02 August 2014

MERANGSANG ANAK MINAT DAN RAJIN BELAJAR

Pelajaran anak-anak adalah pelaburan kepada anak-anak dan ibu bapa pada masa depan. Merangsang anak supaya rajin belajar adalah suatu beban pada masa kini. Proses belajar memerlukan rangsangan daripada ibu bapa. Tanpa rangsangan anak-anak tidak berminat untuk belajar. Belajar pada masa muda manfaatnya akan dapat dinikmati pada masa tua.

Anak-anak pada masa kini banyak terlibat dengan pelbagai permainan di Internet dan permainan berasaskan komputer menyebabkan mereka kurang berminat untuk belajar. Proses belajar ini memerlukan tumpuan serius dan berterusan. Dengan menanam dan menaruh minat seseorang itu akan memberikan tumpuan kepada apa yang diminatinya khususnya pelajaran.

Menanam minat supaya anak rajin belajar memerlukan beberapa usaha seperti motivasi, galakan dan rangsangan yang berterusan. Tanpa usaha ini anak-anak tidak memahami apa tujuan belajar.

Ibu bapa mesti memahami jiwa anak dan selalu mengingatkan anak-anak bahawa pelajaran sangat penting untuk mendapat ilmu dan kemahiran bagi bekalan masa depan. Tanpa ilmu dan kemahiran seseorang itu sukar untuk senang dan mendapat pekerjaan dalam era globalisasi pada masa akan datang.

Pendekatan dan strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di rumah berbeza dengan pendekatan di sekolah. Pengajaran di rumah boleh dilakukan dengan berkesan jika dilakukan secara berterusan. Anak-anak ditetapkan masa dua atau tiga jam setiap hujung minggu untuk belajar dengan membuat latihan dan membaca bahan bacaan.

Jika anak berada di tahap sekolah rendah ibu bapa boleh memandu anak-anak dengan menggalakkan mereka melakukan banyak latihan melalui buku kerja yang banyak di pasaran. Begitu juga pada tahap tingkatan 1 hingga 3, latihan secara intensif boleh dilakukan dari semasa ke semasa.

Ini disebabkan ujian di sekolah kebanyakannya menggunakan soalan objektif. Manakala bagi tingkatan 4 dan 5 mereka memerlukan bimbingan daripada guru yang berpengalaman untuk menjawab soalan berbentuk subjektif. Kaedah dan teknik menjawab soalan bentuk subjektif memerlukan bimbingan yang betul.

Oleh sebab itu, ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas tuisyen bagi mendapatkan teknik dan strategi menjawab soalan berbentuk subjektif. Pada masa kini pelajaran di sekolah menjurus kepada peperiksaan. Mereka yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dianggap berjaya dalam hidup.

Sebenarnya keseimbangan antara ilmu pengetahuan yang dipelajari di sekolah dengan akhlak mesti seiringan. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kemuliaan manusia adalah agamanya, harga dirinya (kehormatannya) adalah akalnya, sedangkan ketinggian kedudukannya adalah akhlaknya.” (Riwayat Ahmad dan Al Hakim).

Lantaran itu, keseimbangan ilmu pengetahuan dengan akhlak mesti dipupuk di rumah dan diperkukuhkan di sekolah bagi pembentukan insan seimbang. Peranan ibu bapa adalah memberi rangsangan kepada anak-anak belajar di rumah. Di samping itu menumbuhkan minat untuk belajar.

Ibu bapa mesti memahami pengajaran di rumah ialah aktiviti atau proses berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran anak-anak. Ia meliputi perkara seperti aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian yang bertujuan menyebar ilmu pengetahuan atau kemahiran kepada anak-anak dengan cara yang berkesan.

Mengikut konsep pengajaran tokoh pendidik T F Green, konsep pengajaran meliputi pembentukan tingkah laku dan kelakuan. Ia boleh dilakukan melalui teguran, ingatan mengenai masa depan, latihan dan pelaziman. Manakala bagi membentuk dan menyebarkan pengetahuan dan kepercayaan ia boleh dilakukan melalui instruksi atau mengajar, indoktrinasi, melakukan propaganda dan peneguhan.

Bagaimanapun, menggunakan hukuman dera, ugutan atau ancaman dalam pengajaran merupakan kesilapan besar yang boleh membunuh inisiatif anak-anak untuk belajar. Oleh itu, melalui pengajaran mesti melalui aktiviti menyampaikan bahan pelajaran secara jelas dan menerangkannya dengan sempurna. Dengan itu tugas pengajaran dianggap selesai.

Pengajaran di rumah juga boleh dilakukan melalui peneguhan konsep, memberi pengertian, model pengajaran, perhubungan dengan pembelajaran, model pemprosesan maklumat dan penyebaran ilmu pengetahuan baru melalui pembacaan pelbagai bahan bacaan.

Oleh itu, ibu bapa boleh menyediakan ruang belajar yang selesa bagi anak-anak dengan melakukan aktiviti konsisten meliputi pengajaran, pembelajaran atau pengajaran merupakan tugasan. Sentiasa memberikan motivasi dengan kata-kata: “Orang yang berjaya hidupnya pada masa kini adalah disebabkan mereka rajin dan tekun belajar pada masa mudanya dan mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran”.

Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh terlalu memaksa dan menekan anak-anak dalam pembelajaran yang boleh menyebabkan mereka rasa tertekan dan bosan. Belajar diikuti bermain boleh dilakukan. Sebagai contoh memberikan rangsangan jika latihan 40 dan peratus betulnya mencapai tahap 75 peratus iaitu A anak-anak boleh bermain pada sebelah petang. Memperteguh motivasi ini mesti dilaksanakan bagi kepercayaan anak-anak.

Ibu bapa juga mesti memahami konsep berkaitan dengan pengajaran seperti membuat latihan, pelaziman, mengajar dan indoktrinasi yang berkait rapat dengan konsep pengajaran. Latihan yang diberikan mesti mengikut tahap pelajaran mereka di sekolah yang boleh menjurus kepada peperiksaan.

Sebagai ibu bapa seharusnya memahami minat dan kecenderungan anak-anak seperti melukis, membaca, meminati muzik dan bermain. Minat mereka ini boleh dibentuk dan dikembangkan ke arah pemupukan kerjaya pada masa depan yang lebih cemerlang. Anak-anak yang mempunyai sesuatu minat tidak akan membuang masa terluang mereka. Mereka akan mengisi minat mereka apabila ada masa lapang dan terluang.

Pendidikan dan pengajaran di rumah boleh dilakukan sebagai suatu proses berterusan hingga dewasa. Sebagai contoh, setiap pagi hujung minggu anak-anak digalakkan membaca akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris bagi menambah pengetahuan am mereka. Ini disebabkan anak-anak pada masa kini kurang berminat membaca akhbar.

Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab mendidik akhlak, budaya, adab dan mencambahkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak. Melalui pengalaman dan penceritaan anak-anak akan dapat memahami dan belajar tentang makna kehidupan pada masa depan. Ada kata-kata yang menyatakan: “Rahsia hidup manusia, bukan kehidupan itu sendiri melainkan tujuannya.” Oleh itu, hidup yang singkat ini mesti penuhi dengan ilmu dan amal untuk bekalan dan kebaikan di dunia dan akhirat.

Natijahnya, merangsang anak minat dan rajin belajar memerlukan usaha gigih dan berterusan. Tanpa usaha gigih ia tidak akan berjaya. Pengajaran di rumah ibu bapa sebagai pengajar dan anak-anak sebagai murid.

Sementara pengajaran di sekolah memperteguhkan apa yang diajar dan dididik di rumah. Pengajaran yang baik mesti melibatkan proses pemikiran, komunikasi, penggunaan bahasa yang berkesan secara berterusan.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :