Showing posts with label Kesultanan Johor. Show all posts
Showing posts with label Kesultanan Johor. Show all posts

08 May 2015

TAMAN DIRAJA DI TEPI LAUT BANDAR PONTIAN

Cantik taman ini. Sebuah taman baru di bandar Pontian. Taman yang terletak di tepi laut menghadap Selat Melaka dibina sempena pemahkotaan Sultan dan Permaisuri Johor.






 










29 March 2015

PEMAHKOTAAN SULTAN JOHOR KELIMA DAN PERMAISURI JOHOR

23 Mac 2015 - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor era moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar, pagi Isnin.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini. 

Istiadat yang dipancarkan secara langsung melalui RTM, TV3 dan layar besar di Dataran Bandaraya, turut disaksikan ribuan rakyat bukan sahaja di Johor malah seluruh Malaysia. 

Dalam masa yang sama, ia turut disaksikan bonda Sultan Ibrahim, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah, kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar. 

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Khaleeda Bustamam, beserta anakanda-anakanda Sultan Ibrahim yang lain turut hadir menyaksikan istiadat bersejarah itu. 

Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-Raja Melayu turut menyaksikan istiadat kemahkotaan itu. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir. 

Istiadat dimulakan kira-kira pukul 10 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Bilik Singgahsana diikuti Lagu Bangsa Johor. 

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin kemudiannya memakaikan Mahkota Kerajaan di kepala Sultan Ibrahim bersama lafaz selawat dan Bismillah diikuti dengan pemakaian mahkota permaisuri ‘Diadem’ di kepala Raja Zarith Sofiah.

Eksklusif, penuh budaya dan gilang gemilang adalah antara elemen istiadat kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang bakal diadakan pada 23 Mac.

Ia menampilkan tiga jenis kebudayaan iaitu budaya Melayu, Barat dan Islam, acara itu amat dinantikan segenap lapisan rakyat Johor yang mahu melihat tradisi itu, yang sejak kali terakhir dipersembahkan 55 tahun lepas. 

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, istiadat kemahkotaan kali ini bertempat di Bilik Singgahsana, Istana Besar, yang dipertontonkan secara langsung kepada rakyat melalui RTM. 

"Kali terakhir istiadat kemahkotaan ini ialah bagi Almarhum Sultan Ismail pada 10 Februari 1960. Saya percaya rakyat Johor khasnya dan rakyat Malaysia menunggu untuk menyaksikan satu istiadat yang penuh gilang gemilang dengan budaya warisan Johor bagi kemahkotaan Sultan Ibrahim," kata beliau dalam satu temuramah di pejabatnya, di sini, baru-baru ini. 

Abdul Rahim berkata, kalau mengikut peraturan undang-undang negeri Johor, Sultan Johor dipilih, dilantik dan dimasyhurkan sebagai raja menggantikan Almarhum raja yang mangkat. 

Kemudiannya, bakal raja akan mengangkat sumpah dan dimasyhurkan oleh menteri besar sebelum keranda diraja diusung untuk dimakamkan, yang mana ia mengesahkan perlantikan raja sebagai Raja Johor. 

"Di Johor tiada pertabalan sebagaimana di negeri lain sebab kita anggapkan dengan pemilihan, perlantikan, mengangkat sumpah dan pemasyhuran itu memadai  untuk mengesahkan Sultan Ibrahim sebagai Raja Johor," kata beliau.

Bagaimanapun, mengikut tradisi warisan Johor, istiadat kemahkotaan boleh diadakan pada bila-bila masa yang Sultan kehendakinya selepas baginda naik
takhta. 

Istiadat kemahkotaan, menurut Abdul Rahim, adalah satu tradisi diraja Johor, yang penting kerana ia memperkasakan kedaulatan Raja. 

Bagi menyerikan istiadat kemahkotaan itu, terdapat sembilan istiadat yang berlainan tetapi berkaitan yang bermula 16 Mac, yang menampilkan adunan tiga kebudayaan iaitu budaya Melayu, Islam dan Barat. 

Misalnya, istiadat Siram Tabal yang akan diadakan pada 21 Mac, mempunyai ciri-ciri adat istiadat Melayu, yang menggunakan air dari ulu sungai dari 10 buah daerah dalam negeri Johor. 

"Adat istiadat yang kita gunakan adalah mengikut warisan iaitu berdoa, bertepung tawar, bersiram dan lain-lain lagi," kata beliau. 

Sehari sebelum itu, satu majlis tahlil dan doa kesyukuran akan diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar dan semua masjid-masjid jamek di daerah, bagi memberi peluang rakyat untuk mendoakan kesejahteraan Sultan Johor serta mendoakan agar istiadat kemahkotaan baginda berjalan dengan lancar. 

Selain itu, pemakaian mahkota kepada Sultan Ibrahim serta istiadat Menghadap Takzim adalah mengikut budaya barat, kata beliau.

Mengenai mahkota, Abdul Rahim mengimbas kembali tindakan berani Almarhum Sultan Abu Bakar yang membawa kemodenan kepada Johor melalui mahkota ini.

"Kalau kita perhatikan di negeri lain, raja-raja Melayu memakai tengkolok atau tanjak, tetapi di Johor tiada. Oleh sebab langkah Almarhum Sultan Abu Bakar untuk memodenkan kerajaan negeri Johor, maka kita gunakan mahkota," kata beliau.

Selain mahkota, Almarhum membawa elemen kemodenan yang lain seperti darjah-darjah kebesaran, inovasi teknikal dan inovasi pentadbiran. 

Mahkota itu yang diilhamkan Almarhum pada tahun 1886, direkabentuk oleh satu-satunya syarikat yang membuat barang-barang kemas diraja British iaitu JW Benson, yang berpengkalan di London. 

"Berat mahkota ialah 1.6 kilogram dan rekabentuknya adalah oriental iaitu mengikut kebudayaan Timur dan dipersinarkan dengan intan berlian dan batu-batu permata," kata Abdul Rahim. 

Selain itu, terdapat empat bulan bintang bercantum yang melambangkan agama Islam di sebelah kemuncak takhta dan ada tulisan perkataan Allah dan Muhammad, yang membawa makna Sultan turut menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi bagi negeri Johor. 

Selain mahkota, keunikan istiadat kemahkotaan ini adalah penggunaan kain pelayang diraja, yang bakal digunakan oleh Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, pada upacara itu. 

Kain pelayang diraja itu dibuat menggunakan kain sutera khas, direka bentuk dari bahu sampai meleret ke belakang dan akan dijinjit oleh putera puteri kecil ketika istiadat. 

"Ia direka khas daripada kain sutera biru yang dibuat di London, dihiasi dengan lakaran lada hitam dan gambir bersulamkan benang emas dan mempunyai tulisan Jawi yang membawa maksud Sultan Johor," kata beliau. 

Beliau berkata Sultan Ibrahim gemar menghidupkan kembali tradisi-tradisi lama yang kian dilupakan bagi tatapan rakyat jelata terutama generasi muda.

"Titah Tuanku ialah agar istiadat kemahkotaan baginda dibuat secara istimewa agar menjadi kenangan untuk rakyat kita turun temurun. Disebabkan keistimewaan inilah, hanya raja-raja Melayu dan gabenor, Sultan Brunei dan orang kenamaan tertentu sahaja dijemput bagi memastikan status istiadat kemahkotaan ini dipandang tinggi," kata Abdul Rahim. - Bernama

















22 November 2012

HARI KEPUTERAAN SULTAN JOHOR



DAULAT TUANKU

Merapak Sembah
Menjunjung Kasih dan Setinggi-tinggi Tahniah kepada

DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN
JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA'ZIM

Sempena Ulang Tahun hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Pada 22 November 2012 Bersamaan 8 Muharram 1434 Hijrah

SEMOGA ALLAH MELANJUTKAN USIA TUANKU

22 November 2010

DAULAT TUANKU

Daulat Tuanku



Mengadap,
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN
JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA'ZIM

Merafak Sembah
Menjunjung Kasih dan Setinggi-tinggi Tahniah

Sempena
Ulang Tahun Hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Pada 22 November 2010 Bersamaan 15 Zulhijjah 1431 Hijrah

Dengan Segala Hormat Takzimnya
Yang Berdatang Sembah

Pengetua, Guru-guru, Kakitangan dan Pelajar-pelajar,
SMK Telok Kerang

27 June 2010

ROMBONGAN DIRAJA MULAKAN KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2010

Berita Minggu, 27 Jun 2010





Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memulakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 dari stesen kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kompleks JB Sentral di sini, untuk melawat serta mengikuti pelbagai aktiviti di daerah Kulaijaya serta Kluang, semalam.

KMJ kali ke-12 sejak 2001 itu yang julung kalinya menggunakan pengangkutan kereta api turut dihadiri isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Rombongan diraja berlepas pada kira-kira jam 9.45 pagi ke Kampung Pertanian, Kulaijaya dan disambut ribuan penduduk yang menunggu sekitar platform sementara yang didirikan khas bagi menyambut kehadiran Sultan Ibrahim.

Baginda kemudian menyaksikan pertandingan sukan rakyat di pekarangan dewan orang ramai, melawat gerai pameran dan jualan karnival pertanian. Kesempatan itu juga digunakan Raja Zarith Sofiah melawat pertandingan memasak, gubahan buah-buahan, demonstrasi produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pertandingan jahitan.

Sultan Ibrahim juga meluangkan masa menyampaikan sumbangan basikal kepada 50 kanak-kanak serta 80 penerima bantuan sara hidup kepada golongan miskin selain melepaskan benih ikan di kolam berhampiran dewan raya kampung berkenaan.

"Menerusi Kembara Mahkota kali ini, saya akan dapat melihat sendiri cara hidup masyarakat. Kita dapat tahu kehendak dan keperluan sebenar rakyat. Dengan cara ini, rakyat dengan ikhlas dan jujur akan beritahu isi hati, hubungan erat yang wujud ini akan memudahkan pejabat kerajaan menjalankan pembangunan," titah baginda ketika merasmikan program berkenaan di JB Sentral, semalam.

Seorang penduduk, Hong Jok Hon, 63, berkata beliau amat gembira apabila Sultan Ibrahim menziarahi gerainya yang mempamerkan pelbagai buah-buahan bersaiz besar seperti nangka, jambu batu dan pisang. Tuanku tanya saya kenapa buah nangka ini besar, saya kata ini buah yang jadi juara dunia dan ada juga klon yang jadi juara Sarawak. Tuanku juga mahu melawat ladang saya juga suatu hari nanti, katanya yang berpengalaman selama 42 tahun mengusahakan ladang buah-buahan. Beliau berkata, kehadiran Sultan Ibrahim dan keluarga diraja amat bererti buatnya dan beliau turut menghadiahkan sebiji buah nangka seberat 40 kilogram kepada baginda.

Semalam, Sultan Ibrahim meneruskan perjalanan ke Stesen Renggam dan Stesen Kluang dan dijadualkan melakukan pelbagai aktiviti di daerah itu sebelum menamatkan hari pertama dengan santapan malam di Kem Mahkota.

29 January 2010

TUNKU ISMAIL IDRIS DIMASYHUR SEBAGAI TMJ

JOHOR BAHRU - Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris (gambar) semalam dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang baru bagi menggantikan ayahandanya Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor. Pemasyhuran berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 itu diisytiharkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim di Istana Besar di sini pada pukul 3.20 petang.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor memilih dan melantik seorang waris bergelar Tunku Mahkota Johor. Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1, fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor mengikut nasihat Jumaah Diraja dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," isytihar baginda.

Sejurus perisytiharan itu, Tunku Ismail menjunjung kasih ke atas ayahanda baginda atas limpah perkenan dilantik sebagai waris takhta Johor.

25 January 2010

PERHIMPUNAN RASMI PAGI ISNIN 25 JANUARI 2010 - PUTERI ISLAM BERTUGAS MENGENDALIKAN PERHIMPUNAN

Pagi ini tiba giliran Puteri Islam SMK telok Kerang bertugas mengendalikan perhimpunan rasmi pagi Isnin. Bendera negeri Johor dinaikkan separuh tiang kerana perkabungan selama tujuh hari atas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail pada hari Jumaat 22 Januari 2010. Pada perhimpunan itu, guru-guru dan pelajar-pelajar menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah kepada Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.








24 January 2010

SULTAN JOHOR, SULTAN ISKANDAR IBNI ALMARHUM SULTAN ISMAIL MANGKAT

JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail disahkan mangkat hari ini. Baginda disahkan mangkat pukul 7.15 malam semasa dirawat di Hospital Pakar Puteri. Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pukul 11.20 malam ini.

Pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ismail Ibni Sultan Ismail di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah kira-kira pukul 2 petang, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkannya.


Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat hari ini pada usia 77 tahun, adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini. Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.
Semasa pemerintahan baginda, Sultan Iskandar dikasihi pelbagai lapisan rakyat negeri Johor atas bimbingan dan perhatian berterusan baginda terhadap segala naungannya. Baginda bukan sahaja bijak dalam hal keagamaan dan pemerintahan tetapi juga dalam pelbagai bidang lain seperti ketenteraan, sukan dan perniagaan. Baginda sering bertitah mengingatkan rakyatnya agar sentiasa hidup bermuafakat, bersatu padu dan bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kebahagiaan negeri Johor.

Sultan Iskandar dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh The National University of Singapore (NUS) pada 12 April 2007 sebagai mengiktiraf peranan baginda dalam kemajuan dan kemakmuran negeri itu serta sumbangan baginda terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura. Dalam menjaga hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, baginda sering menjemput pemimpin Singapura ke Istana Bukit Serene di Johor Baharu semasa sambutan Hari Raya.

Sultan Iskandar, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989, diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932 adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Menggemari permainan polo, papan layar, golf dan memburu, baginda adalah juruterbang bertauliah dan pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Baginda adalah Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang diasaskan dan ditubuhkan oleh moyang baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1885. Minat baginda dalam bidang ketenteraan jelas dilihat daripada perwatakan baginda yang sentiasa segak beruniform tentera dan ketegasan baginda dalam soal disiplin. Sultan Iskandar pernah menyertai batalion kedua Askar Wataniah di Johor Baharu pada 1960 dan berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pegawai dan dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Gerak Khas.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa mengadakan hubungan erat dengan Majlis Agama Negeri atau pentadbiran jabatan berkenaan untuk mengikuti perkembangan dan masalah agama. Baginda sendiri turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid sekitar Johor.

Di arena sukan, baginda terkenal sebagai peminat dan ahli sukan dalam pelbagai acara yang mencabar seperti golf, tenis, tinju, luncur layar, ski air, menyelam, berenang, payung terjun, lumba kereta dan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Baginda adalah seorang juruterbang helikopter dan pesawat ringan yang dikagumi.

Sultan Iskandar yang turut gemar berburu, sering menasihatkan rakyat negerinya agar menceburi sukan menembak kerana baginda percaya sukan itu akan muncul sebagai sukan utama di masa hadapan. Ketika merasmikan Kejohanan Menembak Sultan Iskandar Challenge Trophy 1997, baginda bertitah sukan itu bukan lagi menjadi aktiviti yang dikhususkan kepada golongan berada tetapi terbuka kepada semua golongan kerana yuran dikenakan oleh kelab menembak adalah kecil. Hasrat baginda itu kini menjadi kenyataan kerana Malaysia mula muncul sebagai antara negara yang mempunyai penembak terbaik di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, Persatuan Penembak Clay Target Johor (JCTSA) terus menganjurkan pertandingan menembak Piala Sultan Iskandar, yang membabitkan penembak tempatan dan luar negara, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Iskandar.

 
Selain sukan menembak, baginda turut memberikan sokongan kepada sektor pelancongan dengan seringkali mencemar duli menghadiri Festival Layang-layang Antarabangsa di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang yang menjadi venue tetap acara itu. Titah baginda, penganjuran agenda bertaraf antarabangsa merangkumi acara sukan, rekreasi serta temasya layang-layang dapat memberikan imej antarabangsa kepada Johor dan Malaysia.

Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Baharu dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian. Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London. Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken. Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja pada 11 Mei 1981, selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden. - Bernama

 

TUNKU IBRAHIM ISMAIL DIMASYHUR SEBAGAI SULTAN JOHOR KE-5

JOHOR BAHRU 23 Jan. – Pemangku Raja Johor, Tunku Ibrahim Ismail, 52, dimashyurkan sebagai Sultan Johor yang kelima hari ini. Istiadat pemashyuran baginda diadakan di tangga Istana Besar, di sini pukul 1.08 petang. Watikah pemasyhuran Sultan Ibrahim Ismail dibacakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurut Abdul Ghani, Sultan Ibrahim telah menandatangani watikah pemashyuran sebagai Sultan Johor di hadapan Jumaah Majlis Diraja Johor dan kaum kerabat Diraja Johor di Bilik Singahsana, Istana Besar, Johor Bahru.

‘‘Ketahuilah olehmu sekalian rakyat negeri kita daripada bangsa keturunan Melayu dan lain-lain keturunan dan ketahuilah juga olehmu sekalian yang berkenaan dengan negeri dan jajahan tanah air kita bahawa mengikut Fasal 8 Bagi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor tahun 1895 kita. Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menaiki tahta kerajaan. Dan telah mengangkat sumpah di dalam Bilik Singgahsana di Istana Besar Johor Bahru pada pukul 10.15 pagi pada 7 Safar 1431 bersamaan dengan 23 Januari 2010 di hadapan jumaah pangkuan negeri menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dalam jajahan Johor dan segala daerah takluknya bagi menggantikan Seri Paduka ayahanda kita, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail bertarikh di Istana Besar Johor Bahru pada 23 Januari 2010 dengan titah perintah Datuk Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor,” katanya Abdul Ghani.
Pemashyuran itu dilangsungkan sebelum jenazah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar dibawa ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini untuk istiadat pemakaman.

Sebaik sahaja selesai pembacaan watikah itu, Penasihat Majlis Agama Islam, Datuk Nooh Gadut membacakan doa kira-kira pukul 1.12 petang.
Selesai bacaan doa, kedengaran laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali dilafazkan oleh rakyat dan para hadirin.

 
Ia diikuti dengan Majlis Perangkatan jenazah Almarhum Sultan Ibrahim dari Dewan Istana Besar menggunakan sebuah pedati dengan ditarik oleh Pasukan Istiadat dan Pegawai Badan Istiadat istana menuju ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah yang terletak kira-kira tiga kilometer. Pedati yang membawa jenazah Almarhum itu turut dinaiki oleh Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Sultan Ibrahim Ismail bersama kaum kerabat lain berjalan kaki mengiring jenazah ke makam berkenaan sambil diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 77 das, bersamaan dengan usia Almarhum. Selain itu, kerabat-kerabat diraja dari negeri lain dan tetamu kehormat turut menuju ke Makam Diraja berkenaan.

Hampir kesemua raja dan sultan di negara ini serta kaum kerabat mereka hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri masing-masing.

Sultan Ibrahim Ismail menggantikan ayahanda baginda yang mangkat semalam pada usia 77 tahun setelah memerintah negeri ini hampir tiga dekad bermula 11 Mei 1981. Petang semalam baginda dilantik sebagai Pemangku Raja oleh Jumaah Majlis Diraja Johor setelah menerima laporan kegeringan Sultan Iskandar daripada tiga pakar perubatan di Hospital Pakar Johor, di sini bahawa ayahanda baginda tidak dapat melakukan kerja-kerja raja. Namun, Sultan Iskandar disahkan mangkat pukul 7.15 malam.

Sultan Ibrahim Ismail yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar. Baginda yang berjiwa rakyat telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor Bahru pada 3 Julai 1985. Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, pasangan diraja itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Sultan Ibrahim Ismail mula mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru. Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School di Australia mulai 1968 hingga 1970. Sultan Ibrahim Ismail juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) dari 1971-1975. Baginda turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru.

Setelah tamat persekolahan, Sultan Ibrahim Ismail telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.
Kemudian baginda ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, Amerika Syarikat.

Baginda turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, Amerika Syarikat untuk menjalani latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying‘s School dan menerima anugerah ‘sayap’ penerbangan.
Selain itu, baginda juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tuftf, Amerika Syarikat.

Dalam bidang sukan, Sultan Ibrahim Ismail gemar bermain polo dan menunggang motosikal berkuasa tinggi serta sinonim dengan program Kembara Mahkota Johor yang melawat ke seluruh pelosok negeri ini.