Hari ini pelajar-pelajar terpilih bersama Cikgu Hasan b Kasmuri bertungkus-lumus mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan sekolah. Mereka di bantu oleh Abang Roslee dan Abang Syafik mengibarkan Jalur Gemilang dan memasang lampu untuk pencahayaan sempena kedatangan bulan kemerdekaan.
Bulan Ogos dan September merupakan
bulan-bulan bersejarah buat negara kita yang tercinta. Ogos adalah bulan
kemerdekaan, manakala September merupakan hari Malaysia. Negara kita
mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, manakala penubuhan Malaysia pula
ialah pada 16 September 1963. Ini bermakna pada tahun ini kita
menyambut hari kemerdekaan negara ke-56 dan hari Malaysia yang ke-50.
Justeru, kedua-dua bulan ini
dianggap sebagai bulan sambutan kemerdekaan. Apa jua acara dan aktiviti
memperingati kemerdekaan sangat sesuai dilakukan sepanjang bulan
kemerdekaan ini.
Antara aktiviti atau amalan yang
boleh dikatakan sinonim dengan sambutan bulan kemerdekaan ialah
aktiviti kibar ‘Jalur Gemilang’, iaitu bendera rasmi negara. Bendera melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan sesebuah negara. Ia juga memiliki makna ideologi bagi negara itu. Justeru, bendera adalah saksi sejarah terhadap kemerdekaan,
kedaulatan dan kewujudan identiti kita sebagai sebuah negara bangsa yang
berdaulat di pentas dunia.
Sudah sewajarnya di
seluruh pelosok tanah air, pada saat bulan kemerdekaan ini mengibarkan
Jalur Gemilang di premis-premis bangunan, kediaman dan kenderaan. Memang benar mengibarkan bendera
bukannya satu-satu cara untuk menunjukkan semangat patriotisme tetapi
setidak-tidaknya sambutan kemerdekaan negara yang disambut setahun
sekali itu dipamerkan melalui kemeriahan kibaran Jalur Gemilang. Apatah
lagi jika ia dilakukan dengan penuh penghayatan terhadap erti sebuah
kemerdekaan. Oleh itu, tradisi mengibarkan
bendera kemegahan negara pada bulan kemerdekaan tidak seharusnya luntur
dari sanubari rakyat negara ini.