12 March 2010

1,010 PELAJAR JOHOR CEMERLANG DALAM SPM 2009

Oleh Haniza Hassan

Utusan Malaysia 12 Mac 2010




Sufa'at Tumin, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran (bersongkok) bersama pelajar cemerlang Negeri Johor di Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU 11 Mac - Seramai 1,010 daripada 55,371 calon sekolah kerajaan dan persendirian di negeri ini lulus cemerlang dengan memperoleh gred A+, A dan A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang diumumkan hari ini. Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin berkata, bilangan calon cemerlang meningkat sebanyak 227 orang sementara pada tahun 2008 jumlah pelajar yang mendapat semua A adalah seramai 783 calon.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan yang cemerlang, 29 calon (0.06 peratus) sekolah kerajaan memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diambil.

"Pada keseluruhannya, pencapaian calon dalam SPM 2009 adalah membanggakan. Seramai 42,370 (88.98 peratus) calon berjaya mendapat sijil berbanding 40,379 (88.34 peratus) pada 2008. Seramai 8,173 (16.69 peratus) calon sekolah kerajaan berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 6,921 (15.14 peratus) pada 2008. Ini menggambarkan peningkatan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan keputusan SPM 2009 peringkat negeri ini di sini hari ini. Sufa'at berkata, seorang calon berjaya mendapat 14A+ iaitu Tan Yen Ling dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Convent, manakala dua lagi, Wang Sin Loo dari sekolah yang sama serta S.Aingaran dari SMK St. Andrew, Muar masing-masing mendapat 12A+.

Menurutnya, Sekolah Tun Fatimah (STF) dianugerahkan sebagai sekolah cemerlang kategori Sekolah Berasrama Penuh (SBP) manakala Sekolah Menengah Agama Maahad Muar bagi kategori sekolah menengah agama. SMK Dato' Penggawa Timur, Pasir Gudang diumumkan sebagai penerima anugerah sekolah cemerlang kategori sekolah harian. Sementara itu, dalam kalangan calon istimewa, seramai 19 calon (37.25 peratus) daripada 51 pelajar berjaya mendapat sijil SPM.

Menurutnya, dari segi kuantiti, sebanyak 39 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus dan layak mendapat sijil berbanding 36 sekolah pada 2008.

"Peningkatan mata gred tersebut menyumbang kepada peningkatan kualiti pencapaian calon di Johor sebanyak 0.41 mata gred kepada 5.32 dari 5.53 pada 2008," katanya.

Sufa'at memberitahu, 25 mata pelajaran teras dan elektif utama peringkat negeri menunjukkan peningkatan dari segi kuantiti dan kualiti dengan 12 mata pelajaran dalam kumpulan ini meningkat dari segi kuantiti manakala 13 pula meningkat dari segi kualiti.
Katanya, mata pelajaran tertinggi meningkat dari segi kualiti adalah Perakaunan Perniagaan iaitu sebanyak 1.74 peratus manakala mata pelajaran tertinggi meningkat dari segi kuantiti adalah Perdagangan (3.51 peratus).

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :