1. Apakah PT3?
PT3 adalah pentaksiran sumatif untuk menilai pencapaian akademik murid di peringkat menengah rendah.
2. Apakah mata pelajaran yang ditaksir dalam PT3?
Mata pelajaran yang ditaksir dalam PT3 adalah seperti berikut:
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Sejarah
- Geografi
- Mathematics
- Science
- Pendidikan Islam
- 4 pilihan Kemahiran Hidup Bersepadu:
- KHB Kemahiran Teknikal
- KHB Ekonomi Rumah Tangga
- KHB Pertanian
- KHB Perdagangan dan Keusahawanan
- 5 pilihan bahasa tambahan:
- Bahasa Arab
- Bahasa Cina
- Bahasa Tamil
- Bahasa Iban
- Bahasa Kadazandusun
3. Apakah skop sukatan pelajaran yang ditaksir dalam PT3?
PT3 mentaksir skop sukatan pelajaran Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3
berdasarkan matlamat, objektif dan kandungan mata pelajaran berkenaan.
4. Apakah tanggungjawab Lembaga Peperiksaan dalam pelaksanaan PT3?
Lembaga Peperiksaan bertanggungjawab menyediakan soalan (item),
panduan penskoran dan garis panduan pelaksanaan dan panduan penjaminan
kualiti PT3 serta melaksanakan penjaminan kualiti PT3.
5. Apakah peranan sekolah dalam pelaksanaan PT3?
Sekolah adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyediaan
kertas soalan, pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan, penggredan dan
pelaporan PT3 berdasarkan soalan, panduan penskoran dan garis panduan
yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Di samping itu, sekolah perlu
melaksanakan penjaminan kualiti PT3.
6. Apakah jenis instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris?
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ditaksir menggunakan instrumen
pentaksiran Ujian Bertulis dan Ujian Lisan. Ujian Lisan terdiri daripada
Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar.
7. Apakah jenis instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran
Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu,
Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa
Kadazandusun?
Mata pelajaran tersebut akan menggunakan instrumen pentaksiran Ujian Bertulis sahaja.
8. Apakah jenis instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi?
Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan
Pelbagai Instrumen seperti Tugasan Bertulis (assignment), Projek, Kajian
Lapangan (field study) atau Kajian Kes (case study). Bagi tahun 2014,
Lembaga Peperiksaan telah menetapkan Kajian Kes sebagai instrumen
pentaksiran bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan.
9. Bagaimanakah pencapaian murid bagi PT3 ini dilaporkan?
Pelaporan Pencapaian Murid bagi PT3 adalah dalam bentuk Gred A, B,
C, D, E dan F dengan tafsiran seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 1: Gred dan tafsiran gred bagi PT3
Gred | Tafsiran Gred |
---|---|
A | Cemerlang |
B | Kepujian |
C | Baik |
D | Memuaskan |
E | Mencapai tahap minimum |
F | Belum mencapai tahap minimum |
10. Bilakah pelaksanaan PT3 ini bermula?
Pelaksanaan PT3 dijalankan secara berperingkat seperti Jadual 2 berikut:
Tarikh | Jenis Instrumen | Mata Pelajaran |
---|---|---|
1 – 18 Julai 2014 | Kajian Kes | Sejarah Geografi |
6 – 29 Ogos 2014 | Ujian Lisan Bertutur | Bahasa Melayu Bahasa Inggeris |
12 Ogos 2014 | Ujian Mendengar | Bahasa Melayu |
13 Ogos 2014 | Ujian Mendengar | Bahasa Inggeris |
12 – 17 Oktober 2014 | Ujian Bertulis | Bahasa Melayu Bahasa Inggeris Mathematics Science Pendidikan Islam Kemahiran Hidup Bersepadu Bahasa Cina Bahasa Tamil Bahasa Arab Bahasa Iban Bahasa Kadazandusun |
11. Bagaimanakah penjaminan kualiti PT3 ini dilaksanakan?
Penjaminan kualiti dilaksanakan melalui proses moderasi dan
verifikasi. Moderasi ialah proses menyelaras markah berdasarkan
peraturan penskoran yang disediakan oleh LP. Proses ini dilaksanakan
bagi memastikan ketekalan (konsistensi) dalam pemberian markah antara
guru-guru yang memeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.
12. Adakah guru, murid dan ibu bapa bersedia untuk menghadapi pelaksanaan PT3?
Program penataran dan taklimat telah dan sedang dijalankan oleh LP
dengan bantuan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan
Daerah (PPD), Bahagian KPM, Pengetua, Guru Besar, School Improvement
Partner Plus (SIP+), School Improvement Specialist Coach Plus (SISC+),
guru sekolah rendah dan sekolah menengah serta wakil Persatuan Ibu Bapa
dan Guru di seluruh negara.