28 January 2014

KAEDAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Kaedah pengajaran bermaksud tindakan-tindakan yang dilakukan oleh guru dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini melibatkan tindak balas antara guru dan murid (Rahil Mahyudin et al. 1997) . Di antara kaedah yang bersesuaian untuk mengajar pembelajaran Kemahiran Hidup ialah kaedah memberi arahan, demonstrasi, permainan, penemuan, kaedah pusat pembelajaran dan kaedah projek. Di sini disenaraikan beberapa kaedah yang boleh digunakan oleh guru pendidikan khas yang mengajar Kemahiran Hidup.

Kaedah Tunjuk Cara

Kaedah tunjuk cara adalah kaedah yang telah lama digunakan di sekolah. Kaedah ini dipilih terutamanya sebagai satu cara untuk membiasakan murid dengan prosedur yang perlu diikuti oleh mereka semasa membuat aktiviti seperti berkebun, menggunakan alatan dan sebagainya. Kaedah tunjuk cara yang berjaya mengandungi langkah-langkah yang memberi murid peluang menunjukkan bahawa mereka benar-benar memahami apa yang dipelajari. Sesuatu tunjuk cara tidak akan berjaya dan lengkap jika tidak diberi peluang murid membuat sesuatu yang menunjukkan mereka telah menguasai maklumat, proses atau prinsip tertentu. Langkah-langkah untuk menjayakan kaedah ini adalah seperti berikut:

Langkah 1 

Tunjukkan kepada murid langkah-langkah yang mesti dikuti oleh mereka untuk melakukan tugas yang diberi. Murid juga perlu dimaklumkan tentang sifat tugas itu.

Langkah 2 

Beri tindak balas kepada soalan murid tentang tunjuk cara yang telah dibuat. Guru juga perlu bertanyakan soalan kepada murid untuk memastikan mereka benar-benar faham akan arahan yang diberikan.

Langkah 3 

Tinjau semula langkah-langkah yang perlu diikuti oleh murid. Murid mesti jelas dengan langkah-langkah aktiviti. Adalah baik jika guru menulis setiap arahan untuk memastikan tiada arahan yang tertinggal semasa aktiviti berlangsung.

Langkah 4 

Secara rawak, guru perlu memilih beberapa orang murid untuk membacakan turutan langkah-langkah betul yang telah dilakukan oleh mereka.

Langkah 5 

Beri peluang murid mempraktikkan apa yang telah dipelajari oleh mereka. Kaedah tunjuk cara apabila dirancang dan dilaksanakan boleh memberi kefahaman kepada murid. Pada bahagian awal tunjuk cara, guru boleh mengambil sedikit masa untuk mengingatkan murid tentang objektif yang diberi penekanan. Disebabkan guru menjadi pusat perhatian dalam kaedah tunjuk cara ini, adalah mudah baginya untuk membantu murid mengingat kembali maklumat yang telah dipelajari sebelumnya yang berkaitan dengan tugas pembelajaran baru.

Kaedah Simulasi

Tujuan kaedah simulasi adalah untuk meningkatkan kebolehan murid mengaplikasikan konsep-konsep tertentu dalam penyelesaian masalah. Simulasi adalah suatu situasi yang diwujudkan supaya menyerupai situasi sebenar tetapi dalam bentuk yang dipermudahkan, diringkaskan atau dikecilkan supaya masalah atau isu yang berkaitan lebih mudah diselesaikan. Dalam kaedah ini, guru mempunyai beberapa tanggungjawab, antaranya:
  • memilih satu masalah atau isu yang melibatkan minat atau pandangan yang berlawanan.
  • memastikan unsur-unsur utama masalah atau isu terkandung dalam simulasi.
  • mengenal pasti konsep-konsep yang terlibat dalam masalah atau isu berkenaan.
  • menentukan langkah-langkah yang perlu diambil semasa simulasi. Langkah-langkah ini termasuklah bagaimana tingkah laku murid, peranan yang dimainkan, serta peraturan yang mempengaruhi tindakan murid tersebut.
Murid mengambil bahagian dalam simulasi dengan cara memainkan peranan individu atau pihak yang terlibat mengikut peraturan atau prosedur yang ditentukan oleh guru. Contohnya, dalam satu simulasi berkaitan dengan kerja-kerja petani di kebun, kebun sayur musnah dilanda banjir, bagaimana pekerja-pekerja kebun sayur menggunakan pelbagai peralatan semasa bekerja. Pada amnya, simulasi akan berjaya jika melibatkan situasi kehidupan seharian. Simulasi juga digunakan bersama-sama dengan kaedah buku teks, perbincangan dan penyoalan.

Kaedah Projek

Tujuan kaedah projek adalah untuk melibatkan murid dengan idea-idea konseptual dan memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang tidak mungkin dicapai melalui kaedah pengajaran lain. Objektif utama kaedah ini adalah untuk pemerolehan pengetahuan yang baru oleh murid atau penggunaan pengetahuan sedia ada kepada situasi-situasi kehidupan seharian, penyelesaian masalah atau penghasilan produk. Dalam kaedah ini, guru berperanan untuk menentukan tajuk yang sesuai kepada murid. Bagi murid pendidikan khas, guru perlulah membantu sepenuhnya . Guru seharusnya berperanan sebagai rakan pembimbing, memastikan setiap murid mempunyai peranan dan tugasan dalam melaksanakan projek, memberikan kebebasan dan kepercayaan kepada murid untuk melaksanakan sesuatu projek mengikut kemampuan murid dengan pemantauan guru , bertindak sebagai motivator dengan sentiasa memberi dorongan kepada murid untuk mengekalkan minat mereka serta memberi masa yang secukupnya kepada murid untuk melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan.

Untuk melancarkan perjalanan sesuatu projek yang dirancangkan, guru perlulah menyediakan alatan yang mudah dikendalikan, ringan dan tidak terlalu membahayakan murid supaya mudah dan selamat digunakan . Sebelum projek dilaksanakan, guru sepatutnya terlebih dahulu menerangkan setiap tugasan itu, cara penggunaan alatan, tujuan projek dan sebagainya dengan berulang-ulang agar pelajar faham.

Kaedah Memberi Arahan

Tujuan memberi arahan adalah untuk memberi panduan kepada murid sebelum mereka memulakan aktiviti. Guru perlulah mengambil masa yang lama untuk memberi arahan. Perkara penting ialah murid perlu mempelajari bagaimana mematuhi arahan yang agak sukar difahami. Oleh itu, arahan guru haruslah jelas dan tepat serta berulang-ulang sebelum pembelajaran bermula. Berikut adalah panduan untuk menjamin arahan yang jelas dan mudah diikuti pelajar:
  • mula-mula tuliskan arahan di dalam kelas. Ini akan memastikan semua arahan diingati dan akan dipatuhi.
  • kurangkan arahan itu menjadi beberapa langkah sahaja. Jika langkah banyak, maka perlulah guru mendemonstrasikannya semasa memberi arahan, atau semasa membahagikan aktiviti pembelajaran itu kepada beberapa bahagian, dan setiap bahagian itu guru perlu memberikan arahan yang terperinci.
  • pastikan arahan yang diberikan oleh guru jelas, tepat, pendek, ringkas serta menggunakan laras bahasa yang bersesuaian dengan murid berkeperluan khas.
  • pastikan murid memberi tumpuan semasa arah diberi.
  • nilaikan sejauh manakah murid memahami arahan berkenaan dengan cara bertanya kembali sama ada mereka ingat akan arahan guru atau guru bertanyakan apakah arahan pertama, kedua dan seterusnya.

Satu cara memperbaiki kemahiran memberi arahan adalah dengan menganalisis masalah yang dihadapi oleh murid semasa mereka melakukan aktiviti. Arahan tidak tepat, kabur, sukar, singkat serta tidak diulang-ulang akan menyebabkan murid melakukan kesalahan semasa menyelesaikan tugasan.

Kaedah Latih Tubi

Kaedah latih tubi bertujuan untuk menyediakan latihan dan peneguhan secukupnya kepada murid tentang sesuatu pembelajaran spesifik supaya mereka secara automatik boleh menyebut atau memperingati semula maklumat apabila disuruh berbuat demikian. Perkara penting dalam latih tubi adalah maklmat khusus yang perlu diketahui (contohnya, kegunaan baja tumbuhan pada pokok, kegunaan alat tertentu dan sebagainya) atau dalam bentuk pengetahuan yang lain (misalnya, mengapakah baja penting kepada tumbuhan, mengapakah tidak boleh bermain dengan alat tajam dan sebagainya). Kaedah latih tubi mungkin akan membosankan jika dilakukan secara berterusan. Kaedah ini boleh menjejaskan tumpuan murid-murid berkeperluan khas, lebih-lebih lagi murid khas bermasalah pembelajaran. Oleh itu , untuk mengelak kebosanan dan kurangnya konsentrasi murid, pelbagai bentuk latih tubi boleh digunakan seperti:
  • mengadakan kaedah latih tubi secara pertandingan dalam kumpulan atau individu, iaitu siapa yang dapat menjawab sesuatu pertanyaan guru tentang sesuatu berkaitan dengan kemahiran, markah akan dikira dan dihimpun dan kemudian dibandingkan dengan kumpulan atau individu yang lain yang terlibat.
  • bagi murid yang kurang daya saing, kaedah latih tubi boleh dijalankan dengan cara memegang peralatan dan menyebutnya, dari aspek nama peralatan tersebut, fungsi, cara penggunaan, cara menyimpan, cara untuk menggelakkan diri dari kecederaan akibat penggunaan peralatan dan sebagainya.
Sebenarnya seseorang murid itu boleh juga membantu rakan mereka dalam kaedah latih tubi ini selain daripada guru dan ibu bapa. Jadi, latih tubi antara satu kaedah yang penting dalam mengajar murid khas bermasalah pembelajaran untuk memahami apa yang diajar.

Kaedah Sumbang Saran 

Tujuan kaedah sumbang saran adalah untuk menggalakkan murid menggunakan imaginasi mereka secara kreatif. Objektif keseluruhannya bertujuan untuk mencari idea -idea baru serta kombinasi idea. Murid digalakkan memberi sumbangan idea terhadap sesuatu kemahiran yang diajar guru dalam bentuk jawapan, kesimpulan, fakta serta penerangan. Pemikiran yang kreatif biasanya diarahkan kepada penyelesaian masalah -masalah tertentu, mencari cara-cara baru untuk bertindak dalam sesuatu situasi atau menghasilkan pelbagai interpretasi bagi sesuatu kejadian. Masalah atau kejadian menjadi fokus sumbang saran. Secara amnya, peraturan sumbang saran meliputi:
  • sebarang idea diterima
  • semua murid mesti aktif memberi pandangan, idea dan maklumat sebanyak mungkin.
  • dilarang mengkritik sebarang idea.
  • idea-idea dinyatakan secara spontan.
  • pelajar boleh menggunakan idea rakan untuk memperkembangkannya.
Keberkesanan sesuatu sesi sumbang saran bergantung kepada keadaan atau situasi berikut:
  • guru menunjukkan sikap positif di samping menggalakan pemikiran positif di kalangan murid.
  • murid mengambil bahagian secara aktif.
  • guru sebagai pengadil, tidak menyebelahi mana-mana individu atau kumpulan.
  • idea yang dipilih haruslah diperkemaskan untuk dijadikan maklumat serta digunakan sebaiknya.
Oleh itu, murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran amat digalakkan supaya memberi idea terhadap sesuatu permasalahan atau penyoalan soalan oleh guru untuk melatih mereka supaya memahami soalan dan permasalahan dan dapat berkomunikasi serta melatih mereka berfikir.

Kaedah Eksplorasi - Penemuan

Kaedah eksplorasi–penemuan bertujuan untuk meningkatkan pembelajaran murid melalui penemuan kendiri. Peranan guru adalah menyediakan peralatan tertentu. Murid dibenarkan menggunakan alatan mengikut kesukaan masing-masing dengan pemantauan rapi daripada guru terutamanya apabila menggunakan peralatan berbahaya seperti parang, cangkul dan sebagainya semasa aktiviti di kebun.

Melalui kaedah ini, murid akan lebih mengetahui apakah kegunaan sesuatu alatan dengan membuat aktiviti menggunakan alatan itu. Kaedah ini juga bertujuan untuk meningkatkan rasa ingin tahu murid, keinginan untuk mencuba dan kebebasan melakukan aksplorasi. Jika sebelum ini mereka (murid) tidak berpeluang untuk cuba menggunakan peralatan ini atau menggunakannya secara nyata atas alasan dibimbangi akan memudaratkan mereka sendiri, namun dengan kebebasan diberi oleh guru serta dengan pemantauan rapi oleh guru, maka mereka akan merasakan berkeinginan untuk mencuba menggunakan peralatan tersebut dengan cara yang betul.

Bagi pelajar khas, sebelum penggunaan alatan itu dibenarkan untuk digunakan semasa aktiviti, guru haruslah menerangkan cara penggunaannya yang betul dan menjaganya agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri dan rakan sekelas. Melalui kaedah ini, pembelajaran berlaku secara spontan dan dapat mengukuhkan pengetahuan mereka daripada pengajaran guru. Supaya pembelajaran lebih berkesan, guru perlulah:
  •  menyediakan alatan
  • memberi masa yan cukup untuk melakukan aktiviti
  • bertanya kembali tentang kegunaan alat itu selepas aktiviti selesai
  • menggalakkan mereka melakukan sendiri menggunakan alatan supaya mereka lebih fahamakan kegunaannya.

Sumber dan penghargaan buat Pomizi Resources.Com      

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :