Showing posts with label Kesultanan Johor. Show all posts
Showing posts with label Kesultanan Johor. Show all posts

08 May 2015

TAMAN DIRAJA DI TEPI LAUT BANDAR PONTIAN

Cantik taman ini. Sebuah taman baru di bandar Pontian. Taman yang terletak di tepi laut menghadap Selat Melaka dibina sempena pemahkotaan Sultan dan Permaisuri Johor.






 










29 March 2015

PEMAHKOTAAN SULTAN JOHOR KELIMA DAN PERMAISURI JOHOR

23 Mac 2015 - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor era moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar, pagi Isnin.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini. 

Istiadat yang dipancarkan secara langsung melalui RTM, TV3 dan layar besar di Dataran Bandaraya, turut disaksikan ribuan rakyat bukan sahaja di Johor malah seluruh Malaysia. 

Dalam masa yang sama, ia turut disaksikan bonda Sultan Ibrahim, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah, kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar. 

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Khaleeda Bustamam, beserta anakanda-anakanda Sultan Ibrahim yang lain turut hadir menyaksikan istiadat bersejarah itu. 

Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-Raja Melayu turut menyaksikan istiadat kemahkotaan itu. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir. 

Istiadat dimulakan kira-kira pukul 10 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Bilik Singgahsana diikuti Lagu Bangsa Johor. 

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin kemudiannya memakaikan Mahkota Kerajaan di kepala Sultan Ibrahim bersama lafaz selawat dan Bismillah diikuti dengan pemakaian mahkota permaisuri ‘Diadem’ di kepala Raja Zarith Sofiah.

Eksklusif, penuh budaya dan gilang gemilang adalah antara elemen istiadat kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang bakal diadakan pada 23 Mac.

Ia menampilkan tiga jenis kebudayaan iaitu budaya Melayu, Barat dan Islam, acara itu amat dinantikan segenap lapisan rakyat Johor yang mahu melihat tradisi itu, yang sejak kali terakhir dipersembahkan 55 tahun lepas. 

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, istiadat kemahkotaan kali ini bertempat di Bilik Singgahsana, Istana Besar, yang dipertontonkan secara langsung kepada rakyat melalui RTM. 

"Kali terakhir istiadat kemahkotaan ini ialah bagi Almarhum Sultan Ismail pada 10 Februari 1960. Saya percaya rakyat Johor khasnya dan rakyat Malaysia menunggu untuk menyaksikan satu istiadat yang penuh gilang gemilang dengan budaya warisan Johor bagi kemahkotaan Sultan Ibrahim," kata beliau dalam satu temuramah di pejabatnya, di sini, baru-baru ini. 

Abdul Rahim berkata, kalau mengikut peraturan undang-undang negeri Johor, Sultan Johor dipilih, dilantik dan dimasyhurkan sebagai raja menggantikan Almarhum raja yang mangkat. 

Kemudiannya, bakal raja akan mengangkat sumpah dan dimasyhurkan oleh menteri besar sebelum keranda diraja diusung untuk dimakamkan, yang mana ia mengesahkan perlantikan raja sebagai Raja Johor. 

"Di Johor tiada pertabalan sebagaimana di negeri lain sebab kita anggapkan dengan pemilihan, perlantikan, mengangkat sumpah dan pemasyhuran itu memadai  untuk mengesahkan Sultan Ibrahim sebagai Raja Johor," kata beliau.

Bagaimanapun, mengikut tradisi warisan Johor, istiadat kemahkotaan boleh diadakan pada bila-bila masa yang Sultan kehendakinya selepas baginda naik
takhta. 

Istiadat kemahkotaan, menurut Abdul Rahim, adalah satu tradisi diraja Johor, yang penting kerana ia memperkasakan kedaulatan Raja. 

Bagi menyerikan istiadat kemahkotaan itu, terdapat sembilan istiadat yang berlainan tetapi berkaitan yang bermula 16 Mac, yang menampilkan adunan tiga kebudayaan iaitu budaya Melayu, Islam dan Barat. 

Misalnya, istiadat Siram Tabal yang akan diadakan pada 21 Mac, mempunyai ciri-ciri adat istiadat Melayu, yang menggunakan air dari ulu sungai dari 10 buah daerah dalam negeri Johor. 

"Adat istiadat yang kita gunakan adalah mengikut warisan iaitu berdoa, bertepung tawar, bersiram dan lain-lain lagi," kata beliau. 

Sehari sebelum itu, satu majlis tahlil dan doa kesyukuran akan diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar dan semua masjid-masjid jamek di daerah, bagi memberi peluang rakyat untuk mendoakan kesejahteraan Sultan Johor serta mendoakan agar istiadat kemahkotaan baginda berjalan dengan lancar. 

Selain itu, pemakaian mahkota kepada Sultan Ibrahim serta istiadat Menghadap Takzim adalah mengikut budaya barat, kata beliau.

Mengenai mahkota, Abdul Rahim mengimbas kembali tindakan berani Almarhum Sultan Abu Bakar yang membawa kemodenan kepada Johor melalui mahkota ini.

"Kalau kita perhatikan di negeri lain, raja-raja Melayu memakai tengkolok atau tanjak, tetapi di Johor tiada. Oleh sebab langkah Almarhum Sultan Abu Bakar untuk memodenkan kerajaan negeri Johor, maka kita gunakan mahkota," kata beliau.

Selain mahkota, Almarhum membawa elemen kemodenan yang lain seperti darjah-darjah kebesaran, inovasi teknikal dan inovasi pentadbiran. 

Mahkota itu yang diilhamkan Almarhum pada tahun 1886, direkabentuk oleh satu-satunya syarikat yang membuat barang-barang kemas diraja British iaitu JW Benson, yang berpengkalan di London. 

"Berat mahkota ialah 1.6 kilogram dan rekabentuknya adalah oriental iaitu mengikut kebudayaan Timur dan dipersinarkan dengan intan berlian dan batu-batu permata," kata Abdul Rahim. 

Selain itu, terdapat empat bulan bintang bercantum yang melambangkan agama Islam di sebelah kemuncak takhta dan ada tulisan perkataan Allah dan Muhammad, yang membawa makna Sultan turut menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi bagi negeri Johor. 

Selain mahkota, keunikan istiadat kemahkotaan ini adalah penggunaan kain pelayang diraja, yang bakal digunakan oleh Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, pada upacara itu. 

Kain pelayang diraja itu dibuat menggunakan kain sutera khas, direka bentuk dari bahu sampai meleret ke belakang dan akan dijinjit oleh putera puteri kecil ketika istiadat. 

"Ia direka khas daripada kain sutera biru yang dibuat di London, dihiasi dengan lakaran lada hitam dan gambir bersulamkan benang emas dan mempunyai tulisan Jawi yang membawa maksud Sultan Johor," kata beliau. 

Beliau berkata Sultan Ibrahim gemar menghidupkan kembali tradisi-tradisi lama yang kian dilupakan bagi tatapan rakyat jelata terutama generasi muda.

"Titah Tuanku ialah agar istiadat kemahkotaan baginda dibuat secara istimewa agar menjadi kenangan untuk rakyat kita turun temurun. Disebabkan keistimewaan inilah, hanya raja-raja Melayu dan gabenor, Sultan Brunei dan orang kenamaan tertentu sahaja dijemput bagi memastikan status istiadat kemahkotaan ini dipandang tinggi," kata Abdul Rahim. - Bernama

















22 November 2012

HARI KEPUTERAAN SULTAN JOHOR



DAULAT TUANKU

Merapak Sembah
Menjunjung Kasih dan Setinggi-tinggi Tahniah kepada

DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN
JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA'ZIM

Sempena Ulang Tahun hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Pada 22 November 2012 Bersamaan 8 Muharram 1434 Hijrah

SEMOGA ALLAH MELANJUTKAN USIA TUANKU

22 November 2010

DAULAT TUANKU

Daulat Tuanku



Mengadap,
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN
JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA'ZIM

Merafak Sembah
Menjunjung Kasih dan Setinggi-tinggi Tahniah

Sempena
Ulang Tahun Hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Pada 22 November 2010 Bersamaan 15 Zulhijjah 1431 Hijrah

Dengan Segala Hormat Takzimnya
Yang Berdatang Sembah

Pengetua, Guru-guru, Kakitangan dan Pelajar-pelajar,
SMK Telok Kerang

27 June 2010

ROMBONGAN DIRAJA MULAKAN KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2010

Berita Minggu, 27 Jun 2010





Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memulakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 dari stesen kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kompleks JB Sentral di sini, untuk melawat serta mengikuti pelbagai aktiviti di daerah Kulaijaya serta Kluang, semalam.

KMJ kali ke-12 sejak 2001 itu yang julung kalinya menggunakan pengangkutan kereta api turut dihadiri isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Rombongan diraja berlepas pada kira-kira jam 9.45 pagi ke Kampung Pertanian, Kulaijaya dan disambut ribuan penduduk yang menunggu sekitar platform sementara yang didirikan khas bagi menyambut kehadiran Sultan Ibrahim.

Baginda kemudian menyaksikan pertandingan sukan rakyat di pekarangan dewan orang ramai, melawat gerai pameran dan jualan karnival pertanian. Kesempatan itu juga digunakan Raja Zarith Sofiah melawat pertandingan memasak, gubahan buah-buahan, demonstrasi produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pertandingan jahitan.

Sultan Ibrahim juga meluangkan masa menyampaikan sumbangan basikal kepada 50 kanak-kanak serta 80 penerima bantuan sara hidup kepada golongan miskin selain melepaskan benih ikan di kolam berhampiran dewan raya kampung berkenaan.

"Menerusi Kembara Mahkota kali ini, saya akan dapat melihat sendiri cara hidup masyarakat. Kita dapat tahu kehendak dan keperluan sebenar rakyat. Dengan cara ini, rakyat dengan ikhlas dan jujur akan beritahu isi hati, hubungan erat yang wujud ini akan memudahkan pejabat kerajaan menjalankan pembangunan," titah baginda ketika merasmikan program berkenaan di JB Sentral, semalam.

Seorang penduduk, Hong Jok Hon, 63, berkata beliau amat gembira apabila Sultan Ibrahim menziarahi gerainya yang mempamerkan pelbagai buah-buahan bersaiz besar seperti nangka, jambu batu dan pisang. Tuanku tanya saya kenapa buah nangka ini besar, saya kata ini buah yang jadi juara dunia dan ada juga klon yang jadi juara Sarawak. Tuanku juga mahu melawat ladang saya juga suatu hari nanti, katanya yang berpengalaman selama 42 tahun mengusahakan ladang buah-buahan. Beliau berkata, kehadiran Sultan Ibrahim dan keluarga diraja amat bererti buatnya dan beliau turut menghadiahkan sebiji buah nangka seberat 40 kilogram kepada baginda.

Semalam, Sultan Ibrahim meneruskan perjalanan ke Stesen Renggam dan Stesen Kluang dan dijadualkan melakukan pelbagai aktiviti di daerah itu sebelum menamatkan hari pertama dengan santapan malam di Kem Mahkota.

29 January 2010

TUNKU ISMAIL IDRIS DIMASYHUR SEBAGAI TMJ

JOHOR BAHRU - Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris (gambar) semalam dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang baru bagi menggantikan ayahandanya Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor. Pemasyhuran berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 itu diisytiharkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim di Istana Besar di sini pada pukul 3.20 petang.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor memilih dan melantik seorang waris bergelar Tunku Mahkota Johor. Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1, fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor mengikut nasihat Jumaah Diraja dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," isytihar baginda.

Sejurus perisytiharan itu, Tunku Ismail menjunjung kasih ke atas ayahanda baginda atas limpah perkenan dilantik sebagai waris takhta Johor.