- Pemimpin sekolah akan menjadi pemimpin instruksional yang cemerlang, dan bertindak sebagai ejen perubahan. Mereka akan menikmati sokongan yang lebih padu dan perkhidmatan yang lebih baik daripada pegawai pendidikan persekutuan, negeri dan daerah. Mereka akan mendapat akses yang lebih besar terhadap latihan kepimpinan bertaraf antarabangsa, serta amalan terbaik daripada rakan sejawatan mereka di Malaysia.
- Pemimpin sekolah akan mendapat sokongan dan sumber yang mereka perlukan bagi memacu sekolah dengan berkesan. Mereka akan menjalani kursus persediaan, induksi dan latihan berterusan yang lebih baik bagi membantu meningkatkan kemahiran kepimpinan. Mereka akan menerima maklum balas yang lebih cepat daripada PPD berkaitan isu yang dihadapi, daripada penempatan pembimbing pengetua hinggalah kepada peruntukan sumber tambahan, jika sekolah amat memerlukannya.
- Pemimpin sekolah akan menikmati persekitaran bekerja yang lebih baik dan ganjaran berasaskan prestasi. Pengetua/guru besar, penolong kanan, ketua bidang dan juga semua ketua panitia akan bekerja di sekolah yang mempunyai kemudahan yang mencukupi. Beban pentadbiran pula dikurangkan supaya mereka boleh menumpukan tenaga kepada kepimpinan instruksional. Mereka akan menikmati ganjaran berasaskan prestasi yang menarik termasuk perkembangan kerjaya yang lebih pantas dan “kredit tambahan” bagi kecemerlangan dalam program penempatan di sekolah luar bandar dan pedalaman yang berprestasi rendah.
- Pemimpin sekolah akan diberi kuasa melalui pengurusan berasaskan sekolah yang lebih tinggi. Mereka akan mempunyai keluwesan pengendalian yang setara dengan prestasi sekolah mereka dalam perkara seperti penjadualan kurikulum dan peruntukan bajet. Mereka akan menjalinkan kerjasama profesional bersama PPD bagi mendapatkan input untuk sasaran prestasi tahunan, dan akan menikmati ketelusan yang lebih tinggi berkaitan keputusan yang memberikan kesan kepada sekolah mereka.
Sebagai balasan, pemimpin sekolah akan diminta mencapai set jangkaan yang lebih tinggi yang telah ditetapkan bagi sekolah mereka. Mereka perlu sentiasa terbuka kepada cara bekerja yang baharu, melibatkan masyarakat dalam penambahbaikan sekolah, dan menjalankan tugas sebagai pembimbing dan juru latih untuk membina keupayaan kakitangan sekolah masing-masing dan sekolah lain.