjaya mengadakan Majlis Graduasi Tingkatan 5 buat kali kedua pada tahun ini.

Hasrat 'Ke arah Melestarikan SMKTK Terbilang Menjelang 2020' memerlukan warganya siap siaga ke arah kebitataraannya dan sentiasa terbilang dalam semua aspek. Sekolah merupakan wahana terpenting dalam mengasuh intelek muda dengan sifat-sifat Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah. Oleh itu kemenjadian mereka yang dilengkapi dengan nilai-nilai terpuji akan melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama seiring hasrat negara untuk melahirkan bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri yang kental dan global.

Kecemerlangan dalam pencapaian akademik amat penting dalam menjamin misi dan visi negara terlaksana. Namun begitu, kemantapan peribadi dan ketrampilan diri perlu diutamakan untuk melahirkan generasi pewaris yang berkualiti dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu, usaha untuk mencapai kecemerlangan mestilah disulami dengan penerapan sahsiah dan budi bahasa yang mulia berteraskan agama dan nilai-nilai murni dalam segala aspek kehidupan.

Syabas dan tahniah kepada penerima-penerima anugerah sempena majlis ini. Semoga dengan anugerah yang diterima dijadikan perangsang untuk terus meningkatkan usaha bagi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan dan sentiasa meletakkan SMKTK TOP 5 di setiap peringkat.

SELAMAT MAJU JAYA

 



















Kami bersyukur atas kelancaran perjalanan majlis. Di sini kami merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama sama ada secara langsung atau tidak secara langsung dalam menjayakan majlis ini. Terima kasih daun keladi, tahun hadapan berjumpa lagi... SELAMAT MAJU JAYA KEPADA PARA GRADUAN TINGKATAN 5 SMK TELOK KERANG TAHUN 2012.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :